AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 2

“Ayah, kita singgah hospital sekejap boleh? Alin nak tengok Rashida,” kataku kepada ayah ketika aku bersiap nak balik kolej.

“Minggu lepas masa nak balik sini dah dah jenguk dia kan? Buat apa nak jenguk selalu? Nanti kalau dia dah sedar, saudara dia akan beritahu. Lagipun kamu tu cuma kawan je, bukan siapa-siapa,” kata kata ayah.

“Memang dah lalu pun kan hospital tu kan? Singgah je la kejap. Bukannya lama pun,” mak aku pula menegur sambil menghulurkan bekalan makanan kat aku. Mak aku tu, tiap kali aku nak balik kolej, macam-macam ni dibekalkannya. Dari yang basah sampai yang kering. Kalau tiba-tiba jadi darurat, setakat seminggu tu aku takkan kebuluran la.

“Kejap je tau,” ayah aku bersuara.

“Ya, ayah, kejap je,” sahutku perlahan, sambil buat angkat ibu jari kat mak, isyarat ‘good’.

“Haa… Tak payah nak thumb up sangat la. Cepat isi barang dalam kereta tu,” ayah tegur aku. Mak gelak je pandang aku. Adik aku pun terkekek-kekek gelakkan aku. Merah padam mukanya menahan gelak. Aku pula rasa bersalah, ingatkan ayah tak nampak.

Sampai kat hospital, aku terus ke wad Rashida. Aku tolak pintu biliknya. Tiada sesiapa di dalam bilik tu. Maklong pun takde, Pakngah pun takde. Aku melangkah ke katil Rashida. Rashida masih begitu, terbaring kaku. Hanya dadanya turun naik menandakan dia masih bernafas walaupun lemah.

“Rashida, kau kena kuat lawan sakit kau. Kau perlu sembuh. Banyak lagi perkara yang kita boleh buat bersama. Aku selalu doakan kau sembuh. Kawan-kawan kolej pun selalu doakan kau,” kataku perlahan sambil menyentuh jemari Rashida perlahan.

Suasana sunyi, hanya terdengar bunyi mesin detak jantung Rashida.

“Rashida,” aku sebut namanya.

“Ya,” aku dengar satu suara menyahut. Aku pandang keliling, tiada sesiapa. Aku pandang Rashida kembali, dia masih seperti tadi.

“Rashida?” aku panggil lagi.

“Ya,” aku dengar suara menyahut.

Sekali lagi aku pandang keliling. “Ada sesiapa kat sini ke?” aku bersuara. Tiada sahutan.

“Rashida?” aku panggil sekali lagi sambil pandang Rashida.

“Ya,” kali ini suara itu agak kuat, seperti di belakang aku. Aku terus bangun dari kerusi Aku pandang belakang aku, tiada sesiapa. Bulu roma di belakang tengkuk aku naik.

Aku pandang Rashida. Aku nampak dia seperti bergerak. Tapi dia tak bergerak pun. Aku nampak seperti ada sesuatu yang bergerak di bawah selimut yang menutup tubuhnya. Aku mengundur setapak ke belakang tanpa mengalih perhatian aku kepada susuk tubuh Rashida yang masih kaku di atas katil.

Masa ni, dari arah tepi, aku perasan ada sesuatu yang bergerak. Tapi aku taknak pandang terus. Ianya seakan bayang-bayang hitam. Berjalan mundar mandir seperti sedang menunggu sesuatu. Dia berada di satu sudut yang agak suram kerana ditutup dengan langsir hospital.

Doktor sengaja menutup sudut tersebut kerana tak mahu bahang panas dari luar masuk ke dalam bilik Rashida. Katanya bahang panas itu tak baik untuk Rashida. Tambahan pula di sebelah hospital tu sekarang sedang ada pembinaan bangunan hotel. Dengan bising lagi, habuk dan panas batu kapur yang tak elok untuk pesakit walaupun pesakit berada di dalam bilik yang tertutup.

Doktor kata, untuk pesakit yang tak sedarkan diri seperti Rashida, mereka tak tahu apa keperluannya. Kita lihat dia tak sedar, tapi kita tak tahu dia mungkin sedang panas, atau sakit, atau beremosi, sebab dia tak boleh nak beritahu kita. Jadi, kita cuba menjaganya seperti menjaga orang biasa. Jaga kesihatannya, jaga emosinya.

Aku menoleh perlahan-lahan ke arah bayangan hitam tadi. Tiada apa-apa di situ. Tapi aku masih rasa belakang leher aku sejuk. Aku sentuh leher aku, aku dapat rasa jari seseorang di situ, menyentuh belakang leher aku. Aku terus menoleh, dan Rashida berdiri di belakang aku!

Aku mengundur dua tiga langkah sampai aku terlanggar kerusi dan jatuh. Rashida masih berdiri di situ dengan pakaian hospitalnya.

Aku pandang ke arah katil Rashida, tubuh Rashida masih di sana, kaku. Aku pandang semula Rashida yang berdiri, dia juga masih di situ, memandang aku tanpa perasaan.

“Siapa kau?” aku tanya dengan suara yang agak terketar-ketar. Tiada sahutan.

“Adakah kau roh yang terkunci?” aku tanya lagi. Masih tiada sahutan.

Pintu bilik dibuka dari luar. Aku menoleh ke arah pintu, nampak Maklong masuk dengan anak perempuannya. Maklong terkejut nampak aku duduk di lantai.

“Kenapa ni Alin? Kamu jatuh ke?” Maklong tanya aku. Cepat-cepat aku menoleh ke arah Rashida yang berdiri di belakang aku tadi. Dia tiada di sana. Aku pandang Rashida di atas katil, masih kaku seperti selalu.

Anak Maklong yang aku kenali sebagai Aini memegang tangan aku, membantu aku bangun dari atas lantai.

“Kenapa ni? Kamu jatuh?” Maklong tanya aku lagi.

“Haah, tersepak kerusi tu tadi,” sahutku perlahan sambil membetulkan baju dan tudung aku.

“Hati-hati, kat dalam ni banyak mesin,” kata Maklong.

“Saya minta maaf Maklong,” kataku, rasa bersalah pula.

“Tak perlu minta maaf, tak buat salah pun. Kamu tu hati-hati, cukuplah yang sorang tu kaku berbulan-bulan, nak kata mati, tak mati, nak kata hidup, tak hidup. Kita yang sihat ni, jaga diri. Kamu tu muda lagi, banyak lagi tubuh tu nak digunakan,” kata Maklong.

“Iya Maklong,” sahutku.

“Lama dah kamu sampai?” Maklong tanya.

“Baru je.” Sahutku, mataku masih melilau memandang keliling. Mencari Rashida yang satu lagi dan bayang hitam yang mundar mandir tadi. Tapi ternyata mereka tiada di dalam bilik tu. Kalau ada, pasti aku dah nampak kan? Atau aku dah tak boleh tengok benda-benda ni?

“Tadi Maklong dan Aini keluar makan sekejap.” Kata Maklong.

“Saya pun tak boleh lama ni, nak balik kolej. Ayah tunggu kat bawah,” kataku lagi.

“Ooo. Nak balik kolej le ni ye?” Maklong tanya.

“Iya Maklong, saya pergi dulu ye. Kesian ayah tunggu lama kat bawah,” kataku sambil menghulurkan salam kepada Maklong. Maklong sambut salam aku dan dalam tangannya diserahkan beberapa keeping duit kertas. Aku pandang Maklong, cuba untuk tak ambil duit tu.

“Ambillah, buat belanja. Maklong ikhlas,” kata Maklong. Aku pandang Aini, dia senyum je kat aku. Aku pun terpaksa ambil bila Maklong dah cakap macam tu.

Lepas tu aku terus keluar dari bilik Rashida dan mendapatkan ayah aku yang sedang duduk di taman buatan depan hospital. Sebaik nampak aku, ayah angkat tangannya dan menunjukkan jam tangan dia kat aku. Itu isyarat kata aku dah lambat la tu. Aku angkat tangan letak kat dahi macam orang minta maaf tu. Aku berlari laju terus ke kereta ayah aku.

“Kata kejap?” ayah aku tegur sebaik aku dan dia masuk ke dalam kereta.

“Maaf ayah, ada hal sikit tadi,” kataku.

“Hal apa? Sedara mara dia takde?” ayah aku tanya.

“Masa sampai, takde siapa kat dalam bilik. Alin tunggu kejap sampai Maklong dia datang. Maklong dia pergi makan sekejap,” kataku.

“Doktor suruh kamu tunggu?” ayah aku tanya lagi. Aku diam dah. Tahulah ayah perli aku tu.

Sampai di kolej, aku salam dengan ayah. “Belajar elok-elok. Jangan fikir benda lain. Jaga diri baik-baik,” pesan ayah.

“In Shaa Allah ayah, Alin akan ingat pesan ayah dan mak,” sahutku. Ayah melihat aku di luar pagar sampai aku masuk ke bilik kolej aku. Selalu macam tu, bila aku dah lambai ayah dari tingkat 2 bilik aku, barulah aku akan pergi. Ayah nak pastikan aku dah sampai bilik aku. Walhal lepas ayah pergi, boleh je aku keluar merayap. Mak ayah aku masih anggap aku macam anak kecil.

“Kau dah balik Alin?” Zaiton tegur aku.

“Haah, kau dah lama balik ke?” aku tanya Zaiton.

“Aku sampai pagi tadi lagi. Aku tumpang pakcik aku, kebetulan dia lalu sini. Tak payah aku naik bas, nak ambil teksi lagi, penat,” kata Zaiton.

Aku letakkan beg kat lantai. Aku duduk. Aku buka beg. Aku keluarkan semua jenis makanan yang mak aku kirim.

“Banyaknya makanan mak kau bagi. Seronoknya jadi kau. Kalaulah mak aku masih hidup, mesti dia pun akan buat macam ni kat aku,” kata Zaiton dengan wajah sayu walaupun cuba di tutup dengan senyumnya.

“Mak aku memang tahu kita kongsi berdua. Ni dia bagi kau sekali la ni. Mak aku kirim salam,” kataku kepada Zaiton.

“Waalaikumussalam,” sahut Zaiton.

“Kau pergi lawat Rashida ke?” Zaiton tanya aku.

“Haah, pergi kejap,” sahutku.

“Macammana dia?” Zaiton tanya lagi.

“Macam tu jugak la, tak berubah. Masih bergantung pada mesin,” sahutku sambil menyusun semua bekas makanan di atas meja.

“Kesiannya dia. Sampai bila pula jadi macam tu,” kata Zaiton perlahan. Aku diam tak menyahut.

“Zaiton, aku pernah cakap kat kau kan? Aku boleh nampak benda halus,” aku tanya Zaiton.

“Haah, dan aku pernah cakap kat kau kan? Jangan beritahu aku apa yang kau nampak tapi aku tak nampak. Aku taknak dengar,” kata Zaiton sambil pandang muka aku tepat, seakan memberi arahan.

“Tapi aku tak tahu nak cakap dengan siapa. Aku perlu cakap dengan seseorang,” kataku.

“Cakaplah kat siapapun, tapi bukan aku,” Zaiton menyahut.

“Masalahnya, orang lain tak tahu pasal aku nampak semua ni. Kau dan Rashida saja yang tahu selain dari keluarga aku.” Kataku lagi.

Zaiton mengeluh panjang, buat muka keterpaksaan pandang aku.

“Kau nampak apa?” Zaiton tanya aku, lemah.

“Aku nampak Rashida, dia berdiri di dalam bilik hospital dia,” aku terus cakap.

Zaiton membeliakkan matanya pandang aku.

“Dia dah sedar la tu kot. Sebab tu dia boleh berdiri,” katanya.

“Tak. Rashida yang betul masih berbaring di atas katilnya,” kataku.

“Habis tu, kau nampak dua Rashida la ni?” Zaiton tanya aku. Dan aku mengangguk.

“Perasaan kau saja kot,” kata Zaiton.

“Tak, bukan perasaan aku. Sebab dia sentuh aku. Sejuk,” kataku.

“Hish kau ni Alin. Ni yang aku tak suka ni. Aku pula yang sejuk sekarang ni. Sikit lagi maghrib ni.” Kata Zaiton memegang lehernya sambil memandang keliling bilik.

“Kau tak payah la pandang keliling, dia bukannya ada kat sini,” kataku terus bangun dan meletakkan beg pakaian aku di bawah katil.

“Sebab tu aku taknak kau cerita kat aku. Aku ni kalau dah takut, tingkap bilik ni pun aku nampak macam hantu dah,” kata Zaiton lagi. Aku tergelak kecil.

“Kau gelakkan aku?” Zaiton tanya lagi.

“Takdelah, aku bukannya cerita aku nampak hantu. Aku cuma nampak bayangan Rashida, dan ada bayangan hitam di dalam bilik tu,” kataku lagi.

“Dah, aku taknak dengar. Esok lepas kuliah, kau pergi cerita semua ni kat Ustaz Malik. Kalau kau tak cerita kat dia, aku akan cerita kat dia. Aku akan pecahkan rahsia kau boleh nampak makhluk halus ni. Aku taknak dengan cerita kau dah,” kata Zaiton sambil memasang semula telefon telinganya sambil menulis di bukunya.

Aku diam. Waktu macam ni la aku terasa rindu kat Rashida. Dia memang sahabat terbaik aku. Dia selalu tanya aku kalau aku ada nampak apa-apa yang pelik. Dia tak pernah tak percayakan apa saja yang aku ceritakan padanya. Bahkan dia pula yang sering mengingatkan aku dengan apa yang aku pernah lihat. Sebab tu aku senang berkawan dengannya. Tiada rahsia antara kami.

Lepas solat isya’, Zaiton keluar dari bilik. Katanya nak ke kedai mini dalam kolej tu, nak beli 100 plus. Aku tinggal seorang kat dalam bilik, menelaah assignment aku yang hampir siap. Minggu depan dah nak hantar.

Sedang aku membaca tu, pintu bilik diketuk orang. Aku pandang pintu tu. “Siapa?” aku tanya. Tiada sahutan. Aku diam sekejap.

Lebih kurang lima belas saat macam tu, pintu diketuk sekali lagi.

“Zaiton? Kau ke tu?” aku panggil dari dalam. Jarang orang ketuk-ketuk bilik ni. Kalau kawan aku nak datang pun selalunya diorang akan message dulu tanya aku kat mana.

Masih aku tertanya-tanya siapa yang ketuk pintu, pintu diketuk buat kali ketiga. Kali ni lebih kuat. Aku pula hilang sabar. Aku buka cermin tingkap dan merenung keluar ke arah pintu bilik. Tiada siapa di situ.

“Wei, siapa ni? Main ketuk-ketuk pulak. Tak kelakar la!” aku jerit dari tingkap. Tiada sahutan. Aku tutup tingkap dan duduk kembali di kerusi aku. Aku masih merenung ke arah pintu, kalau-kalau masih diketuk.

Tiba-tiba pintu terbuka sendiri. Masuk angin sejuk ke dalam bilik. Aku berpeluk tubuh menahan sejuk. Seseorang melintas di depan pintu bilik aku.

“Siapa tu?” aku tanya. Tiada sahutan. Orang tu terus berjalan melintasi pintu aku. Aku berlari ke arah pintu untuk lihat siapa dia dan ke mana dia pergi. Sebaik aku sampai kat pintu, Zaiton muncul. Melompat juga aku sebab terkejut bila Zaiton tiba-tiba muncul macam tu.

“Kau dah kenapa macam nampak hantu?” Zaiton tanya aku.

“Dah berapa lama kau kat luar?” aku tanya Zaiton.

“Takdelah lama. Dari kedai terus ke sini la. Takdelah aku duduk makan angin kat luar tu pula. Kenapa kau biar pintu terbuka? Dah malam kot,” kata Zaiton sambil tutup pintu.

“Tadi ada orang ketuk pintu,” kataku.

“Siapa?” Zaiton tanya.

“Aku tak tahu. Aku tanya tapi tiada sahutan,” sahutku.

“Habis tu, kau buka pintu? Bahaya weh. Kau patutnya kunci pintu,” kata Zaiton.

“Aku tak buka pintu. Pintu tu yang terbuka sendiri. Dan aku nampak ada seseorang melintas depan pint utu. Baru nak pergi tengok, kau tersembul kat pintu tu,” kataku.

“Siapa?” Zaiton tanya.

“Aku tak tahu. Tu aku tanya kau dah lama ke kat luar? Kau nak masuk tadi, kau tak nampak sesiapa ke kat luar?” aku tanya.

“Takde siapa pun kat luar. Aku je,” Zaiton menyahut.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s