AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 1

Sebulan berlalu. Segalanya dah jadi seperti sediakala. Aku dan Zaiton semakin rapat. Cuma tak serapat aku dengan Rashida dulu. Sebab aku dan Rashida ambil jurusan sama. Tapi Zaiton dan aku tak sama jurusan. Tapi kami serasi sebagai rakan sebilik.

Rashida? Dia masih macam tu. Tak bergerak. Tapi aku dapat dengar helaan nafasnya melalui tabung oksigen yang diletakkan bersebelahan dengannya. Aku tak kenal keluarga Rashida sebab Rashida kata ayahnya anak tunggal. Dia tinggal dengan nenek dan datuknya yang dah tua.

Tapi sejak aku selalu menziarah Rashida kat hospital, ramai pula saudara mara yang melawat dan menunggu Rashida di wad. Dan dari pemerhatian aku, aku rasa saudara mara Rashida ni bukan orang susah. Nampak seperti orang senang dan berpendidikan. Kalau tak, takkanlah mereka tempatkan Rashida di hospital swasta macam tu. Satu hari mahu ribuan ringgit tu. Tapi aku tak pernahlah bertanya. Sebab aku ni siapa kan.

Salah seorang yang aku selalu nampak seorang wanita dalam usia sama macam mak aku. Dia kata dia mak saudara Rashida, dia suruh panggil Maklong je.

“Rashida cakap kat saya, ayah dia anak tunggal,” aku pernah tanya Maklong. Maklong mengeluh panjang sambil merenung jauh ke luar tingkap hospital.

“Panjang kisah kami adik beradik. Memang susah nak diceritakan. Cukuplah Maklong ayah Rashida adalah anak bongsu dari kami tiga beradik. Maklong yang sulung, dia ada seorang abang.” Kata Maklong.

“Tapi kenapa Rashida kata ayah dia anak tunggal?” aku tak puas hati, masih nak tahu kenapa Rashida tipu aku.

“Ayah Rashida putuskan hubungan dengan kami sejak berkahwin dengan mak Rashida,” kata Maklong.

“Kenapa?” aku tanya.

“Hal keluarga.” Sahut Maklong perlahan dan terus bangun dari duduknya lalu mendapatkan Rashida. Aku pun taknak tanya panjang lagi. Aku diam.

Maklong kata, doktor beritahu mereka bahawa peluang untuk Rashida sembuh amat tipis kerana otak Rashida dah mati. Doktor juga pernah beritahu bahawa Rashida masih hidup hanya kerana bantuan oksigen. Tanpa bantuan oksigen, Rashida dah lama menjadi jenazah.

Ahli keluarga Rashida, Maklong dan adiknya, datuk dan neneknya, pernah bersepakat untuk minta doktor cabut sambungan bantuan oksigen kepada Rashida, tapi setiap kali doctor nak cabut saluran pernafasan Rashida, masa tu Rashida akan beri tindakbalas positif. Cubaan mencabut saluran tu dah tiga kali. Kali pertama, Rashida menggerakkan jarinya dalam dua saat. Lepas tu tiada dah. Doktor bagi tempoh seminggu. Lepas seminggu tiada tindakbalas positif, doctor cuba cabut sekali lagi. Kali ni mata Rashida terbuka sekejap lebih kurang 5 saat dan melilau memandang sekitarnya. Sekali lagi doctor tak jadi cabut saluran pernafasannya.

Lepas seminggu, sekali lagi doctor mencuba. Dan kali ni, Rashida membengkokkan kakinya. Dia mengangkat lututnya. Dan sekali lagi doctor memberhentikan niat untuk mencabut saluran pernafasan Rashida.

“Maklong tak cuba cari ustaz ke untuk tengokkan Shida?” aku pernah tanya Maklong.

“Kami dah pernah panggil sekali. Ustaz tu dari Kedah, datang sini, anak Maklong bawakan. Dia kata ada benda menunggu Rashida ni. Ada benda taknak dia pergi. Ada urusan yang belum selesai,” kata Maklong.

“Urusan apa?” aku tanya.

“Katanya Rashida perlu dibawa keluar dari kawasan hospital, baru boleh dilihat secara jelas. Sebab katanya dalam hospital, ada banyak gangguan lain,” kata Maklong.

“Maklong taknak cuba ke?” aku tanya.

“Maklong nak. Tapi masalahnya, Pakngah Shida ni, adik Maklong, dia memang pantang kalau orang cakap pasal benda-benda ghaib ni. Dia tak percaya langsung. Puas kami pujuk, dia tetap taknak bagi ustaz tu cuba ubatkan.” Kata Maklong.

“Kenapa pula? Kan dalam islam pun kita wajib percaya perkara ghaib?” aku tanya. Iyelah, daripada aku duduk menung kat situ, baik aku sembang dengan Maklong Rashida. Nak sembang dengan Rashida pun, dia bukannya sedar.

“Memanglah dia percaya alam ghaib. Tapi dia tak percaya pasal penunggu, pasal hantu-hantu yang berdamping dengan manusia ni. Dia kata mana ada manusia berdamping dengan hantu. Semua tu tahyul,” kata Maklong.

“Hish. Ada je Maklong manusia berdamping dengan jin. Cuma sebutan kita tu kena betulkan. Kita selalu sebut hantu la, penunggu la. Padahal benda tu adalah jin dan ifrit.” Kataku.

“Itu kata kita. Pakngah Rashida tu, selagi dia tak nampak, selagi tu dia tak percaya. Nak tunggu dia nampak, memang takkanlah. Mana ada manusia boleh nampak hantu,” kata Maklong.

“Ada Maklong. Ada orang yang dianugerahkan untuk nampak alam ghaib,” kataku.

“Susah nak cari,” kata Maklong perlahan. Aku diam bila nampak Pakngah Rashida masuk ke dalam bilik Rashida. Dia pandang aku dan senyum.

Pakngah terus duduk di tepi katil Rashida lalu meletakkan kunci keretanya di atas meja kecil di tepi katil. Dia lalu mengusap rambut Rashida. Dan kemudiannya membuka suratul Yassin yang dibawa bersamanya tadi. Dia lalu mengalunkan bacaan yassin, perlahan tapi jelas. Sedap alunannya.

“Maklong, saya balik dulu. Ayah tunggu kat luar tu. Nanti saya datang lagi. Kalau ada apa-apa perkembangan, Maklong telefon saya ye,” kataku sambil bersalaman dengan Maklong. Maklong genggam tangan aku kuat, dia cium pipi aku.

Aku melangkah ke pintu. Masa nak buka pintu, aku pandang sekilas ke arah Rashida. Aku nampak dia seperti membuka matanya memandang aku. Aku berhenti sekejap. Dan cuba pastikan bahawa Rashida betul-betul membuka matanya.

“Kenapa Alin?” Maklong tanya aku membuatkan Pakngah pun ikut pandang aku.

“Saya nampak macam Rashida buka mata,” kataku.

“Ooo… Memang macam tu. Doktor kata itu tindakbalas ubat dan udara dari dalam badan dia,” kata Maklong.

“Ooooo..” hanya itu yang keluar dari mulut aku. Dan aku cepat-cepat berlalu pergi bila aku nampak seseorang berdiri di belakang Pakngah yang sedang membaca yassin. Aku tak nampak jelas, tapi ianya seakan sosok tubuh Rashida sendiri. Berdiri kaku di sana. Setiap kali aku datang, aku akan nampak bayangan sosok tubuh tu berdiri di satu sudut di dalam bilik tu.

Aku terus keluar dari bilik. Ayah aku ikut langkah aku.

“Macammana dengan dia?” ayah aku tanya.

“Macam tu juga,” sahutku. Dan ayah diam. Kami terus balik rumah.

Selalunya aku akan singgah ke hospital bila dalam perjalanan balik dari kolej ke rumah atau ketika aku balik ke kolej dari rumah. Sebab hospital tu terletak di tengah-tengah antara rumah aku dan kolej aku.

Aku tak boleh sembang banyak dengan ayah aku pasal apa yang aku nampak. Sebab ayah aku pun macam Pakngah Rashida, susah nak percaya apa yang orang lain cakap selagi dia sendiri tak nampak.

Tapi dengan mak aku, semua aku ceritakan. Aku beritahu mak aku pasal apa yang aku nampak di hospital. Aku nampak bayangan Rashida berdiri di dalam biliknya. Mak aku punya imaginasi, dia kata itu mungkin roh Rashida yang sebenarnya dah nak pergi tapi ditahan sebab Rashida masih menggunakan oksigen tu. Mak aku, kalau bab buat teori, dia memang pandai.

“Iye ke mak? Alin rasa itu bukan roh dia. Itu macam ada sesuatu yang mahukan Rashida terus hidup. Dia nak pastikan Rashida hidup.” Kataku, sebab itu yang aku rasa.

“Kamu rasa apa benda tu?” mak aku tanya.

“Tak tahu nak cakap. Sebab Alin pun pergi sana sekejap-sekejap. Takut ayah tunggu lama, nanti bising pulak,” kataku. Memang ayah selalu akan pesan jangan lama-lama sangat kat dalam bilik Rashida. Katanya Rashida bukan sedar pun.

Jadi, tiap kali aku masuk ke bilik Rashida, hati aku tak senang. Asyik nak balik je, takut ayah aku marah kalau aku duduk lama di situ. Tapi ayah aku tak pernah menolak setiap kali aku minta bawakan aku ziarah Rashida. Dia pasti akan bawakan. Cuma dia tak bagi aku duduk lama.

Ayah aku aku, kalau nak melawat orang sakit, tak kisahlah dia sakit teruk atau tak, jangan lama-lama. Bimbang orang tu tak selesa. Sebab orang sakit ni, dia perlukan rehat. Kalau kita berbual lama-lama dengan dia, nanti takut emosi dia terganggu. Orang sakit ni senang terganggu emosi dia.

“Mak, Ustaz Fariz tu nak tak kalau kita ajak dia ikut ziarah Rashida?” aku tanya mak aku.

“Nak buat apa? Dia bukan kenal pun dengan Rashida tu,” kata mak aku.

“Nak suruh dia tengokkan Rashida la. Mana tahu, Ustaz Fariz boleh bantu Rashida. Kot dia memang boleh diselamatkan lagi,” kataku.

“Entah, kamu tanyalah ayah kamu tu. Mak tak boleh buat keputusan,” kata mak aku sambil menyambung melipat kain.

“Alaaaa, mak la cakap dengan ayah. Ayah tu susah la nak bawa bincang benda-benda macam ni,” kataku masih cuba pujuk mak.

“Kamu ingat dengan mak dia senang nak dibawa bincang?” mak aku tanya aku balik. Aku  mengeluh tak puas hati sambil mengambil sehelai kemeja dan melipatnya.

“Tu dahi berkerut seribu, muncung boleh ikat reben tu, marah la tu?” mak aku tanya. Aku tak jawab.

“Yelah yelah, nanti ibu cuba cakap dengan ayah,” kata mak aku. Aku pandang mak aku sambil senyum. Senang je nak lembutkan hati mak aku. Mak kan, apa je yang dia takkan buat untuk anaknya.

“Nak buat apa pula? Dah, tak payah masuk campur hal orang. Lepas ni tak payah pergi jenguk dia lagi. Dia bukannya sebatang kara. Ramai saudara mara dia kat situ, yang boleh tengokkan dia dan cari jalan untuk bantu dia.” Kata ayah aku, memusnahkan harapan aku untuk bantu Rashida.

“Apa salahnya kita tanya Ustaz Fariz tu. Mana tahu, kot ada jalan yang boleh selesaikan hal Rashida ni,” kata mak aku.

“Biarlah saudara mara dia yang ikhtiarkan semua tu. Entah entah mereka memang dah pernah panggil ustaz lain dan memang tak boleh diubati, takkan kita nak campur tangan?” kata ayah aku lagi sambil terus menatap surat khabar yang dibeleknya dari tadi.

Mak pandang aku. Aku diam je la, nak kata apa lagi.

“Tapi Alin kata dia ada nampak…,” tak habis mak aku cakap, aku terus pegang tangan mak aku. Aku taknak mak aku cakap kat ayah aku bahawa aku nampak sesuatu di dalam wad Rashida.

“Huh! Nampak apa?” ayah aku letakkan suratkhabar di atas meja dan buka cermin matanya yang turut diletak di atas meja. Seperti bersedia untuk berbincang. Tapi dalam pandangan aku, macam harimau yang bersedia nak terkam mangsa.

“Takde apa ayah.” Sahutku cepat. Aku geleng kepala kat mak aku. Mak aku terus diam.

Ayah aku pakai semula cermin matanya dan angkat semula suratkhabarnya. Mak aku bulatkan mata pandang aku, aku tetap gelengkan kepala dan letak jari telunjuk di bibir sebagai isyarat suruh mak aku jangan cakap tentang apa yang aku nampak.

Aku tahu sangat, dari aku kecil sampailah sebesar ni, dia tetap menafikan anugerah aku nampak benda halus ni. Tapi mak aku pernah cakap, bukan ayah aku tak percaya tapi dia taknak aku terus-terusan membiarkan diri aku sendiri hanyut dalam anugerah ini. Ayah kata bimbang syaitan akan mudah perdaya aku. Ayah taknak bila aku nampak sesuatu dari alam ghaib, aku terus percaya itu adalah roh atau apa-apa saja, sedangkan itu adalah syaitan yang mahu sesatkan aku. Macam yang pernah terjadi dulu, aku sesat dibawa ke alam jin.

Lagi satu, aku taknak ayah aku betul-betul tak bagi aku melawat Rashida lagi. Aku masih nak lawat dia. Rashida tu kawan aku. Dia baik. Dan aku nak sangat tahu, apa sebenarnya yang terjadi di Sabah. Macammana dia boleh bersama dengan aku sedangkan dia koma di semenanjung. Siapa yang aku ikut ke Sabah? Aku nak tahu, kenapa dia tipu aku bila dia kata ayahnya anak tunggal. Adakah dia sendiri tak tahu bahawa dia mempunyai Maklong dan Pak Ngah.

Aku selalu doakan dia akan sedar satu hari nanti. Aku doakan agar ada keajaiban yang membolehkan dia kembali hidup seperti dulu, walaupun doktor kata otaknya dah mati.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s