AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 12 (AKHIR)

Aku jenguk keluar. Tiada sesiapa. Aku tutup semula pintu. Angin dari luar sejuk malam ni. Anjing pun melolong-lolong buatkan suasana jadi seram.

“Mak, adik takut,” adik aku merengek kat mak aku.

“Takde apalah. Kamu pergi masuk bilik, kunci pintu. Solat isya’ lepas tu tidur,” kata mak aku. Adik aku taknak berenggang dengan mak aku. Dia masih kekal di tepi mak aku.

“Ada sesiapa ke kat luar tu Alin?” Mak aku tanya.

“Takde siapa pun,” sahutku.

Tak sampai lima minit suasana tenang, aku dengar bunyi pokok besar di tepi jalan depan rumah mak aku digoncang kuat dan diselangi dengan bunyi hilaian yang panjang. Aku melangkah ke arah tingkap lalu membukanya. Aku jenguk ke arah pokok besar tersebut. Pokok itu kelihatan bergoyang kuat seakan ada yang menggoncangnya dari atas pokok.

“Ada apa Alin?” mak aku tanya.

“Pokok besar tu bergoncang. Macam ada yang menggoyangnya dari atas pokok,” sahutku masih memerhati pokok besar itu. Sebab aku nampak macam ada sesuatu yang bergayut dari dahan ke dahan di atas pokok besar tu. Aku tak rasa itu monyet sebab aku nampak macam manusia yang memakai pakaian serba putih dan rambutnya mengerbang.

Aku ceritakan rupa tu kepada mak aku. “Tutup tingkap tu. Itu langsuir. Jangan pandang dia dah. Kalau dia tahu kamu nampak dia, nanti dia datang. Dia boleh masuk melalui angin ke dalam rumah ni,” kata mak aku. Aku pun cepat-cepat tutup tingkap tu.

Macam-macam bunyi kat luar rumah. Bunyi mengilai, bunyi mengerang kesakitan, bunyi ketawa, bunyi cakaran, bunyi benda melompat, bunyi bayi menangis. Adik aku pun nak menangis sama. Muka mak aku cuak habis.

Aku tengok jam dah pukul 9.15 malam. “Mana ayah mak? Selalunya masa ni balik dah,” kataku.

“Tu la, lambat pula ayah kamu balik malam ni,” kata mak.

“Ayah bawa telefon dia tak?” aku tanya.

“Ayah kamu tak pernah bawa telefon kalau ke masjid,” kata mak aku lagi.

Aku duduk di sofa. Dinding rumah mak aku diketuk dan dicakar dari luar. Aku pun dah macam buntu. Tiba-tiba aku rasa ada sesuatu menitik di atas atas tangan aku. Rasa melekit macam air gula, aku cium busuk ya amat.

“Apa tu?” Mak aku tanya.

“Entah, cecair busuk. Datang dari mana ni?” aku berpusing-pusing di situ untuk mencari cecair itu dari mana.

“Heeeeee…. Heeeeeee…. Heeeeee….,” aku dengar bunyi tu dari atas siling rumah mak aku. Masa ni bulu roma aku meremang.

“Mak dengar tak bunyi tu?” aku tanya mak aku.

“Bunyi apa?” mak aku tanya.

“Bunyi dari atas siling,” sahutku. Mak dan adik aku diam, cuba fokus dengan bunyi yang aku cakap tu.

“Takde apapun,” mak aku jawab. Maknanya aku je yang dengar.

Perlahan-lahan aku dongakkan kepala memandang ke siling rumah mak. Aku nampak sesuatu. Aku nampak keluang besar yang berada di dalam almari Zaiton tempoh hari. Keluang itu sama saiz dengan ayah aku kot. Dia melekap di siling rumah mak aku dengan bahagian hadapan badannya dihadapkan ke bawah, iaitu ke arah aku. Mulutnya merah seperti diselaputi darah.

“Ya Allah,” ucapku.

“Ada apa Alin?” Mak aku tanya bila dia dengar aku ucap macam tu sambil pandang ke atas siling.

“Mak, bawa adik masuk bilik,” kataku.

“Kau nak buat apa?” mak aku tanya.

“Benda ni memang cari Alin mak. Walaupun Alin tak tahu dari mana datangnya, tapi Alin perlu halau dia pergi.” Sahutku. Entah dari mana datangnya keberanian untuk aku berdepan dengan makhluk tu.

“Alin, kamu jangan buat apa-apa. Tunggu ayah balik. Mak taknak kamu sesat kat alam lain lagi,” kata mak aku dengan wajah risau.

“Tok tok tok!” pintu rumah mak aku diketuk orang. Aku dan mak berpandangan sesama sendiri.

“Tok tok tok!” bunyi ketukan makin kuat.

“Tok tok tok!” ia berbunyi lagi.

Aku melangkah ke cermin tepi pintu. Aku intai dari situ, aku nampak seseorang berdiri di luar pintu. Berkerut dahi aku. Nampak macam seorang perempuan. Tapi tak jelas. Aku teringat mak aku cakap pasal langsuir. Tadi dia nampak aku kot. Sebab tu dia datang cari aku. Tapi takkanlah langsuir pandai ketuk pintu. Bukan ke mak aku kata dia boleh masuk melalui angin je.

“Tok tok tok!” ketukan itu berbunyi lagi.

“Mak, Alin nak buka pintu ni,” aku berbisik kepada mak aku. Mak aku bagi isyarat jangan. Tapi aku degil, aku buka pintu.

Seorang perempuan berdiri di luar pintu. Semua bunyi bising tadi berhenti serta merta. Perempuan tu membelakangkan aku. Dia tunduk ke lantai.

“Assalamualaikum,” aku bagi salam.

“Huh!” aku dengar bunyi tu dari perempuan kat luar pintu rumah mak aku.

“Cik cari siapa?” aku beranikan diri bertanya walaupun aku rasa tak sedap hati.

Tiada sahutan.

“Siapa cik ni?” aku tanya lagi.

“Alin, ni aku la,” terbeliak mata aku bila perempuan tu memusingkan badan dan pandang aku dengan senyuman. Rashida!

“Shi… Shi… Shida?” menggeletar aku nak sebut nama dia.

“Ya, ni aku la, Rashida,” sahutnya. Dia hulurkan tangan, nak salam dengan aku tapi aku tak sambut.

“Kat sini rupanya rumah kau. Boleh aku masuk?” kata Rashida, melilau matanya memandang ke dalam rumah aku.

“Siapa Alin?” mak aku tanya. Aku tak jawab, masih memandang Rashida. Aku yakin itu bukan dia, walaupun dia betul-betul nampak seperti Rashida. Rashida tengah koma kat hospital kot, takkanlah dia boleh berada di sini pada waktu-waktu macam ni. Lagipun tak nampak kereta atau apa-apa kenderaan berhenti kat depan rumah aku. Dia naik apa?

“Kau taknak ajak aku masuk ke Alin? Ini kali pertama aku sampai rumah kau.” Kata Rashida. Aku hanya memerhati.

“Kau datang dengan siapa?” aku beranikan diri bertanya.

“Aku terbang, hihihiiiii,” sahutnya. Meremang bulu roma aku melihat matanya berpusing-pusing hitam putih hitam putih.

“Kau cari apa?” aku tanya lagi.

“Cari sedara aku. Dia ada kat dalam ni, katanya dia dah sampai,” kata Rashida lagi.

“Kenapa pula sedara kau nak datang ke rumah aku, dia nak apa?” aku tanya makin berani.

“Sebab kau ambil barang dia,” kata Rashida sambil tersenyum. Matanya meleret memandang aku dan melilau memandang dalam rumah. Aku jeling pada keluang besar yang masih melekat di siling. Itu ke sedara dia?

Tanpa diundang, Rashida melangkah masuk ke dalam rumah mak aku. Mak aku pandang aku. Aku pun tak pasti samada mak aku nampak Rashida atau tak. Aku menjeling ke luar. Ya Allah, banyak makhluk berada di halaman rumah mak aku. Semua makhluk yang aku nampak di rumah nenek Rashida, ada di situ. Semuanya seperti sedang berkumpul.

“Kau cari apa sebenarnya?” aku terus tanya.

“Barang aku,” Rashida menjawab.

“Barang apa?” aku tanya lagi.

“Kau tahu barang apa,” sahutnya.

Rashida petik jarinya ke arah keluang besar yang melekat di atas siling. Keluang tu tak semena-mena terbang keluar rumah dan berdiri bersama-sama makhluk lain di halaman rumah.

“Alin?” Mak aku panggil aku. Aku rasa mak aku tak nampak Rashida dan makhluk lain tu.

Aku bagi isyarat, suruh mak bawa adik aku masuk bilik. Mak aku akur, dia bawa adik aku masuk bilik.

“Kami boleh masuk bilik juga tau,” kata Rashida, seakan mengugut.

“Kau nak apa sebenarnya? Aku tahu kau bukan Rashida kawan aku.” Aku tanya lagi.

Rashida pandang aku. “Aku Rashida. Tengok ke dalam mata aku, aku Rashida,” katanya dengar rengusan kasar.

“Kalau kau cari arca tu, benda tu tiada kat sini. Aku dah bagi kat Ustaz Fariz,” terus aku jawab.

“Grrrrr…… Hssssss……” aku dengar bunyi rengusan anjing liar dan bunyi desis ular keluar dari mulut Rashida.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba kedengaran suara ayah aku bagi salam dari luar rumah. Aku menoleh ke pintu. Ayah aku masuk ke dalam rumah seakan tiada apa yang berlaku.

“Kau dah kenapa berdiri kat situ dengan muka macam nampak hantu tu?” ayah aku tanya aku.

“Ayah, Ustaz Fariz mana?” aku tanya.

“Kat rumah dia la kot. Tadi dia tiada di masjid.” Sahut ayah aku.

“Ayah, panggil Ustaz Fariz datang sini,” kataku.

“Dia kata pagi esok dia datang. Malam ni dia ada kerja,” kata ayah aku.

“Tak ayah, suruh dia datang sini sekarang juga,” kataku agak kuat.

“Kamu dah kenapa ni?” ayah aku tanya lagi.

“Aku nak barang aku,” Rashida bersuara, kali ni suara dia lain macam sikit. Bukan suara Rashida yang sebenar.

“Siapa tu?” ayah aku tanya aku. Aku pandang ayah aku, “Ayah dengar?” aku tanya.

“Macam ada suara orang tapi tak jelas dia cakap apa,” kata ayah aku sambil memandang keliling mencari bunyi tu.

Rashida angkat tangannya menghala ke luar rumah. Keluang besar tadi terbang dan terkam ayah aku. Ayah aku terduduk dan terhenyak ke dinding tak boleh bangun.

“Ayah!” aku jerit.

“Bagi barang aku,” kata jelmaan Rashida.

“Aku dah bagi kat Ustaz Fariz,” kataku.

“Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar” aku dengar suara lelaki melaungkan azan di halaman rumah. Semua makhluk tadi bertaburan lari seperti menyelamatnya diri dari kebakaran lagaknya. Tak sangka dunia jin pun macam dunia manusia juga. Pandai lari bila rasa takut.

Aku nampak Ustaz Fariz berdiri di halaman rumah, dengan tumit kakinya terbenam sedikit ke dalam tanah. Dia pejamkan mata, dan berpeluk tubuh di situ. Aku pula rasa lega bila nampak Ustaz Fariz.

“Barang kau telah aku musnahkan. Kau bawalah pasukan kau pergi. Jangan ganggu alam ini lagi. Tiada yang menginginkan kamu. Pergilah ke tempat kamu yang selayaknya,” kata Ustaz Fariz.

“Aku mahu barang aku,” kata jelmaan Rashida tu lagi.

“Telah aku musnahkan dengan kalimah Allah. Di sini bukan tempatmu. Dah berpuluh tahun kau menghambakan manusia. Pergilah. Manusia yang mengutip kamu telah mati. Pergilah bersamanya,” kata Ustaz Fariz.

“Tidak, aku warisnya. Aku akan bersama keturunannya hingga kiamat. Itu janji aku,” kata jelmaan Rashida.

“Kau berjanji dengan ‘ibu’ yang mengutipmu. Bukan berjanji dengan waris ‘ibu’mu. Pergilah, kau tak punya banyak masa. Apabila terbit mentari di ufuk timur, seluruh bangsamu akan terbakar. Kau takkan terlepas. Pergilah selagi kau ada masa.” Kata Ustaz Fariz.

“isk… isk… isk….” Jelmaan Rashida tunduk seakan menangis. Lalu semua makhluk lain di luar turut menangis.

“Pergilah. Bawa tenteramu bersamamu. Pergilah. Lepaskan apa yang kau genggam sebab itu bukan milikmu,” kata Ustaz Fariz.

Rashida angkat mukanya tiba-tiba dah pandang aku. Mukanya tak seperti tadi, kelihatan telah terbakar. Menggeletar aku lihat wajahnya. Keluang besar yang menghempap ayah aku tadi terbang ke belakang Rashida. Ayah aku bangun sambil menggosok-gosok bahunya. Mulut ayah pun berdarah.

Ustaz Fariz bagi isyarat kat ayah suruh dia kekal duduk di situ. Ayah akur, dia pandang aku.

“A’uuzubillahiminasyaitonirrojim. Bismillahirrohmaanirrohim. Qul A’uzubirabbil falaq. Minn sharrimaa qolaq. Wamin sharrigho siqin izaa waqab. Wamin syarrinnaffaasaa tifil ‘uqad. Wamin sharrihaa sidin izaa hasad.”

“A’uuzubillahiminasyaitonirrojim. Bismillahirrohmaanirrohim. Qul A’uzubirabbinnas. Malikinnas. Ilaahinnass. Minn sharril waswaasil qonnas. Allazi yuwaswisufii sudu rinnas. Minal jinnatiwannaass,”

Jelas semua sebutan Ustaz Fariz. Jelmaan Rashida menekup telinganya. Dia seakan terapung-apung dan keluar dari dalam rumah mak aku. Aku nampak semua ni. Macam drama tapi itulah yang aku nampak. Benda ni memang wujud. Tapi kepada sesiapa yang tak nampak, memang takkan percaya.

“Laa Hau Lawalaa quwwata illaa billah, Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan izin Allah semata-mata. Walau kau hidup di alam manusia puluhan malah ratusan dan ribuan tahun, kau tetap makhluk Allah dari alam satu lagi. Kau tetap tak boleh mengatasi kekuatan Allah. Pergilah sementara kau ada masa. Pergilah,” kuat suara Ustaz Fariz melawan suara angin yang kencang dan lolongan anjing yang seakan kesedihan.

Aku bangun dan jenguk ke luar rumah. Semua makhluk lain dah hilang, termasuk keluang besar. Tinggal jelmaan Rashida je. Dia pandang aku dengan wajah sedih. Dia menangis. Ada suara tangisan bergema di halaman rumah mak aku.

“Alin, aku pergi. Aku tak diperlukan lagi.” Rashida cakap kat aku. Aku pandang dia dengan wajah keliru.

“Jangan terpedaya. Itu tipu helah syaitan. Jangan pandang matanya,” aku dengar Ustaz Fariz bersuara. Aku terus tunduk.

Ustaz Fariz hentakkan kakinya ke tanah, mulutnya membacakan ruqyah. Rashida menjerit kuat. Dia panggil nama aku berkali-kali. Aku tutup telinga. Aku menangis. Rashida sedang menjerit dan menangis kesakitan di depan aku, tapi aku tak mampu buat apa-apa.

Entah dari mana datangnya api, Rashida terbakar! Suasana terus sunyi. Malam terus gelap. Ustaz Fariz bantu ayah bangun. Aku terduduk di kerusi.

“Dah selesai ke ustaz?” ayah aku tanya.

“Alhamdulillah, dah selesai. Tapi barang tu perlu dihanyutkan di air lalu tanpa halangan,” kata Ustaz Fariz.

“Ustaz, tadi tu Rashida ke?” aku tanya.

Ustaz Fariz menghela nafas panjang.

“Esok kamu akan tahu. Saya perlu balik segera, untuk menghanyutkan kesemua barangan ni sebelum matahari terbit.” Kata Ustaz Fariz. Aku diam. Kenapa kena tunggu esok? Kalau betul itu Rashida, Ustaz Fariz sepatutnya dah tahu.

“Takpe, ustaz selesaikan semuanya dulu. Esok kita perjelaskan apa yang berlaku,” kata ayah sambil menekan bahunya dengan muka menyeringai menahan sakit. Aku merapati ayah.

“Tuam bahu ayah kamu dengan ais, supaya kurang rasa sakit dan kurang bengkak dan lebam. Dua tiga hari juga kesan sakit tu nanti. Lepas tu In Shaa Allah ok,” kata Ustaz Fariz. Aku hanya anggukkan kepala. Banyak yang aku nak tanya tapi nanti ayah aku bising. Takpe, esok aku pergi jumpa Ustaz Fariz, aku nak tanya semua kisah ni. Termasuk siapa Ustaz Fariz dan ayahnya Haji Alias.

Selepas Ustaz Fariz pergi, aku tutup pintu. Aku tengok jam dinding dah pukul 12 tengah malam. Dah tengah malam rupanya. Aku rasa macam sekejap je semua tadi terjadi. Aku panggil mak aku. Adik aku dah terlena dalam ketakutan. Mak aku dengan muka penuh kerisauan, menghampiri ayah aku.

“Kenapa ni bang?” mak aku tanya.

“Entah, macam ada yang mencampak dan henyak aku ke dinding. Ada benda yang kita tak nampak,” kata ayah. Mak pandang aku. Aku diam dan terus masuk bilik.

Lama aku termenung di bilik. Aku ambil telefon aku. Ada 13 missed call. Dari Maklong Rashida. Ada message juga. Aku buka message.

Pukul 9 malam, ‘Alin, Rashida hilang. Dia tiada di mana-mana kat hospital ni,’

Pukul 11 malam, ‘Alin, Rashida dah dijumpai. Dia pengsan di bawah pokok besar depan hospital. Ada saksi nampak dia terjun bangunan hospital.’

Aku terus call Maklong. “Maklong, macammana dengan Rashida?” aku tanya.

“Dia masih di dalam bilik pembedahan. Doktor kata harapan tipis. Kepalanya mengalami pendarahan,”  kata Maklong.

“Yaa Allah. Shida… Kenapa dengan kau?” aku letak telefon, menangis semahu-mahunya. Dan entah pukul berapa aku terlena.

Aku sedar bila telefon aku berdering. Sempat aku toleh jam dinding, dah pukul 5.30 pagi. Maklong call aku. Cepat-cepat aku angkat telefon.

“Alin, Rashida dah takde. Dia dah meninggal dunia,” kata Maklong. Aku tak mampu bersuara. Tiada ayat yang mampu aku ucapkan selain Innalillaahi Wainna Ilaihirojiun,” Air mata aku mengalir laju lagi. Dah bengkak mata aku.

Pintu bilik terbuka. Mak aku berdiri di muka pintu.

“Mak, Rashida dah takde. Dia dah meninggal dunia,” aku beritahu mak aku, dengan esakan yang tak boleh berhenti.

Mak aku peluk aku, ikut sama menangis. “Bersiaplah, solat subuh. Sarapan. Kita pergi ziarah dia,” kata mak aku.

Aku akur, dengan lemah longlai, tanpa sepatah kata, aku ikut mak dan ayah aku ke rumah Maklong, tempat jenazah Rashida akan disemadikan. Tak ramai orang di rumah Maklong. Ketibaan kami disambut pilu oleh Maklong. Maklong peluk aku.

“Macammana dia boleh terjun bangunan tu Maklong? Kan dia sedang koma, terbaring kat katil,” aku tanya.

“Wallahu ‘alam. Maklong tak rasa dia terjun sendiri. Ada seseorang atau sesuatu yang menggerakkannya untuk terjun,” kata Maklong.

Aku diam, teringat kisah semalam, hati aku berdetik. Adakah Rashida yang memegang kunci ketua kepada semua makhluk tu? Rashida yang mewarisi semuanya? Takkanlah, Rashida tak tahu menahu pasal ni semua. Dia dah balik ke semenanjung sejak kecil lagi.

Jenazah Rashida dikebumikan sebelum zohor. Kerana keadaan tubuhnya yang seakan hampir terlerai. Dengan bau yang amat hanyir, sampai bau bunga dan daun pandan pun hilang. Maka, mereka yang menguruskan jenazah mempercepatkan semua proses pengebumian supaya tak timbul sebarang fitnah.

Satu perkara yang buat aku terkilan, kalaulah ayah bawa aku jumpa Rashida sebelum balik ke rumah dari kolej haritu, dapat aku jumpa dia buat kali terakhir. Apakan daya, semua dah tertulis.

Keesokan harinya, aku ajak ayah aku jumpa Ustaz Fariz. Aku nak tanya dia semua. Tapi ayah kata, Ustaz Fariz dah balik kampung. “Kat mana kampung Ustaz Fariz?” aku tanya.

“Sabah,” sahut ayah.

“Betul ke ayah dia Haji Alias?” aku tanya lagi.

“Iyelah, itu yang dia cakap,” kata ayah lagi.

“Jadi, Alin tak dapat jumpa dia?” aku tanya.

“Kau beriya nak jumpa dia kenapa? Semua dah selesai. Dah, jangan fikir lagi. Teruskan pengajian. Ingatlah ini sebagai pengajaran. Tak semua yang kamu lihat di depan mata itu adalah kenyataan. Dan tak semua yang kamu tak yakin itu adalah kesalahan.” Kata ayah.

Aku tak dapat nak kata apa bila ayah dah cakap macam tu. Aku memang nak tahu sangat, siapa Ustaz Fariz.

Aku kembali ke kolej. Semuanya bersedih bila tahu Rashida dah meninggal dunia. Tapi aku tak cakap dia terjun bangunan hospital. Aku Cuma cakap mesin bantuan oksiden dihentikan sebab dah terlalu lama.

Seminggu Rashida meninggal dunia, ada seseorang datang menemui aku di kolej. Mula-mula aku ingatkan mak aku. Tapi sangkaan aku meleset. Aku terkejut sangat bila aku nampak wanita itu.

Aku masih kenal wajah itu. Kak Melati!

Aku gosok mata aku berulang kali. Untuk pastikan aku tak berimaginasi.

“Ini betul-betul Kak Melati, jangan takut. Akak manusia biasa macam Alin juga.” Kata Kak Melati.

“Macammana akak boleh berada di sini?” aku tanya.

“Akak datang sini, semata-mata nak jumpa Alin. Nak ucapkan terima kasih sebab dah lepaskan kami semua dari kurungan jin,” kata Kak Melati.

“Mana akak tahu saya belajar di sini?” aku tanya.

“Ustaz Fariz yang beritahu,” kata Kak Melati.

“Ustaz Fariz tu siapa sebenarnya?” aku tanya lagi.

“Dia orang kampung akak.” Jawab Kak Melati.

“Ayahnya? Haji Alias, akak kenal ke?” aku tanya.

“Ya, kami sekampung, dah tentu kenal,” kata Kak Melati.

“Tapi saya dengar Haji Alias tu….” aku tak dapat teruskan ayat.

“Jin?” Kak Melati tanya.

“Dia sama macam keluarga akak. Kami sekampung,” kata Kak Melati.

“Rashida adalah sepupu akak. Nenek Rashida adalah nenek akak juga. Nenek kami mempunyai hobi pelik, iaitu mengumpul segala jenis hantu. Bila nenek terlantar sakit dan nazak, ada seorang bomoh mengatakan bahawa seseorang perlu mewarisi jin-jin peliharaannya, jika tidak, nenek akan terus dimamah dek jin-jin belaannya. Semua anak-anak taknak mewarisi. Kerana tak sampai hati melihat nenek bertarung nyawa, mak akak sanggup menerimanya. Maka tempiasnya pada kami sekeluarga. Ayah akak, Pak Manaf dan adik akak, Pulau terpaksa menerima akibat yang sama. Kami terpaksa hidup bersama dengan in-jin tu. Cukup masa kena bagi makan. Kalau tak, dia ganggu orang kampung. Sampai akhirnya Haji Alias ‘memagar’ kawasan kami supaya jin-jin tu tak mengganggu orang kampung. Bila mak akak pula sakit, nak taknak akak terpaksa mewarisnya. Tapi akak ada pelan. Akak rancang nak buang semua tu lepas akak mewarisinya. Haji Alias cuba bantu akak. Sampai satu masa, benda-benda tu semua pergi begitu saja. Haji Alias kata, jin-jin yang dah dibela lama, takkan pergi dengan mudah. Dan akhirnya kami dapat tahu, seseorang dah mengambil pembelaan ke atas jin-jin tu. Kerana taknak akak buang ia. Kerana sayangkan mak mereka.” Cerita Kak Melati.

“Siapa yang ambil?” aku tanya.

“Mak Rashida. Dia sekat pembuangan jin-jin itu. Dia simpan satu kunci yang mewakili ketua semua jin tersebut. Kami perlu dapatkan kunci itu dari mak Rashida sedangkan kami tak tahu di mana mak Rashida berada. Sebab itulah kami terkurung di sana dengan jin-jin tu semua, tak boleh buat apa. Sampailah kamu datang ke sana. Baru kami jumpa Rashida. Dan masa tu Rashida cakap mak dia dah meninggal dunia. Masa tu juga akak dah rasa kedatangan Rashida adalah untuk membawa benda tu semua balik. Tak tahu dia nak buat apa. Yang pasti, Rashida adalah pewaris terdekat mak dia. Cuma akak pasti mak dia tak sempat menurunkan pusaka itu kerana mati mengejut. Itulah sebabnya benda tu terhalang di awangan, tak boleh dibuang dan tak boleh dijaga juga. Mungkin Rashida mengambilnya untuk dibuang. Mungkin itu amanat ibunya. Mungkin ibunya juga mahu melepaskan kami. Segalanya mungkin. Sebab kami tak jumpa mak Rashida. Rashida sendiri tak mengenali kami. Sebab dia dibawa ke semenanjung masa dia masih kecil.” Kata Kak Melati menamatkan kisahnya.

“Tapi kenapa kunci ketua tu ada bersama saya? Kenapa benda tu semua mengikut saya?” aku tanya.

“Rashida dah kemalangan, tapi dia belum sempat melepaskan jin-jin tu. Kalau dia tak wariskan atau hapuskan, maka terkuncilah kami di sana. Dan berkeliaranlah makhluk-makhluk itu mengganggu manusia di bumi. Jadi, dari alamnya, dengan izin Allah, dia cuba menghantar semua benda tu kepada kamu untuk kamu hapuskan. Dia letak kunci tu untuk kamu. Dia tahu hanya kamu yang mampu bantu dia. Sebab kamu nampak dia,” kata Kak Melati.

Aku agak terpaku. Tak boleh nak gambarkan kisah keluarga mereka ini. Tapi aku yakin, Rashida atau maknya cuba menjadi lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

“Akak datang nak ucap terima kasih sebab meleraikan kekusutan yang berpuluh tahun ni. Terima kasih banyak-banyak. Pak Manaf kirim salam. Moga kita jumpa lagi nanti,” kata Kak Melati.

“Alin, Doktor Wani panggil,” aku menoleh bila tiba-tiba Zaiton panggil aku.

“Haa, sekejap nanti aku ke sana,” sahutku. Zaiton ni macam takde adab pula. Main panggil aku macam tu je. Dia tak nampak ke aku sedang berbual dengan tetamu aku.

Aku menoleh semula ke arah Kak Melati. Tapi Kak Melati tiada di situ. Aku pandang keliling. Aku panggil Kak Melati. Tapi tiada sahutan, tiada sesiapa.

“Kau cari apa Alin?” Zaiton tanya aku.

“Tadi kau nampak tak aku dengan seseorang?” aku tanya Zaiton.

“Takde pun, aku nampak kau sorang je, dengan dahi berkerut macam memikirkan masalah besar sangat sampai aku berdiri kat tepi pun kau tak nampak,” kata Zaiton.

Aku diam. Bangun dan melangkah ke bilik Doktor Wani.

“Alin sihat?” Doktor Wani tanya aku.

“Alhamdulillah saya sihat.” Sahutku.

“Ini ada surat untuk kamu. Ada seorang gadis dalam usia kamu, katanya tolong serah kepada kamu,” kata Doktor Wani.

“Kenapa dia bagi kat Doktor?” aku tanya.

“Entahlah, mungkin sebab saya yang nampak dia,” kata Doktor Wani sambil senyum dan berlalu pergi meninggalkan aku.

Aku bawa surat itu ke bilik. Aku buka dan baca.

“Alin, sahabatku dunia dan akhirat. Terima kasih kerana menjadi dinding ketika aku hampir rebah. Menjadi air ketika aku dahaga. Menjadi daratan ketika aku kelemasan. Terima kasih di atas segalanya. Ampunkan segala dosa aku. Tolong doakan aku. Aku takut, tapi aku harus hadapi. Kau doakan aku ye, jangan jemu. Aku perlukan doa kau. Aku harap kita akan bertemu di sana nanti, sebagai sahabat sejati. Dari sahabatmu, RASHIDA”

Aku tak tahu dah nak rasa apa. Takut, sedih, keliru. Mak pesan, bila semua rasa ni ada, ambillah wudhu, dirikanlah solat. Lupakan segalanya. Bila kita yakin dunia ini milik Allah, kita akan rasa tenang walau apa yang terjadi, walau yang terjadi itu diluar pemikiran kita. Jangan mengharap manusia lain percayakan kita, tapi yakinlah Allah ada bersama kita.  

Yakinlah setiap pemberian Allah itu adalah satu keistimewaan walaupun kita anggap itu satu penderitaan. Jika inilah hikmah aku diberi anugerah ini, aku bersyukur Ya Allah, aku nampak dia, aku nampak mereka, mereka juga nampak aku. Aku akan bantu mereka.

– T A M A T-

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s