AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 10

Aku berhenti melangkah. Aku memerhati gelagat perempuan tersebut. Dia seakan sedang mengintai ke dalam bilik aku melalui tingkap bilik.

“Ustaz, ada orang di depan bilik saya. Dan orang tu saya pernah nampak di Sabah,” kataku kepada Ustaz Fariz tapi mata aku masih memandang kea rah perempuan tadi.

“Cuba kamu pergi berdiri di sebelah dia, dia nampak kamu tak?” Ustaz Fariz berkata dari arah belakang aku.

“Kalau dia nampak?” aku tanya.

“Pergi dulu.” Kata Ustaz Fariz pendek.

Aku pun melangkahkan kaki aku menghampiri pintu bilik aku. Aku berdiri di sebelah perempuan itu dan melihatnya. Dia seperti tak nampak aku. Dia masih terintai-intai ke dalam rumah aku.

Aku menoleh ke arah Ustaz Fariz. Ustaz Fariz hanya pandang aku. “Saya rasa dia tak nampak saya,” bisikku kepada Ustaz Fariz.

“Cuba kamu tengok, apa yang dia tengok di dalam bilik kamu tu,” kata Ustaz Fariz lagi.

Aku pun ikut serta mengintai ke dalam bilik aku sendiri melalui cermin tingkap satu lagi. Bermakna perempuan tu mengintai dari satu tingkap, dan aku dari satu lagi tingkap. Aku pandang Ustaz Fariz, dia hanya anggukkan kepala.

Aku nampak dua orang di dalam bilik tu. Berkerut dahi aku. Zaiton dengan siapa pula tu? Dia bawa Azrin ke bilik kot, mungkin dia takut sendirian. Tapi dari susuk tubuh orang tu, itu bukan Azrin. Tubuh Azrin agak gempal dan rendah. Tapi susuk tubuh orang ni sama saiz dengan aku.

Aku terus memerhati, cuba melihat siapa yang bersama Zaiton. Orang tu berdiri di sebalik pintu almari aku yang terbuka. Jadi pandangan aku agak terbatas. Dada aku berdebar juga, sebab orang tu berdiri menghadap almari aku. Dah kenapa dia nak menceroboh almari aku. Zaiton pun diam je, tak halang orang tu. Aku mula rasa nak marah ni. Tapi aku sabar, nak tengok siapa orang tu.

“Ustaz, ada orang ceroboh almari saya,” bisikku kepada Ustaz Fariz.

Ustaz Fariz letak jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat menyuruh aku diam. Aku pun akur.

Lebih kurang lima minit berlalu, Zaiton melangkah ke pintu, macam nak keluar dari bilik. Aku cuba nak menyorok ke tepi, tapi Ustaz Fariz bagi isyarat suruh diam di tempat aku berdiri, jangan bergerak.

“Dia nampak saya nanti,” aku cakap pada Ustaz Fariz.

“Takpe, kamu diam saja di situ. Jangan ke mana-mana,” kata Ustaz Fariz. Dari tadi Ustaz Fariz hanya berdiri di tepi pintu. Dia tak nampak pun apa yang aku nampak. Memanglah dia boleh suruh aku diam, sebab dia tak tahu apa yang aku nampak kat dalam bilik tu.

Pintu bilik terbuka. Zaiton keluar dari bilik. Aku diam menahan nafas di tepinya. Zaiton pakai selipar dan terus melangkah di tepi aku tanpa pandang aku, macam dia tak nampak aku. Aku pandang Zaiton sampai dia hilang dari pandangan. Aku pandang semula kepada Ustaz Fariz.

Ustaz Fariz menunjukkan ke arah dalam bilik aku, sebagai isyarat menyuruh aku kembali melihat ke dalam bilik. Masa ni aku teringat kat perempuan berbaju merah tadi. Dia tiada di situ. Aku pandang keliling. Dia tiada di situ.

“Mana perempuan tadi?” aku tanya Ustaz Fariz.

Ustaz Fariz bagi isyarat suruh aku diam dan terus pandang ke dalam bilik. Aku akur.

Aku nampak orang di dalam bilik aku tadi berpusing ke arah almari Zaiton pula. Dia buka almari Zaiton. Aku terkejut. Aku cuba amati orang itu. Ternganga mulut aku.

Orang itu ialah AKU sendiri. Lutut menggeletar. Tangan aku lemah longlai. Tapi aku tetap memandang ke arah ‘aku’ di dalam bilik. Aku pandang Ustaz Fariz, dia dah tiada di situ. Aku rasa nak muntah, aku pening, dada aku berdegup laju. Mana mungkin aku berada di dalam bilik tu sedangkan aku sedang berdiri di luar bilik. Aku betul-betul dah rasa takut.

Aku pernah tengok hantu dan makhluk lain yang pelbagai rupa. Tapi ketakutan itu tak sama bila aku pandang diri aku sendiri di alam nyata, bukan di alam mimpi atau di dalam cermin.

Aku pandang kembali diri aku di dalam bilik. ‘Aku’ membuka pintu almari Zaiton perlahan-lahan dengan mata ‘aku’ melilau melihat ke pintu, mungkin nak pastikan Zaiton belum balik.

‘Aku’ menyelongkar almari Zaiton. Lebih kurang lima minit, dari atas ke bawah, dari kiri ke kanan, kemudian ‘aku’ selongkar laci. Dan ‘aku’ keluarkan sesuatu dari dalam laci. ARCA KERIS tu!

Aku tutup mulut aku sendiri yang hampir menjerit di luar bilik. Aku terus pandang ke dalam bilik dengan menekup mulut, bimbang aku akan menjerit.

Aku lihat ‘aku’ menyimpan arca keris tu di dalam almari aku, di dalam saku baju sejuk yang terletak di bahagian bawah sekali. Aku jarang guna baju sejuk tu. Tambahan sekarang musim hujan.

‘Aku’ tutup pintu almari. Seketika kemudian, aku dengar bunyi tapak kaki. Aku pandang ke arah datangnya bunyi tapak kaki tu. Aku nampak Zaiton berjalan kembali ke bilik. Dia lalu je kat tepi aku tapi dia seperti tak nampak aku. Zaiton masuk ke dalam bilik. Dia bercakap sesuatu kepada ‘aku’ yang berada di dalam bilik. Yang duduk di meja tulis, seakan menyembunyikan apa yang dia buat tadi.

Aku pandang keliling. Perempuan berbaju kurung merah tiada di mana-mana. Ustaz Fariz pun tiada di situ. Ke mana pula dia pergi?

Aku hilang sabar, aku tolak pintu bilik. Aku masuk ke dalam bilik tu. Zaiton dan ‘aku’ di dalam bilik tu memandang ke arah pintu sambil mengerutkan dahi masing-masing.

“Siapa buka pintu tu?” Zaiton tanya ‘aku’. Tapi ‘aku’ angkat bahu. Mereka tak nampak aku?

“Ton? Kau tak nampak aku?” aku bersuara. Zaiton memandang keliling dengan muka cuak.

“Aku macam dengar suara orang sebut nama aku la,” Zaiton cakap kat ‘aku’ di dalam bilik.

“Aku pun dengar,” disahut oleh ‘aku’.

Aku terpegun sekejap. Perempuan itu betul-betul diri aku. Rupanya, suaranya, gerakannya, susuk tubuhnya. Macammana aku boleh ada dua? Kenapa mereka tak nampak aku?

Aku memegang pipi aku, mengusap tangan aku sendiri. Aku cubit perut aku, sakit. Maknanya aku tak bermimpi. Tapi kenapa mereka berdua tak nampak aku?

Aku melangkah ke almari. Aku buka almari aku. Zaiton dan ‘aku’ memandang ke arah almari itu serentak.

“Siapa buka almari aku?” ditanya oleh ‘aku’.

“Mana aku tahu,” disahut oleh Zaiton tapi kedua-duanya masih memandang aku dengan wajah penuh tandatanya.

‘Aku’ bangun dari duduknya. Dia melangkah ke arah aku dan menutup semula pintu almarinya. Aku sentuh bahunya. Dia pandang ke arah aku. Tapi dia tak seperti nampak aku. Dia merasai sentuhan aku tapi dia tak nampak aku. Berdebar dada aku bila diri aku sendiri berada di depan aku. Aku kat mana sebenarnya ni?

Selepas tutup pintu almari, ‘aku’ kembali duduk dekat dengan Zaiton.

“Aku rasa lain macam je. Macam sedang diperhatikan,” kata ‘aku’ kepada Zaiton.

“Sama la, macam ada orang lain di dalam bilik ni,” kata Zaiton.

“Dah la, tutup pintu tu. Dah jauh malam ni,” kata ‘aku’ kepada Zaiton.

Zaiton bangun dan menutup pintu. Aku berdiri kaku di situ. Aku nak buat apa sekarang ni?

Tiba-tiba pintu bilik terbuka, aku nampak Ustaz Fariz menolak daun pintu. Zaiton dan ‘aku’ kelihatan tercengang memandang ke arah pintu. Ustaz Fariz gamit aku, panggil aku keluar dari bilik.

Aku akur. Lega rasanya bila nampak Ustaz Fariz. Lagi lega bila tahu Ustaz Fariz nampak aku. Aku terus melangkah keluar dari bilik.

“Ustaz, saya nampak diri saya sendiri di dalam bilik tu, bersama Zaiton. Tapi mereka tak nampak saya. Macammana saya ada dua Ustaz?” aku tanya Ustaz Fariz.

“Apa yang kamu nampak?” Ustaz Fariz tanya aku, tanpa menjawab soalan aku.

“Saya nampak diri saya ambil arca tu dan letak dalam almari saya,” sahutku tanpa fikir panjang, sebab aku masih memikirkan macammana aku ada dua.

“Maksudnya, kamulah yang menyimpan arca tu?” Ustaz Fariz tanya aku perlahan.

Dan masa ni aku macam baru tersedar dari mimpi. Mulut aku terlopong besar. Aku seperti baru menyedari sesuatu. AKU YANG SIMPAN ARCA KERIS tu? Selama ni aku yang simpan kunci kepada ketua makhluk tu semua? AKU???!

Aku tuduh Zaiton, aku tuduh Doktor Wani. Tapi sebenarnya aku sendiri yang simpan arca tu? Aku pandang Ustaz Fariz mohon penjelasan.

“Bermakna kamu la yang mengawal ketuanya,” kata Ustaz Fariz.

“Tapi ustaz…,” aku tak tahu nak cakap apa. Kenapa? Macammana? Apa dia?

“Bermakna kamu tuan kepada ketuanya. Bermakna kamu ketua kepada semua makhluk tu,” kata Ustaz Fariz lagi.

“Tidak ustaz. Bukan saya. Siapa kat dalam bilik tu? Saya berada di sini. Orang yang berada di dalam bilik tu bukan saya. Saya tak ambil arca tu,” kataku lagi. Aku mula diserang panik. Dada aku berdegup laju, berdebar-debar, peluh jantan mula membasahi tubuh aku. Kepala aku mula berpusing-pusing dan berdenyut-denyut macam nak pecah. Kaki aku jadi lemah. Aku terduduk. Tekak aku mula rasa loya. Aku muntah di depan bilik aku.

“Alin, Alin,” aku dengar seseorang panggil nama aku. Tapi aku tak nampak apa-apa. Pandangan aku kabur. Dan aku tak sedarkan diri.

**********************

Aku tersedar bila terasa seseorang menepuk pipi aku dengan kuat. Aku cuba buka mata tapi berat sangat. “Dia dah sedar. Basuh mukanya dengan air tu,” aku dengar suara seorang lelaki. Aku kenal suara tu. Itu suara Ustaz Malik. Dan seketika kemudian, muka aku terasa sejuk.

“Alin, Alin,” aku dengar suara memanggil aku. Itu suara Zaiton.

“Kau ok tak ni Alin,” Zaiton tanya aku lagi. Dia mengusap-ngusap rambut aku. Aku buka mata, pandangan aku makin jelas. Zaiton, Ustaz Malik dan Puan Julia berada di depan aku.

“Alin, kau ok tak?” Puan Julia tanya aku, dia pegang pipi aku.

“Saya ok, pening kepala sikit,” sahutku. Tak berani nak pandang merata, takut pening.

“Kau ke mana Alin? Kau kata lepas solat isya’ nak balik bilik. Ni dah pukul 4 pagi, aku terpaksa panggil Ustaz Malik dan Puan Julia, minta tolong cari kau,” kata Zaiton.

“4 pagi?” aku tanya dengan dahi berkerut.

“Iya Alin. Kecoh dah kau hilang. Kami cuba cari kau dulu. Ustaz Malik kata, pagi esok baru nak call mak dan ayah kau,” kata Zaiton lagi.

“Mana Ustaz Fariz?” aku tanya bila menyedari Ustaz Fariz tiada di situ.

“Dia pergi cari kau la. Ustaz Malik baru je call dia beritahu dah jumpa kau. Sekejap lagi dia sampai la tu,” kata Zaiton lagi.

“Tapi tadi Ustaz Fariz ada bersama aku,” sahutku.

“Bila?” Ustaz Malik tanya.

“Hah, dah jumpa?” aku dengar satu suara dari arah tangga. Kami semua menoleh ke arah tersebut. Nampak Ustaz Fariz sedang melangkah ke arah kami dengan wajah yang amat kerisauan.

“Jumpa kat mana?” Ustaz Fariz tanya Ustaz Malik sebaik dia sampai ke tempat kami berkumpul.

“Kat sini je. Tapi tadi kita dah cari kat sini kan? Tak nampak pula dia.” Sahut Puan Julia.

Aku pandang keliling. Aku berada di tepi tangga di mana terletaknya tong sampah tempat aku buang arca keris tu dulu.

“Kamu ke mana? Kan saya dah cakap, jangan keluar dari bilik ni selain dari ke bilik air. Nak makan atau nak apa-apa, boleh suruh Zaiton. Kenapa degil?” Ustaz Fariz pandang aku dengan wajah yang agak marah.

“Saya cuma ke surau. Ustaz pun jumpa saya kan?” aku menyahut.

“Tiada siapa ke surau semalam. Kami semua ke masjid taman sebelah sebab nakkan qariah ramai untuk bacaan yassin dan doa mohon tolak bala dengan qariah masjid sana. Sebab dah macam-macam jadi kat kolej kita ni.” Kata Ustaz Malik lagi.

“Tapi saya jumpa Ustaz di surau. Ustaz Fariz pun ada. Kita semua solat Jemaah maghrib dan isya’,” sahutku lagi.

“Kamu pergi surau mana ni Alin?” Puan Julia tanya aku.

“Surau kolej la,” sahutku.

“Kan dah ada makluman, seminggu ni semuanya ke masjid sebelah, surau kita cuma solat Subuh, Zohor dan Asar je. Maghrib dan Isya’ di masjid.” kata Ustaz Malik lagi.

“Dah, jom bawa dia masuk ke bilik dulu. Dah nak subuh dah ni. Jangan tanya apa-apa lagi kat dia. Dia pun masih tak betul tu,” kata Ustaz Fariz.

Zaiton dan Puan Julia pegang tangan aku, membantu aku berdiri. Kaki aku memang terasa kebas macam dah lama dengan kedudukan tu. Tak rasa apa dah kaki aku.

“Kau boleh jalan tak?” Zaiton tanya aku. Aku angguk kepala.

“Cuba jalan perlahan-lahan,” kata Ustaz Fariz.

Sampai di bilik, Zaiton dan Puan Julia baringkan aku di atas katil. “Bagi dia minum air tadi,” kata Ustaz Malik. Dia dan Ustaz Fariz hanya memandang kami dari luar pintu. Zaiton hulurkan segelas air dan suruh aku minum. Aku pun meneguknya. Memang aku dahaga sangat, macam baru balik jogging di dalam cuaca panas.

“Kamu rehat dulu. Zaiton jangan tinggalkan dia sendirian. In Shaa Allah, takde apa. Pagi esok saya datang semula,” kata Ustaz Malik.

“Baik ustaz,” Zaiton menyahut. Lalu Puan Julia dan Ustaz Malik meninggalkan kami. Ustaz Fariz masih berdiri di pintu, memandang kami dengan pandangan yang agak pelik. Dia senyum pandang aku.

Zaiton tutup pintu di masa Ustaz Fariz masih berdiri di pintu.

“Kenapa kau tutup pintu. Kan Ustaz Fariz masih di situ?” aku tanya perlahan. Macam biadap pula perlakuan Zaiton.

“Mana ada Ustaz Fariz dah dekat situ. Kan dia dah balik dengan Ustaz Malik dan Puan Julia tadi. Kau mimpi lagi ni. Dah, tidur la. Aku pun dah ngantuk sangat ni. Sakit dah kepala aku. Risaunya aku cari kau tadi. Tuhan je tahu.” Bebel Zaiton sambil menutup lampu dan terus baring di atas katilnya dan menarik selimut.

Aku pandang ke cermin tingkap. Oleh kerana keadaan dalam bilik dah gelap manakala di luar bilik cerah dengan lampu koridor, aku nampak perempuan berbaju kurung lusuh berwarna merah yang aku nampak tadi. sedang memerhatikan kami dari luar bilik melalui cermin tingkap.

“Siapa tu Ton?” aku tanya. Tapi Zaiton hanya menjawab dengan dengkuran.

Bersambung…

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s