AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 4

“Sebenarnya kan Maksu, senja tadi Wani ada nampak kelibat seseorang kat tepi bilik air luar. Wani nampak macam susuk tubuh tok, tapi Wani tak berani nak cakap kat sesiapa. Lagipun orang tu membelakangkan Wani. Jadi Wani tak berapa pasti samada itu adalah tok sama macam orang lain nampak,” kataku perlahan. Maksu pandang aku.

“Apa benda semua ni? Tok kamu tak pernah bela apa-apa yang mensyirikkan Allah. Tok kamu siak masjid selama 30 tahun. Mustahillah tok simpan benda-benda tu selama hidupnya.” Kata Maksu.

“Entahlah Maksu. Wani tak rasa ‘benda’ tu adalah Tok punya. Seseorang cuba nak fitnah arwah Tok ni. Seseorang yang ada dendam dengan tok selama ni. Dia tunggu tok meninggal dunia, baru dia boleh buat kacau,” kataku perlahan.

“Tok takde musuh,” Maksu menjawab.

“Maksu, janganlah naif sangat. Orang kalau hati hitam, orang tak buat apapun dengan dia, dia tetap nak berdendam dengan orang. Bencikan orang. Dengkikan orang lain.” Kataku perlahan.

Maksu diam. Pintu bilik terbuka perlahan membuatkan aku dan Maksu pandang ke arahnya. Ayah menjenguk.

“Ok dah ke?” Maksu tanya ayah.

“Dah senyap. Rasanya takde dah. Tidurlah. Kalau nampak atau dengar apa-apa yang pelik dari luar rumah, jangan buka pintu. Biar je sementara nak subuh ni,” kata ayah.

“Maksu tidur sini je la. Biar ayah dan Paksu tidur kat ruang tamu. Mak kamu ok ke? Senyap je,” kata Maksu. Aku pun baru teringat kat mak aku. Aku bangun.

“Nak ke mana tu?” Ayah aku tanya dari ruang tamu bila nampak aku keluar dari bilik.

“Nak tengok mak. Ok ke?” kataku. Ayah diam. Aku melangkah masuk ke bilik mak. Aku tengok mak lena di atas katil. Berselubung selimut dari kaki sampai kepala. Cuaca kampung agak sejuk. Sejuk kampung yang penuh dengan pokok semulajadi, tak sama dengan sejuk kita di dalam penghawa dingin. Sejuk kampung memang menusuk ke tulang.

Aku baring kat sebelah mak. Aku mengiring ke kanan, membelakangkan mak. Aku cuba untuk tidur. Jam dah tunjuk pukul 2 pagi tapi mata aku masih bulat menatap dinding dan atap zink rumah tok.

Baru je aku pejamkan mata, tak sempat lelap lagi, aku terasa katil bergerak dan berkeriut. Maklumlah katil lama. Aku menoleh ke arah mak. Mak duduk di sebelah aku di atas katil tu, memandang aku tanpa berkelip mata.

“Mak, kenapa? Tidurlah. Mak nak ke bilik air ke?” aku tanya. Mak tak menyahut. Hanya pandang aku.

Dan aku perasan ada sesuatu yang bergerak di belakang mak. Aku pandang dalam kegelapan.

“TOK !” aku jerit. Dan lepas tu aku tak sedar dah.

********************

Aku sedar bila terasa muka aku sejuk kena air. Aku terus bangun dan pandang keliling. Mak pandang aku sambil memegang mangkuk yang berisi air. Ayah dan Paksu pun ada sekali, semuanya memandang aku.

“Kamu dah kenapa?” Mak aku tanya. Aku masih pandang keliling dengan wajah penuh tandatanya.

“Mak, tadi Wani baring kat sini dengan mak. Lepas tu mak bangun dan Wani nampak tok berdiri kat belakang mak,” kataku.

“Mana ada mak baring sini? Mak belum masuk bilik lagi Wani. Mak baring kat bilik dapur. Terus terlelap sampai ayah kamu panggil mak katanya kamu pengsan. Patutlah mak tak sedar apa yang jadi, rupanya dia dah tidur kat bilik dapur.

Aku telan air liur. “Habis tu, Wani baring dengan siapa tadi? Dan Wani yakin Wani nampak Tok dalam bilik ni,” kataku bersungguh, sedih bila orang tak percaya cakap kita sedangkan kita betul-betul nampak apa yang kita cakap.

“Kamu berangan lagi ni.” Kata mak. Ayah tak cakap apapun. Tapi aku tahu ayah percayakan cakap aku.

“Dah, bangun pergi basuh kaki.” Mak suruh. Aku bangun dan terus ke dapur. Sebab aku dah terbiasa guna bilik air luar, aku terus buka pintu dapur untuk keluar rumah. Belum sempat aku buka pintu, ayah tolak semula daun pintu dan terus menguncinya. Masa tu aku macam baru tersedar dari lupa.

“Kan ayah dah cakap, jangan buka pintu atau tingkap ke luar. Pergi basuh kaki kat tempayan tok tu,” kata ayah. Aku menoleh ke tempayan yang tok selalu gunakan air di dalamnya kalau dah jauh malam.

Masa ni, aku jadi macam dejavu. Aku teringat kisah 12 tahun lepas. Masa jelmaan arwah Tok Majid mengganggu kami. Masa aku dan tok lari dalam gelap, aku jatuh entah berapa kali sebab terlanggar akar. Masa kat rumah aku buka pintu sebab Maksu suruh aku mandi. Sebaik buka pintu, jelmaan Tok Majid berdiri di muka pintu dapur. Tok yang tutup pintu dan suruh aku guna air dalam tempayan tu je.

Memang aku teringat dengan suasana tu. Dan kali ni terjadi sekali lagi. Hati aku berdebar-debar. Kisah Tok Majid kembali segar dalam minda aku.

Selepas basuh kaki, aku jenguk ke bilik opah, nak tengok kalau Maksu masih berjaga. Tapi Maksu dah tidur kat tepi opah.

“Kamu pergi tidur kat bilik ayah. Mak ada sana.” Kata ayah. Aku cuak dah.

“Wani tak berani la. Nanti buatnya yang kat dalam tu bukan mak? Ha, macammana?” kataku perlahan.

“Hish, takde apalah. Mak kamu tu,” kata ayah.

“Wani takut la ayah,” kataku. Ayah melangkah masuk ke dalam bilik mak, dan seketika kemudian, ayah keluar membawa toto dan bantal lalu dibentangkan di ruang tamu. Paksu dah lena di atas sofa.

“Tidur kat sini,” kata ayah.

“Ayah, Wani nak tanya sikit. Siapa yang tinggal kat rumah arwah Tok Majid tu?” aku tanya ayah.

“Entahlah, yang ayah tahu, orang yang beli rumah arwah tu, tinggal di KL. Memang tak balik sini. Rumah tu dia buat jadi homestay dan rumah persinggahan je kalau dia ada kerja di sini. Kenapa kamu tanya pasal rumah tu?” ayah aku tanya.

Aku gelengkan kepala dan terus baring di toto yang ayah bawa tadi. Sebab ada ayah dan Paksu di situ, aku terlena juga akhirnya. Lagipun mata aku memang dah berat sangat.

“Wani, bangun. Dah subuh dah,” aku dengar suara mak. Aku buka mata. Pandang keliling. Jam dah pukul 6.30 pagi.

“Bangun bangun. Pergi mandi, solat subuh. Waktu pun dah nak habis. Nanti ayah balik dari masjid, kamu masih terbongkang kat sini. Bising dia nanti,” bebel mak sambil membuka tingkap.

Aku tak cakap apa-apa. Aku bangun, lipat toto dan angkat bersama bantal lalu bawanya ke bilik. Maksu sedang goreng bihun di dapur. Aku jenguk bilik opah, opah masih berteleking dan sedang duduk di atas sejadah sambil mengaji Al-Quran.

Sesudah solat, aku kembali ke dapur. Ayah dan Paksu dah balik dari masjid. Mak, maksu, opah, ayah dan Paksu sedang duduk makan di dapur. Ketika aku sampai, mak ke tepi sikit, nak bagi tempat untuk aku duduk. “Duduk sini, meh makan sekali,” kata mak. Aku akur.

“Ayah dah tanya Tok Imam ke pasal semalam?” aku bertanya.

“Shhh…” maksu cuit tangan aku. Dia jeling dan buat isyarat diam. Mulutnya disengetkan ke arah opah. Aku angkat dagu, isyarat ‘kenapa?’ Maksu letak jari telunjuknya ke bibir membalas dengan isyarat diam.

Mak aku pandang aku dan Maksu silih berganti. Aku terus diam. Aku rasa Maksu taknak berbual perkara yang terjadi semalam di depan opah. Maksu taknak opah sedih lagi.

Lepas sarapan, aku melangkah ke luar rumah. Mata aku terus memandang ke rumah Tok Majid.

“Nak ke mana tu?” ayah aku bertanya.

“Takde ke mana ayah. Nak ronda-ronda kawasan ni je,” kataku.

“Jangan nak pergi rumah sebelah tu.” ayah bagi amaran, dia macam dah tahu aku nak ke rumah arwah Tok Majid. Aku anggukkan kepala je.

Aku buat-buat tengok pokok-pokok kat tepi rumah opah. Tapi mata aku melilau melihat rumah besar arwah Tok Majid yang kini dah jadi homestay. Tingkap pintu semua bertutup. Nampak sunyi je walaupun persekitarannya bersih terjaga.

Aku langkah ke depan sikit, sambil sesekali aku menoleh melihat-lihat kalau ayah sedang memerhati aku. Mula-mula memang langkah sikit, tapi bila aku pasti tiada orang yang sedang melihat aku, aku tak sedar aku dah berada di bahagian bawah rumah arwah Tok Majid. Aku perhati keliling.

Tak banyak berubah dari bentuk asal. Cuma beberapa papan telah diganti baru. Cat pun dah baru, warna lain dah. Rumah arwah Tok Majid dulu adalah antara rumah yang tercantik dalam kampung ni.

Sedang aku memerhati keliling, aku dengar bunyi derap kaki orang di atas rumah Tok Majid. Aku membatukan diri seketika. Dan tingkap rumah Tok Majid terbuka. Aku nampak seorang lelaki berdiri di tingkap yang terbuka, dah pandang aku dari jauh. Aku cuba amati lelaki itu, macam aku pernah tengok. Yang pasti buka Tok Majid.

“Nak apa ke sini?” lelaki tu tanya aku.

“Takde apa. Saja jalan-jalan tengok rumah ni cantik sangat.” Kataku berdalih.

“Kamu cucu Siak Hassan kan?” Lelaki tu tanya aku.

“Haah,” sahutku spontan.

“Aku dengar tok kau meninggal dunia semalam?” lelaki tu tanya aku lagi. Dan aku pun masih mengangguk.

“Eloklah, senang sikit aku nak buat kerja,” ucap lelaki itu perlahan.

“Apa abang cakap?” aku tanya. Aku dengar jelas apa yang dia cakap tapi aku nak kepastian. Sebab nada sinis tu buatkan aku tertanya-tanya.

“Wani, balik!” tiba-tiba ayah muncul dengan muka bengisnya. Aku tak jawab apa-apa, terus melangkah balik ke rumah opah. Ayah mengikuti langkah aku sambil membebel.

“Ayah dah cakap kan? Jangan pergi ke rumah tu? Kenapa pergi juga? Wani dah besar, sepatutnya faham apa yang ayah cakap. Wani buka budak 12 tahun lagi. Sekarang Wani dah 24 tahun. Kenapa degil sangat? Tak serik dengan apa yang dah jadi dulu?” bebel aku aku dari belakang.

Aku diam je, tak berani nak jawab apa-apa. Orang dah buat salah, kan? Sampai kat rumah, aku terus ke dapur. Nampak Maksu sedang sidai kain.

“Kamu ke mana? Kenapa ayah aku macam marah je tu?” Maksu tanya.

“Wani pergi rumah arwah Tok Majid,” sahutku. Maksu berhenti menyidai kain. Bulat matanya pandang aku.

“Maksu yang tinggal kat sebelah rumah dia ni pun tak pernah jenguk rumah tu sejak arwah meninggal. Kamu yang baru balik sehari berani merayau sampai sana?” kata Maksu, masih jegilkan mata kat aku.

“Kenapa tak boleh pulak? Rumah tu cantik, Wani nak pergi tengok je,” kataku.

“Tok kamu pun melarang Maksu pergi ke rumah tu. Tak kira apa jadi, janganlah pergi ke rumah tu, tok kata,” kata Maksu kembali menyidai kain.

“Kenapa?” Maksu tanya.

“Benda yang anak arwah tanam kat belakang rumah tu, ada orang ambil,” sampuk Paksu tiba-tiba dari arah tepi rumah. Masa ni giliran aku terbeliakkan mata pula.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s