C-3-16 BBS 2.0

Bab 9

Aku dan Aliya melangkah laju mengikut Maksu, Ustaz Osman dan Haji Din yang sedang menunggu di pintu lif. Aku pandang Haji Din, dia juga sedang memandang kami. Seram sejuk pula aku tengok Haji Din tu, walaupun dia elok je, dengan jubah putih, serban di kepala dan wajahnya yang bersih.

Sebaik pintu lif terbuka, Haji Din memberi laluan kepada aku dan Aliya untuk masuk ke dalam lif. Aku dah Aliya masuk ke dalam lif, manakala Haji Din, Ustaz Osman dan Maksu masih kekal di luar lif.

“Kami sampai di sini saja. Kamu naik ke rumah tu, dia sedang menunggu kamu. Kami tak boleh ikut. Bimbang dia tahu ada orang lain menyedari kehadirannya. Kamu masuklah ke rumah itu, bagi salam elok-elok. Jangan risau, dia juga makhluk Allah seperti kamu. Dia takkan boleh apa-apakan kamu.” Kata Haji Din.

“Ha? Kami pergi berdua je?” kata Aliya agak terkejut dengan arahan tu.

“Jangan risau, kami memerhati,” kata Ustaz Osman.

“Nanti kalau dia sorok kami lagi?” kata Aliya.

“Kami akan tahu kalau dia sorok kamu. Pergilah cepat, sebelum matahari terbenam,” kata Ustaz Osman.

“Takpe, pergilah. Bukan ada pilihan lain. Melainkan kamu nak Kak Piah tu terus ganggu kamu,” kata Maksu memujuk.

Aku peluk bahu Aliya, “Jangan risau, aku ada dengan kau. Kita perlu selesaikan perkara ni.” Kataku sekali lagi terpaksa tunjuk berani walaupun aku sedang kecut perut juga masa tu. Aku taknak nanti Aliya taknak pergi, kami akan terus diganggu oleh Kak Piah.

Aliya diam. Aku tutup pintu lif.

“Sebenarnya, aku tak ambil pun penanda buku ni. Aku Cuma pernah nampak. Tapi aku tak ambil. Aku tak tahu bila masa penanda buku ni berada di dalam beg aku,” kata Aliya.

“Takpe, ada la sebab kenapa jadi macam ni. Kita selesaikan hari ni ye. Kau tahu nak letak kat mana kan?” aku tanya Aliya.

“Haah, kat dalam bilik aku, di bahagian kepala katil.” Sahut Aliya.

“Ting!” Lif berbunyi. Dan pintu lif terbuka. Dada aku dah mula sesak. Nafas pun nak mula laju.

Aku dan Aliya melangkah keluar lif. Kami berjalan sambil memegang tangan sesama sendiri, menuju ke pintu rumah nombor 16. Kami jenguk ke tingkat bawah, nampak Maksu dan Ustaz Osman berdiri di bawah sana sambil memandang kami. Tak nampak Haji Din.

Sampai di pintu nombor 16 yang masih ada tanda pangkah berwarna merah tu, kami berhenti. Teragak-agak nak bagi salam. Aku pandang jam tangan, dah menghampiri pukul 6 petang. Matahari pun nak makin rendah.

“Assalamualaikum,” aku memberi salam. Aliya memegang tangan aku kuat sekali.

“Kreeeeeekkkkkkk!” Pintu rumah tu terbuka seperti ditarik seseorang dari arah dalam. Aliya dengan muka cuaknya, dah macam nak menangis aku tengok.

“Aliya, kita dah sampai sini, kita selesaikan. Jom masuk, kita letak benda ni kat tempat yang kau cakapkan tu, lepas tu kita terus keluar. Rumah ni tak besar, kalau kita bergerak cepat, lima minit je selesai. Tapi kau kena berani, jangan macam ni. Kalau kau takut, aku lagi takut. Kalau kau takut, kita tak boleh selesaikan kerja ni hari ni. Takpe, kita boleh buat esok. Tapi kau yakin, esok kau berani? Kalau esok pun kau macam ni, lusa pun macam ni, macam mana? Dia akan terus ganggu kita. Tu ingat, malam kelmarin adik dia pun dah cari kau. Kau nak tunggu sampai bila?” aku cuba memujuk Aliya.

Aliya hanya diamkan diri. Memang macam nak menangis.

Aku jenguk ke dalam rumah Kak Piah. Keadaannya sama macam masa kami tinggalkan rumah tu. Penuh dengan daun kering, habuk, lumpur kering, sarang labah-labah, sarang angkut-angkut, bersepah dengan sampah yang datang dari entah mana.

Aku pegang tangan Aliya. “Jom, kita masuk,” kataku sambil menarik tangan Aliya.

“Bismillahirrohmaanirrohim. Ya Allah, Kaulah yang Maha Pelindung, lindungilah kami dari perkara yang tidak baik,” ucapku perlahan dan masuk ke rumah tersebut bersama Aliya.

Sebaik kami masuk, aku lihat pintu bilik utama iaitu bilik Kak Piah terbuka luas. Meremang bulu roma aku bila teringat rupa Kak Piah yang tergantung di siling biliknya masa aku naik semula ke rumah tu untuk ambil barang aku dan Aliya dulu.

“Sue, ok ke?” Aliya berbisik kepada aku.

“Jalan terus, jangan pandang keliling.” Kataku sambil menundukkan pandanganku ke lantai dan terus melangkah ke bilik yang sepatutnya disewa oleh Aliya.

Masa melalui pintu bilik Kak Piah, dari sisi mata tepi, memang aku nampak sesuatu yang bergerak tapi aku cuba sedaya upaya menolak keinginan aku untuk melihat ke dalam bilik tu. Aku terus melangkah sambil menarik tangan Aliya. Kami terus ke bilik Aliya. Sampai kat bilik Aliya, aku suruh Aliya letak penanda buku tu di tempatnya. Aliya akur, dia letak penanda buku tu di bawah katil bahagian kepala.

“Dah, jom kita keluar,” kataku.

“Terima kasih,” aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri, kami dengar suara seseorang berbisik mengucapkan terima kasih. Aku pandang keliling, suara tu seakan datang dari dalam almari di belakang katil. Suara seorang perempuan dalam usia kami.

“Kau dengar tak apa yang aku dengar?” Aliya tanya aku.

“Ada suara cakap terima kasih,” kataku.

“Dum!” Kami tersentak bila terdengar bunyi pintu rumah tertutup kuat. Dan kami mula cuak semula.

“Pintu rumah tertutup ke tu?” Aliya tanya aku. Aku tak menyahut.

“Angin kot,” Aliya menjawab soalannya sendiri bila aku berdiam diri.

“Tadi aku dah sandal dengan batu, takkan angin kuat sangat sampai pintu tu tertutup kot,” kataku perlahan.

“Dah, jom kita keluar,” kataku sambil menarik tangan Aliya.

Baru je kami nak melangkah ke luar bilik, seseorang berdiri di pintu bilik, menghalang laluan kami untuk keluar.

“Aliya, Sue. Kamu pergi mana? Lama Kak Piah tunggu kamu. Ingatkan kamu dah sesat,” suara yang amat kami kenali. KAK PIAH!

Aku dan Aliya sama-sama mengangkat muka memandang ke arah perempuan yang berdiri di muka pintu tu. Kami nampak Kak Piah, sama je macam dulu. Dia memandang kami sambil tersenyum.

Aku dan Aliya kaku di situ. Wajah kami pada masa tu, rasanya kalau ditoreh pisau pun tak berdarah kot. Kak Piah melangkah masuk ke dalam bilik tu. Bajunya yang labuh hingga menyapu lantai, maka semua daun-daun kering mengikut di kainnya. Kak Piah menghampiri kami. Masa tu bau lumpur kering dan bangkai menusuk ke dalam hidung kami.

“Uwek!” Aliya hampir nak termunta.

“Eh, kenapa ni Aliya? Kamu tak sihat? Jom Kak Piah bagi ubat,” kata Kak Piah. Aliya mula menggeletar bila Kak Piah menyentuh pipinya. Aku cuba nak lari, tapi nak angkat kaki pun rasa tak lalu masa tu. Lemah sangat. Macam dikunci supaya kami tak boleh bergerak.

“Kenapa dengan kamu berdua ni? Pucat semacam je. Macam nampak hantu,” kata Kak Piah memandang wajah kami silih berganti sambil tersenyum.

“Kamu tahu tak, sepanjang kamu takde, Kak Piah sunyi sangat. Kak Piah cuba cari penyewa lain, tapi takde orang yang datang.” Kata Kak Piah lagi sambil berjalan mengelilingi kami.

“Mirza dan Nisa tak balik sini ke Kak Piah?” aku memberanikan diri bersuara.

“Mereka pun tak balik sini dah. Tak tahulah kenapa. Kak Piah sunyi,” kata Kak Piah.

“Kak Piah, kami datang sekejap je. Kami nak hantar barang. Dan sekarang kami kena balik, nanti Maksu Aliya marah kalau kami lambat,” kataku terus beranikan diri berbicara dengan makhluk Allah di depan kami ni. Entahlah kenapa aku berani sangat.

Wajah Kak Piah taklah macam wajah hantu. Dia seperti manusia biasa yang macam kami kenal dulu masa mula-mula masuk ke rumah tu. Cuma mungkin kerana minda kami dah kata Kak Piah tu hantu, maka sebab itu kami dah rasa lain.

“Laa.. Kak Piah ingat kamu berdua datang untuk sambung sewa kat sini. Tinggallah kat sini, teman Kak Piah. Takpelah kalau pasal sewa, Kak Piah kurangkan. Asalkan ada orang teman Kak Piah kat sini,” kata Kak Piah.

“Tak boleh Kak Piah. Kami sekarang dah bekerja kat kedai, malam pula pergi kelas. Jadi kami perlu cari tempat yang dekat,” kataku makin berani berbual dengan Kak Piah. Aliya masih kaku di tepi aku.

“Siapa nak temankan Kak Piah kat sini?” kata Kak Piah dengan wajah sedih.

“Kak Piah, apa kata Kak Piah keluar dari rumah ni. Pergi balik ke tempat Kak Piah. Mana tahu nanti Kak Piah akan rasa lebih tenang,” kataku perlahan. Macam tak percaya aku bercakap macam tu dengan ‘sesuatu’.

“Kak Piah nak ke mana Sue? Keluarga Kak Piah dah tiada. Kak Piah sebatang kara. Saudara mara pun semua tak jenguk Kak Piah dah.” Kata Kak Piah. Betul-betul dengan nada sedih.

Entahlah kenapa hati aku berkata, Kak Piah ni sebenarnya tak sedar bahawa dia dah mati. Dia masih rasa dia hidup. Kalaulah betul, kesian Kak Piah. Terkurung di situ sampai entah bila. Hanya kerana mati dalam keadaan yang tak diterima bumi. Bahkan rohnya sendiri taknak pergi ke tempat sepatutnya.

“Sue, jomlah keluar,” Aliya berbisik kepada aku.

“Aliya, tinggallah di sini. Kalau tak lama pun, malam ni cukuplah. Esok baliklah. Banyak yang Kak Piah nak sembang,” kata Kak Piah memandang Aliya. Kak Piah masih berdiri di pintu bilik, menghalang kami untuk keluar dari bilik tu.

“Geduk geduk geduk,” tiba-tiba kami dengar bunyi sesuatu di dalam almari di belakang kami. Aliya menjerit terkejut. Aku pun terkejut, tapi aku tak lepaskan pandangan mata aku kepada Kak Piah. Memang Ustaz Osman ada pesan, kalau ditakdirkan kami bertembung dengan Kak Piah, jangan pandang mata dia. Tapi kalau dah terpandang, jangan putuskan pandangan. Sebab minda kami mungkin akan dimanupulasi.

“Apa tu?” Aliya bersuara. Aku tak jawab, Kak Piah memandang ke arah almari tersebut dengan wajah yang tak sama macam tadi. Mukanya seakan marah.

“Geduk geduk geduk” sekali lagi bunyi tu kedengaran dan kali ini pintu almari terbuka sendiri.

Tak sampai tiga saat kot, kami dengar bunyi suara perempuan menangis tersedu sedan teresak esak dari dalam almari. Kak Piah memandang ke arah almari tu tapi dia taknak berganjak langsung dari pintu bilik tu.

“Siapa tu Kak Piah?” Aku tanya.

“Ooo… Itu Mirza. Dia memang manja sikit, mudah menangis,” kata Kak Piah.

“Mirza? Itu bukan adik Kak Piah ke?” aku tanya lagi.

“Haah, adik Kak Piah,” Kak Piah mengiyakan.

“Bukan Kak Piah kata adik Kak Piah dah mati ke?” aku menduga lagi. Kali ni Kak Piah pandang aku dengan mata yang merah. Dia merengus marah tapi dia masih tetap di pintu bilik.

Pintu almari terbuka luas. Dan kedengaran suara tangisan makin kuat, seakan seseorang sedang keluar dari almari tu.

“Sue, ada perempuan merangkak keluar dari almari tu. Tengoklah Sue.” Kata Aliya, aku masih memandang Kak Piah. Walau aku sendiri dah mula goyah. Suasana makin gelap. Aku masih mencari akal untuk keluar dari bilik dan rumah tu.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s