AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 2

Roslan dan Zayana berdiri kat belakang aku dengan wajah muram. “Sabar ye Wani,” kata Zayana. Sekeras-keras aku, tapi bila orang pujuk suruh aku sabar dengan keadaan yang memang meruntun jiwa, aku memang kalah. Air mata yang aku tahan dari jenazah Tok aku disemadikan, sampailah talkin habis dibacakan, kini berderaian jatuh. Aku lap dengan tangan baju kurung. Zayana peluk aku dari belakang. Roslan bertinggung di hadapan aku, sama-sama mengadap kubur Tok.

“Lama kau tak balik. Tiba-tiba balik dah jadi macam ni. Kau dah habis exam ke?” Roslan tanya aku.

“Aku baru je habis exam. Memang nak balik sini tapi aku kena selesaikan hal university dulu. Sebab ini kan semester akhir aku dah. Kena klearkan semua barang,” sahutku, dengan suara agak tebal. Masih serak akibat menangis.

“Minggu lepas aku ada jumpa dengan Tok kau ni, kat warung Pak Ajis. Elok je sihat lagi macam selalu. Dia belanja aku minum. Katanya tak dapat belanja cucu, dia belanja kawan cucunya,” kata Roslan lagi. Aku diam, menahan tangis.

Sejak kejadian 12 tahun lepas, hubungan kami tak putus. Tok pun selalu ingat kejadian zaman kanak-kanak kami. Kadang-kadang Tok perli mengusik aku dan kawan-kawan aku yang terlibat.

Lebih kurang setengah jam kami di situ, azan asar berkumandang dari surau bersebelahan dengan Kawasan perkuburan. Aku, Zayana dan Roslan meninggalkan Kawasan perkuburan.

“Tok, esok Wani datang lagi ye. Malam ni Tok tidur di rumah baru. Rumah yang lebih abadi. Moga Tok gembira berada di sisi Pencipta. Nanti kita jumpa, di alam satu lagi,” bisikku perlahan.

“Malam ni datang rumah opah aku. Ada buat tahlil sikit,” pelawaku.

“In Shaa Allah, lepas maghrib?” Zayana tanya.

“Haah, ajak kawan-kawan kita sekali. Hazirah, Aiman, Haikal dan Irfan. Aku tak sempat kot nak cari diorang. Malam nanti kita jumpa kat rumah opah aku,” kataku perlahan.

“Irfan takde. Dia kan sambung belajar kat Mesir. Yang lain tu In Shaa Allah ada. Nanti kami jemput mereka datang sekali malam ni.” Kata Zayana dan kami berpecah bila sampai simpang empat kat kedai Pakcik Amin.

Aku merapati opah. Opah duduk di atas sejadah, sambil membaca Al-Quran. Aku baring di atas riba opah. Opah usap kepala aku tapi terus membaca Al-Quran. Opah nampak tenang.

“Dah solat Asar?” opah tanya aku. Aku geleng kepala. “Baru balik dari kubur,” sahutku perlahan.

“Pergi solat dulu. Lepas tu baca Al-Quran dengan opah. Niat sedeqah untuk Tok. Tok dah tak boleh baca Al-Quran macam dulu. Masa untuk Tok baca Al-Quran dah tamat. Kita bacakan untuk Tok ye,” kata opah.

Aku tak menyahut. Tekak aku sakit semula, seakan tercekik benda keras. Aku tahan air mata. Aku bangun dan terus masuk ke bilik air. Mandi dan terus solat asar. Aku nampak orang ramai di rumah jiran Tok yang tak jauh dari rumah Tok. Mereka sedang memasak untuk majlis tahlil malam nanti. Memang di kampung macam tu. Bila ada kematian, jiran tetangga akan memasak dan uruskan semua termasuk kos dan tenaga, untuk buat majlis tahlil di rumah arwah. Kalau tuan rumah taknak buat majlis di rumahnya, majlis tersebut akan dibuat di masjid.

Sebaik azan maghrib berkumandang, aku berhenti membaca Al-Quran. Aku solat berjemaah dengan Paksu sebagai imam. Selesai solat, ketika kami menjenguk keluar rumah, di bawah khemah dah terhidang juadah ringkas untuk majlis tahlil. Di beranda rumah, telah tersedia tempat untuk orang kampung membacakan Yassin untuk Tok. Segalanya dah tersedia.

Seorang demi seorang hadir ke rumah Tok. Lima belas minit, penuh dah beranda rumah Tok. Masing-masing bersedia membacakan surah Yassin untuk dihadiahkan kepada Tok. Ini malam pertama Tok di alam barzakh. Moga Allah pelihara Tok sebaiknya sebagaimana Tok menjaga dirinya sebagai seorang muslim semasa di dunia.

Ketika bacaan Yassin sedang dibaca oleh lebih kurang tiga puluh orang kampung, tiba-tiba keadaan jadi kelam kabut seketika bila terdengar suara Mak Yam menjerit dari arah dapurnya. Mak Yam ialah jiran rumah Tok yang menguruskan majlis tahlil malam tu. Semua mata tertumpu ke arah dapur Mak Yam.

“Kenapa Yam?” Suami Mak Yam, Pak Teh bertanya dari beranda.

“Ada orang kat dapur,” Mak Yam menyahut dengan suara terketar-ketar.

“Memang la ada orang. Dah buat kenduri kan,” kata Pak Teh lagi.

Mak Yam tak menyahut. Dia menggamit Pak Teh untuk menghampirinya.

“Boleh teruskan bacaan ya. Saya beredar sekejap,” kata Pak Teh kepada hadirin yang lain. Dan bacaan Yassin diteruskan.

Aku yang berada di dalam rumah, memerhati melalui tingkap yang terbuka. Aku nampak Mak Yam tarik tangan Pak Teh ke arah dapur rumah mereka. Rumah kampung ni, lot tanahnya agak besar. Jadi, dapur Mak Yam tu agak jauh juga dari rumah aku. Bukan macam lot tanah sekarang, macam hampir nak bertembung setiap sebiji rumah.

Aku cuma perhatikan Mak Yam dan Pak Teh walaupun keadaan agak gelap. Tapi aku nampak Mak Yam seperti menunjukkan ke arah sesuatu dan bercerita dengan wajah seperti ketakutan.

“Apa hal tu Wani?” Hazirah tanya aku sambil turut sama memanjangkan leher memerhati Mak Yam dan Pak Teh.

“Aku tak tahu. Tapi aku rasa tak sedap hati. Macam ada sesuatu,” sahutku.

“Kau rasa macammana? Ada pencuri ke?” Zayana tanya aku.

“Bukan. Macam sesuatu yang pelik. Susah nak explain,” sahutku. Aku rasa dada aku berdebar.

Tadi, masa aku nak ambil wudhu untuk solat maghrib, aku nampak sesuatu kat belakang dinding bilik air. Aku memang suka guna bilik air kat luar yang selang lebih kurang sepuluh langkah dari rumah Tok. Kat dalam rumah pun ada bilik air, Paksu buatkan. Tapi aku suka guna bilik air lama, yang Tok dan opah guna waktu dulu, waktu aku tinggal dengan Tok.

Masa aku nak masuk bilik air tu, aku nampak sesuatu yang bergerak di tepi dinding bilik air. Aku jenguk. Aku nampak seseorang berdiri membelakangkan aku. “Siapa tu?” aku panggil.

Susuk tubuh tu bergerak terus ke belakang bilik air. Aku cuba nak ikut tapi mak aku tiba-tiba panggil aku. “Cepat ambil wudhu tu Wani. Solat maghrib. Jangan nanti kelam kabut pulak bila orang kampung dah datang nak baca Yassin.” Sekejap je aku menoleh kat mak. Bila aku toleh semula ke arah susuk tubuh tadi, dia dah tiada di situ.

Aku pelik. Siapa tu. Entahlah kenapa aku rasa macam susuk tubuh tu pernah aku lihat. Macam Tok pun ada. Tapi Tok kan dah meninggal dunia. Aku tengok sendiri Tok dikebumikan.

Aku tak ceritakan kepada sesiapa sebab takut nanti orang buruk sangka. Aku pun fikir mungkin aku salah tengok. Tapi sejujurnya hati aku tak tenang sejak itu. Aku asyik teringatkan susuk tubuh tu. Sampailah malam ni, bila Mak Yam menjerit. Entah kenapa aku rasa macam Mak Yam terserempak dengan orang yang aku nampak senja tadi.

“Wani, tolong ambil jag air yang mak guna untuk jirus kubur Tok tadi. Mak letak di atas meja dapur. Nanti tolong isi air, jangan penuh sangat. Nanti susah nak bawa. Kata mak aku, menjenguk dari arah beranda.

Aku letak surah Yassin di atas meja dan melangkah ke dapur rumah Tok. Aku ambil jag air di atas meja dan menadah air di sinki. Sementara tunggu jag penuh, aku jenguk ke luar melalui tingkap yang terletak di atas sinki. Pemandangan dari tingkap tu memang terus ke bilik air kat luar rumah Tok.

Dalam samar-samar malam, yang hanya disuluh oleh cahaya bulan penuh, aku nampak kelibat tubuh seseorang. Kedudukannya sama seperti masa aku tengok waktu maghrib tadi. Aku tutup paip air. Aku betul-betul nak tahu siapa orang tu. Dari maghrib tadi dia berdiri di sana seakan memerhati keluarga kami.

Aku melangkah keluar melalui pintu dapur. Aku berjalan perlahan-lahan ke arah kelibat orang tu. Orang tu pun seakan menanti aku menghampirinya. Tapi makin aku hampir kepadanya, dia bergerak makin ke belakang.

“Kamu buat apa tu Wani? Mana jag air yang mak minta tu? Orang dah nak habis baca Yassin dah,” mak aku panggil dari tingkap dapur. Aku menoleh kat mak aku. Aku tepuk dahi. Aku pun dah lupa dengan kerja aku. Aku terus berlari masuk semula ke dalam rumah.

“Mak, Wani rasa ada orang kat belakang bilik air tu. Dari senja tadi dia macam memerhati rumah Tok ni. Sekarang pun dia ada kat situ,” aku bisik perlahan.

“Siapa?” Mak aku tanya.

“Tak tahu. Tapi Wani yakin ada seseorang kat situ. Dan dua kali Wani nampak dia,” kataku lagi sambil mata aku melilau mencari-cari susuk tubuh tadi.

“Nantilah kita tengok. Sekarang kita selesaikan majlis tahlil Tok ni dulu,” kata mak aku sambil melangkah ke beranda semula membawa jag air yang aku dah isi tadi. Aku ikut langkah mak aku. Aku duduk semula bersama Zayana dan Hazirah.

“Kau ke mana?” Hazirah tanya aku. Aku hanya gelengkan kepala. Tapi hati aku memang tak senang.

Selepas tamat bacaan Al-Quran dan doa untuk arwah Tok, semua hadirin menikmati makan malam yang ringkas, disediakan oleh Mak Yam dan beberapa orang kampung. Aku melangkah ke rumah Mak Yam. Aku panjangkan leher, mencari Mak Yam. Sebaik aku nampak Mak Yam, aku terus berlari mendapatkannya.

“Mak Yam, kenapa tadi Mak Yam jerit?” aku berbisik. Mak Yam pandang aku sambil kerutkan dahi.

“Takde apalah. Mak Yam nampak tikus,” sahut Mak Yam tak pandang aku pun.

“Iye ke? Atau Mak Yam ada nampak orang kat belakang tu?” kataku lagi. Dan kali ni Mak Yam pandang aku dengan tepat.

“Kamu ada nampak orang ke?” Mak Yam tanya aku.

“Iya, sejak dari maghrib, saya nampak seseorang di tepi bilik air. Tapi saya tak nampak rupa dia,” sahutku.

“Ahh, perasaan kamu je kot. Mak Yam tadi pun rasanya salah pandang je. Pak Teh dah pergi tengok tempat yang Mak Yam cakap, memang takde apa,” sahut Mak Yam sambil terus melangkah tinggalkan aku yang masih tercari-cari jawapan.

Aku kembali ke ruang makan. Hazirah, Zayana, Aiman, Haikal dan Roslan sedang makan di meja paling hujung. Aku pun join mereka. Aku tak lalu nak makan. Cuma duduk berbual dengan mereka. Tanya keadaan mereka sekarang.

Hazirah dan Haikal dan jadi cikgu sekarang. Aiman masih ada lagi satu semester untuk dihabiskan sebelum jadi seorang arkitek. Irfan sambung pengajian perubatan di Mesir. Balik Malaysia nanti jadi doktorlah dia. Tak sangka, kawan-kawan kampung aku yang dulunya nakal, degil dan selalu kena rotan tu, kini dah jadi manusia berpendidikan.

“Tok! Tok! Kami nampak… Kami nampak…,” sedang kami leka berbual, ada dua orang lelaki berlari dari arah jalan terus menghala ke khemah.

“Kamu nampak apa?” Tok Imam Razali yang masih berada di khemah rumah Tok menegur mereka.

“Kami nampak arwah. Kami nampak arwah berdiri di bawah pokok besar tepi tali air sana. Dia berdiri kat sana.” Kata Mali dengan tercungap-cungap.

“Hish kamu ni. Jangan cakap benda bukan-bukan. Nanti jatuh fitnah,” kata Tok Imam Razali.

“Ya Tok. Saya sumpah. Kami nampak arwah Tok Siak. Kami sumpah, itu memang dia,” sahut Zahar yang bersama-sama dengan Mali tadi.

Semua orang yang masih berada di situ berpandangan sesama sendiri.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s