AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 11

Aku pandang je perempuan berbaju merah tu. Siapa dia tu? Aku yakin dialah yang aku nampak di dalam kebun pisang di rumah nenek Rashida. Tapi siapa dia?

Aku pejamkan mata, kepala aku masih pening. Aku taknak fikir apa-apa lagi. Aku perlu tidur.

Ketika azan subuh berkumandang dari masjid berdekatan, aku tersedar. Aku pandang ke katil Zaiton. Dia tiada di katilnya. Mungkin dah ke bilik mandi.

Aku cuba bangun. Kepala masih rasa berat, kaki masih rasa kebas. Aku bangun berdiri. Aku berjalan ke almari aku. Aku buka almari. Aku ambil baju sejuk yang aku letakkan di tingkat paling bawah. Aku buka lipatan baju sejuk tu. Dan memang benar, arca keris tu ada di situ.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Zaiton masuk. “Dah bangun?” dia tanya aku sambil membuka tuala yang melilit kepalanya.

Aku masukkan semula arca tu di dalam lipatan baju sejuk aku. Dan kemudiannya baju sejuk itu aku letakkan kembali ke tempat asal. Aku tutup pintu almari, aku ambil tuala dan melangkah keluar dari bilik. Zaiton hanya memerhati aku tanpa suara.

Selesai mandi dan solat, Zaiton ajak aku ke kafe. Aku ikut je. Kat kafe, kami berjumpa dengan Ustaz Malik dan Ustaz Fariz yang sedang sarapan pagi.

“Mari duduk kat sini sekali,” Ustaz Malik panggil kami. Aku dan Zaiton hanya menurut.

“Kamu macammana Alin? Dah ok rasanya?” Ustaz Malik tanya.

“Alhamdulillah, saya ok. Saya lapar,” sahutku perlahan.

“Kau duduk je kat sini. Aku belikan sarapan untuk kau. Nasi lemak ok?” Zaiton tanya aku. Aku hanya anggukkan kepala.

“Air?” Zaiton tanya aku.

“Kopi suam lah,” sahutku. Dan Zaiton berlalu.

“Ustaz, saya masih keliru. Ustaz ada bersama saya semalam. Tapi kenapa ustaz kata tak bersama saya? Kita jumpa kat surau. Dan saya nampak diri saya sendiri kat dalam bilik tu. Kenapa saya ada dua?” aku bertanya inginkan kepastian.

“Kamu ada dua?” Ustaz Malik tanya aku. Ustaz Fariz senyum je. Dia tak jawab apa-apa.

“Ustaz ada rahsiakan apa-apa dari saya ke?” aku tanya lagi tak puas hati bila Ustaz Fariz masih diam.

“Kita lupakan pasal tu. Sekarang ni kamu dah tahu ke arca keris tu berada di mana?” Ustaz Fariz tanya aku dan buatkan aku tersentak sekejap.

“Arca keris?” Ustaz Malik bertanya sambil pandang Ustaz Fariz. Dia seolah tak tahu sepenuhnya pasal aku dan arca keris tu.

Tak sempat aku berfikir atau jawab, Zaiton muncul dengan dulang yang berisi dua nasi lemak dan dua gelas air. Aku tak tunggu lama, terus ambil makanan aku dan makan.

“Saya dah hubungi ayah kamu. Dia akan datang sini, ambil kamu dan bawa balik,” kata Ustaz Fariz membuatkan aku berhenti makan dan pandang Ustaz Fariz.

“Kenapa panggil ayah saya pula? Dan kenapa saya perlu balik? Sekarang bukan waktu cuti balik kan?”  aku tanya Ustaz Malik.

“Ustaz Fariz kata, ada perkara yang perlu diselesaikan oleh kamu dan dia. Kamu baliklah dulu. Selesaikan apa yang patut. Nanti semua dah ok, kamu baliklah ke sini,” kata Ustaz Malik. Aku diam, tunduk menghabiskan nasi lemak aku.

‘Habislah aku kena ceramah dengan ayah aku ni nanti.’ Desis hati kecil aku.

Selesai sarapan aku dan Zaiton balik ke bilik. Aku kemas beberapa barangan aku untuk dibawa balik. Termasuk baju sejuk yang tersimpan arca keris tu.

Lebih kurang pukul 10 pagi, ayah aku sampai. Aku ikut ayah aku balik. Ustaz Fariz pun balik menaiki keretanya.

“Sekarang apa masalah lagi?” ayah aku tanya masa kat dalam kereta.

“Takde masalah apapun,” aku jawab dengan yakin.

“Takde masalah?” ayah aku tanya lagi. Aku anggukkan kepala.

“Kamu simpan barang orang?” ayah aku tanya. Aku pandang ayah yang masih tenang memandu. Tak nampak macam sedang menahan marah pun. Ayah nampak tenang je.

Aku pandang keluar tingkap. Tak tahu nak sembang apa. Aku rasa Ustaz Fariz dah ceritakan semuanya kepada ayah aku.

“Haritu ayah dah cakap, bagi semua barang tu pada Ustaz Fariz. Kenapa kamu simpan satu? Sekarang kan dah susah semua orang?” ayah aku tanya.

“Mana ada Alin ambil. Benda tu memang ada kat katil Rashida. Zaiton yang jumpa,” sahutku. Ayah aku memang selalu berburuk sangka kat aku.

“Kenapa tak beritahu ayah? Supaya ayah boleh beritahu Ustaz Fariz? Kenapa perlu ayah Ustaz Fariz yang jauh di Sabah yang beritahu dia?” kata ayah aku.

“Ayah Ustaz Fariz? Siapa? Kenapa dia tahu pasal ni semua?” aku tanya.

“Haritu kan Ustaz Fariz ada cakap pasal ayah dia. Apa ke namanya? Haji Alias kan?” ayah aku tanya aku.

“Haji Alias?” aku cuba berfikir.

“Iyalah, Haji Alias tu ayah Ustaz Fariz.” Ayah aku beritahu aku.

“Tapi Haji Alias tu….,” aku terhenti kata-kata.

“Hah, kenapa dengan Haji Alias tu?” Ayah aku tanya. Aku diam.

Abang Roni kata, Haji Alias tu dari keturunan jin islam. Maknanya Ustaz Fariz tu? berkerut dahi aku. Perlahan aku menoleh ke belakang, mencari kereta Ustaz Fariz yang dari kolej tadi mengekori belakang kereta ayah aku.

“Kamu tengok apa?” ayah aku tanya.

“Tak nampak kereta Ustaz Fariz,” kataku.

“Kenapa pula kereta Ustaz Fariz kena ada di belakang tu? Ustaz Fariz kat rumah dia la,” kata ayah aku.

“Eh, tadi kan dia ikut belakang kereta ayah, masa kita keluar dari kolej?” aku tanya ayah aku.

“Kamu ni bermimpi lagi ke? Mana ada Ustaz Fariz ikut kita. Dia kat rumah dia la. Semalam kat masjid tempat ayah, dia beritahu ayah, katanya barang-barang yang kamu ambil dari rumah nenek Rashida tu ada masalah. Tak cukup satu. Dia kata nak jumpa kamu. Ni yang ayah datang ambil kamu ni,” kata ayah aku.

Aku diam. Sesekali aku pandang ke belakang. Memang tiada Ustaz Fariz. Aku kerutkan dahi. Aku gigit jari. Kenapa aku rasa sekarang ni aku betul-betul dah gila.

“Ayah, kita singgah hospital tengok Shida,” kataku perlahan.

“Kita balik rumah terus. Nanti-nantilah kita tengok dia. Kita ada urusan yang nak diselesaikan,” kata ayah. Aku diam.

Sampai kat rumah, mak aku sambut aku dengan senyuman lebar. Tapi ada riak risau diwajahnya.

“Kamu ok ke Alin?” Mak aku tanya.

“Alin ok je mak. Mak sihat?” aku tanya balik.

“Alhamdulillah, mak sihat,” sahut mak aku.

“Kamu rehat dulu. Lepas Asar Ustaz Fariz datang,” kata ayah aku sambil tanggal baju kemejanya dan terus masuk bilik. Nak solat zohor agaknya.

“Apa dah jadi sebenarnya Alin?” Mak aku tanya.

“Apa yang jadi?” aku tanya mak aku balik.

“Ayah kamu cakap kat mak, Ustaz Fariz beritahu ayah aku, bahawa kamu dah ambil satu barang yang sepatutnya berada di dalam bungkusan tu sekali.” Kata mak aku.

“Alin tak ambil mak. Ada satu arca keris tu, Zaiton jumpa kat bawah bantal Rashida,” kataku. Kenapa semua orang asyik nak salahkan aku ambil benda tu, padahal aku tak ambil pun.

“Takpelah, kamu pergilah solat dulu, dah lewat ni. Nanti Ustaz Fariz datang, kita tanya dia,” kata mak.

“Ustaz Fariz tu siapa sebenarnya mak?” aku tanya mak.

“Orang la, siapa lagi?” mak aku jawab.

“Maksud Alin, dia tu siapa? Macammana ayah kenal dia? Dia tinggal di mana? Ada keluarga tak?” aku tanya.

“Manalah mak tahu. Yang mak tahu, dia selalu jumpa ayah kamu kat masjid. Maksudnya dia pun qariah sini juga,” kata mak aku.

“Mak, ayah Ustaz Fariz tu adalah jin islam mak. Jadi mak rasa siapa Ustaz Fariz tu?” aku tanya.

“Hish kamu ni, merepek je. Kalau dengar dek ayah aku, mesti dia marah. Dah, kalau lapar, pergi makan kat dapur tu. Lepas tu solat dan rehat. Nanti petang Ustaz Fariz datang.” Kata mak aku sambil bangun dan meninggalkan aku di dalam bilik sendirian.

Lepas asar, lebih kurang pukul 5.30 petang, Ustaz Fariz muncul di halaman rumah mak aku. Dia senyum memandang aku.

“Barang tu ada dengan kamu?” Ustaz Fariz tanya.

“Ustaz, semalam ustaz berada di kolej saya kan?” aku tanya. Ustaz Fariz pandang ayah aku.

“Saya tak ke mana-mana, ada je kat sini,” kata Ustaz Fariz.

“Iye ke?” aku tanya lagi.

“Alin, ustaz tanya pasal barang tu. Kenapa kamu banyak tanya pula?” ayah aku bersuara dia sudut tepi. Aku terus diam walaupun masih banyak yang aku nak tanya.

Aku bangun dan ambil baju sejuk dari dalam beg aku. Aku ambil arca keris tu dari lipatan baju sejuk aku. Aku hulurkan arca keris tu pada Ustaz Fariz.

“Inilah dia ketuanya. Patutlah yang lain muncul kembali,” kata Ustaz Fariz.

“Kalau dah jumpa yang ni, maknanya semua selesai la kan ustaz?” ayah aku tanya.

“Sepatutnya semua akan selesai. Cuma kita perlu tahu, siapa yang kawal dia, siapa tuan dia sebelum sampai kepada Alin ni,” kata Ustaz Fariz.

“Eh, saya bukan tuan dia. Saya tak jaga dia pun,” sahutku.

“Kamu pengganti sementara tuan dia. Tuan dia yang serahkan benda ni kepada kamu untuk kamu jaga,” kata Ustaz Fariz.

“Takde siapa bagi kat saya. Semuanya saya ambil dari rumah nenek Shida. Saya tak usik atau ambil apa-apa,” kataku tak puas hati seakan dituduh macam tu sewenang-wenangnya.

“Takpe, kita cuba buang benda ni. Kalau tuannya masih perlukan benda ni, dia akan datang cari kamu Alin,” kata Ustaz Fariz. Aku hanya mampu telan air liur. Siapa pula tuan dia? Kak Melati ke? Seingat aku Kak Melati punya adalah penanggal. Benda ni pula macam keluang besar yang aku nampak kat dalam almari Zaiton hari tu.

Sekarang aku baru dapat gambaran, kenapa Ustaz Fariz kata benda tu tak boleh jauh dari kuncinya. Rupanya kuncinya ada di dalam almari aku yang bersebelahan dengan almari Zaiton je. Makhluk tu berada di dalam almari Zaiton, terkunci di sana lepas Zaiton ambil dari tempat aku buang arca tu.

Ustaz Fariz membungkus arca keris yang aku bagi tu dengan kain kuning dan diikat dengan benang tiga warna.

“Saya bawa dia balik dulu. Kalau nampak apa-apa yang mencurigakan, tolong maklumkan saya. Sebab saya perlu tahu siapa pegang ketua ni,” kata Ustaz Fariz. Aku, ayah aku dan mak aku hanya anggukkan kepala. Tak berapa faham dengan kata-kata Ustaz Fariz.

Pada aku, biarlah. Asalkan semuanya selesai. Aku dah taknak terpalit dengan barang peninggalan keluarga Rashida lagi.

Ayah ke masjid pada waktu maghrib. Tinggallah aku dengan mak dan adik aku kat rumah. Ayah aku selalunya kalau dia pergi masjid waktu maghrib, nanti isya baru dia balik. Kalau ada kuliah atau ceramah agama, lagi lambat la ayah balik.

Sedang kami duduk di ruang tamu menonton televisyen, tiba-tiba pintu bilik aku terbuka dan tertutup sendiri. Melompat adik aku sebab terkejut.

“Siapa tutup buka pintu kakak tu?” Adik aku tanya. Aku dan mak aku diam, tak tahu nak jawab apa.

Aku beranikan diri bangun dan berjalan ke arah pintu bilik aku yang pada masa itu dalam keadaan terbuka. Aku tak pergi rapat, aku jenguk dari luar je. Dan ‘dum!’ pintu bilik tu tertutup rapat seakan dihempas oleh seseorang dari arah dalam bilik.

“Alin, tunggu ayah kamu balik. Jangan buat apa-apa. Biar je,” kata mak aku.

Belum sempat aku jawab, ‘ketung ketang ketung ketang’ pinggan mangkuk mak aku di dapur berbunyi, seakan ada yang sedang bekerja di dapur. Diselangi dengan bunyi air paip terpasang dan tertutup sendiri.

Mak aku menahan bila aku mula melangkah ke dapur. Muka adik aku dah pucat, dia takut. Tak lepas dia pegang tangan mak aku.

Tak habis di situ, kami dengar bunyi sesuatu melompat di atas bumbung rumah. Diselangi dengan bunyi cakaran di dinding dan pintu rumah dari arah luar.

“Mak, apa benda tu?” adik aku dah menangis, menekup mukanya ke dada mak aku. Mak aku peluk adik aku. Aku melangkah ke pintu. “Alin, kamu duduk je kat sini. Kamu jangan berani sangat, nanti aku nampak macam-macam. Tunggu ayah balik,” kata mak aku.

“Tok tok tok” pintu rumah diketuk dari luar. Aku hilang sabar. Aku buka pintu tu luas-luas.

Bersambung…

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s