AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 3

“Tok Imam, tadi saya pun nampak arwah. Kat belakang rumah. Dia berdiri di tepi bangsal kereta.” Mak Yam menyampuk. Pak Teh mencuit tangan Mak Yam, bagi isyarat jangan menyampuk. Tapi Mak Yam tak peduli.

Tok Imam Razali diam. Dia memerhati semua yang berada di situ.

“Tak mungkin Siak Hassan membela kot,” ada satu suara mencelah.

“Hish kau ni. Cuba jaga sikit mulut tu.” sahut satu lagi suara.

“Tok Imam, bukan ke selalunya orang kata, kalau orang membela hantu raya ni, lepas dia mati, kalau tak dipindah kepada tuan baru, hantu raya tu akan merayau cari tuan baru. Tapi muka dia akan sama dengan tuan lama dia. Kan Tok Imam?” Rudin, salah seorang anak muda kampung tu bersuara.

Aku pandang opah. Aku nampak opah dah mula nak tersedu sedan.

“Kau cakap apa ni? Kau kenal tak siapa Siak Hassan tu? Kau kenal ke tak? Cakap jangan sebarang cakap ye. Ayah aku tu,” aku dengar suara ayah aku dengan nada yang agak tegas dari satu meja. Ayah masih duduk di situ tanpa mengangkat wajahnya memandang sesiapa di situ.

“Korang ni kalau takde benda baik nak cakap, lebih baik diam. Kalau rasa tak selesa kat sini, korang boleh balik. Tak payah duduk sini kalau nak cakap benda bukan-bukan,” sahut Paksu dah mula berdiri sambil memegang kerusi.

Suasana sunyi seketika.

“Sudah. Majlis pun dah selesai. Kamu semua balik ke rumah masing-masing. Hari pun dah nak jauh malam ni. Tuan rumah pun dah penat,” kata Tok Imam Razali perlahan.

Semua yang berada di situ akur. Masing-masing bergerak meninggalkan perkarangan rumah opah. Ayah masih duduk di mejanya tadi, tak bergerak. Paksu pun masih berdiri di tepi khemah. Tok Imam merapati ayah dan Paksu. Maksu menghampiri opah, ajak opah masuk ke dalam rumah. Mak memang dari tadi sibuk di dapur.

“Wani, aku balik dulu. Esok kita jumpa. Kau jangan susah hati, ok. Semua ni akan berlalu. Tok kau orang baik, jangan risau,” kata Hazirah sambil melangkah pergi bersama Zayana. Aku hanya memandang.

“Dah, jangan ambil hati. Budak-budak muda tu, diorang memang macam tu. Bercakap tak fikir. Mereka takde niat nak sakitkan hati kamu sekeluarga. Mereka sekadar bertanya di atas apa yang mereka selalu dengar. Bukannya selalu perkara macam ni jadi kat kampung ni. Jadi, bila terjadi macam ni, mereka jadi excited nak tahu. Kau sabar ye,” kata Tok Imam sambil tepuk bahu Paksu.

“Saya ok Tok Imam. Saya kenal ayah mertua saya. Dah lama saya tinggal bersamanya. Dari tak tahu solat, sampai sekarang saya boleh imamkan Jemaah lain. Dari tak tahu baca Al-Quran, sampai sekarang saya dah faham maksud bacaan. Semua dia yang ajar,” kata Paksu perlahan.

“Sebab tu jangan ambil hati dengan kata-kata mereka. Kita pun tak tahu apa yang mereka nampak sebenarnya. Mungkin syaitan nak mengelirukan manusia melalui fitnahnya. Kita buat apa yang kita patut buat, selebihnya serah kepada Allah. Dia Maha Mengetahui,” kata Tok Imam Razali. Paksu hanya anggukkan kepala. Paksu merapati ayah, tepuk belakang ayah.

Pak Teh menghampiri ayah, Paksu dan Tok Imam Razali. “Saya minta maaf sangat atas kata-kata Mak Yam tadi. Dia tu kadang-kadang keliru juga dengan apa yang dia lihat. Selalu kena marah dengan saya pasal benda ni,” kata Pak Teh.

“Takde apalah Pak Teh. Saya tak marah siapapun. Cuma rasa macam ada yang tak kena je,” kata ayah sambil bangun dan tepuk bahu Pak Teh pula. Aku memerhatikan je dari tingkap. Kat kepala aku ada satu perkara je, aku rasa apa yang aku nampak dari senja tadi adalah orang yang sama yang mereka nampak malam ni. Memang aku pun nampak macam susuk tubuh Tok. Tapi mustahillah kan, Tok dah meninggal dunia.

“Takpe, esok kita solat Jemaah subuh kat masjid. Jangan tak datang pula. Malam esok kita buat tahlil di masjid pula.” Kata Tok Imam Razali sambil melangkah meninggalkan perkarangan rumah opah.

“Baik Tok Imam,” Pak Teh dan Paksu menyahut serentak.

Setelah selesai menyusun kerusi dan meja, ayah masuk ke dalam rumah. Tinggallah Pak Teh dan Paksu yang masih membuang sampah-sampah yang bertaburan. Aku masih kat beranda, tolong kemas apa yang patut di situ. Maksu dan opah dah masuk ke dalam rumah.

“Weh, Man, apa benda tu?” aku dengar Pak Teh cakap perlahan. Aku angkat kepala memandang ke arah Pak Teh dan Paksu. Paksu berhenti mengikat plastik sampah. Mereka berdua memandang ke arah yang sedang ditunjukkan oleh Pak Teh, termasuk aku pun ikut sekali memandang.

Aku nampak ada susuk tubuh berpakaian serba putih sedang berdiri di atas salah satu dahan besar di atas pokok kat depan rumah opah. Aku cuba amati. Rasanya dah terang-terang la bukan manusia yang berdiri di sana pada waktu macam ni. Jam dah pukul 11 malam kot.

“Nampak macam orang tu. Tapi siapa? Kenapa dia macam tu? Berdiri di atas dahan?” aku dengar Paksu bercakap kat Pak Teh. Pak Teh hanya anggukkan kepala.

Paksu melangkah perlahan-lahan keluar dari halaman rumah opah. Pak Teh cuba menahannya tapi Paksu tetap melangkah.

“Man, biarkan je la. Jom kita masuk rumah. Esok je kita sembang dengan Tok Imam. Biar je, dia tak kacau kita,” kata Pak Teh. Paksu tak peduli, dia tetap melangkah ke arah pokok besar tu. Pak Teh tak ikut langkah Paksu. Dia berhenti di hujung tanah opah.

Lebih kurang 5 minit Paksu berdiri di bawah pokok dan memerhati susuk tubuh yang berada di atas pokok tu. Lepas tu Paksu melangkah laju kembali ke rumah opah. Dia terus masuk ke dalam rumah, tinggalkan Pak Teh yang masih berdiri di halaman.

“Wani, masuk.” Paksu menyuruh aku masuk bila aku masih memerhati keluar rumah. Pak Teh pun ikut masuk ke dalam rumahnya.

Paksu kunci pintu rumah. Opah dan Maksu sedang duduk di kerusi rotan di ruang tamu. Opah masih dengan telekung dan ditangannya ada Al-Quran. Muka Paksu lain macam.

“Kenapa bang? Dah kemas semua kat luar?” Maksu tanya. Paksu tak jawab tapi menuruni anak tanggan turun ke dapur. Aku dengar Paksu kunci semua tingkap dan pintu.

“Kenapa Paksu kamu tu?” Maksu tanya aku. Aku angkat bahu. Aku pun taknak menjawab bagi pihak Paksu. Tapi yang pasti, aku pun nampak apa yang Paksu nampak. Cuma aku nampak dari jauh je.

“Jangan buka pintu dan tingkap sampai subuh esok. Malam ni kita tidur. Esok kita selesaikan apa yang tak selesai malam ni,” kata Paksu.

Ayah keluar dari bilik. Dah tukar baju. Tadi pakai baju melayu, sekarang dah pakai baju pagoda je. “Kenapa Man?” Ayah tanya.

Paksu merapati ayah, lalu membisikkan sesuatu ke telinga ayah. Wajah ayah berubah. Wajah Paksu serius. “Kat mana?” aku dengar bisikan ayah, perlahan sekali. Dan sekali lagi Paksu berbisik.

“Wani, kamu tidur dengan opah. Jangan keluar rumah. Nak ke bilik air, guna bilik air dalam rumah je. Tak payah keluar,” kata ayah kepada aku. Dia tahu aku memang jarang nak guna bilik air dalam rumah. Aku suka guna bilik air luar rumah, tak kisahlah siang atau malam.

Aku ajak opah masuk bilik. Mak aku memang dah tak kelihatan. Dan tidur agaknya. Mak sibuk buat kerja sejak asar tadi. Mesti mak kepenatan. Maksu pun masuk ke biliknya. Tinggal ayah dan Paksu je kat ruang tamu. Sengaja aku biar pintu bilik opah terbuka sedikit. Sebab aku nak perhatikan gerak geri Paksu dan ayah aku kat luar.

“Kau yakin ke itu dia?” aku dengar ayah aku tanya Paksu.

“Aku yakin jelmaan tu menyerupai arwah ayah. Tapi aku lebih yakin kita sedang dipermainkan oleh seseorang atau sesuatu,” sahut Paksu.

“Maksud kau?” ayah aku tanya.

“Ada seseorang sedang cuba nak burukkan ayah,” kata Paksu.

“Ayah takde musuh, kenapa pula dia nak burukkan ayah?” ayah aku tanya.

“DUM!” tiba-tiba sesuatu jatuh di atas bumbung zink rumah opah.

“DUM! DUM! DUM!” bunyi tu berulang berkali-kali seakan ada sesuatu yang melompat di atas bumbung.

“Apa tu?” opah tanya aku.

“Entahlah opah, macam ada benda jatuh kat atas bumbung,” sahutku. Opah pegang tangan aku.

Bunyi di atas bumbung berhenti. Seketika kemudian, terdengar bunyi ketukan di pintu depan rumah opah. Mula-mula bunyinya perlahan, tapi lama kelamaan makin kuat. Aku pegang tangan opah. Aku dapat rasakan tangan opah menggeletar.

“Opah, takde apa. Opah tenang. Nanti opah sesak nafas macam haritu. Paksu dan ayah ada kat ruang tamu, nanti diorang akan buat sesuatu. Opah baring, tutup telinga,” kataku sambil peluk opah.

“Tok tok tok!” Tingkap bilik opah diketuk dari luar. Aku dan opah sama-sama melompat terkejut.

Dan tingkap bilik opah terbuka sendiri. Aku dah mula panik. Opah makin menggeletar.

Aku cuba panggil ayah. Tapi suara aku tak boleh keluar. Aku pandang ke arah tingkap yang terbuka. Aku nampak seseorang berdiri di situ sambil memandang ke arah aku dan opah. Aku gosok mata berkali-kali. Aku peluk opah. Aku tutup mata opah. Aku taknak opah tengok.

Aku nampak Tok berdiri di tingkap yang terbuka. Tok pandang aku. Tajam pandangannya. Kaki aku kaku. Ya Allah, aku nampak Tok aku yang dah meninggal dunia siang tadi, sedang memandang aku tanpa berkelip mata melalui tingkap. Salakan anjing dari dekat dan jauh terus membuatkan kaki aku melekat di lantai.

Tiba-tiba ayah masuk ke dalam bilik dan terus tutup tingkap yang terbuka. “Ayah, Tok,” kataku perlahan sambil menunjukkan ke arah tingkap.

“Tok? Mana?” opah mengangkat mukanya yang dari tadi aku tutup dengan tangan aku. Ayah bagi isyarat kat aku suruh diam.

“Mana Tok kamu? Mana?” Opah tanya aku. Matanya melilau memandang keliling.

“Bukan, Wani bukan cakap Tok. Wani kata sejadah tok. Tu kan sejadah tok yang tergantung kat tepi tingkap tu,” sahutku spontan.

“Jaga opah. Jangan keluar,” kata ayah lalu meninggalkan aku dan opah di dalam bilik. Suasana dah kembali sunyi. Cuma salakan anjing masih belum berhenti. Malah semakin galak saling menyahut.

Aku ajak opah baring di katil. Aku baring kat tepi opah. Aku nampak wajah muram opah. Opah masih sedih. Tambahan dengan apa yang terjadi malam tadi. Aku gosok bahu opah perlahan-lahan. Opah perlu tidur.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Aku menoleh melihat. Maksu melangkah tergesa-gesa menghampiri katil yang aku dan opah sedang baring. Wajahnya nampak cuak.

Maksu merapati aku. “Kenapa Maksu?” aku tanya perlahan. Aku buat isyarat suruh Maksu jangan bising. Sebab opah baru je terlena.

“Maksu nampak Tok kamu kat dapur. Dia duduk di meja makan. Di kerusi yang Tok kamu selalu duduk tu,” kata Maksu perlahan, suaranya agak terketar-ketar. Masa ni meremang bulu roma aku.

“Perasaan Maksu je tu kot,” kataku cuba menenangkan hati Maksu, atau mungkin nak tenangkan hati aku sendiri.

“Maksu tahu apa yang Maksu nampak.” Sahut Maksu. Aku diam.

– Bersambung –

One thought on “AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s