AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 6

‘Allah! Allah! Astaghfirullahal ‘azim. Ya Allah, bantu aku Ya Allah,’ ucapku perlahan, aku pejamkan mata.

“Alin, kita kan kawan? Kenapa kau menjauhkan diri?” aku dengar suara Rashida. Aku buka mata perlahan. Aku pandang dia. Rashida yang aku kenal, persis Rashida, bukan orang lain. Melihatkannya membuatkan aku tak rasa takut.

“Rashida?” aku sebut namanya.

“Iya, aku Rashida, kawan kau. Kau kawan aku yang paling baik. Kau temani aku ke Sabah di kala orang lain tak sanggup ikut aku,” Rashida bersuara lagi, buatkan aku makin keliru.

“Tapi…,” aku cuba nak cakap.

“Tapi?” Rashida tanya aku, meminta aku menyambung kata-kata aku.

“Kau sedang koma, macammana kau berada di sini? Macammana kau bersama aku di Sabah?” aku beranikan diri bertanya.

“Yang koma itu bukan aku,” Rashida menyahut. Aku kerutkan dahi.

“Aku berada di sisi kau Alin, kau kawan aku,” kata Rashida lagi.

“Tapi semua orang tahu kau sedang koma. Kau bukan dia,” kataku lagi.

“Ini aku, Rashida. Yang koma tu bukan aku. Hanya kau yang boleh bantu aku, sebab kau nampak aku,” kata Rashida.

“Aku tak faham. Jangan ganggu aku. Kau pergi, kau bukan kawan aku,” aku mengundur beberapa langkah ke belakang.

“Alin, aku sedang dikurung. Jasad yang koma itu hanya untuk mengaburkan mata orang lain. Lepaskan aku Alin, tolong aku,” kata Rashida lagi.

“Siapa kurung kau? Kau kat mana pulak?” Aku tanya. Entahlah kenapa aku ni mudah sangat percayakan dia. Aku kenal Rashida. Dia kawan baik aku.

“Aku menyimpan sesuatu yang diperlukan untuk menguatkan kuasa iblis di kalangan saudara mara ibuku. Mereka dah terlalu jauh menyimpang dari landasan agama. Mereka kurung aku selagi aku tak serahkan barang itu.” Kata Rashida.

“Barang apa pulak? Cukuplah kat perdaya aku untuk ikut kau ke Sabah. Aku takkan tertipu lagi,” kataku masih memandang lantai. Aku tak berani bertentang mata dengan Rashida. Walaupun dia kelihatan sempurna sebagai Rashida di depan aku, tapi aku tahu dia bukan Rashida.

“Aku tak pernah perdaya kau. Aku sentiasa bersama kau Alin. Kau yang tak sedar.” Kata Rashida lagi.

Aku terus melangkah ke pintu bila terdengar bunyi pintu seperti sedang diketuk orang dari luar.

“Alin, cari barang tu. Tolong aku. Cari barang tu dan hapuskan. Pastikan barang tu tak sampai ke tangan yang salah,” aku dengar suara Rashida makin sayup.

Pintu utama bilik air terbuka. Ustaz Malik, Zaiton, Doktor Wani dan Encik Megat berdiri di luar pintu bilik air. Aku menoleh ke arah tempat Rashida berdiri, tapi dia tiada di sana.

“Alin, kau ok? Macammana pintu ni terkunci?” Zaiton menerpa ke arah aku.

“Aku ok.” Kataku perlahan.

“Ustaz, saya jumpa Rashida di dalam sana. Dia minta tolong carikan barang dia,” kataku mengadu.

“Barang apa?” Doktor Wani bertanya.

“Saya tak tahu, tapi macam penting,” kataku.

“Dia cuba perdaya kamu tu,” kata Encik Megat, mungkin dia dah tahu kisah yang dia tak faham sejak semalam.

Semua kelas ditangguhkan pada hari itu. Aku masuk ke pejabat Ustaz Malik setelah dia memanggil aku. Doktor Wani pun ada sekali.

“Alin, sejak kamu ke Sabah bersama ‘Rashida’ tu, kamu ada bawa balik apa-apa barang tak?” Ustaz Malik tanya aku.

“Ada, barang peninggalan nenek Rashida,” sahutku.

“Barang apa?” Doktor Wani tanya.

“Hmmm….,” aku teringat sesuatu. Ustaz Fariz masa dia ambil arca keris yang banyak-banyak tu, dia ada pesan kat aku supaya tak ceritakan tentang barang dalam beg tu kepada sesiapa pun jika ada yang bertanya. Ustaz Fariz siap pesan, biar pecah di perut, jangan sesekali pecah di mulut. Walau siapapun yang bertanya. Walau siapapun. Dan pesanannya tegas sekali.

“Alin? Barang apa kamu bawa balik dari Sabah?” Ustaz Malik bertanya lagi.

“Saya tak tahu. Saya cuma bawa balik beg saja. Beg tu saya serahkan pada Ustaz Fariz. Dia dah ambil beg tu,” kataku.

“Ustaz Fariz tu siapa? Boleh kami jumpa dia?” Doktor Wani bertanya.

“Boleh, dia tinggal dekat dengan rumah ayah saya. Kita kena pergi sana la kalau nak jumpa dia,” sahutku.

“Kita perlu jumpa dia. Sebab itu saja jalannya untuk kita tahu punca semua ni.” Kata Ustaz Malik.

“Kamu ada nombor telefonnya?” Doktor Wani bertanya, seakan tak sabar nak tahu tentang barangan peninggalan nenek Rashida.

“Saya takde nombornya tapi ayah saya ada. Kalau perlu, saya minta dari ayah saya,” kataku.

“Ok, nanti kamu telefon ayah kamu, minta nombor telefon Ustaz Fariz,” kata Ustaz Malik.

“Baiklah, nanti saya dapatkan,” sahutku.

“Kamu balik ke bilik dulu,” Ustaz Malik menyuruh aku balik ke bilik.

Sampai di bilik, aku tak nampak Zaiton. Dia keluar agaknya. Aku duduk di katil aku dan ambil telefon lalu dail nombor ayah. Belum sempat aku tekan ‘call’ aku terdengar bunyi sesuatu di dalam almari Zaiton. Aku batalkan panggilan ke nombor ayah aku.

Aku cuba amati bunyi dari dalam almari Zaiton. Bunyi seakan satu benda besar yang sempit di dalamnya. Sesekali aku nampak almari Zaiton bergerak seakan ada yang menolak dengan kuat dari dalam.

“Zaiton?” aku panggil. Takkanlah Zaiton terkunci dalam almari sendiri kot.

Aku bangun dan cuba memegang tombol pintu almari baju Zaiton. Belum sempat aku tarik pintu almari tu, Zaiton muncul di muka pintu.

“Kau buat apa?” Dia tanya aku bila nampak aku berdiri di tepi almarinya sambil pegang tombol almarinya.

“Ada benda kat dalam almari kau ni,” kataku perlahan.

“Benda apa?” Zaiton tanya aku dengan muka cuak.

“Aku tak tahu, tapi macam benda besar yang berada di tempat sempit. Kau tengok betul-betul, sampai bergerak almari kau,” kataku sambil menunjukkan ke arah pintu almari yang bergerak seperti ditolak dari dalam.

“Iyelah, apa benda tu?” Zaiton tanya aku, mukanya dah pucat.

“Kita cuba buka?” aku tanya.

“Kau bukalah, aku tak berani.” Kata Zaiton, muka dah macam nak nangis.

Tanpa menunggu lagi, aku tarik tombol pintu almari Zaiton. Zaiton dah tutup muka. Aku buka almarinya luas. Tiada apa di dalamnya. Hanya pakaian dan barangan Zaiton.

“Takde apa pun,” Zaiton kata setelah aku tarik tangan yang menutup mukanya.

“Haah, takde apa. Tapi tadi kau pun nampak kan, almari ni macam bergerak dari dalam,” aku tanya Zaiton untuk mohon kepastian.

“Haah, aku nampak,” sahut Zaiton.

“Alin, tadi kau kata kau nampak Rashida kan? Kat bilik mandi,” Zaiton tanya aku.

“Haah,” sahutku sepatah sambil masih meneliti almari Zaiton.

“Dia nak apa? Dia bercakap dengan kau ke?” Zaiton tanya lagi.

“Haah, dia suruh aku cari barang dia,” kataku.

“Apa barang dia tu?” Zaiton tanya aku.

“Manalah aku tahu. Tak sempat nak sembang. Ustaz Fariz pernah cakap kat aku, jin dan syaitan suka menyesatkan manusia dengan cara buat kita percayakan dia. Tambahan macam aku ni, aku sendiri adakala tak tahu nak bezakan itu manusia atau jin dan syaitan. Jadi, bila aku ragu, lebih baik aku tak teruskan berbual dengan ‘orang’ yang aku tak pasti kesahihannya,” kataku perlahan.

Telefon aku berdering. Ayah aku telefon. Macam tahu-tahu je dia aku nak call dia tadi.

“Assalamualaikum ayah,” kataku selepas telefon dijawab.

“Waalaikumussalam,” ayahku menyahut.

“Kamu ok ke?” Ayah aku tanya.

“Ok je ayah, kenapa?” aku tanya balik.

“Ustaz Fariz jumpa ayah. Dia nak jumpa kamu,” kata ayah. Hah, pucuk dicita ulam mendatang. Memang aku nak cari Ustaz Fariz.

“Kalau macam tu, ayah bagi nombor telefon Ustaz Fariz, nanti Alin call dia,” kataku. Dan ayah aku bagi nombor telefon Ustaz Fariz tanpa banyak soal. Tapi suara ayah macam risau.

“Kau betul ok ni Alin?” Ayah aku tanya lagi.

“Ya Ayah, Alin ok. Jangan risau,” kataku lembut. Bila ayah tanya aku macam tu, aku dapat rasakan ayah aku sayangkan aku, Cuma ayah aku taknak tunjuk.

“Jaga diri baik-baik, jangan jalan seorang diri, nak ke mana-mana, ajak kawan temankan,” ayah pesan.

“Ya ayah. Alin ingat pesan ayah. Nanti ayah kirim salam kat mak ye,” kataku mengakhiri perbualan.

“Dapat nombor Ustaz Fariz?” Zaiton tanya aku.

“Dapat dah. Aku nak pergi bagi kat Ustaz Malik sekejap,” kataku lalu bangun dan keluar dari bilik. Zaiton berlari mengikut belakang aku.

“Kau dah kenapa?” aku tanya.

“Aku ikut. Takut aku nak tinggal sendiri dalam bilik ni,” kata Zaiton. Aku tak menyahut. Terus berjalan menuju ke bilik Ustaz Malik.

 Lepas Asar, kolej kembali riuh dengan pelajar yang beriadah. Anak muda, mana mahunya duduk terperap dalam bilik seharian. Walau apapun yang terjadi, mereka akan cepat melupakan dan kembali seperti biasa. Cuma ada beberapa pelajar yang nampak makhluk-makhluk pelik semalam, minta izin untuk balik ke rumah masing-masing. Mungkin masih takut-takut. Dengan kejadian gumpalan api yang pihak bomba pun tak tahu dari mana asalnya.

Waktu maghrib, aku solat di bilik je. Zaiton uzur, dia tak solat. Masa aku solat, aku terbau busuk hanyir darah dan tanah lumpur. Tapi sebab aku sedang solat, walaupun tak khusyu’, aku tetap teruskan solat aku.

Bilik aku tu taklah besar sangat. Zaiton duduk kat meja tulis. Aku solat kat tengah-tengah antara dua katil. Belakang aku dinding je. Tapi aku boleh rasa ada sesuatu di belakang aku. Aku dengar bunyi nafas garau. Macam bunyi anjing liar yang sedang marah tu.

Sebaik habis solat, aku terus toleh ke belakang. Ada perempuan berpakaian serba putih dengan rambut mengerbang, gigi taring di kiri kanan mulutnya, mata merah, sedang bertinggung di belakang aku.

Aku terus menjerit. Tapi kaki aku terasa berat tak boleh nak bergerak.

“Pontianakkkkkkk!” aku dengar suara Zaiton menjerit. Bermakna Zaiton pun nampak benda tu.

Bila terdengar suara Zaiton menjerit, makhluk tu terbang menembusi dinding dan hilang macam tu je. Zaiton masih menggeletar kat kerusinya. Aku beristighfar panjang. Cuba angkat kaki aku yang lemah bagai tiada tulang. Aku menghampiri Zaiton, mengusap rambutnya perlahan. Dia menangis lalu memeluk aku.

Aku ambil telefon, terus hubungi Doktor Wani. Tak tahulah sejak petang tadi aku asyik teringatkan Doktor Wani. Sebab aku tahu Doktor Wani ada anugerah yang sama macam aku. Jadi, aku rasa aku boleh ceritakan segalanya pada Doktor Wani. Aku yakin dia akan faham. Lagipun dia perempuan, aku lebih selesa berbual dengannya.

Setengah jam lepas tu, Doktor Wani muncul di bilik aku. Dia peluk aku dan Zaiton yang masih pucat. “Jangan risau, semua akan ok. Kamu Cuma perlu ceritakan segalanya kepada saya. Saya akan cuba bantu. Jangan sorok walau sikit pun, sebab mungkin apa yang kamu sorok itulah sebenarnya kunci kepada penyelesaian masalah ni,” kata Doktor Wani.

Lalu aku ceritakan semua hal, termasuk arca keris yang aku bawa balik dari rumah peninggalan nenek Rashida. Aku ceritakan tentang bayangan hitam yang aku nampak di dalam wad Rashida. Aku ceritakan tentang Rashida yang aku jumpa dalam bilik air. Aku ceritakan segalanya. Aku taknak pendam dah. Aku harap semua ni berlalu segera. Aku dah penat. Aku penat kerana takut pada perkara yang tak sepatutnya manusia normal takutkan. Iaitu hantu. Satu perkara yang semua orang anggap imaginasi, orang anggap tahyul. Tapi aku nampak.

Aku nampak semua yang orang anggap tahyul. Tapi selagi benda-benda tu tak ganggu aku, aku tak kisah. Aku dah lali. Tapi aku tetap takut melihat rupa mereka yang tak sempurna. Walaupun aku dah tengok selalu. Tapi paling aku takut pada mereka yang mengganggu aku. Yang melihat aku dengan pandangan marah, seakan aku buat salah. Atau yang melihat aku dengan sebarang emosi. Aku tak suka.

“Kamu jangan risau. Saya tahu apa yang saya perlu lakukan,” kata Doktor Wani. Aku rasa lega. “Terima kasih Doktor,” ucapku. Doktor Wani mengusap rambutku perlahan dan tersenyum.

Jam 12 tengah malam, aku dan Zaiton berbaring di katil kami. Tingkap bilik dibuka dan ditutup berkali-kali, seperti malam semalam. Zaiton pandang aku. “Siapa tu?” Dia tanya aku. Aku tak menyahut.

Aku pandang ke tingkap. Nampak seseorang berdiri di situ, memandang kami dari celahan tingkap cermin tu. Berdebar jantung aku.

“Zaiton, kau nampak apa-apa tak kat cermin tingkap tu?” aku tanya. Zaiton pandang kea rah cermin tingkap.

“Takde apapun. Tapi aku dengar bunyi cermin tu dibuka dan ditutup,” kata Zaiton.

“Kau tak nampak orang kat situ?” aku tanya.

“Takde orang pun,” kata Zaiton dengan suara menggigil.

Lebih kurang lima minit, tiada apa-apa berlaku. Tapi aku dan Zaiton dah tak boleh pejamkan mata. Tiba-tiba almari Zaiton diketuk bertalu-talu dari arah dalam. Zaiton terus menangis terkejut.

“Sebenarnya apa yang ada kat dalam almari kau ni?” aku terus tanya Zaiton.

“Mana ada apa,” sahut Zaiton.

“Betul?” aku tanya lagi.

“Betul. Aku nak simpan apa je kat dalam almari tu?” sahut Zaiton masih menekup mukanya dengan bantal.

Sedang kami ketakutan tu, pintu bilik diketuk orang dari luar. Aku pandang ke tingkap cermin, tiada sesiapa berdiri di tingkap.

“Alin, Zaiton, buka pintu ni,” aku dengar suara Doktor Wani. Zaiton terus berlari ke pintu dan membukanya. Doktor Wani berdiri di muka pintu dan melihat kami berdua dalam keadaan pucat.

“Kenapa ni?” Doktor Wani bertanya.

“Ada ‘benda hidup’ di dalam almari saya.” Kata Zaiton.

Doktor Wani melangkah ke arah almari Zaiton lalu dibuka. Tiada apa-apa. Doktor Wani pandang Zaiton dan aku. “Betul Doc, tadi ada benda meronta kat dalam almari tu,” kata Zaiton lagi.

“Perasaan kamu je kot. Takde apa kat sini,” kata Doktor Wani sambil menutup semula almari tersebut. Tapi aku perasan wajah Doktor Wani berubah bila dia membuka pntu almari tu. Dia seakan melihat sesuatu di dalam almari tu. Aku pasti. Doktor Wani nampak sesuatu di dalam almari tu.

“Ada apa Doc?” aku tanya. “Tiada apa,” sahutnya lalu menutup almari tersebut. Wajahnya masih pucat seperti tadi. Sesekali dia memandang Zaiton seakan ada sesuatu yang difikirkannya mengenai Zaiton.

Bersambung…

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s