AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 5

“Jom ikut saya,” Ustaz Malik mengajak aku mengikut langkahnya menuruni tangga blok kami. Aku pun menurut. Encik Megat masih termangu-mangu tidak faham dengan apa yang sedang terjadi.

“Benda tu masih ada di sana?” Ustaz Malik tanya aku. Aku pandang ke tempat mayat berkafan tadi. Benda tu masih di sana.

“Dia masih di sana,” aku menyahut, berdebar dada aku bila ‘pocong’ tu tiba-tiba berdiri tegak di tepi tiang besar café.

“Dia dah berdiri ustaz. Kat tepi tiang besar café tu,” kataku dengan suara menggeletar.

“Apa benda ni? Siapa yang berdiri?” Encik Megat sergah dari belakang aku buatkan aku melompat terkejut.

“Encik Megat pergi ke setiap blok, bagi arahan kepada semua pelajar untuk masuk ke dalam bilik masing-masing. Bagi amaran kepada mereka supaya tak keluar dari bilik sampai azan subuh. Saya akan ambil alih di sini,” kata Ustaz Malik kepada Encik Megat.

Encik Megat pandang aku dengan pandangan penuh tandatanya. Tak lama lepas Encik Megat pergi, hujan renyai-renyai turun menitis di atas aku dan Ustaz Malik. Aku mendongak ke langit. Ada sesuatu yang sedang terbang melintasi di atas kepala kami dan terus hinggap di pokok besar tepi café.

“Ini bukan air hujan kan?” Ustaz Malik tanya aku sambil menyapu air yang jatuh di mukanya. Aku gelengkan kepala.

“Cuba tengok keliling, ada berapa?” Ustaz Malik tanya aku. Aku dah macam lembu dicucuk hidung, hanya menurut apa saja yang disuruh oleh Ustaz Malik.

Aku pandang keliling. Satu masih berdiri di tepi tiang café. Satu masih di atas pokok besar. Aku nampak ada budak kecil terlompat-lompat di tempat pejalan kaki dari dewan kuliah ke Blok Utarid. Di tepi pintu tandas yang paling hampir dengan kami, aku nampak susuk tubuh seorang lelaki dengan kulit wajahnya dah tiada, hanya tengkorak dan tangannya juga hanya rangka.

Aku tunduk ke lantai. Masa ni aku teringat pada masa aku sesat di alam jin dulu. Aku tengok pelbagai rupa dan bentuk. Ada yang tinggi, rendah, gemuk, kurus, cantik, buruk. Tapi semua tu aku lihat ketika aku berada di alam lain. Masa kat Sabah pun aku seperti berada di alam lain. Cuma sekarang ni, aku berpijak di bumi nyata. Aku tak sesat di alam lain selain dari alam asal aku.

“Alin? Ok tak? Jangan takut, benda tu semua takkan boleh apa-apakan kamu. Kamu kena kuatkan hati, zikir jangan tinggal. Mereka tahu kamu nampak mereka, jadi mereka takkan lepaskan peluang untuk bawa aku bersama mereka,” kata Ustaz Malik kepada aku.

“Saya ok ustaz. Yang saya nampak sekarang ada lima. Semua memandang ke arah kita. Mereka seperti terpinga-pinga, tak tahu mereka berada di mana,” kataku masih memandang lantai.

Leher aku tiba-tiba rasa sejuk. Aku pejamkan mata, tak berani nak tengok siapa atau apa yang sedang meleret di belakang leher aku.

“Ustaz, ada benda kat leher saya,” kataku menggigil.

“Takde apapun,” kata Ustaz Malik.

“Ada ustaz,” jeritku kuat sambil menggeletar.

“A’uzubillaahiminassyaitonirrojim. Bismillaahirrohmaanirrohim,” aku dengar Ustaz Malik membaca sesuatu. Rasa sejuk dileher dah hilang, tapi bila aku mengangkat muka, lelaki yang berdiri di pintu tandas tadi sedang berdiri betul-betul di depan aku dan Ustaz Malik.

“Kamu nampak kami?” suara garau lelaki itu bertanya aku. Aku tundukkan kepala, tak sanggup memandang wajah lelaki tersebut. Dengan matanya yang terkulai keluar dari kelopak mata, tulang hidung yang memanjang dan penyet sampai ke dagu. Pakaiannya mereput dan koyak di merata-rata.

 “Hantar kami balik,” aku dengar suara garau lelaki itu lagi.

“Alin?” Ustaz Malik panggil aku perlahan. Kepala aku berpinar-pinar rasa nak muntah. Dan masa aku hampir nak rebah, ada seseorang memegang tangan aku dan memapah aku ke tepi blok dan duduk di satu kerusi.

“Alin, buka mata. Jangan ikut apa yang diorang cakap. Mereka sedang cuba perdaya kamu. Hei, buka mata kamu. Jangan pejam mata, bangun, bangun Alin,” aku terasa pipi aku ditampar beberapa kali.

Aku buka mata perlahan-lahan. Masih rasa nak muntah. Aku nampak wajah Doktor Wani sedang memandang ke arah aku. Tak sempat aku bersuara, aku terus muntah. Lepas muntah barulah aku rasa lega sikit.

“Ok dah?” Doktor Wani tanya aku. Aku pandang Ustaz Malik yang masih setia di situ.

“Lega sikit.” Sahutku.

“Ustaz, ‘mereka’ semua ni dikawal oleh seseorang atau sesuatu. Ada banyak ni, macam menunggu arahan untuk bertindak,” kata Doktor Wani.

“Mereka?” Ustaz Malik tanya Doktor Wani.

“Iye, ‘mereka’ yang Alin nampak ni, saya pun nampak kesemuanya,” kata Doktor Wani.

“Ok ok. Apa mereka nak?” Ustaz Malik macam dah pasrah. Tak boleh nak faham dengan  suasana ni. Aku pun baru teringat, Doktor Wani pernah bagi bayangan kat aku bahawa dia pun ada anugerah yang sama macam aku, iaitu dia boleh nampak hantu!

“Mereka menunggu arahan, atau mereka terkurung, atau mungkin mereka terlepas dari kurungan. Saya pun tak pasti. Rasanya ada sesuatu kat kolej ni yang sedang kawal mereka,” kata Doktor Wani.

“Jadi sekarang ni apa perlu kita buat? Halau mereka pergi atau biarkan?” Ustaz Malik bertanya.

“Kita perlu cari apa yang mereka mahu kat kolej ni. Saya pun baru sampai sini, jadi saya tak tahu sejarah kolej ni,” kata Doktor Wani sambil pandang aku. Dari pandangan matanya, dia seakan memberi isyarat bahawa dia sedar bahawa aku adalah dalangnya di atas kemunculan makhluk-makhluk aneh di kolej ni.

“Macam ni, saya ikat mereka dulu. Tapi hanya untuk saat ini. Selepas beralih malam ke siang, siang ke malam, mereka akan muncul semula. Sebab apa yang saya dapat rasa tanpa lihat, mereka takkan pergi selagi mereka tak dapat apa yang mereka mahu.” Kata Ustaz Malik,

“Ya ustaz, itulah sebaiknya. Kita cari jalan penyelesaiannya bila matahari terbit nanti,” kata Doktor Wani.

Tak sempat lagi Ustaz Malik dan Doktor Wani mendapat kata sepakat, aku nampak Zahra berlari keluar dari biliknya dari tingkat satu dan terus melompat ke bawah. Mengucap panjang kami di situ. Ustaz Malik terus berlari mendapatkan Zahra tapi Zahra lebih cepat berlari dan terus memanjat pokok besar di tepi café.

“Ya Allah, kamu dah kenapa Zahra?” Ustaz Malik memanggil.

“Heeeeheeeeheeeeee….” Zahra mengilai di atas pokok. Makhluk-makhluk aneh tadi dah tak kelihatan.

Ustaz Malik berdiri di bawah pokok besar, menghentakkan tumit kaki kirinya di tanah, dengan mulutnya terkumat kamit.

“Aku mahu barang aku. Aku mahu barang aku.” Zahra ulang ayat tersebut. Banyak kali.

“Barang apa?” Ustaz Malik bertanya.

“Dia tahu. Diaaaa tahuuuuuuuuuu,” kata Zahra sambil menunjuk ke arah aku. Kecut perut aku dibuatnya. Doktor Wani pandang aku.

“Kamu ada simpan apa-apa dari alam mereka ke?” Doktor Wani tanya aku. Aku gelengkan kepala.

“Habis tu kenapa dia kata kamu tahu?” Doktor Wani tanya aku. Dan aku masih gelengkan kepala dengan tubuh aku yang menggeletar.

“Allahu akbar, Allah akbar. Asyhaduan laa ilaahaillah,” Ustaz Malik melaungkan azan.

Zahra yang berada di atas pokok menjerit dan sekali lagi dia jatuh dari pokok terus ke tanah. Doktor Wani berlari mendapatkannya Zahra yang tak sedarkan diri.

“Tolong saya angkat dia. Kita bawa ke bilik rawatan,” kata Doktor Wani. Aku akur, mengikut arahan Doktor Wani.

Ketika kami berada di bilik rawatan, kedengaran azan subuh dilaungkan dari masjid berdekatan dengan kolej.

“Dah beralih matahari, ‘mereka’ tak boleh ganggu kita sekarang.” Kata Ustaz Malik perlahan.

Doktor Wani menelefon hospital. Zahra dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Lututnya terseliuh. Tulang pergelangan tangannya retak. Aduh! Tak pasal-pasal je Zahra yang jadi mangsa.

Aku balik ke bilik. Aku tahu ada yang mengekori aku tapi aku cuba buat-buat tak tahu. Ustaz Malik kata, ‘mereka’ dari alam jin takkan kacau kita selepas azan subuh sampai azan maghrib. Tapi pada aku, mereka tak kacau tapi bila mereka menunjukkan rupa, itu dah cukup kacau aku, sebab aku nampak mereka, tak kira siang atau malam.

Aku masuk ke bilik. Zaiton masih tidur. Aku ambil telefon. Ada 4 missed call dan 2 mesej. Aku buka, missed call dari nombor Maklong, mak saudara Rashida. Aku buka mesej. Juga dari Maklong.

“Alin, Rashida dah buka mata. Tapi dia hanya memandang siling. Doktor terpaksa ikat kaki dan tangannya sebab takut dia bertindak diluar kawalan sebab dah terlalu lama koma,” mesej dari Maklong.

“Alin, Rashida bersuara, dia sebut nama kamu,” mesej kedua dari Maklong.

Entahlah kenapa, meremang bulu roma aku baca mesej-mesej dari Maklong.

“Apa dah jadi Alin?” Zaiton tiba-tiba tanya aku dari arah belakang.

“Opocot mak kau!” aku melompat terkejut. Bila pula Zaiton jaga dari tidurnya, sedar-sedar dia berdiri di belakang aku.

“Aku la ni. Kenapa kau terkejut macam tu sekali?” Zaiton tanya aku. Aku masih mengurut dada.

“Kau jangan buat macam tu lagi. Aku tak boleh la, cukup la dengan apa yang aku hadap semalaman,” kataku agak keras.

“Ok ok, aku minta maaf. Aku tak patut sapa kau macam tu,” kata Zaiton.

Aku usap muka aku dengan telapak tangan. Satu keluhan berat terlepas dari mulut aku.

“Semua dah ok ke?” Aku dengar macam suara Zahra menjerit semalam. Lepas tu ada ambulan masuk kawasan kolej. Aku nak keluar tengok tapi Encik Megat dah bagi amaran kat group, sesiapa pun tak boleh jenguk keluar bilik. Kalau langgar arahan, akan kena buang kolej. Lain macam tegasnya Encik Megat semalam,” kata Zaiton.

“Zahra kena rasuk. Dia terjun dari tingkat 1, lepas tu panjat pokok. Lepas tu dia jatuh pokok pula,” kataku perlahan.

“Ya Allah, kesiannya dia. Kenapa jadi macam tu? Apa yang rasuk dia?” Zaiton tanya. Aku angkat bahu, malas nak cerita panjang. Aku ambil tuala dan keluar dari bilik untuk mandi.

Sampai bilik air, bilik air kosong. Selalunya waktu macam tu, dah penuh dengan pelajar nak mandi. Aku pandang keliling. Senyap.

Seketika kemudian aku dengar bunyi air mandian berbunyi di bilik air hujung sekali. Aku rasa lega sikit sebab aku tahu ada orang lain dalam bilik air tu.

“Dum!” Pintu besar bilik air ditutup kuat. Aku berjalan ke arah pintu utama bilik air, nak tengok siapa yang tutup pintu utama tu. Tiada sesiapa di pintu utama yang tertutup.

“Siapa tutup pintu ni?” aku bersuara agak kuat, nak tahu siapa tutup pintu tu. Sebab pintu tu takkan tertutup sendiri waima ada angin kuat sekalipun. Sebab pintu tu dah disekat dengan kunci besi di bahagian atas. Bermakna sesiapa yang nak tutup atau buka pintu tu, mereka perlu untuk membuka kunci di bahagian atas pintu itu sendiri.

Dan masa ni aku dengar bunyi paip mandian ditutup. Tiada lagi bunyi paip mandian terpasang. Aku melangkah perlahan ke arah bilik-bilik mandi. Aku pandang bilik mandi hujung sekali, tempat paip mandian terpasang tadi.

Pintu masih tertutup. Aku menunggu pintu tu terbuka. “Kreeekkkkk!” Pintu bilik air hujung terbuka. Aku masih menunggu untuk melihat siapa yang keluar. Entahlah kenapa dada aku berdebar-debar laju sangat. Aku rasa bilik air tu terlalu sunyi, terasa seperti aku keseorangan di situ. Telefon pun aku tak bawa. Pintu utama dah terkunci, ni macammana aku nak keluar kalau terjadi apa-apa ni.

“Ada sesiapa ke di sana?” Aku beranikan diri bertanya. Tiada sahutan.

Aku berpusing ke arah cermin dinding. Aku jeling cermin yang terletak betul-betul di depan pintu bilik air hujung. Aku nampak sesuatu atau seseorang. Sedang berdiri menghadap cermin dengan pintu bilik air yang terbuka. Berpakaian baju kurung berwarna kuning dengan rambut menutupi separuh wajahnya.

“Hmmmm…hmmmm…hmmm….,” aku dengar suara halus seorang gadis menyanyi perlahan. Jantung aku dah laju semula. Aku yakin ada seseorang di dalam bilik air hujung tu, yang sedang memandang tepat ke arah aku melalui cermin.

“Siapa tu?” aku beranikan diri bertanya. Walaupun dari cermin tu kami dah berpandangan sesama sendiri.

Gadis itu bergerak keluar dari bilik air. Dia terus menghadap ke arah aku. “Kau kenal aku,” Aku dah mula berpeluh-peluh, mata aku dah mula berat, kepala aku pening semula, dan rasa mual nak muntah muncul lagi. Aku tak daya nak angkat tangan aku.

Aku pandang dia. RASHIDA!

Bersambung…

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s