AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 7

Aku beranikan diri panjat anak tangga ke tingkat atas rumah. “Jangan Wani,” Opah tegur aku. Tapi entahlah kenapa perasaan ingin tahu aku membuak-buak. Aku tak pernah tengok hantu. Tapi aku selalu dengar pasal hantu. Ada macam-macam jenis hantu. Pontianak, pelesit, toyol, hantu raya dan macam-macam la. Tapi aku tak pernah tengok.

Dan akhirnya ada Ustaz Adib kat university kata, hantu tak wujud. Yang wujud ialah penghuni alam ghaib. Sebagai umat islam, kita wajib percaya dengan alam ghaib. Tapi apa alam ghaib tu? Apa bezanya dengan hantu?

Hantu itu adalah jin. Jin itu adalah penghuni alam ghaib. Jadi ini kali pertama aku nampak jin dalam bentuk hantu raya yang selalu orang tua dulu-dulu sebut. Seumur hidup aku, aku nampak hantu raya.

“Wani, turun dari situ.” Opah panggil aku. Aku degil, aku tetap panjat tangga tu perlahan-lahan dan cuba intai dari celah pintu yang terbuka. Makhluk hitam tadi dah tiada di tempatnya. Aku cuba lihat ke arah lain, dan mata aku bertembung dengan sepasang mata besar berwarna merah, badan yang berbulu hitam lebat, dengan gigi taring di kiri kanan mulut.

“Hmmmmm…..” Dan benda itu keluarkan bunyi. Aku kaku.

Sedar-sedar tangan aku ditarik oleh Opah. Kuat sekali cengkaman tangan Opah. Aku hampir tersungkur ke lantai dapur. Opah tutup pintu. Muka Opah merah memandang aku.

“Kamu memang tak serik-serik kan? Patutlah ayah kamu selalu marah kamu. Patutlah Tok selalu risaukan kamu. Kamu memang degil,” Opah jerkah aku. Seumur hidup aku, tak pernah lagi Opah bersuara macam tu kepada aku. Aku pegang tangan Opah, tangan Opah menggeletar. Tak tahulah menahan takut atau menahan marah.

“Tok Tok Tok,” pintu dapur di ketuk dari luar. Aku pandang ke pintu. Opah duduk di kerusi.

“Siapa tu Opah?” aku tanya. Opah tak jawab.

Aku melangkah ke arah tingkap cermin yang bersebelahan dengan pintu dapur. Aku buka sedikit cermin tingkap untuk melihat ke arah luar pintu. Tiada sesiapa di sana. Aku tutup cermin tingkap tu semula. Aku merapati Opah.

“Opah, Wani minta maaf,” kataku perlahan sambil pegang tangan Opah.

Opah usap kepala aku tanpa sepatah kata. Tapi aku perasan, nafas Opah seakan tercungap-cungap.

“Tok Tok Tok,” Sekali kali pintu dapur diketuk orang.

Dan sekali lagi juga aku mengintai dari cermin tingkap. Masih tiada sesiapa.

Aku mendail nombor telefon ayah semula. “Hello,” ayah menyahut panggilan telefon aku.

“Ayah, balik cepat. Ada benda kacau kat rumah ni,” kataku kepada ayah.

“Apa benda?” ayah tanya aku semula.

“Tak tahulah, Opah kata hantu raya,” sahutku.

“Kat sini pun ada yang mengganggu.” Kata ayah buatkan aku terkejut dan terus pandang Opah.

“Ayah, baliklah. Opah macam tak sihat,” kataku risau melihat Opah yang tercungap-cungap.

“Tang!” aku dengar bunyi dari dapur kayu Opah disebalik bilik air.

“Apa tu?” ayah tanya. Bunyi tu memang kuat sangat.

“Tak tahulah ayah. Ayah baliklah. Suruh Paksu tunggu sana. Wani takut ni. Tapi Wani lebih risaukan Opah. Opah macam susah nak bernafas,” kataku lagi. Aku makin panik.

“Ok ok, ayah cuba balik,” sahut ayah dan talian putus. Aku pelik juga, kenapa ayah cakap kat sana pun ada gangguan. Lepas tu ayah kat cuba balik, macam ada sekatan jalan pulak.

Aku melangkah perlahan ke dapur kayu Opah, mencari bunyi tadi. “Tang!” bunyi tu seperti periuk yang diketuk di bahagian bawahnya. Aku mencari tempat Opah simpan periuk. Selalunya periuk-periuk Opah gantung kat tepi dapur kayu tu. Dengan dada yang berdebar-debar aku cuba intai ke arah periuk Opah.

Aku nampak benda yang aku nampak di tingkat atas rumah tadi, sedang bertinggung di atas dapur kayu Opah. Cuma kali ni saiznya agak kecil. Seperti seekor monyet.

Aku berundur. Laungan anjing kat luar sana bersahut-sahutan. Bulu roma aku meremang. Aku kembali kepada Opah. Opah masih duduk di kerusi.

“Opah, kat dapur kayu Opah, ada satu lagi sama macam yang kat atas sana,” kataku.

“Wani, buka pintu ni,” aku dengar suara yang amat aku kenali di luar pintu.

“Wani? Cepat buka pintu ni,” suara tu memanggil lagi. Aku dan Opah berpandangan.

“Opah, itu bukan suara Tok ke?” aku tanya Opah. Opah gelengkan kepala.

“Tok tok tok” sekali lagi pintu diketuk. Entahlah kenapa aku tiba-tiba rasa nak naik marah. Tak tahulah kenapa aku rasa macam sedang dipermainkan. Macam ada orang sedang nak mempersenda keluarga kami.

Aku terus bangun dan buka pintu. Aku jenguk keluar. Tiada sesiapa.

Aku tutup pintu semula. Tapi belum habis pintu tertutup, aku nampak seseorang berdiri di luar pintu. Aku amati orang itu. Dia sedang memandang aku. TOK MAJID!!!! Terbeliak mata aku. Aku takkan pernah lupa rupa tu.

Cepat-cepat aku tutup pintu. Kunci atas bawah. Aku teringat dulu Tok pernah ambil paku, Tok baca Al Fatihah dan 4 Qul, lepas tu Tok paku kat atas bingkai pintu. Aku pun buat la sama macam yang Tok buat. Ketung ketang aku memaku bingkai kayu pintu rumah Opah.

“Kamu buat apa tu Wani?” Aku dengar suara ayah dari luar pintu.

“Wani, buka pintu ni cepat,” aku dengar lagi suara ayah. Aku turun dari kerusi yang aku panjat untuk memaku bingkai pintu. Terus buka pintu. Ayah berdiri di muka pintu dengan wajah cuak. Ayah terus masuk ke dalam rumah dan terus kunci pintu. Aku nampak susuk tubuh Tok Majid tadi masih berdiri di sana.

“Ada benda ikut ayah balik,” kata ayah aku.

“Tok Majid?” aku tanya. Ayah pandang aku.

“Mana kamu tahu?” ayah aku tanya aku lagi.

“Tadi Wani nampak dia kat belakang ayah,” kataku.

Ayah tengok tangan aku yang masih pegang penukul. Lalu dia pandang ke arah paku yang tak sampai separuh lagi aku ketuk ke dalam bingkai pintu.

“Kamu buat apa ni?” ayah tanya aku.

“Wani buat macam yang Tok buat dulu. Lepas Tok paku pintu ni, benda tu semua tak boleh masuk dah. Kira macam kunci la ni,” sahutku.

“Iye ke?” kata ayah sambil mengerutkan dahinya. Aku tak menyahut. Ayah terus mendapatkan Opah yang masih duduk di kerusinya.

“Mak ok tak ni?” ayah tanya. Opah anggukkan kepala perlahan. Memang nampak kurang sikit cungap Opah.

“Ubat Opah kat mana?” ayah tanya aku.

“Dalam bilik Opah la,” aku sahut. Ayah terus berlari naik tangga, tolak pintu dan terus ke tingkat atas. Tak sempat aku panggil nak beritahu bahawa ada hantu raya kat atas rumah tu.

Seketika kemudian ayah datang semula membawa ubat Opah. Ayah bagi Opah makan ubat semput Opah. Aku jenguk ke tingkat atas, mencari-cari lembaga tadi.

“Ayah, tadi ayah naik atas, takde nampak apa-apa ke?” aku tanya.

“Takde apa pun. Kat luar tu je,” sahut ayah. Aku diam.

“Mak baring kat katil ni dulu ye. Banyak sangat benda mengacau ni. Mak rehat, jangan fikir sangat. Imam Razali sedang usahakan sesuatu. In Shaa Allah semua akan selesai. Rasanya kita tahu dah punca dari mana semua ni. Mak tenang je,” kata ayah sambil memapah Opah ke katil di tepi dinding. Memang kat situ ada satu katil bujang. Dulu Tok suka baring kat situ. Katanya baring kat tingkat bawah tu lebih sejuk. Sampailah Tok menghembuskan nafas terakhir, juga di atas katil tu.

Ayah menghampiri aku. “Kamu kata ada hantu raya dalam rumah ni? Kat mana?” Ayah tanya.

“Kat tingkat atas, dia ada di balik pintu,” sahutku sambil menunjukkan ke arah pintu tingkat atas. Ayah pandang ke tingkat atas dengan muka cuak.

“Tadi masa ayah naik atas, kenapa kamu tak cakap?” ayah tanya aku.

“Tak sempat nak cakap. Kalau Wani cakap, ayah nak naik juga ke?” aku tanya.

“Memang tak la,” sahut ayah. Aku diam.

“Tadi kat masjid, masa semua orang baca Yassin dan tahlil, jelmaan Tok duduk sekali dengan kami. Bertaburan orang kampung lari,” kata ayah berbisik kepada aku.

“Tapi ayah, kat sini Wani nampak jelmaan Tok Majid,” kataku.

“Ya, tadi Imam Razali cakap, benda tu milik seseorang tapi belum diturunkan sepenuhnya. Ianya menyerupai tuan asal iaitu Tok Majid tapi disebabkan dendam orang yang menjaganya, ia menyerupai Tok kamu untuk menimbulkan fitnah dan salah sangka orang kampung. Dia nak orang kampung buruk sangka kat Tok kamu,” kata ayah. Ooooo…. Aku mula faham sikit-sikit.

“Siapa yang jaga benda tu?” aku tanya.

“Orang yang keluarkan barang yang  Tok suruh tanam tu. Cuma sekarang ni, Imam Razali tak dapat sahkan siapa orangnya. Tapi ayah rasa, Imam Razali dah tahu, Cuma dia taknak kita berburuk sangka. Dia taknak kita pula berdendam,” kata ayah.

“Masa ayah balik ni pun, dia ikut belakang ayah. Dia duduk atas motor ayah. Macam-macam dah ayah baca, lintang pukang dah, lutut ayah dah menggeletar. Tapi ayah risaukan kamu dan Opah. Lagipun Imam Razali kata, dia tak boleh buat apa-apa selagi dirinya dan belaan tu tak bersatu.” Kata ayah.

“Sekarang ni nak buat macammana?” aku tanya.

“Dum!” sesuatu jatuh di atas bumbung rumah. Opah terus duduk. “Pergi duduk dengan Opah,” ayah suruh aku. Aku melangkah ke arah Opah, peluk Opah.

“Woi! Jangan ganggu kat sini. Jangan ganggu kami.” Ayah tiba-tiba menjerit sambil mendongak ke bumbung.

“Dum Dum Dum!” bunyi lompatan di bumbung makin kuat.

“Sreettttttttt” dan tiba-tiba bunyi sesuatu yang tajam dan keras sedang menyeret di dinding rumah. Bunyinya amat mengilukan sampai aku dan Opah tutup telinga. Masa ni aku betul-betul teringat kat Tok. Suasana yang sama 12 tahun yang lepas. Memang sama.

“Bagiiiiii baranggggg akuuuuuuuu,” masa ni aku dengar suara garau dari luar pintu. Huish, meremang weh. Suara memang dari dalam kerongkong tu. Memang lain macam bunyinya.

“Akuuu naaakkkkkk barangggg akuuuuuu,” suara tu berbunyi lagi. Tapi kali ni dari arah dapur kayu Opah. Ayah pandang ke arah dapur kayu tu. Masa ayah nak melangkah, aku tahan ayah. Aku beritahu kat ayah ada satu makhluk pelik sedang bertinggung di atas dapur kayu Opah. Ayah hentikan langkahnya. Dia pun muka dah cuak habis.

“Bagiiiiii baranggg akuuuuuuuu,” suara tu berbunyi lagi dan kali ini disertai dengan bunyi seretan kaki di bahagian dapur kayu Opah. Fuh! Memang seram weh masa tu. Rasa macam lambatnya hari nak siang. Lambatnya semua orang balik rumah. Rasanya kalau ramai dalam rumah tu, mungkin kurang sikit perasaan takut tu.

– Bersambung –

One thought on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s