AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 3

Zaiton cepat-cepat tutup pintu sambil pandang aku dengan pandangan semacam.

“Masa aku lalu kat café tadi, aku ada dengar Suraya sembang dengan Khir. Serius je muka masing-masing,” kata Zaiton. Aku berhenti menulis, menoleh ke arah Zaiton yang sedang duduk di atas katilnya.

“Sembang pasal apa weh?” aku tanya. Menarik pula untuk aku dengar cerita Zaiton. Sebab aku dah hilang mood ulangkaji dah lepas entah siapa ketuk pintu bilik aku tadi.

“Aku tak dengar jelas. Tapi sebab aku dengar diorang sebut nama Shida, maka aku dengan gaya ala-ala nak beli barang, lalu tepi diorang. Aku dengar Suraya kata dia nampak Shida kat kawasan kolej ni petang tadi. Lepas tu Khir pula kata, dia pernah nampak Shida kat kebun belakang kolej,” kata Zaiton.

Aku diam. Takkanlah diorang pun boleh nampak benda ghaib? Lagi satu, takkankan Rashida sampai sini?

“Weh, kau rasa Shida tu ada membela ke?” Zaiton tanya aku.

“Bela apa?” aku tanya Zaiton. Tak proses pula otak aku masa ni.

“Bela hantu. Bela saka. Bela benda-benda ghaib ni. Sebab tu orang nampak dia di tempat lain sedangkan dia berada di tempat lain. Benda yang dia bela ni la yang menyerupai dia,” kata Zaiton.

“Hish kau ni Ton. Jauh sangat imaginasi kau tu,” kataku menepis tuduhan Zaiton.

“Takdelah, aku bagi contoh je. Dulu kat kampung aku selalu aku dengar cerita macam ni. Kadang tu cerita tak masuk akal pun ada, tapi semua tu memang terjadi. Entahlah, aku pun tak tahu, takkanlah di zaman teknologi canggih ni masih ada orang yang bela benda-benda macam ni kan. Tambahan dengan usia kita Gen-Y ni. Kalau orang tua dulu-dulu mungkinlah,” kata Zaiton.

Aku diam, taknak memanjangkan perbualan tentang hal ni. Aku pusing kembali ke meja aku. Aku pandang assignment yang sedang aku draf. Tapi fikiran aku takde kat situ. Aku masih memikirkan apa yang Zaiton cakap. Rashida ada membela?

Kalau ikut cakap Ustaz Fariz, semua hantu peliharaan nenek Rashida, disimpan oleh Melati iaitu mak saudara Rashida di Sabah. Mak Rashida sendiri dah menolak untuk menerima bahagiannya. Jadi, takde masalah dah sepatutnya. Sebab kakak kepada mak Rashida masih hidup, sudah pasti semuanya bersama dengannnya. Tapi arca-arca yang mewakili setiap hantu tu, dah aku bawa balik. Dan Ustaz Fariz dah musnahkannya. Jadi tak wujud lagi perkara ni sepatutnya.

“Kau menung apa tu Alin? Dah siap ke assignment kau?” Zaiton tegur aku buatkan aku tersentak.

“Tengah fikir pasal assignment ni la,” sahutku perlahan. Semua fikiran aku tentang Rashida tadi hilang. Esok aku nak jumpa Ustaz Malik.

Keesokan subuh, sebaik sarapan di café, aku dan Zaiton berjalan seiringan ke dewan kuliah kami. Kebetulan pagi ni jadual kami untuk berada di dewan kuliah yang bersebelahan. Aku di Dewan Innovatif, Zaiton di Dewan Kreatif, sebelah menyebelah je.

Kami masuk ke dewan kuliah masing-masing. Aku duduk di bahagian tepi dinding sebelah kanan. Dewan kuliah hampir dipenuhi dengan pelajar. Pelajar makin memenuhi dewan kuliah, tapi tiada siapa duduk di sebelah aku.

Aku nampak Nurin masuk dewan kuliah, aku lambai dia ajak dia duduk kat sebelah aku. Nurin jeling tempat duduk sebelah aku lepas tu dia gelengkan kepala, dia tunjuk ke arah kerusi lain. Lalu dia pergi ke kerusi tersebut. Sampailah pintu dewan kuliah ditutup, aku masih duduk sendirian.

“Assalamualaikum semua. Saya Doktor Wanie. Pensyarah baru bagi subjek Falsafah. Saya akan menggantikan Puan Syuhadah yang cuti bersalin selama tiga bulan,” kata pensyarah baru kami memperkenalkan diri.

“Waalaikumsalam. Selamat datang Doc,” bergema suara rakan sekuliah aku. Aku je yang masih mengelamun sebab takde orang nak duduk kat sebelah aku. Aku angkat muka, lihat ke arah pensyarah baru kami. Seorang wanita muda, cantik. Tapi aku macam pernah tengok cuma aku tak tahu kat mana. Kepala aku ni dah ada macam-macam benda, aku malas nak fikir dah.

Tiga jam setengah kuliah Falsafah berjalan. Makin aku tengok pensyarah baru tu, makin kuat hati aku mengatakan aku pernah jumpa dia sebelum ni.

“Baik semua, sampai sini saja untuk hari ni. Pastikan tugasan yang Puan Syuhadah bagi kepada kamu minggu lepas, serahkan kepada saya minggu depan. Tiada penangguhan.” Pensyarah tersebut mengkhiri kelas kami dan terus berjalan keluar.

Aku kemas buku dan alatulis aku. Semua pelajar lain dah mula bergerak keluar dari dewan kuliah. Entahlah kenapa hari ni aku agak emosi. Tiada siapa nak duduk sebelah aku. Aku macam dipulaukan.

Sebaik semua orang keluar, aku pun bangun dari kerusi aku. Baru je aku keluar dari dewan kuliah, aku dengar bunyi telefon aku. Aku buka beg dan cari telefon aku, tiada kat dalam beg. Aku termenung sekejap memikirkan mana telefon aku. Tapi aku dengar telefon aku berdering.

Baru aku teringat, tadi aku keluarkan telefon dari beg sebab balas whatsapp Zaiton yang kata dia tunggu aku kat café lepas habis kuliah. Mungkin aku tertinggal kat meja aku.

Lalu aku berpatah balik dan masuk semula ke dalam dewan kuliah. Telefon aku masih berdering. Aku pandang ke arah tempat duduk aku tadi, untuk pastikan telefon aku ada di sana.

Darah aku berderau bila nampak seseorang duduk di kerusi sebelah kerusi aku tadi. Aku yakin sangat, kerusi sebelah aku tadi kosong, tiada siapa nak duduk sebelah aku. Telefon aku berhenti berdering. Aku pandang ke arah seseorang yang duduk di kerusi sebelah aku. Dia menundukkan wajahnya, lalu rambutnya menutupi wajahnya.

Setahu aku, rakan-rakan kuliah aku yang beragama islam semuanya memakai tudung. Siapa pula ni. Atau aku yang tak perasan ada pelajar baru. Aku melangkah menghampiri kerusi aku, memang telefon aku ada di atas meja.

“Cik?” aku panggil orang pelajar yang duduk di kerusi sebelah tempat duduk aku. Dia perlu ke tepi supaya aku boleh ambil telefon aku. Sebab kerusi dia menghalang aku untuk pergi ke kerusi aku.

“Cik, boleh tolong ambilkan telefon saya tu?” aku tanya perlahan.

Aku nampak dia mengangkat tangannya dan mengambil telefon aku lalu menghulurkan pada aku, kedudukannya masih seperti tadi. Rambutnya masih menutupi wajahnya.

“Cik ni siapa ye? Studen baru ke? Tadi saya tak perasan cik duduk di sini.” Kataku, masih berusaha untuk lihat wajahnya.

Dia lalu mengangkat wajahnya dan memandang aku. Aku tersentak. “Rashida?” aku sebut namanya.

Aku mengundur beberapa langkah ke belakang. Tapi Rashida masih duduk di kerusinya sambil memandang aku.

“Alin?” Aku dengar suara Zaiton memanggil aku. Aku menoleh ke pintu tempat Zaiton sedang memanggil aku.

“Kau buat apa?” Zaiton tanya aku. Aku tak menyahut tapi aku menoleh kembali ke arah Rashida. Rashida tiada di situ. Aku pandang keliling. Dewan kuliah kosong.

“Kau dah kenapa Alin? Semua orang dah keluar. Lama aku tunggu kat café.” Kata Zaiton yang masih berdiri di pintu dewan kuliah.

Aku melangkah ke arah Zaiton tanpa sepatah kata. “Hei, kenapa ni? Kenapa muka kau lain macam?” Zaiton pegang tangan aku perlahan.

“Cuba kau tengok ke dalam dewan ni, ada nampak sesiapa tak?” aku cakap kat Zaiton. Zaiton pun terus menjenguk ke dalam dewan kuliah dan memerhati keliling.

“Takde siapa pun,” kata Zaiton.

“Dah, jom kita ke café. Aku nak jumpa Suraya kejap,” kataku sambil melangkah pergi. Zaiton hanya mengikut.

Sampai di café, aku dan Zaiton duduk di tepi tingkap. Aku panjangkan leher mencari kelibat Suraya. Lalu aku nampak dia sedang duduk di satu meja bersama beberapa kawan kami yang lain. Aku melangkah ke meja Suraya.

“Suraya, maaf ganggu kau kejap. Aku nak tanya sesuatu,” aku sapa Suraya.

“Kenapa Alin? Nak tanya apa?” Suraya tanya aku.

“Tadi masa kau masuk dewan kuliah, aku panggil kau duduk sebelah aku tapi kau taknak. Kenapa ye?” aku tanya. Firdaus, Aliana, Zikri dan Julia yang berkongsi meja dengan Suraya turut memandang aku.

“Kan ada orang duduk kat kerusi sebelah kau tu tadi?” Julia menjawab sebelum sempat Suraya menjawab.

“Haah, ada orang dah tadi,” sahut Suraya.

“Siapa?” aku tanya.

“Tak perasan pula. Tapi tak pakai tudung, rambut tak panjang sangat tapi tutup muka.” Aku ingat student dari jurusan lain. Subjek Falsafah kan kita selalu join dengan dua tiga kelas jurusan lain?” kata Suraya.

Aku diam.

“Kenapa Alin?” Zikri tanya aku. Aku gelengkan kepala dan melangkah pergi ke meja aku semua.

“Kenapa?” Zaiton pula tanya aku.

“Aku nampak Rashida, dia duduk di kerusi sebelah aku. Tapi mula-mula kelas aku tak nampak, kerusi sebelah aku kosong. Aku ajak orang lain duduk sebelah aku, diorang semua menolak. Sekarang bila aku tanya, diorang kata ada orang duduk kat kerusi sebelah aku. Sedangkan mula-mula aku masuk kelas, aku tak nampak dia. Cuma bila aku berpatah balik ke dewan untuk ambil telefon aku, baru aku nampak dia,” kataku menjelaskan situasi aku kepada Zaiton.

“Macam ni la. Kau makan cepat. Lepas tu kita pergi jumpa Ustaz Malik nak?” Zaiton bagi cadangan kat aku. Aku hanya anggukkan kepala sambil menguis-nguis nasi ayam di pinggan aku. Takde selera dah rasanya, tapi perut lapar.

Sebaik habis makan, jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Aku dan Zaiton melangkah ke pejabat pensyarah. Aku tekad nak ceritakan segalanya kepada Ustaz Malik. Aku dah buntu. Aku yakin Ustaz Malik boleh memahami anugerah yang aku miliki ini.

“Alin?” seseorang menegur aku ketika kami sampai ke tingkat 3 pejabat pensyarah. Aku memandang orang yang menegur aku. Doktor Wanie, pensyarah baru yang menggantikan kelas Falsafah Puan Syuhadah.

“Doktor Wanie,” aku menegurnya kembali.

“Tak ingat saya?” Doktor Wanie menegur aku.

Zaiton pandang aku dengan pandangan pelik. “Kau kenal ke?” dia tanya aku.

“Pensyarah baru kami,” aku menyahut. Doktor Wanie senyum pandang aku. Dan masa ni aku baru teringat siapa dia. Dialah wanita yang membantu aku di Lapangan terbang Kota Kinabalu bulan lepas.

“Kak Wani?” aku tanya dia semula.

“Ya, sayalah tu,” Doktor Wanie menyahut.

“Ya Allah, saya minta maaf sangat. Memang masa saya tengok kat kelas tadi, rasanya macam pernah nampak. Tapi mungkin terlalu banyak dalam fikiran saya, saya tak ingat langsung jumpa kat mana,” kataku teruja dapat berjumpa dengan Kak Wani. Memang aku nak sangat jumpa dia sebab dia banyak tolong aku.

“Takpe, saya pun tak perasan kamu ada kat kelas saya tadi. Kamu belajar di sini rupanya. Tak sangka kita jumpa kat sini, sebagai pensyarah dengan pelajar pula,” kata Kak Wani.

“Saya kena panggil Doc la lepas ni ye. Risau tersasul panggil Kak lagi,” kataku kepada Kak Wani.

“Mana-mana pun takpe. Kebetulan saya baru ditukarkan ke sini. Sebelum ni saya mengajar di Melaka,” kata Kak Wani.

“Apa bising-bising kat sini ni?” tiba-tiba Ustaz Malik menegur kami di pintu pejabat.

“Takde apa ustaz. Kami ni dah pernah jumpa sebelum ni, tapi masing-masing tak ingat,” kata Kak Wani kepada Ustaz Malik.

“Ooo… itu tandanya berjodoh.” Kata Ustaz Malik. Kami diam je.

“Kenapa kamu berdua naik ke tingkat pensyarah?” Ustaz Malik tanya lagi.

“Alin nak jumpa ustaz. Ada hal sikit,” Zaiton menyahut.

“Alin nak jumpa saya? Ada hal apa?” Ustaz Malik tanya sambil pandang aku.

“Saya nak minta tolong ustaz. Ada masalah sikit,” kataku kepada Ustaz Malik. Ustaz Malik melambai tangannya ke arah kami memberi isyarat untuk masuk ke pejabatnya.

“Kita jumpa lagi nanti Doc,” kataku kepada Kak Wani.

“Baiklah, nanti kita sembang lagi,” kata Kak Wani sambil melangkah meninggalkan kami.

Aku dan Zaiton masuk ke pejabat Ustaz Malik.

“Apa halnya?” Ustaz Malik tanya aku.

“Saya nampak Rashida dalam kelas tadi,” aku terus kepada point asal. Taknak berkias-kias lagi.

“Rashida mana?” Ustaz Malik bertanya sambil mengerutkan dahinya cuba mencari orang yang aku sebutkan namanya tu.

“Rashida yang sekarang sedang koma akibat kemalangan dengan mak ayah dia. Mak ayah dia meninggal dunia,” kataku.

“Ooo… Rashida tu. Yang kecoh sekejap bulan lepas lepas kamu kata kamu ikut dia sampai ke Sabah tu?” Ustaz Malik bertanya semula. Aku anggukkan kepala laju.

“Ha, kenapa dengan dia? Kan dia masih koma? Kamu nampak dia di mana? Hospital?” Ustaz Malik tanya aku.

“Saya memang ada melawat dia. Dia masih koma di hospital. Tapi masalahnya sekarang, saya nampak dia di kelas tadi.” Kataku perlahan.

“Dan semalam saya dengar ada student lain pun nampak Rashida dalam kawasan kolej ni ustaz,” Zaiton menambah.

“Kamu ni obses sangat dengan Rashida agaknya. Selalu sangat kamu cerita yang pelik-pelik tentang dia. Kamu dengan dia ada apa-apa ke?” Ustaz Malik pandang aku semacam.

“Ustaz, sebenarnya Alin ni boleh nampak hantu, boleh nampak alam ghaib. Makhluk halus semua dia boleh nampak,” kata Zaiton dah tak sabar nak tunggu aku jelaskan kepada Ustaz Malik.

Ustaz Malik pandang aku dengan wajah mohon pencerahan.

“Susah nak cakap. Ustaz percaya tak kalau saya cakap saya boleh nampak makhluk dari alam ghaib?” tanyaku tanpa selindung. Aku tahu Ustaz Malik tak banyak masa.

“Saya tak boleh nak cakap saya percaya atau tak. Tapi saya tahu memang ada orang yang terbuka hijab dan dianugerahkan kebolehan ini. Mungkin satu dalam sepuluh juta manusia yang mungkin betul-betul ada kebolehan ini. Yang selalu kata boleh nampak tu, adakalanya sekadar imaginasi,” kata Ustaz Malik.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s