C-3-16 BBS 2.0

Bab 10 (AKHIR)

“Bawa aku keluar dari sini,” kami dengar suara. Masa ni aku hampir nak pandang ke arah suara tu dah. Tapi belum sempat aku mengalih pandangan, Kak Piah menerkam ke arah aku membuatkan aku tergamam sekejap.

Aku terlentang dan Kak Piah menekan leher aku ke lantai. Aku dengar suara Aliya menjerit dan satu suara lagi menangis merayu meminta Kak Piah berhenti berbuat demikian.

“Kak, jangan begini kak. Pergilah ke tempat akak. Nisa sayang akak, Mirza sayang akak dan saya sayang akak. Saya takkan lupakan akak walau kita berlainan alam. Pergilah kak, jumpa mak dan ayah.” Aku dengar bait bait kata dari suara yang bukan milik Aliya.

“Tempat akak di sini, menjaga Aisyah. Tempat ini bukan tempat selamat, tempat ini merbahaya,” Kak Piah yang masih menekan leher aku itu bersuara perlahan. Entahlah kenapa dua suara yang sedang berkomunikasi ini ada pertalian, ada kesedihan di situ.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” aku dengar laungan tak jauh dari tempat aku dan Aliya diserang oleh Kak Piah. Wajah Kak Piah berubah. Kulitnya mereput dan kehitaman. Matanya terjojol keluar dari lubang mata. Tapi dia belum melepaskan leher aku. Aku dah hampir sesak nafas. Aku dengar suara Aliya menangis kat tepi aku. Dan satu suara lain yang ikut sama merayu meminta Kak Piah berhenti mencekik aku ke lantai.

“Bismillahirrohmaanirroshim. Allahu Lailahaillahual Haiyul Qaiyum..” aku dengar suara seseorang membacakan ayatul Qursi, dan diikuti beberapa surah lain. Pandangan aku mula kabur. Nafas aku dah tak laju.

“Lepaskan dia. Kau tak punya kuasa untuk mengawal segalanya di sini. Kau bukan milik bumi ini lagi. Pergilah, sebelum kamu dihancurkan sekali lagi.” Aku dengar suara lelaki. Kalau tak silap aku, itu suara Haji Din.

“Aku tak boleh pergi. Tiada yang menjaga adik aku,” suara Kak Piah makin garau, seakan terlalu susah untuk dia bersuara.

“Allah akan jaga adikmu. Dia selamat di sini. Kamu pergilah. Aku tak mahu sakiti kamu kali kedua,” kata Haji Din, masa ni aku nampak kelibat Haji Din berdiri di belakang Kak Piah yang masih duduk di atas badan aku.

Kak Piah pandang aku dengan wajahnya yang menakutkan. Aku pejamkan mata, tak sanggup aku tengok mukanya. Dengan lehernya yang senget sedikit seakan tengkuknya patah.

“A’uzubillaahiminassyaitonirrojim. Bismillaahirrohmaanirrohim. Qul A’uzubirabbinnaas, Malikinnaas, Ilaahinnas, Min syarril was waasil qannas, Allazi yuwaswisufi sudu rinnaas, Minal jinnatiwannaas. Sodaqallaahul a’ziim.” Jelas suara Haji Din membacakan Surah An-Nas.

“Laa ilaa ha illallah wah dahu laa syarii kalah, Lahul mulkawalahul hamduyuhyii wayumiitu wahuwa ‘ala kullisyai in qodir. Yaa Haiyum, Yaa Qaiyum. Yaa zal jalaa liwal iqram.” Haji Din masih membaca.

Dan masa ni, seseorang bergerak pantas ke arah Kak Piah dan menolaknya dari atas badan aku. Aku terus duduk, Aliya peluk aku dari belakang, masih menangis. Sempat dia tanya aku samada aku ok. Aku masih pegang leher aku, Aliya kata leher aku merah.

Aku nampak seseorang, tanpa kaki. Badannya hanya sehingga bahagian peha. Seorang gadis, dalam usia kami. Aku pandang Aliya, Aliya angkat bahu seakan tahu apa yang aku nak tanya.

“Pergilah kak. Aisyah boleh jaga diri. Pergilah. Aisyah sayang akak. Tapi Allah lebih sayangkan akak. Pergilah. Jangan risaukan Aisyah. Jangan siksa diri akak lagi. Semua ni bukan salah akak, semua ni takdir Allah kak.” Aku dengar suara Aisyah bersuara jelas tapi penuh sedu sedan.

“Kau pergi, sebelum aku hancurkan kau.” Aku dengar suara Haji Din.

“Pergilah Kak. Tolonglah, Pergilah kak. Aisyah taknak tengok akak menderita lagi. Pergilah dengan tenang. Jangan risaukan Aisyah.” Suara Aisyah, gadis separuh badan itu masih bergetar menahan sebak. Tiada sahutan suara dari Kak Piah.

“Bawalah Kak Mirza dan Kak Nisa sekali. Mereka akan ikut akak. Jangan kurung mereka lagi. Mereka berhak untuk pergi ke tempat mereka,” kata Aisyah mash dengan sedu sedan. Aku pandang Haji Din, dia berdiri sambil berpeluk tubuh dan memejamkan matanya. Tumit kaki kirinya didirikan di lantai. Dia tidak berpijak terus ke atas lantai, seakan menekan sesuatu di situ.

Aku dan Aliya dah menjauhkan diri sedikit, kami duduk berpelukan di tepi dinding.

Aku dengar bunyi bacaan Al Quran bergema di kawasan flat. Bacaan dari masjid berhampiran menandakan waktu maghrib hampir tiba.

“Pergi sebelum masuknya waktu maghrib. Sebaik baris pertama azan berkumandang, jika kau tak pergi, tubuhmu akan hancur menjadi debu. Adik-adikmu akan terperangkap di dunia ini hingga kiamat. Ingat, ini adalah kehendakmu. Kau membuatkan mereka sengsara sedangkan mereka sepatutnya sedang bergembira di sisi Allah.” Kata Haji Din, masih dalam kedudukan tadi.

“Kak, pergilah kak. Sementara masih ada peluang. Pergilah. Aisyah sayang akak. Mak ayah tunggu akak di sana. Pergilah. Bawa Kak Mirza dan Kak Nisa,” kata Aisyah lagi.

Aku dan Aliya menyaksikan, Kak Piah bangun dari duduknya. Keadaannya seakan berbayang. Dia memandang kami dengan wajah sedih. Dia seakan terapung. Sejengkal kakinya terapung di atas lantai. Pakaian putih lusuhnya yang penuh dengan lumpur merah yang telah kering, berkibaran ditiup angin perlahan. Saling tak tumpah dengan tanah yang Aliya jumpa di dalam mesin basuh haritu.

Wajah Kak Piah berubah menjadi seperti wajah asalnya. Malah lebih cantik, tak tua sangat. Mungkin itulah wajah asal Kak Piah semasa hidupnya. Kak Piah bergerak di awangan meredah dinding dan hilang. Haji Din membuka matanya, dan mengangkat tumit kakinya yang ditekannya ke lantai sejak tadi.

Seketika kemudian, aku lihat Aisyah bergerak keluar dari pintu bilik, seakan mengikut Kak Piah. Dia berjalan menggunakan tangannya. Aku bangun, aku nak ikut Aisyah, nak tengok dia ke mana. Aliya menahan aku. Tapi aku degil, perasaan ingin tahu aku tinggi sangat. Aku melangkah mengikut belakang Haji Din yang juga sedang mengikut Aisyah.

“Siapa dia tu Haji?” aku tanya Haji Din. Haji Din tak menyahut, hanya mendiamkan diri tanpa pandang aku. Jadi, aku pun diam.

Aisyah terus ke pintu bilik Kak Piah. Dia menolak pintu bilik Kak Piah hingga pintu bilik tu terbuka luas. Aku dengan penuh perasaan ingin tahu, menjenguk ke dalam bilik tu. Aku nampak bayangan dua susuk tubuh berada di dalam bilik tu, terawang-awangan seperti kelibat Kak Piah tadi.

“Kak Mirza, Kak Nisa, pergilah. Pergilah ke tempat yang lebih baik.” Aku dengar Aisyah bersuara, sebak sungguh bunyinya.

Sempatlah aku lihat wajah kedua-duanya. Comel. Mereka memandang Aisyah dengan penuh hiba. “Kita berpisah di sini. Moga kita berjumpa lagi nanti, di syurga Allah,” kata Aisyah perlahan.

Entahlah kenapa aku rasa sedih sangat dengan suasana tu. Walau aku tak tahu apa kisahnya. Aliya masih peluk tangan aku tak lepas-lepas dari tadi. Tapi dia pun melihat apa yang aku lihat. Mungkin kerana Haji Din ada di situ, jadi, kami tak takut sangat.

“Allahu Akbar Allaahu Akbar!”

“Allahu Akbar Allaahu Akbar!”

“Asyhadu An Laa Ilaha Illallaah!”

“Asyhadu An Laa Ilaha Illallaah!”

Kedengaran azan maghrib berkumandang di udara. Suasana dalam rumah tu yang tadinya macam ada lampu, kini gelap gelita. Haji Din buka pintu. Dia menyuruh kami keluar dari rumah.

“Aisyah?” aku tanya.

“Dia akan ikut kita buat masa ni,” kata Haji Din. Aku menoleh memandang gadis kecil itu. Dia tersenyum memandang aku walaupun nampak wajahnya muram.

“Jom,” kataku. Aliya tarik tangan aku, dia masih takut agaknya.

Gadis kecil itu tak cakap banyak, terus ikut kami kelaur dari rumah tu. Aku jenguk ke tingkat bawah. Nampak Maksu dan Ustaz Osman masih berdiri di tapak parking motor seperti masa kami mula-mula naik tadi.

Aku terus mengikut Aliya melangkah ke lif. Sampai di pintu lif, baru aku teringat akan Aisyah. Dia masih mengikut langkah kami. Aku mencari kelibat Haji Din, dia tiada.

“Mana Haji Din?” aku tanya Aisyah.

“Dia ikut arah sana,” kata Aisyah sambil menunjukkan ke arah hujung flat di sebelah kiri flat, sedangkan kami bergerak ke sebelah kanan.

Pintu lif terbuka, Aliya masuk ke dalam lif. Aku tahan pintu lif, suruh Aisyah masuk dulu. Wajah Aliya masih cuak memandang Aisyah. Aku bagi isyarat jangan buat muka tu. Sebelum aku masuk ke dalam lif, aku jenguk ke arah rumah Kak Piah, mana tahu Haji Din nak naik lif sama dengan kami, tapi aku aku tak nampak dia.

“Jomlah cepat Sue,” kata Aliya memanggil aku. Aku terus masuk ke dalam lif dan turun ke tingkat bawah lalu terus mendapatkan Maksu dan Ustaz Osman.

“Siapa ni?” Maksu tanya aku sambil pandang Aisyah. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri, sesungguhnya aku pun tak tahu dia siapa.

“Haji Din ikut sebelah sana. Tapi tak nampak pun dia. Dia tak cakap apa-apapun tadi, hilang macam tu je,” kataku memaklumkan Ustaz Osman.

“Dia terus ke masjid agaknya,” kata Ustaz Osman,

“Haji Din mana ni?” Maksu tanya aku. Dan sekali lagi aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Tadi kan masa kita sampai sini, Ustaz Osman bersama Haji Din. Dia yang bantu kami kat atas sana. Rasanya Kak Piah dah pergi ke alamnya,” kataku memberitahu Maksu.

“Tapi masa kita sampai, Ustaz Osman je yang ada kat sini. Mana ada orang lain?” Maksu tanya dengan dahi berkerut. Aku dan Aliya berpandangan lagi, takkanlah Maksu tak nampak Haji Din tadi?

“Alhamdulillah, semua dah selesai. Jom kita balik dulu, solat maghrib dan lepas tu kita selesaikan perkara selebihnya,” kata Ustaz Osman. Maksu diam walau dahinya masih berkerut seribu.

“Aisyah ni?” aku tanya Ustaz Osman. Iyelah, siapa nak bawa dia sekarang? Dah la aku tak kenal siapa dia.

“Saya akan bawa dia balik. Terlalu banyak yang dia perlu diubati,” kata Ustaz Osman. Kami semua pandang Aisyah, dia senyum memandang kami.

“Esok pagi kita jumpa di rumah puan boleh? Ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan dan diselesaikan.” Kata Ustaz Osman kepada Maksu.

“Boleh, esok pagi kita jumpa di rumah saya,” kata Maksu. Lalu kami berpecah. Aku dan Aliya ikut Maksu. Aisyah ikut Ustaz Osman. Sesekali dia memandang kami dan tersenyum. Siapalah dia tu. Macammana dia berada di dalam almari dalam rumah Kak Piah? Dah berapa lama dia di situ? Manusiakah dia tu? Atau sama macam Kak Piah, Mirza dan Nisa?

Sampai je kat rumah Maksu, aku dan Aliya terus mandi dan solat. Lama aku kat atas sejadah. Tunggu sampai masuk waktu Isya’. Lepas solat aku turun ke dapur. Maksu sedang masak mee segera.

“Kita makan mee segera je la malam ni ye,” kata Maksu.

“Takpe Maksu, kalau Maksu penat, saya boleh masak sendiri.” Kataku.

“Takpelah, Maksu pun lapar ni.” Kata Maksu.

Aliya tak cakap banyak, terus duduk di kerusi. Muka masing-masing penat, dah tak lalu nak cakap banyak. Kami makan, tak sembang pun. Lepas makan, aku basuh pinggan.

“Pagi esok kita jumpa Ustaz Osman. Lepas tu tengok apa yang perlu dilakukan. Kalau takde apa, Maksu nak balik semula ke kampung Paksu. Kamu berdua kalau nak ikut pun boleh, nak tinggal pun takpe. Terserah,” kata Maksu.

“Kami takut nak tinggal Maksu. Nanti Kak Piah datang lagi?” kata Aliya.

“Ikut kata Ustaz Osman, semua dah selesai. Sekarang tinggal nak memulihkan saja,” kata Maksu. Aku diam.

Kami tak sembang banyak. Aku dan Aliya minta izin kat Maksu, nak tidur sekali dengan Maksu. Maksu pun ajak kami tidur di biliknya. Penat sangat agaknya, letak je kepala, kami terus lena. Sedar-sedar dah subuh. Lepas solat, Maksu ajak kami sarapan di luar.

Masa kami balik, Ustaz Osman pun kebetulan baru sampai kat rumah Maksu. Dia bersama seorang wanita yang dia perkenalkan sebagai isterinya, seorang anak kecil dalam usia tiga tahun. Kami tercari-cari Aisyah, gadis separuh badan yang kami jumpa di dalam rumah Kak Piah semalam, tapi dia tiada.

“Aisyah mana?” aku tanya.

“Dia di hospital, perlu menerima beberapa rawatan. Doktor kata badannya kehilangan nutrisi, perlu dipantau sebelum disahkan sihat,” kata Ustaz Osman.

Maksu menjemput mereka masuk ke dalam rumah. Kami semua duduk di ruang tamu, menunggu Ustaz Osman membuka mulut bercerita tentang hal yang telah terjadi.

“Sebenarnya, Aisyah ni adik bongsu dalam keluarga Kak Piah. Dia jarang diceritakan kerana dia dijaga rapi oleh ibu dan ayahnya. Dia cacat sejak lahir. Badannya hanya separuh, macam yang kita tengok semalam. Pada masa kebakaran, Aisyah ada bersama Kak Piah, sebab tu dia selamat. Tapi tak ramai yang tahu. Masyarakat hanya mengenali Sofea, Mirza dan Nisa saja. Aisyah menyaksikan kerinduan Kak Piah. Aisyah juga yang menyaksikan Kak Piah menggantung diri. Semua orang tak tahu kewujudan Aisyah sebab ahli keluarganya terlalu menjaganya agar dia tidak dilihat oleh masyarakat. Tak tahulah samada kerana malu mempunyai anak yang begitu, atau mereka memang tak mahu masyarakat mengenali Aisyah,” Kata Ustaz Osman.

Kami semua diam, supaya Ustaz Osman boleh menyambung ceritanya.

“Sofea sangat meratapi kematian ahli keluarganya hingga dia terpesong aqidah. Dia berjumpa seorang dukun, meminta agar adik-adiknya sentiasa bersamanya. Dukun itu mengatakan bahawa dia hanya boleh bersama dengan adik-adiknya jika dia mati. Tapi dia masih ada seorang adik lagi yang masih hidup untuk dia jaga. Syaitan ni, demi untuk memesongkan akidah kita, dia akan mampu buat apa saja, walaupun perkara yang kita tak sangka boleh berlaku. Itulah kerja syaitan,” kata Ustaz Osman, dengan wajah penuh hampa.

“Akhirnya Sofea gantung diri, demi untuk membawa adik-adiknya terus bersamanya. Bahkah, Aisyah, satu-satunya adik bongsu mereka yang masih hidup, dikurung bersama di alam mereka, di alam yang tak dapat dilihat oleh manusia biasa. Sukar untuk menjelaskan perkara ni, cukup sekadar kamu faham siapa Aisyah.” Kata Ustaz Osman sambil memandang Aisyah yang tunduk menahan sebak.

“Selama ni Aisyah kat mana?” Maksu tanya.

“Dia ada je kat dalam rumah tu, bersama dengan Sofea, Mirza dan Nisa kerana Sofea dah sekat mereka di alamnya.” Kata Ustaz Osman.

“Tapi masa kami tinggal di sana, kami tak nampak pun dia,” kata Aliya.

“Sebab dia dah dikurung, dia dah disekat dari dunianya yang sebenar. Dia tinggal bersama roh kakak-kakaknya. Tiada yang melihatnya,” kata Ustaz Osman.

“Berapa lama?” aku tanya.

“Sejak Kak Piah mati,” sahut Ustaz Osman.

“Lima tahun?” aku tanya lagi sebab Ustaz Osman pernah beritahu kami bila Kak Piah meninggal dunia.

“Iye, lima tahun dah. Masa dia hilang, usianya baru sepuluh tahun. Sekarang dia dah berusia lima belas tahun,” kata Ustaz Osman.

“Dia hidup macammana? Tak makan minum ke?” Aliya tanya.

“Wallahu ‘alam. Sebab tu dia perlukan rawatan dan pantauan doktor untuk pemeriksaan. Banyak yang perlu dilakukan.” Kata Ustaz Osman.

“Haji Din tu siapa?” aku tanya, aku asyik terfikirkan Haji Din sejak semalam.

“Haji Din tu? Pun satu perkara yang susah nak dijelaskan,” kata Ustaz Osman sambil memandang ke arah isterinya.

“Kenapa? Dia siapa sebenarnya? Kenapa Maksu tak sedar dengan kehadiran dia semalam?” Aliya bertanya.

“Begini, lima tahun lepas, selepas kematian Sofea, Haji Din la orangnya yang mengurung Sofea di dalam rumah tu. Dia yang memangkah rumah tu supaya tiada yang sesat ke rumah tu. Memang tiada yang sesat ke sana, sampailah kami berdua yang sesat masuk ke situ. Masa Haji Din mengurung Sofea, dia tak perasan bahawa roh adik-adiknya telah terkurung sekali. Dan yang paling dia terkilan ialah, dia tak tahu bahawa Sofea turut mengurung seorang lagi adiknya yang masih hidup. Tapi sebab Haji Din dah mengurungnya dengan bersyarat, syaratnya ialah tiada satu roh atau jasad pun boleh keluar dari rumah tu sehingga ada sesuatu yang hidup membawa keluar sesuatu dari rumah tu. Itulah yang Aliya dah bawa keluar, penanda buku besi. Penanda buku saya menganggap bahawa seseorang atau sesuatu telah memasukkannya ke dalam beg Aliya, dengan tujuan mereka boleh meminta tolong dari orang luar.”

“Dan atas sebab itulah, Mirza dapat keluar mencari Aliya. Tapi dia tak boleh keluar lama, sebab dia bukan berada di alam ini. Dia mungkin nak memberitahu sesuatu kepada Aliya. Tapi tak berdaya kerana Sofea sedar akan hal ini, sebab tu dia mencari Aliya dan Sue,” kata Ustaz Osman.

Meremang bulu roma aku mendengar cerita Ustaz Osman. Selama hari ini kami diperhatikan oleh roh-roh yang tak tenang.

“Semalam Haji Din tu terus balik rumah dia ke macammana?” aku masih sangsi dengan Haji Din. Sebab Maksu tak nampak dia. Masa kami mula-mula sampai kat rumah flat tu, kami jenguk ke tingkat bawah, pun kami tak nampak Haji Din. Lepas tu takkanlah dia terus balik macam tu je?

“Haji Din dah meninggal dunia lepas tiga tahun dari tarikh dia mengurung Kak Piah,” kata Ustaz Osman. Buatkan mata aku dan Aliya terbeliak.

“Maknanya Haji Din tu hantu?” Aliya tanya.

“Sukar nak dikatakan pasal ni. Sebelum Haji Din meninggal dunia, dia ada berpesan pasal Sofea. Katanya dia ada mengikat sesuatu di dalam rumah tu, agar dia dapat menyaksikan keadaan rumah tu. Sebab tu dia tahu ada roh lain dalam rumah tu, dan ada Aisyah dalam rumah tu. Dia dah kurung Sofea bersyarat, dan dia juga terpaksa ikut syarat tu. Hinggalah dia tahu Mirza berjaya keluar dari rumah tu. Sebab tu dia tahu, kamu ada ambil gambar dari rumah tu,” kata Ustaz Osman.

“Pada mulanya saya pun agak tergamam. Bila dia muncul meminta saya membawakan kamu berdua ke rumah tersebut. Sebab dia nak selesaikan perkara yang belum sempat dia selesaikan. Dia perlu selesaikan tugasnya kerana tiada orang lain yang tahu tentang perkara ni. Dia nak pergi dengan tenang, tanpa hutang tugasan di dunia ini.” Kata Ustaz Osman.

“Tapi kenapa dia berjumpa dengan Ustaz? Dia kenal ustaz ke,” aku tanya lagi.

“Haji Din tu ayah saya,” kata Ustaz Osman, buatkan aku dan Aliya ternganga lama.

“Jadi macammana dengan Aisyah? Siapa akan jaga dia?” Maksu tanya.

“Saya akan buat permohonan untuk menjaganya di pusat anak yatim milik kami. Kami akan cuba untuk tukar milik rumah Sofea kepada Aisyah. Banyak yang perlu dilakukan. Moga Allah permudahkan segalanya,” kata Ustaz Osman.

“Tapi memang semuanya dah selesai kan? Takde apa dah kan? Kak Piah memang dah pergi kan? Dia takkan kacau kami lagi kan?” Aliya bertanya bertalu-talu.

“In Shaa Allah, dia dah tiada di sini. Semuanya dah selamat ke tempat masing-masing. Yang mati, tetap dah mati. Kita yang hidup perlu teruskan hidup. Tapi kena ingat, setiap yang hidup pasti akan mati. Walau apapun caranya,” kata Ustaz Osman.

Hampir dua jam juga Ustaz Osman berada di rumah Maksu. Lepas Ustaz Osman balik, Maksu pula bersiap nak balik kampung Paksu.

“Kamu nak ikut Maksu ke macammana?” Maksu tanya.

“Maksu, Liya rasa, Liya nak balik kampung jumpa mak abah.” Kata Aliya. Aku anggukkan kepala. “Saya pun macam tu, nak balik kampung,” kataku setuju dengan Aliya.

“Kelas kamu?” Maksu tanya.

“Kami dah ponteng hari ni, takde beza kalau esok kami ponteng sehari lagi. Ahad kami balik,” kata Aliya. Dan aku menganggukkan kepala.

“Pergilah siap. Maksu hantarkan kamu berdua ke Stesen Bas.” Kata Maksu.

– T A M A T –

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s