AKU TAKKAN DEGIL LAGI 2.0

Bab 1

“Assalamualaikum Wani. Ni mak ni,” aku dengar suara mak aku dari corong telefon.

“Waalaikumussalam mak. Ya mak. Mak sihat?” aku menjawab salam mak dan bertanyakan khabar mak.

Aku rasa kali terakhir aku telefon mak aku ialah sebulan yang lepas, sebelum aku mula buat assignment dan terus masuk minggu study dan exam last semester.

“Alhamdulillah, mak sihat. Kami ok ke? Macammana exam?” Mak aku tanya.

“Wani sihat mak. Minta maaf sangat sebab dah lama tak call mak. Wani sibuk dengan assignment dan minggu study,” sahutku perlahan.

“Takpe, mak faham. Inipun mak call sebab mak ingat hari ni paper last kan?” mak aku tanya aku lagi.

“Iye mak. Ni pun baru keluar dari dewan peperiksaan. Habis dah paper Wani. Mak doakan Wani lulus cemerlang ya. Kalau Wani lulus, tamat dah pengajian Wani. Lepas ni boleh cari kerja dah,” kataku perlahan.

“Mak sentiasa doakan Wani,” mak aku jawab.

“Ayah sihat mak?” aku tanya mak.

“Ayah sihat,” mak aku jawab tapi suaranya agak perlahan.

“Ayah mana mak? Wani nak cakap dengan ayah kejap,” kataku perlahan.

“Sebenarnya, mak dan ayah sekarang kat kampung ayah,” mak aku jawab semakin perlahan.

“Kenapa ni mak?” aku tanya balik, hati aku mula rasa berdebar-debar.

“Wani tenang ye. Semua yang terjadi adalah di atas izin Allah. Dan perancangan Allah adalah yang terbaik buat hamba-Nya,” mak aku bercakap macam tu, lagilah aku rasa macam nak terbang balik kampung masa tu juga.

“Kenapa ni mak? Cakaplah,” aku dah tak sabar.

“Tok kamu meninggal dunia lepas solat subuh pagi tadi,” kata mak aku.

“Apa dia mak?” aku tanya lagi, kuat suara aku. Rosnita dan Zaharah yang sedang minum kat tepi aku terus pandang aku dengan dahi berkedut.

“Tok kamu meninggal dunia,” mak aku ulang.

Aku terdiam.

“Wani?” Mak aku panggil nama aku.

Aku tarik nafas, panjang sekali. Dan aku hembus perlahan-lahan.

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun,” aku ucap dengan nada perlahan, sangat perlahan. Dada aku mula berombak, nafas aku makin sesak.

“Bila nak kebumi?” aku tanya mak aku, nada suara dah tak tentu hala.

“Nak kebumi lepas solat Jumaat, in shaa allah,” mak aku menyahut. Aku pandang jam tangan, pukul 12 tengahari.

“Sempat tak Wani balik?” aku tanya lagi, tutur kata masih tersusun dan tenang, walau nada suara dah tenggelam timbul.

“Ayah cakap tak perlulah kamu kelam kabut nak balik. Nanti jadi apa-apa pulak kat jalan,” kata mak.

“Sempat tak Wani balik mak?” aku tanya mak aku lagi. Kali ni tekak aku makin sakit, suara aku makin sukar nak dilepaskan.

“Sempat tu memang la sempat. Tapi nanti kamu kelam kabut pula bawak kereta,” kata mak aku lagi.

“Ok mak, Wani bergerak sekarang. Kalau ada rezeki Wani, Wani nak tengok wajah Tok buat kali terakhir,” sahutku dan terus letak telefon.

“Weh Wani, kenapa ni? Siapa meninggal?” Zaharah tanya aku bila tengok muka aku dah merah padam menahan air mata dari jatuh ke pipi.

“Atuk aku,” sahutku perlahan. Kali ni air mata dah tak mampu bertakung, ia mengalir laju.

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Bila?” Rosnita dan Zaharah bertanya serentak.

“Pagi tadi, lepas solat subuh,” sahutku.

“Kau nak balik ke?” Rosnita tanya.

“Ya, aku nak gerak sekarang. Korang tolong uruskan barangan aku boleh tak? Lepas pengebumian, aku datang ambil barang-barang aku. Tolong lapor kat Puan Halimah sekali ye. Jenazah tok aku nak dikebumikan lepas solat Jumaat. Sempat aku balik ni,” sahutku.

“Kau jangan risau. Aku kemas barang kau. Aku inform Pn Halimah. Kau pergilah. Drive elok-elok, jangan ikut hati sedih. Yang pergi tetap pergi, itu aturan Allah. Kau tu jaga diri,” kata Rosnita.

Rosnita ni rakan sebilik aku di universiti ni. Lima tahun aku bersama dia, bilik sama, kuliah sama, jurusan sama. Semua sama. Walaupun hanya lima tahun, tapi kami rapat macam adik-beradik. Kebetulan aku anak bongsu yang tak membesar dengan kakak dan abang aku.

Sebaik aku kembali tinggal dengan mak ayah aku dulu, kakak aku dah masuk universiti, abang aku pulak tinggal kat asrama. Habis asrama, aku pula masuk asrama. Kiranya aku dengan kakak dan abang aku, kami memang tak banyak masa bersama.

Aku dari umur 7 tahun sampai 12 tahun hidup dengan tok dan opah. Dah umur 13 baru nak kenal adik beradik, tapi pun diorang dah tinggal di tempat lain.

Aku terus capai sehelai dua baju, masukkan dalam beg. Ambil kunci kereta Viva yang ayah hadiahkan kat aku masa aku dapat anugerah dekan ketika semester kedua dulu. Lama kereta tu berkhidmat dengan aku.

Aku terus memandu, perjalanan ke kampung Tok aku ambil masa dua jam je. Bukannya jauh sangat.

Mujur jalan tak sesak sebab hari Jumaat, semua orang bekerja dan bersekolah. Tak sampai dua jam aku sampai dah rumah Tok.

Masa aku sampai rumah Tok, jam menghampiri pukul 2. Penduduk kampung pun masih berjalan balik dari masjid, sesusah solat Jumaat. Sesampainya aku di rumah Tok, disambut oleh mak. “Cepatnya kamu sampai?” mak aku pun terkejut. Ayah aku pandang semacam je. Dia tahu aku bawa kereta macammana. Macam pelesit katanya.

Aku membesar di kampung. Hidup aku bukannya bergelumang dengan kotaraya. Aku bukannya gadis feminine yang lemah lembut. Dulu pokok rambutan siapa yang aku tak panjat? Jatuh pokok entah berapa kali. Sungai mana aku tak redah? Masa Hassan lemas pun, aku yang terjun sungai selamatkan dia. Orang kampung Tok tu, memang kenal sangat dengan aku. Cucu Tok Siak, gadis kampung yang degil dan lasak.

“Jom masuk. Tengok arwah Tok buat kali terakhir,” mak aku tarik tangan aku perlahan. Aku langkah anak tangga rumah Tok perlahan-lahan walaupun kaki aku menggeletar.

Di tengah rumah, sekujur tubuh yang telah siap dikafankan, terbaring kaku di tengah ruang tamu. Aku melangkah perlahan. Air mata aku bergenang lagi di kelopak mata. Tak habis lagi air mata aku tumpah. Dalam kereta tadi, entah berapa banyak dah aku menangis. Muka aku dah bengkak.

Mak pegang tangan aku.

“Pergi cium Tok. Jangan nangis. Tok pergi dengan aman,” kata mak aku.

Aku melangkah perlahan dan duduk di tepi kepala jenazah. Aku buka kain putih yang menutup wajah Tok.

Aku tak dapat tahan air mata. Aku pandang ke arah lain. Aku kesat air mata.

Aku pandang semula ke arah jenazah Tok.

Wajahnya tenang, seakan sedang tidur. Tak nampak pucat, tiada cacat cela. Cuma kedutan kulit. Usia Tok dah 98 tahun. Tapi Tok tiada sebarang penyakit. Tok sihat masuk keluar kebuh getah. Walaupun ayah aku dah larang Tok kutip getah sekerap. Tapi Tok buat juga.

Maksu peluk aku. Maksu cakap, Tok meninggal dunia ketika sujud. Selalunya Tok akan berjemaah di masjid. Tapi haritu Tok kata nak solat di rumah, nak imamkan opah, Maksu, Paksu dan tiga anak mereka. Maksu memang tinggal dengan Tok walaupun lepas berkahwin. Sebab anak-anak yang lain tinggal jauh. Maksu bertugas sebagai guru, mengajar di sekolah dalam kampung tu juga. Anak-anak Maksu pun bersekolah di tempat Maksu mengajar. Jadi tak susah untuk mereka tinggal bersama Tok.

Maksu kata, masa sujud terakhir, Tok tak bangun. Hampir lima belas minit, mereka tunggu. Sampailah Paksu ambil alih tempat imam, lalu habiskan solat jemaah mereka.

Selesai solat, Tok masih bersujud. Mereka panggil Tok tapi Tok tak menyahut. Hanya opah yang diam kaku di atas sejadahnya.

“Ayah kamu dah takde,” Opah cakap perlahan walaupun opah tak sentuh Tok. Opah seakan tahu bahawa Tok dah pergi mengadap Ilahi dalam sujudnya.

Aku tutup kembali wajah jenazah Tok. Baru aku teringatkan opah. Aku pandang keliling. Opah duduk di tepi dinding, tenang membaca Al Quran.

Aku bangun dan melangkah merapati opah. Aku pegang tangan opah yang dan berkedut sama macam tangan Tok yang aku pegang tiga bulan yang lalu. Aku cium tangan opah. Aku cium pipi tua opah.

Tiga bulan aku tak jenguk Tok dan Opah. Aku memang ingat, sebaik habis exam semester last ni, aku nak balik duduk dengan Tok dan Opah seminggu dua. Lepas dapat result baru nak cari kerja. Tapi mana tahu, rezeki aku tiada untuk lihat Tok. Aku hanya mampu berjumpa dengan jenazah Tok yang dah kaku.

Tiada lagi bebelan Tok. Walaupun aku dah besar, Tok masih selalu bebelkan aku. Ada je yang Tok tegur aku, walaupun aku dah besar panjang. Sampai kadang-kadang opah marah Tok. Opah kata aku dah besar, tak perlu nak bebel-bebel lagi. Opah kata takut nanti aku dah taknak balik kampung.

Tapi pada aku, sebab nak dengar Tok membebel la aku rindu nak balik kampung. Pantang ada cuti semester, aku mesti balik kampung. Mak dan ayah aku tak bagi aku bekerja masa cuti semester. Jadi, kat kampunglah aku lepak sampai habis cuti semester.

Cuma semester akhir ni aku agak sibuk. Maklumlah banyak assignment nak kena siapkan. Nak buat intern lagi. Aku takde masa untuk diri sendiri pun. Apatah lagi nak balik kampung.

“Tok dah takde,” Opah bercakap perlahan. Aku terus peluk Opah. Tiada kata yang dapat aku luahkan. Tekak aku sakit, rasa tersekat. Dada aku sesak, tambahan bila opah cakap macam tu. Tapi wajah opah tenang, suaranya tak bergetar sikit pun.

Proses pengebumian jenazah Tok berjalan lancar. Walaupun tengahari, cuaca redup je. Masa talkin dibacakan, hujan turun renyai-renyai seakan turut sama sedih dengan pemergian Tok. Sungguhpun hujan renyai, tiada siapa berganjak dari pusara Tok. Masing-masing masih teguh di tepi kubur Tok sampai selesai talkin dibaca oleh Iman Razali.

Selesai urusan pengebumian, semua yang berada di situ, mula bergerak pulang ke rumah masing-masing. Masa tu dah menghampiri pukul 4 petang. Mak dan ayah pun dah gulung tikar. Aku masih duduk di tepi pusara Tok.

“Wani, jom balik,” Opah pegang bahu aku.

“Opah balik dulu dengan mak dan ayah. Wani nak duduk di sini sekejap, temankan Tok,” sahutku tanpa pandang semua yang berada di situ.

“Biarlah dia.” Aku dengar suara Maksu. Dan aku dengar derap kaki mereka meninggalkan aku di tepi kubur Tok.

“Tok, Wani minta maaf sebab dah lama tak jenguk Tok. Wani tak sangka pertemuan kita lepas tiga bulan macam ni. Wani tahu tok pergi dengan aman. Tok adalah insan terpilih untuk masuk syurga Allah. Wani takkan lupakan semua nasihat Tok. Wani tahu, dalam marah, Tok selalu doakan Wani. Wani sayang Tok. Moga kita jumpa lagi di syurga nanti, ye Tok,” kataku perlahan. Aku tahan air mata supaya tak jatuh ke tanah.

Tiba-tiba aku rasa seperti bahu aku dicuit dari arah belakang. Aku angkat kepala. Pandang ke arah belakang aku.

– Bersambung –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s