AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 9

“Kenapa aku nampak kau lain macam je ni Alin?” Zaiton tanya aku.

“Aku ke yang lain macam atau kau yang lain macam?” aku tanya Zaiton pula.

“Ok, apa yang kau rasa aku lain macam? Cuba beritahu aku, mungkin aku ada jawapannya.” Kata Zaiton.

“Aku rasa kau ada sorok sesuatu dari aku, sesuatu yang kau taknak aku tahu,” kataku terus terang.

“Apa yang aku nak sorok dari kau Alin? Kita duduk satu bilik kot. Bilik ni pun bukannya besar sangat. Ada dua katil, dua almari, dua meja tulis. Itu je. Kalau aku nak sorok sebatang pen sekalipun, kau pasti tahu sebab takde tempat berselindung langsung kat bilik ni,” kata Zaiton.

“Itu kalau barang nyata. Mana tahu kau ada simpan barang yang tak nyata,” kataku lagi memandang tepat wajah Zaiton.

“Apa maksud kau barang nyata?” Zaiton tanya aku dengan dahi berkerut seribu.

“Kau faham maksud aku,” kataku lagi.

“Kau nak cakap pasal arca keris tu ke Alin?” Zaiton tanya aku.

“Ya, mana arca tu?” aku tanya Zaiton. Zaiton usap mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya. Wajahnya seakan menahan rasa.

“Alin, aku dah cakap kat kau, memang aku ada ambil. Tapi sekarang arca tu dah takde kat tempat aku letak. Aku bukannya ambil arca tu dan simpan macam berhala kat dalam almari aku. Aku letak je dalam laci. Macam tu je. Aku tak tengok dia hari-hari, setiap ketika. Kalau kau tak sebut  pasal arca tu sekarang ni, aku pun tak ingat aku ada simpan arca tu dalam laci. Maknanya aku tak sentuh arca tu lepas simpan dalam laci sejak hari pertama aku ambil dia dari tong sampah yang kau campakkan tu,” kata Zaiton panjang lebar.

“Kau mengaku, arca tu berada dengan kau yang terakhir kan?” aku tanya lagi.

“Untuk ingatan aku, memang aku orang last. Sebab mana ada orang lain yang masuk ke bilik kita ni. Kau dan aku je. Cuma masalahnya sekarang, arca tu takde kat tempat aku simpan. Kalau ada orang ambil sekalipun, orang tu Cuma kau Alin. Sebab kita berdua je kat dalam bilik ni,” Kata Zaiton.

“Doktor Wani pun ada masuk bilik ni kan?” aku tanya.

“Dia masuk kejap je. Kalau ikutkan Pn Julia pun ada masuk, Ustaz Fariz dan Ustaz Malik pun ada masuk. Azrin dari bilik sebelah pun ada masuk.” Kata Zaiton lagi.

Aku diam. Tak tahu nak cakap apa. Aku buntu. Aku perlu cari arca tu. Kalau tak, sia-sia je aku ke Sabah ambil bungkusan tu. Tapi aku tak tahu nak cari kat mana. Nak tanya siapa.

Aku sarung tudung kepala. Aku melangkah keluar dari bilik tu.

“Kau nak ke mana Alin? Dah maghrib ni,” Zaiton tanya aku.

“Aku nak ke surau. Aku nak solat maghrib di sana.” Kataku perlahan.

“Solat je la kat bilik ni. Tak payah keluar. Kalau kau menyampah sangat kat aku, aku je yang keluar. Aku pergi bilik Azrin.” Kata Zaiton kat aku.

“Aku bukan menyampah kat kau la. Aku stress. Aku buntu. Tak tahu nak tanya siapa. Aku rasa aku perlu keluar dari tempat yang buat aku buntu. Aku nak pergi tempat yang lebih tenang. Moga aku dapat petunjuk,” kataku perlahan.

“Aku ikut kau,” kata Zaiton.

“Tak payah, biar aku sendiri. Nanti selesai solat isya’ aku balik bilik ni,” kataku kepada Zaiton yang masih berdiri di pintu memerhati aku yang sedang pakai selipar.

Aku melangkah menuruni tangga blok aku. Lalu terus ke surau. Aku dapat rasakan ada mata yang memerhati, ada pokok yang bergerak sendiri, ada suara halus yang berbisik sesama sendiri. Aku jalan terus, tak pandang kiri kanan.

Ketika aku sampai di surau, ruang wanita kosong. Ada beberapa orang lelaki di ruang lelaki. Aku dengar suara Idham sedang qamat. Cepat-cepat aku ambil wudhu di tepi ruang solat wanita, dan Jemaah bersama mereka. Macam suara Ustaz Fariz yang jadi imam.

Masa aku solat aku, dengar bunyi pintu sliding ke ruang wanita dibuka dan ditutup, bermakna ada orang lain yang masuk ke ruangan solat tu. Aku ni solat, tapi bila ada bunyian macam tu, aku dengar. Tak khusyu sungguh.

Pada masa imam berhenti membaca seketika, aku dengar bunyi tapak kaki berlegar-legar di belakang aku. Haishhhh….

Dan pada masa aku bangun dari sujud, seseorang dah berada di sebelah kanan aku, mengikut Jemaah. Sungguhpun aku sedang solat, aku terkejut juga. Sebab masa aku nak sujud, takde siapa pun kat tepi aku. Bila masa pula Jemaah wanita kat sebelah aku sampai kat situ?

Lepas bagi salam kedua, aku cepat-cepat menoleh ke kanan aku semula. Tiada siapa di situ. Aku pandang keliling, ruang solat wanita kosong sama macam masa aku sampai tadi. Aku bangun, menghampiri cermin. Aku pandang ke arah cermin, aku terkejut. Aku melangkah setapak ke belakang.

Aku toleh ke belakang, ruang solat wanita kosong. Aku pandang semula ke dalam cermin, ada dua orang Jemaah wanita sedang duduk khusyu mendengar Ustaz Fariz membaca doa. Aku ambil cermin kecil dari beg aku. Aku duduk di barisan hadapan sekali. Aku duduk betul-betul di depan dua Jemaah wanita yang aku nampak di dalam cermin tadi. Dari situ, aku angkat cermin muka aku. Aku nak tengok wajah mereka. Siapa mereka.

Masa aku tengok kat cermin muka kecil aku, aku nampak kedua-duanya Jemaah wanita tu. Iya, aku nampak mereka. Dan mereka pandang aku. Mereka bukan pelajar mahupun kakitangan kolej ni. Aku tak pernah nampak mereka.

“Astaghfirullahal azim, Allazii Laailahaillahuwal Haiyul Qoiyum Wa’atuubu Ilaik,” aku dengan suara Ustaz Fariz beristighfar.

“Al-Fatihah,” aku terus baca surah Al-Fatihah walau mata aku masih memandang dua orang Jemaah wanita lain yang berada di belakang aku. Kedua-duanya tunduk khusu’ berzikir bersama Ustaz Fariz dan Jemaah lain. Aku je yang sibuk dengan kerja aku skodeng Jemaah wanita tu.

Nak kata hantu, takkan hantu solat Jemaah kot. Nak kata manusia, kenapa aku tak nampak mereka secara terus, kenapa aku hanya nampak mereka di dalam cermin?

“Kenapa nak?” ada suara wanita tegur aku. Aku pandang keliling, tak nampak sesiapa.

“Siapa tu?” aku tanya di dalam ruang kosong.

“Kami tumpang solat,” sahut suara tu.

“Dari mana?” aku tanya lagi.

“Dari kampung sebelah,” sahut suara tu.

“Kampung sebelah? Sebelah ni mana ada kampung. Hutan je,” sahutku lagi.

“Kampung kami tak dapat dilihat. Tapi kami dapat melihat,” suara itu menyahut lagi.

“Alin?” tiba-tiba Ustaz Malik panggil aku dari celahan kain langsir yang membahagikan ruang solat lelaki dan wanita.

Aku pandang Ustaz Malik. Lepas tu aku pandang semula keliling aku.

“Kenapa kamu tinggalkan bilik? Kan Ustaz Fariz suruh kamu tunggu di bilik?” Kata Ustaz Malik.

“Ustaz, ada orang lain tak dalam ruang solat wanita ni?” aku tanya. Ustaz Malik memerhati keliling.

“Tiada siapapun. Kamu je,” kata Ustaz Malik.

“Ustaz yakin?” aku tanya lagi.

“Seminggu ni kan pentadbir koleh dah minta semua pelajar wanita solat di bilik masing-masing je. Jadi, ruang solat ni dah tiga empat hari takde orang. Ni kamu yang pertama,” kata Ustaz Malik.

Aku pandang semula cermin muka aku. Aku pandang ke belakang aku. Kosong, tiada sesiapa. Aku toleh ke belakang, juga kosong, tiada sesiapa. Aku pandang semula Ustaz Malik yang masih pandang aku.

“Kenapa ni?” Ustaz Fariz pula muncul di sebalik tirai, pandang aku yang masih bertelekung, bertentang mata dengan Ustaz Malik. Haish, dah lain macam pula rupa kami.

“Kenapa ni? Alin, kenapa datang solat kat sini? Kamu datang sorang je ke?” Ustaz Fariz tanya.

“Haah, saya sorang je,” sahutku membetulkan telekung dan dudukku. Malu pula bila kenangkan keadaan aku dan Ustaz Malik tadi.

“Mujur saya yang nampak, kalau orang lain yang nampak tadi, tak pasal-pasal timbul fitnah,” kata Ustaz Fariz.

“Saya minta maaf Ustaz. Saya tak boleh duduk dalam bilik tu. Saya stress. Tadi nyaris nak gaduh dengan Zaiton,” kataku perlahan.

“Kenapa pula nak gaduh dengan Zaiton. Dia ada nampak pelik ke?” Ustaz Fariz tanya lagi.

“Dia nampak normal. Tapi dia pula yang pandang saya pelik,” kataku masih memandang keliling ruang solat.

“Kamu cari apa?” Ustaz Fariz tanya aku.

“Tadi ada dua orang Jemaah wanita solat kat sini. Tapi saya Cuma boleh pandang mereka dari dalam cermin. Kalau tengok direct, tak nampak pun,” kataku.

“Semua tu makhluk Allah. Jangan difikirkan sangat. Sekarang ni kamu baliklah ke bilik kami. Jangan keluar. Nanti kamu nampak macam-macam. Benda-benda tu semua berkeliaran di dalam kawasan kolej ni selagi tak jumpa ketuanya. Dan kalau benda-benda ni tahu kamu nampak mereka, keadaan akan lebih teruk.” Kata Ustaz Fariz.

“Mereka tahu kot, saya nampak mereka,” sahutku.

“Mereka itu jin, ada beberapa perkara yang sama macam kita. Tak pasti, was was, curiga, takut, semua mereka ada. Mereka pun tak yakin kamu nampak mereka atau tak. Jadi, kamu jangan biar diri kamu diperbodohkan mereka,” kata Ustaz Fariz lagi.

“Kalau mereka tahu saya nampak mereka, apa akan jadi Ustaz?” aku tanya lagi. Sebenarnya aku takde hati nak balik ke bilik aku.

“Mereka akan bawa kamu ke alam mereka. Kamu akan dianggap sesuatu yang pelik di dunia mereka, kerana kamu dari kalangan manusia, bukan jin. Dah, jangan tanya banyak, pergi balik ke bilik kamu,” kata Ustaz Fariz.

“Saya nak solat Jemaah isya’ dulu di sini. Lepas solat, saya balik bilik,” sahutku.

Ustaz Fariz dan Ustaz Malik berpandangan sesama sendiri. Lepas tu mereka masing-masing melepaskan satu keluhan berat.

“Ikut suka kamu la, kami dah cuba larang, tapi kamu masih nak datang. Nanti lepas solat isya’, tunggu saya. Saya akan teman kamu balik ke bilik,” kata Ustaz Fariz. Aku hanya anggukkan kepala.

Ustaz Malik menyelak tirai yang memisahkan ruang solat lelaki dan wanita. Aku nampak keseluruhan surau. Ada lagi tiga lelaki lain bersama Ustaz Fariz dan Ustaz Malik.

Sebaik selesai solat isya’, aku tanggal telekung dan menyangkutnya di tempat simpanan telekung. Lepas tu aku terus ke pintu. Sebaik aku jenguk keluar, Ustaz Fariz dah berdiri di situ.

“Ustaz tunggu saya ke?” aku tanya.

Ustaz Fariz anggukkan kepala, dan buat isyarat suruh aku jalan di hadapannya.

“Mana Ustaz Malik?” aku tanya, tak selesa pula rasanya aku nak berjalan berdua dengan Ustaz Fariz.

Tapi Ustaz Fariz tak jawab, dia hanya tunduk ke lantai. Tapi memang dia macam tu, jarang la aku dapat bertentang mata dengannya. Aku pun malas nak tanya banyak, sebab tadi pun Ustaz Fariz macam nak marah aku sebab keluar dari bilik. Lalu aku berjalan terus ke blok aku. Sesekali aku toleh ke belakang melihat Ustaz Fariz yang masih mengikuti aku.

“Jangan tengok kiri kanan, jalan terus,” aku dengar Ustaz Fariz bersuara di belakang aku. Aku anggukkan kepala. Tapi mata aku menjeling juga ke kiri kanan.

Kat tepi pokok buluh, ada makhluk umpama langsuir. Kat taman seni kami, di tepi air pancut, ada makhluk kurus dan tinggi, yang aku tak mampu nak dongak untuk lihat tubuhnya sampai mana. Kat tepi tiang di laluan ke kantin, ada susuk tubuh lelaki tanpa kepala. Kat hujung lorong nak ke tangga untuk naik ke bilik aku, ada susuk tubuh kecil tanpa pakaian, sedang melompat bermain dengan dirinya sendiri. Dan di penjuru tangga dari tingkat 1 ke tingkat 2, ada pocong sedang berdiri seakan memerhati langkah aku.

Menggeletar juga lutut aku, tapi sebab Ustaz Fariz berjalan di belakang aku, aku jadi berani sikit. Sampai kat bilik, aku nampak lagi satu susuk tubuh sedang berdiri di cermin tingkap bilik aku dan memerhati ke dalam bilik. Dari susuk tubuh tu, dia seperti pernah kulihat. Tapi aku tak ingat di mana.

Wanita dalam usia mak aku, memakai baju kurung lusuh berwarna merah dengan rambut disanggul. Kat mana aku tengok dia? Aku yakin aku pernah tengok dia. Aku melangkah perlahan ke arah bilik aku, dan wanita itu. Makin aku dekat, makin aku ingat rupa tu. Makin aku dekat, makin kuat bau yang pernah aku cium dulu. Di Sabah. Dia wanita yang aku nampak di dalam kebun pisang di tepi rumah peninggalan arwah nenek Rashida!

Bersambung…

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s