AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 8

“Barang apa yang dia nak tu?” aku tanya ayah. Ayah angkat bahu.

“Mak ada simpan barangnya. Ayah kamu dah pesan, barang tu perlu disimpan elok-elok supaya makhluk belaan tu dengan tuan baru tak bersatu. Kalau mereka bersatu, keadaan mungkin makin teruk. Sebab dah bercampur dengan dendam,” kata Opah dari katilnya. Aku dan ayah pandang Opah serentak.

“Sekarang ni dia nak barangnya. Kalau tak bagi nanti, dia mengamuk macammana?” ayah tanya Opah.

“Dia nak mengamuk macammana? Dia belum jumpa tuannya. Kalau dia dah bersatu dengan tuannya, barulah dia betul-betul mengamuk.” Kata Opah. Aku dan ayah berpandangan sesama sendiri.

Bunyi seretan kaki dari ayah dapur kayu opah makin kuat, seakan ianya menghampiri kami. Dan pada masa yang sama, bunyi benda melompat dari bahagian atas rumah kembali berbunyi.

“Tadi apa yang kami nak paku tu? Dah paku ke?” ayah tanya aku. Aku gelengkan kepala. Memang tak habis paku aku tadi.

“Nak buat macammana? Tunjukkan, biar ayah yang pakukan,” kata ayah sambil bangun mengambil penukul yang aku letak kat atas meja.

“Wani pun bukannya tahu. Ikut apa yang Tok buat dulu je.” Sahutku.

“Tok buat macammana?” Ayah aku tanya.

“Tok baca Al Fatihah, 4 Qul, ayat Qursi dan Surah Al-Jin. Lepas tu Tok paku je la bingkai pintu tu,” kataku.

Ayah terus buat sepertimana yang aku cakap. Tapi seingat aku, masa Tok buat tu, benda-benda pelik tu berada di luar rumah. Jadi pada fahaman aku, itu untuk menyekat benda yang kat luar tu dari masuk ke dalam rumah. Masalahnya sekarang, benda-benda tu berada di dalam dan luar rumah. Sama ke solusinya? Tapi berusaha lebih baik dari kami berdiam diri menunggu entah apa yang akan muncul lagi.

Selesai ayah paku bingkai pintu tu, ada satu suara garau kedengaran dari luar rumah. Suara tu macam dalam keadaan marah. Dan kami dengar bunyi hentakan kaki mundar mandi di luar rumah. Bunyi seretan kaki di dapur makin hampir. Aku dan ayah menunggu.

Dari balik dinding, kami nampak susuk tubuh seseorang. Sedang melangkah dengan mengheret kakinya yang lembik. Dia seakan di awangan dan kakinya menyeret dilantai.

“Tok Majid?” ayah bersuara. Rupa Tok Majid tak berubah, sama je dari dua belas tahun lepas masa aku lihat jelmaannya dirumahnya.

“Itu bukan Tok Majid, itu belaannya. Dan tuannya ada di luar rumah.” Kata Opah.

“Habis tu, yang kat atas rumah tu, hantu raya milik siapa?” aku bertanya. Opah diam. Belum sempat aku bertanya lanjut, pintu rumah diketuk dari luar. Aku dah mula berdebar-debar. Muka ayah makin cuak.

“Aku nak barang aku,” Jelmaan Tok Majid yang sedang menyeret kakinya bersuara.

Ayah beranikan diri, buka pintu walaupun Opah kata jangan. Aku pun tak sangka ayah akan buka pintu tu. Mujurlah Tok Imam Razali dan Paksu yang yang sedang berdiri di luar pintu.

“Tok Imam, benda tu mengganggu sampai sini,” kata ayah.

“Dia cari barangnya,” kata Tok Imam.

“Boleh bagi ke?” ayah tanya.

“Siapa simpan?” Tok Imam tanya.

“Mak saya,” kata ayah sambil pandang kat Opah dan aku di atas katil. Tok Imam pandang Opah.

“Kecoh dah kampung ni diganggunya. Kena lepaskan dia balik ke tempatnya. Kalau tak, susah kita nanti,” kata Tok Imam Razali.

“Abang Hassan kata jangan bagi,” kata Opah. Abang Hassan adalah Tok aku.

“Takpelah, dah tiba masa untuk kita lepaskan.” Kata Tok Imam seperti memujuk Opah. Aku, ayah dan Paksu berpandangan sesama sendiri. Kenapa macam ada sesuatu yang kami tak tahu di sini?

“Kalau dia tak tunaikan janjinya?” kata Opah.

“Kita hapuskan dia buat selamanya,” kata Tok Imam Razali.

“Bagi barang aku,” jelmaan Tok Majid bersuara garau.

“Razlan, kamu pergi ke bilik mak. Dalam laci almari warna biru, ada satu bungkusan kain warna kuning. Kamu ambil bungkusan tu bawa ke sini,” kata Opah kepada ayah aku.

“Lan pergi ambil ke mak?” kata ayah dengan muka cuak. Tadi ayah berani naik ke tingkat sebab dia tak tahu ada makhluk lain kat atas tu. Tapi sekarang dia dah tahu ada benda tu, dia dah mula takut.

“Habis tu takkan nak suruh Wani pulak. Kami pergi la,” kata Opah.

“Tapi ada benda kat atas tu,” kata ayah.

“Benda tu tak boleh buat apa. Kan mak dah cakap tadi. Tok Imam Razali pun dah cakap. Benda tu tiada kuasa selagi mereka tak dapat barang yang mak simpan tu,” kata Opah.

“Tapi benda tu ada kat situ la kan?” kata ayah.

“Dia memang ada kat situ, hanya memerhati, tapi tak boleh buat apa-apa, Jangan risau,” sahut Tok Imam Razali.

“Din, teman aku,” kata ayah mengajak Paksu menemaninya. Paksu ikut je. Ayah dan Paksu panjat anak tangga naik ke tingkat atas. Ayah tolak pintu perlahan-lahan. Dan kedengaran bunyi rengusan seakan bunyi singa yang kelaparan. Ayah macam nak lari turun tangga, tapi Paksu tahan. Paksu ajak juga ayah naik ke tingkat atas untuk ambil barang yang Opah suruh tu.

Aku dapat dengar bunyi seakan sesuatu meronta di tingkat atas, sekali dengan bunyi rengusan marah. Tok Imam Razali masih berdepan dengan jelmaan Tok Majid yang masih berdiri di di tepi dinding dapur dengan kaki lembik menyeret lantai. Kalau tak perhati kakinya, memang dia nampak seakan terbang, kakinya terpisah dengan lantai dengan jarak 10 sentimeter. Matanya merah melilau memandang keliling.

“Jangan bertentang mata dengannya. Dia mencari pengaruh,” kata Tok Imam Razali bila Tok Majid memandang ke arah aku. Aku terus tunduk. Tapi Opah terus memandang Tok Majid, dengan rupa seakan marah.

“Opah ok ke tak ni?” aku tanya Opah. Aku pegang tangan Opah. Tangan Opah menggeletar. Opah tak menyahut, tapi dia terus memandang jelmaan Tok Majid.

“Dah la tu Esah. Perkara dah lama berlaku. Lepaskan. Hassan pun dah meninggal dunia.” kata Tok Imam Razali, masih seakan memujuk Opah. Aku makin sangsi, makin yakin ada sesuatu yang telah terjadi di antara arwah Tok, Opah dan Imam Majid.

Opah menundukkan wajahnya. Tak lagi bertentang mata dengan jelmaan Tok Majid.

Seketika kemudian, ayah dan Paksu muncul di pintu, mereka bertolak-tolak menuruni tangga ke dapur. Muka masing-masing pucat, tangan menggeletar.

“Dapat barang tu?” Tok Imam Razali tanya. Ayah dan Paksu hanya anggukkan kepala.

“Benda tu kacau tak?” Tok Imam Razali tanya lagi.

“Dia merangkak secara terbalik di atas kayu alang, ikut kami sampai bilik, ikut lagi sampai kami ke sini. Badannya berbulu lebat, matanya merah. Nak kata rupa orang utan, tak boleh juga sebab rupanya menakutkan,” kata ayah sambil menyerah satu bungkusan kuning yang diambil dari bilik Opah, kepada Tok Imam Razali.

“Itulah hantu raya,” kata Tok Imam Razali. Dan aku nampak mata ayah dan Paksu terbeliak.

Tok Imam tengok muka Opah. “Aku buka barang ni ye Esah. Kalau ikut perjanjian pertama, sebaik dapat barang ni, mereka akan pergi untuk selamanya,” kata Tok Imam Razali.

“Tapi aku tak percaya dengan janji syaitan laknatullah. Aku yakin tuan barunya akan ambil benda ni dan jaganya macam Majid dulu,” kata Opah dengan nada tak setuju dengan Tok Imam Razali.

“Ya, aku pun rasa sama macam kau Esah. Mereka mungkir janji, kita leburkan mereka. Itu juga janji kita dulu kan?” Tok Imam Majid bersuara. Opah tak menjawab.

Tok Imam Razali membuka bungkusan kain kuning tu. Aku nampak ada satu ukiran kayu seakan ukiran mata manusia. Dan masa tu, jelmaan Tok Majid yang dari tadi kaku di depan tepi dinding dapur Opah hilang. Bunyi dentum dentam di tingkat atas turut berhenti. Tinggal bunyi orang berjalan mundar mandir di luar rumah sahaja.

Aku tengok jam, dah pukul 12 tengah malam. Maksu dan mak aku tak balik lagi.

“Ayah, mak dan Maksu belum balik. Kat luar tu ada bunyi tapak kaki.” Aku tanya ayah.

“Ayah dah suruh mak dan Maksu terus ke rumah Mak Yam, jangan balik rumah ni,” kata ayah. Ooo… aku anggukkan kepala.

Tok Imam Razali buka pintu. Aku nampak seseorang berdiri di luar rumah. Aku jenguk dari belakang Tok Imam. Aku nampak seorang lelaki. Makin aku pandang, makin aku kenal dia. Dialah Pakcik Azman, anak sulung Tok Majid.

“Pakcik Azman ni bukan ke dah pindah duduk bandar? Dia dah jual rumah Tok Majid kan?” kataku perlahan kat Paksu. Paksu letak jari telunjuk kat bibir sebagai isyarat suruh aku diam. Jadi aku pun diam.

“Barang itu milik aku, bagi balik,” Azman bersuara tapi tak segarau tadi.

“Janji ayah kamu, sebaik dapat benda ni, kamu akan bersatu dengan belaannya dan lepas tu kamu akan buang dia jauh-jauh. Kamu akan bertaubat sesungguh taubat,” kata Tok Imam Razali.

“Aku janji, aku akan hantar benda ni balik ke tempatnya.” Kata Azman lagi sambil meletakkan tangan kanan di dada kirinya.

“Macammana kalau kau mungkiri janji?” Tok Imam Razali.

“Kalau aku mungkiri janji, aku sendiri yang akan terima padahnya,” kata Azman.

“Aku serahkan barang ini kepada kamu dengan sumpah yang kamu buat sendiri.” Kata Tok Imam Razali.

“Aku terima barang ini, di atas sumpah nyawaku sendiri,” kata Azman.

Dan Tok Imam Razali menyerahkan bungkusan kain kuning tu kepada Azman. Sebaik bungkusan kain kuning tu sampai di dalam genggamannya, Azman berpusing dan melangkah pergi meninggalkan kami di situ. Keadaan kembali sunyi. Salakan anjing tak semeriah tadi.

“Dah selesai ke?” Ayah tanya.

“Harap-harap begitulah,” sahut Tok Imam Razali.

“Huh!” aku dengar suara Opah mendengus. Aku dan ayah berpaling memandang Opah. Riak wajah Opah seakan tak setuju dengan apa yang Tok Imam Razali buat. Opah membaringkan tubuhnya di atas katil.

Kami kembali memandang Tok Imam Razali, dengan wajah inginkan penjelasan.

“Dah tengah malam ni, aku balik dulu. Nanti risau pulak Mak Sal kamu kat rumah tu. Kamu boleh panggil isteri kamu masing-masing balik ke sini.” Kata Tok Imam Razali.

– Bersambung –

One thought on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s