AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 7

“Kenapa doktor datang bilik kami waktu macam ni?” aku bertanya. Tiba-tiba aku rasa pelik kenapa Doktor Wani datang semula ke bilik kami.

“Tadi lepas balik dari sini, saya terus balik rumah. Saya rasa seperti ada sesuatu yang mengikut saya. Tapi takde apa. Kamu pun tahu kan, kalau ada benda halus yang mengikut saya, saya pasti akan nampak sebab saya pun ada anugerah seperti kamu. Tapi saya tak nampak apa-apa. Sampai di rumah, kawan serumah saya kata ada benda hitam kat atas kereta. Tapi saya tak nampak juga.” Kata Doktor Wani.

“Apa yang buat doc datang sini?” aku tanya lagi.

“Saya jumpa benda ni kat dalam rumah saya. Ini bukan barang saya. Tapi saya ada nampak benda ni di bilik kamu tadi. Hati saya rasa tak kena, macam ada sesuatu di dalam bilik kamu ni. Sebab benda ni seperti mengikut saya dari sini,” kata Doktor Wani.

“Benda apa tu Doc?” aku tanya.

Doktor Wani membuka begnya. Dia mengeluarkan sesuatu. Arca keris! Pucat muka aku bila melihat arca keris tu.

“Doc dapat dari mana tu?” aku tanya.

“Itu yang saya cakap, ini bukan milik saya. Tak tahu kenapa benda ni berada di dalam bilik saya. Dan saya ingat saya ada nampak benda ni di bilik ni tadi,” kata Doktor Wani.

“Zaiton, aku dah buang benda ni dulu, kenapa masih ada di sini?” aku tanya Zaiton. Zaiton yang dari tadi diam menyepikan diri, aku lihat berwajah serba salah.

“Kenapa ni Zaiton?” aku tanya.

“Sebenarnya, lepas kau buang arca keris milik Rashida tu, aku pergi ambil. Arca tu cantik. Aku sorok dalam almari aku. Tapi aku tak tahu macammana arca tu boleh berada di rumah Doktor Wani,” kata Zaiton.

“Ton, aku dah buang benda tu, kenapa kau kutip balik? Itu bukan benda baik. Kau tak tahu apa-apa, kenapa kau ambil?” aku bersuara agak keras. Betul-betul aku marahkan Zaiton sebab ambil benda tu semula.

“Aku minta maaf. Malam lepas aku ambil semula arca tu, aku mimpi berjumpa dengan seorang perempuan tua. Dia pegang tangan aku, dia kata jaga arca tu baik-baik. Balut dengan kain kuning. Jangan sampai sesiapa jumpa arca tu. Dia juga ada kata, jangan bagi arca tu pada kau,” kata Zaiton. Mukanya macam nak menangis, takut kena marah dengan aku.

“Ton, kau bukan budak kecil lagi Ton. Kalau kau nak, kau cakap kat aku. Bukan curi-curi ambil macam ni. Kau tahu tak apa benda tu?” aku tanya Zaiton semula. Zaiton hanya gelengkan kepala.

“Aku pun tak tahu benda tu apa tapi rupanya seperti tangkal-tangkal kunci kepada pemegang setiap hantu milik nenek Rashida, yang aku bawa balik dan serahkan kepada Ustaz Fariz,” kataku perlahan.

“Jadi bermakna sebab arca inilah, hantu-hantu tu semua muncul dan ganggu kolej ni?” Doktor Wani tanya aku setelah berdiam lama.

“Saya pun tak pasti.”sahutku.

“Kamu jangan salahkan Zaiton. Kamu pun salah sebab buang benda macam ni begitu saja. Apa pun benda yang berkait dengan alam ghaib, tak boleh dibuang begitu saja. Ada caranya. Dan nasib baik juga Zaiton ambil dan simpan arca ni, kalau dia tak ambil dan sampai ke tangan yang tak sepatutnya, macammana?” Doktor Wani tanya aku semula. Aku diam.

Betul juga cakap Doktor Wani tu. Aku pun tak fikir sampai macam tu. Pada aku, aku dah taknak tengok arca tu. Arca tu yang menyebabkan aku sampai Sabah. Arca tu yang menyebabkan ayah dan mak aku tak percayakan aku. Arca tu betul-betul dah susahkan hidup aku.

“Saya akan pegang arca keris ni. Makhluk yang dipegang oleh kunci arca ini berada di dalam almari Zaiton. Saya pun tak tahu apa benda tu, tapi nampaknya dia dalam keadaan marah. Saya perlu jumpa Ustaz Malik dulu untuk tanyakan hal ni,” kata Doktor Wani.

“Doktor tidur kat sini la malam ni. Kami takut. Lagipun sekarang dah pukul 1.30 pagi.” Kataku.

“Iyelah doc. Saya pun dah takut dengan benda yang berada kat dalam almari saya tu,” kata Zaiton.

“Benda tu tak boleh buat apa selagi arca ni tak dilepaskan kuncinya.” Kata Doktor Wani.

“Macammana nak lepaskan kuncinya?” Aku tanya.

“Saya pun tak pasti. Sebab tu saya tak berani nak pegang sangat. Mungkin ada mantera dan bahagian yang perlu disentuh. Saya tak pasti, yang saya pasti, benda ni bahaya sebab ia mengawal benda di dalam almari tu,” kata Doktor Wani.

Aku tarik selimut aku yang tebal, lalu bentang di atas lantai antara dua katil. Aku suruh Doktor Wani tidur di atas katil aku dan aku tidur di lantai.

“Auuuuuuuuuu.,” kami dengar bunyi lolongan anjing panjang sekali.

“Sejak bila pula kolej ni ada anjing? Selama ni tak pernah dengar pun,” kata Zaiton.

Masa ni aku dah pandang ke tingkap dah. Sebab aku nampak seseorang mengintai dari sana. Doktor Wani cuit tangan aku. Dia bagi isyarat jangan tengok. Aku pejamkan mata, tapi aku rasa macam ada sesuatu yang sejuk mengusap tangan aku.

Aku buka mata perlahan-lahan, aku tak nampak sesiapa. Tapi bulu roma aku meremang. Aku pasti ada sesuatu di dalam bilik tu. Aku pandang almari Zaiton, tak berbunyi apa-apa. Bunyi lolongan anjing makin kuat dan mendayu-dayu seakan menyeru sesuatu.

“Alin, aku takut,” aku dengar suara Zaiton.

“Pejamkan mata, jangan peduli apapun yang ada diluar sana. Dia tak boleh ganggu kamu,” aku dengar suara Doktor Wani.

Aku pejamkan mata.

“Heeeheeeeheeeee…. Sruuppppppp!” aku dengar bunyi tu. Meremang weh bulu roma. Aku buka mata. Aku jeling ke arah Zaiton dan Doktor Wani, kedua-duanya diam di atas katil. Mereka tidur ke?

Aku pejamkan mata semula. “Tok tok tok,” bunyi seperti sesuatu yang mengetuk meja tulis kat tepi tingkap.

“Sreeeettttt….!” Bunyi sesuatu seperti kuku menyeret atau mencakar di dinding bilik.

“Zreettt.. zreeetttt!” bunyi rantai yang diseret oleh kaki yang sedang melangkah.

“Bop bop bop” seakan ada yang melompat juga.

Aku hilang sabar, aku terus bangun. “Siapa kamu semua hah? Jangan ganggu kami.” Aku bersuara agak lantang. Suasana sunyi. Aku pandang keliling, Zaiton dan Doktor Wani masih berbaring di atas katil. Diorang tak dengar ke aku dah menjerit macam ni? Boleh tidur lagi?

“Sreeetttt….”

“tok tok tok”

Bunyi tu masih berkumandang. Aku melangkah ke tepi pintu nak petik suis lampu tapi kaki aku seperti ada yang memegang. Aku tarik kaki aku dengan kuat, betul-betul ada tangan yang memegang. Sejuk je tangan tu.

“Zaiton! Doc!” aku panggil kedua-dua orang itu. Tiada pergerakan. Mereka masih kaku di atas katil.

“Allahu akbar!” aku jerit. Aku cuba lihat apa benda yang memegang kaki aku. Dari samar-samar lampu, aku nampak benda hijau yang aku nampak di gerobok dapur kat rumah nenek Rashida dulu. Toyol!

Aku angkat kepala, ada Pontianak sedang bertenggek di atas meja tulis Zaiton. Dan di tepi  katil ada pocong yang sedang berdiri. Dan di tepi tingkap ada lelaki tanpa kepala berdiri di situ. Dari celah cermin tingkap, aku nampak sepasang mata mengintai dari sana, tanpa badan.

Aku rasa kepala aku berpinar. Aku rasa nak muntah. Aku cuba panggil Doktor Wani dan Zaiton tapi suara aku tak boleh keluar. Tekak aku sakit. Kaki aku berat. Pandangan aku mula kelam dan akhirnya aku rebah tak sedarkan diri.

Aku sedar bila terdengar bunyi azan subuh. Dan wajahku terasa sejuk seperti disapu air. Aku buka mata perlahan-lahan. Kepala aku masih sakit.

“Alhamdulillah, dia dah sedar,” aku dengar suara Ustaz Malik.

Aku duduk. Pandang keliling. Ada Ustaz Malik, Zaiton dan Azrin di depan aku. Dan ada tambahan seseorang yang aku kenal, Ustaz Fariz. Bila pula dia datang ke kolej aku. Aku pandang keliling, mana tau ayah aku pun ada sekali.

“Kenapa dengan kamu ni Alin?” Ustaz Malik tanya aku.

“Ada banyak hantu dalam bilik ni. Saya panggil Zaiton dan Doktor Wani tapi mereka tak sedar. Saya tak boleh jalan sebab mereka semua menyekat saya,” kataku tanpa berkias lagi.

“Kamu panggil Zaiton dan Doktor Wani di mana?” Ustaz Malik tanya aku.

“Mereka baring di atas katil. Saya baring kat lantai,” sahutku.

“Eh, aku tak tidur kat bilik ni semalam. Aku tumpang bilik Azrin. Bilik ni terkunci sejak maghrib semalam. Aku cari warden tapi semua pun dah balik. Aku cari kau, tak jumpa. Telefon aku pun tertinggal kat dalam bilik. Bilik ni terkunci dari dalam. Aku panggil kau, tapi kau tak menyahut. Azrin cuba call kau banyak kali tapi tak dapat. Dia ajak aku duduk kat bilik dia sampai warden balik semua ke kolej. Tapi aku terus tertidur kat bilik mereka. Aku sedar dah nak subuh. Aku call Encik Megat tak dapat. Aku call Ustaz Malik.” Kata Zaiton.

“Alin, tiada sesiapa bersama kamu. Kamu sendirian dalam bilik ni. Zaiton yang panggil kami datang sini bila dia tak boleh buka pintu bilik ni. Dia call saya pagi ni, kebetulan saya terbangun pukul 5 pagi terus bergegas datang sini. kamu terkurung kat dalam bilik.” Kata Ustaz Malik.

“Doktor Wani?” aku tanya.

“Dia dah balik ke rumah dia petang semalam. Kamu je kat dalam bilik ni,” kata Ustaz Malik.

“Tapi betul ustaz, mereka ada kat sini tadi. Tidur dengan saya,” sahutku sambil memandang ke arah kedua-dua katil di dalam bilik aku. Memang tiada sesiapa. Aku pandang keliling, pun tak nampak kelibat Zaiton dan Doktor Wani.

“Habis tu, siapa dengan saya semalam?” aku tanya lagi. Ustaz Malik, Zaiton dan Azrin berpandangan sesama sendiri. Suasana sunyi seketika. Aku picit kepala. Aku kat dunia mana semalam? Dengan siapa?

“Ustaz Fariz datang dengan ayah saya ke?” aku tanya Ustaz Fariz yang sedang memerhati keliling bilik aku.

“Tak, saya datang sendiri. Ustaz Malik hubungi saya semalam. Saya dah berada di sini sejak semalam. Sebab ingatkan awal subuh ni saya nak berjemaah dengan pelajar-pelajar di sini,” kata Ustaz Fariz. Aku diam. Masih tak percaya dengan apa yang terjadi. Aku picit kepala aku yang masih sakit.

“Kamu bersiap dulu. Lepas solat subuh, saya datang sini. Sebab benda tu ada di sini,” kata Ustaz Fariz.

“Benda apa?” Zaiton tanya. Tapi tiada siapa yang menjawab. Azrin balik ke biliknya. Ustaz Fariz mengikut Ustaz Malik. Hanya aku yang masih bersamanya.

“Alin, apa yang jadi semalam? Kenapa kau kunci pintu?” Zaiton tanya aku.

“Ton, kau ada simpan apa-apa barang tak?” aku tanya Zaiton.

“Barang apa pulak ni?” Zaiton tanya aku.

“Dulu kau bagi aku satu arca keris, kau kata jumpa kat bawah bantal Rashida kan? Ingat tak?” aku tanya. Wajah Zaiton berubah masa tu.

“Ton, aku dah buang arca tu Ton. Tapi ada orang dah ambil dan simpan. Kau tau tak pasal ni?” aku tanya Zaiton lagi bila dia tak menyahut.

“Kau tahu siapa ambil?” aku tanya lagi. Aku tak berani nak terus tuduh dia. Aku nak dia mengaku sendiri. Sebab aku sendiri tak pasti adakah apa yang aku dengar semalam itu adalah realiti atau aku sekadar bermimpi?

Zaiton masuk ke dalam bilik. Dia buka almarinya dan mencari sesuatu. Aku hanya memerhati.

Zaiton menggeledah almarinya. “Kau cari apa Ton?” aku tanya.

“Sebenarnya Alin, aku ambil arca tu. Aku simpan dalam almari ni.” Kata Zaiton.

“Kenapa kau ambil balik?” aku tanya.

“Aku minta maaf. Aku rasa benda tu cantik,” Zaiton menyahut. Dan alasannya sama macam apa yang aku dengar semalam, di kala Zaiton kata dia tak bersama dengan aku.

“Mana arca tu sekarang?” aku tanya.

“Ni aku tengah cari ni. Aku letak dalam laci ni je. Tapi sekarang dah takde,” sahut Zaiton.

Aku diam berfikir. Kalau apa yang aku lalui semalam adalah benar, bermakna arca tu sekarang ada bersama dengan Doktor Wani. Tapi kenapa Doktor Wani nak ambil arca tu?

Bersambung…

2 thoughts on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s