AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 6

“Wani, kamu kat dalam ke?” aku dengar suara mak memanggil. Cepat-cepat aku berlari dan buka pintu bilik air. Mak tercegat di depan pintu, pandang aku tanpa berkelip. Aku terus keluar dari bilik air, dan pandang keliling.

“Kamu dah mandi ke belum?” Mak aku tanya.

“Belum,” sahutku tapi mata masih melilau melihat keliling, tercari-cari susuk tubuh yang aku nampak tadi dalam suasana yang makin gelap.

“Tak mandi lagi? Berapa lama dah kamu masuk bilik air ni? Tu kami cari apa pulak tu? Mandi la cepat. Mak nak pergi masjid ni. Sian Maksu kamu kat sana.” Mak aku membebel dah. Aku terus tarik tangan mak masuk ke dalam rumah. Kunci pintu dapur. Mak aku hanya memerhati dengan wajah pelik.

“Kamu ni dah kenapa? Macam nampak hantu,” Mak aku tegur.

“Wani mandi kat dalam bilik air dalam rumah je la,” kataku perlahan lalu terus masuk ke dalam bilik air sambil diperhatikan oleh mak.

Sebaik selesai mandi, aku terus solat maghrib. Seusai solat maghrib, mak aku terus meninggalkan aku dan opah di rumah. Membebel-bebel mak sebab dia dah lambat ke masjid untuk majlis tahlil Tok.

“Kamu ni dari dulu sampai sekarang dah besar panjang, masih tak berubah. Suka sangat buat mak dan ayah tu marah. Petang tadi kamu cakap kat mak, nak pergi ziarah kubur Tok je kan? Tapi dah dekat maghrib baru kamu balik. Kamu ke mana sebenarnya Wani?” Opah aku tanya perlahan, sambil pandang muka aku dengan penuh kasih sayang.

“Wani jumpa Hazirah dan kawan lain kat tepi warung Pak Samad tu je. Biasalah, dah lama tak jumpa, bila jumpa macam ni, banyak la cerita,” jawabku sambil meletakkan kepala aku di ribaan opah yang masih bertelekung.

“Opah ok?” aku tanya.

“Opah ok. Tok pun pergi dalam keadaan yang baik. Tak lama lagi, Opah pula,” kata Opah perlahan.

“Hish Opah ni, janganlah cakap macam tu,” kataku memuncungkan mulut. Aku tak suka Opah cakap macam tu.

“Setiap yang hidup, pasti akan mati. Itu dah tetap,” kata Opah.

“Iya, Wani pun tahu. Tapi sampai masa nanti, kita mati la. Tak semestinya Opah mati dulu, mana tahu Wani yang mati dulu. Jadi, tak payahlah cakap pasal mati ni,” kataku.

“Mengingati mati tu kan baik,” kata Opah. Aku diam, tapi mumcun aku sedepa.

“Tak payah nak buat muncung macam tu. Pergi ambil Yassin, kita baca sama-sama, sedeqah untuk Tok,: kata Opah mencuit pipi aku. Aku tak menyahut tapi aku akur. Aku bangun lalu membuka almari dalam bilik Opah. Kat situ memang Opah simpan Al Quran dan segala barangan bacaan agama.

Belum sempat aku duduk, ada orang ketuk pintu rumah. Aku pandang Opah.

“Siapa tu?” Opah tanya aku.

“Entah. Awal lagi ni, takkanlah diorang dah balik,” kataku perlahan.

“Pergilah kamu tengok,” kata Opah.

Aku pun tanpa fikir panjang, terus keluar dari bilik Opah dan terus ke pintu depan. Orang tu mengetuk tanpa henti. “Sekejap la, sabar boleh tak?” aku jerit dari dalam rumah. Dan bunyi ketukan berhenti.

“Siapa tu?” tanyaku sambil membuka selak pintu di bahagian bawah. Tiada sahutan. Masa ni aku rasa berdebar-debar. Tiba-tiba je bulu roma di belakang tengkuk aku naik.

“Siapa tu?” aku tanya lagi. Tiada sahutan tapi seseorang menolak pintu tu dari luar. Sebab aku dah buka selak pintu bahagian bawah, jadi pintu tu dah renggang sikit.

Cepat-cepat aku tolak semula pintu tu selak semula bahagian bawah pintu. “Siapa Wani?” Aku melompat terkejut bila tiba-tiba Opah muncul di belakang aku.

“Tak tahulah, Wani tanya siapa, tapi takde suara jawab. Sekejap Opah, Wani call ayah jap,” kataku sambil melangkah masuk bilik aku dan ambil telefon. Aku call ayah, tak berjawab. Call mak, pun tak jawab. Call Maksu, bunyi dari dalam rumah. Maksu tak bawa telefon. Aduhhh….

“Diorang tak jawab telefon la Opah,” kataku dengan muka cuak. Aku mula panik.

“Tok tok tok,” bunyi ketukan tu kembali tapi dari cermin tingkap di dapur. Aku melangkah perlahan ke pintu dapur. Rumah Opah dua tingkat, tapi bukan dua tingkat macam orang sekarang. Dua tingkat rumah kampung. Ruang tamu di bahagian hadapan berada di atas tiang, bermakna ruang tamu adalah rumah atas. Manakala dapur adalah rumah bawah di mana aku perlu turun tangga untuk ke bahagian dapur.

Dari atas tangga, aku nampak cermin tingkap terbuka dan tertutup sendiri. Aku dah nak nangis. Opah berdiri kat belakang aku.

“Allahu Akbar. Perkara yang paling Tok kamu bimbangkan dah terjadi,” kata Opah perlahan.

“Perkara apa Opah? Tok bimbangkan apa?” aku tanya Opah. Cermin tingkap dapur masih tertutup dan terbuka sendiri.

Opah melangkah ke arah tingkap tu. Opah tolak besi tingkap dan menguncinya. Lepas tu Opah ketuk cermin tingkat tiga kali. Cermin tingkat berhenti terbuka dan tertutup sendiri. Opah duduk di kerusi makan. Aku dah cuak, tapi Opah nampak tenang.

“Siapa Opah? Kenapa ni?” aku tanya.

“Ada orang dah keluarkan semula barang Tok Majid yang ditanam kat belakang rumah mereka tu,” akta Opah perlahan.

“Siapa keluarkan? Mana Opah tahu?” aku bertanya.

“Tok kamu yang cakap. Sebab Tok kamu jumpa jelmaan arwah selepas rumah tu dijual kepada orang lain. Dan masa tu Tok kamu tahu dah, ada orang dah ambil semula barang tu,” kata Opah.

“Siapa yang ambil?” aku tanya lagi.

“Semestinya orang yang tahu bahawa ianya ditanam di sana. Dan mesti orang yang tahu kelebihan bila menjaga benda tu,” kata Opah buatkan aku kerutkan dahi memikirkan siapa orangnya.

“Yang tahu cuma Tok, Opah, Wani, Tok Imam dan anak-anak Tok Majid la kan? Mana ada orang lain,” kataku kepada Opah. Opah diam.

“Hmmmm…..,” aku dengar satu suara garau. Bunyi tu macam dari atas bahagian atas rumah Opah. Aku dan Opah sama-sama memandang ke arah pintu di atas tangga yang menghala ke ruang tamu.

“Bunyi apa tu Opah?” aku tanya. Opah diam.

“Hmmmm….,” Dan bunyi tu makin kuat. Aku teringat senja tadi macam aku nak mandi kat bilik air luar, macam tu la bunyinya. Dan serta merta bulu roma aku meremang.

“Opah, senja tadi Wani dengar suara tu kat bilik air luar,” aku berbisik kat Opah.

“Dia memang nak kacau rumah ni, nak kacau keluarga ni,” kata Opah perlahan. Tapi Opah masih kelihatan tenang.

“Siapa?” aku tanya.

“Dia berdendam dengan keluarga kita sebab kisah ni terbongkar hingga keluarganya menjadi aib. Sebab kisah ni, keluarganya dibuang oleh orang kampung,” kata Opah masih memandang ke arah pintu atas.

“Dendam? Macammana orang kampung tahu pasal tu? Tiada siapa yang hebahkan pun,” kataku.

“Tak tahu siapa hebahkan. Tapi padanya, Tok kamu yang hebahkan sebab Tok kamu ada di situ pada hari kejadian,” kata Opah.

“Maksud Opah, anak-anak Tok Majid berdendam dengan Tok?” aku bertanya lagi nakkan kepastian. Opah tak jawab.

“Jadi, anak-anak Tok Majid yang keluarkan semula barang tu?” aku tanya lagi. Dan Opah tetap diam.

“Tapi kenapa orang kampung nampak jelmaan Tok? Bukan jelmaan Tok Majid?” aku tanya lagi.

“Dum dum dum,” aku dengar bunyi sesuatu melompat di ruangan atas rumah. Kuat bunyinya, seakan nak roboh ruang tamu Opah.

“Hmmmm….. “ Bunyi suara garau tu makin kuat, seakan ia bergerak ke pintu dapur. Bunyi seakan sesuatu yang berat sedang mengheret tubuhnya sendiri untuk bergerak.

“Opah, Wani takut,” kataku perlahan, rasa nak nangis dah.

“Jangan takut. Dia tak boleh buat apa-apa. Tok kamu dah rantai dia.” Kata Opah masih tenang.

“Kalau Tok dah rantai dia, macammana dia boleh terlepas? Kalaulah Tok ada sekarang ni….,” kataku perlahan dengan suara agak terketar-ketar.

“Kalau Tok kamu ada sekarang, dia pun tak boleh keluar,” kata Opah.

“Dum!” Daun pintu ke dapur tertutup kuat seakan ada orang menolaknya dari ruang tamu. Aku tak nampak sesiapa yang menolak daun pintu tu tapi aku dengar bunyi seperti ada sesuatu yang mengesot di lantai papan ruang atas.

“Cuba telefon ayah kamu lagi. Paksu kamu ke,” kata Opah. Suara Opah dah mula bergetar. Aku tahu Opah dah mula rasa takut.

Aku buka telefon aku semula. Belum sempat aku call ayah, nombor Maksu naik kat telefon aku. Aku kerutkan dahi. Tadi masa aku call Maksu, telefon Maksu berbunyi, maknanya Maksu tak bawah telefon. Tapi sekarang nombor Maksu sedang call aku.

“Kenapa tak jawab?” Opah tanya aku. Mata Opah tak lepas dari memandang pintu ke ruang atas.

“Maksu call,” kataku perlahan.

“Bukan dia tak bawa telefon ke?” Opah tanya aku semula.

“Haa. Tu la. Siapa pula yang call dari nombor Maksu ni?” aku bersuara perlahan.

“Sreeeetttt….. Sreeeetttttt…. Sreeetttttttt….” Kami dengar bunyi sesuatu menyeret di bahagian atas rumah sepertinya benda itu mengeliling bahagian atas rumah tu.

Panggilan telefon dari Maksu berbunyi lagi. Aku panik betul masa tu.

“Cuba jawab,” kata Opah.

“Wani takut Opah. Memang sah tadi telefon Maksu ada kat atas. Maksu tak bawa telefon dia,” kataku.

“Takpe, jawab dulu,” kata Opah.

Aku pun tolak butang hijau di telefon aku. Lalu letakkan di telinga.

“Hello,” aku bersuara. Tiada suara di sebelah sana. Hanya bunyi angin.

“Hello,” aku hello lagi.

“Hmmmm…..,” dengar je suara tu, aku terus campak telefon.

Opah ambil telefon tu dan letakkan di telinga. Opah tutup telefon aku. Masa ni cermin tingkap dapur kembali terbuka dan tertutup sendiri macam tadi.

Aku tengok Opah membaca sesuatu. “Pergilah, tiada siapa panggil kau. Jangan ganggu keluarga kami,” Opah seperti bercakap dengan sesuatu.

“Hmmmm….” Suara garau tu kembali berbunyi.

“Kreeeekkkkk,” Pintu di ruangan atas terbuka perlahan. Tapi tak buka banyak, hanya lebih kurang 5 inci. Dan suasana sunyi.

Masa ni aku beranikan diri jenguk ke arah pintu. Aku nampak sesuatu yang berwarna hitam, membelakang pintu yang terbuka sedikit.

“Opah, ada benda kat situ. Warna hitam dan besar,” kataku perlahan.

“Itulah dia hantu raya,” kata Opah dan mata aku terbeliak besar.

– Bersambung –

One thought on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s