C-3-16 BBS 2.0

Bab 8

“Sekarang ni macammana ustaz? Kami kena pergi hantar benda ni ke rumah tu semula ke?” Aliya bertanya.

“Iya. Kalau tak, dia akan terus ganggu kamu.” Kata Ustaz Osman.

“Tapi bukan ke Kak Piah dah kena kurung? Orang situ kata, dah lama dia kena kurung kat rumah tu. Takkanlah sebab benda ni je dia boleh terlepas?” Aku tanya Ustaz Osman.

“Kamu buka jalan untuk dia keluar. Jadi, kamu tutup semula jalan keluarnya dengan mengembalikan barangan miliknya kepada dia semula,” kata Ustaz Osman.

“Kamu berdua takde kelas ke petang ni?” tiba-tiba Pak Manap bertanya. Aku dan Aliya tersentak sekejap. Terus tengok jam, dah pukul 3.30 petang.

“Hari ni tak payahlah ke kelas Pak Manap. Letih sangat rasanya, kepala pun serabut ni. Kalau Maksu ada masa ni, takdelah serabut sangat macam ni.” Kata Aliya seakan mengeluh.

“Terpulang pada kamu. Pak Manap ingatkan je. Takpe ke kamu tak pergi kelas?” Pak Manap tanya lagi.

“Nanti kami minta nota dari kawan,” kataku kepada Pak Manap.

“Ustaz beritahu kami, apa yang perlu kami buat?” aku alih perhatian kepada Ustaz Osman pula.

“Pulangkan barang tu.” kata Ustaz Osman.

“Masuk je ke dalam rumah tu?” aku tanya lagi.

“Iya. Masuk ikut pintu, keluar pun ikut pintu,” kata Ustaz Osman.

“Ustaz, takkanlah masuk ke rumah hantu macam tu je. Takkan takde pelindung bagai. Kami ni kalau boleh, taknak masuk rumah tu lagi. Tapi kalau sebab benda ni, Kak Piah ganggu kami seumur hidup, takpelah, kami sanggup hantar barang ni ke rumah tu,” kata Aliya.

“Macam ni. Petang nanti lepas Asar, kita ke sana. Saya pun perlu jumpa seorang lagi sahabat saya di sana, yang lebih arif tentang kisah Kak Piah ni. Kamu pun tahu kan, saya bukan orang Bandar Baru Sentul. Haritu jadi bidan terjun je sebab Maksu kamu minta tolong. Sebaiknya kita tanya dengan orang lama di situ. Mana tahu ada cerita lain di sebalik kisah yang kita tahu,” kata Ustaz Osman.

“Ok, petang nanti kita jumpa kat sana. Pak Manap boleh bawa kami ke sana tak?” aku tanya.

“Kedai takde orang jaga nanti,” kata Pak Manap.

“Takpelah, saya boleh bawa kamu berdua ke sana. Lepas Asar, saya datang sini ambil kamu.” Kata Ustaz Osman.

“Pak Manap pun nak balik ke kedai juga ni. Lama pula tinggalkan kedai,” kata Pak Manap.

“Habis tu kami ni macammana? Tinggal berdua kat rumah ni?” Aliya tanya.

“Iyalah, takkan kami nak duduk sekali kat sini. Nanti timbul fitnah pula,” kata Ustaz Osman.

“Tapi kalau Kak Piah kacau lagi?” Aliya bertanya.

“Siang buta ni mana ada hantu,” kata Pak Manap. Ustaz Osman tersenyum memandang kami berdua.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba ada suara perempuan bagi salam di pintu rumah. Suara yang amat kami kenali. Aku dan Aliya menjenguk ke pintu. Kelihatan Maksu melangkah masuk ke dalam rumah. Macam nampak artis kami punya excited.

“Maksu!!!!” Aliya panggil Maksu. Dia berlari ke arah Maksu dan terus peluk Maksu. Maksu pandang ke arah kami yang berdiri di dalam rumah.

“Maksu balik sini?” Aliya tanya.

“Habis tu kau ingat senang hati Maksu kat sana? Semalaman call tak jawab, mesej tak reply. Tup tup tumpang tidur kat rumah Mak Esah.” Maksu tanya Aliya.

“Alhamdulillah, tak tahulah betapa leganya hati kami bila nampak Maksu ni. Maksu lah penyelamat kami,” kata Aliya masih berpaut kat bahu Maksu. Maksu menepis tangan Aliya lalu melangkah kepada Ustaz Osman.

“Yati, Pak Manap balik ke kedai dulu la ye. Rasanya selesai dah tugas Pak Manap di sini,” Pak Manap minta izin.

“Iya Pak Manap. Terima kasih banyak-banyak tolong tengokkan budak-budak ni. Minta maaf sangat terpaksa menyusahkan Pak Manap.” Kata Maksu kepada Pak Manap.

“Terima kasih Pak Manap,” aku dan Aliya bersuara serentak.

“Sama-sama, Pak Manap pergi dulu,” kata Pak Manap lalu melangkah keluar dari rumah Maksu.

“Jadi Ustaz, dah beritahu mereka ni apa yang perlu dibuat?” Maksu tanya Ustaz Osman.

“Iya, lepas Asar kita jumpa di tingkat bawah rumah Kak Piah tu,” kata Ustaz Osman.

“Baiklah, nanti saya bawa mereka berdua ni ke sana,” kata Maksu, seakan dia dah dapat maklumat tentang apa yang Ustaz Osman dah maklumkan kami tadi.

“Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Kita jumpa petang nanti,” kata Ustaz Osman.

“Ya Ustaz. Terima kasih banyak-banyak. Kita jumpa di sana nanti,” kata Maksu kepada Ustaz Osman. Aku dan Aliya hanya memandang. Segan pula rasanya. Ustaz Osman taklah tua sangat, orangnya masih segak bergaya, manis menawan. Cuma perwatakannya itu membuatkan kami segan nak pandang dia lama-lama. Maklumlah kami ni tudung pun kejap pakai kejap tanggal.

“Paksu dan anak-anak Maksu tak balik sama?” Aliya tanya Maksu yang duduk di sofa melepaskan letih sebab memandu jauh tadi.

“Mereka tak ikut. Kan ada kenduri kat kampung. Paksu suruh Maksu balik tengokkan kamu. Maksu pun tak senang hati kat sana bila kamu berdua dah jadi macam ni. Harap-harap semua boleh selesai cepat, Maksu nak balik semula ke sana,” kata Maksu.

“Kami minta maaf sangat Maksu. Kami dah cuba sedaya upaya untuk tak kacau Maksu. Tapi tu la, keadaan tak mengizinkan,” kata Aliya.

“Maksu pesan banyak kali dah, walau apapun yang jadi, bagitahu Maksu. Kamu berdua tu tanggungjawab Maksu kat sini. Bagitahu Maksu. Mungkin Maksu tak boleh tolong selesaikan, tapi Maksu boleh tolong cari jalan,” kata Maksu. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Semalam kamu kata ada bihun goreng kat dapur?” Maksu tanya.

“Haah, kami dah makan sikit. Lepas tu Maksu call kata takde masak bihun goreng pun. Terus kami berhenti makan.” Kata Aliya. Maksu terus jalan ke dapur. Dia memerhati keadaan dapurnya.

“Kenapa dapur ni berselerak macam ni?” Maksu tanya. Dan sekali lagi aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri. Kami terus melangkah ke dapur. Betullah, dapur Maksu dah macam kena bom. Pinggan mangkuk semua bertaburan di lantai.

“Kenapa macam ni?” Maksu tanya.

“Kami tak tahu Maksu. Pagi tadi lepas balik dari rumah Mak Esah, kami bersiap dan terus ikut Pak Manap ke kedai. Lepas zohor kami balik sini, dan sampai sekarang kami belum masuk dapur. Semalam elok je dapur ni,” kata Aliya.

Aku teringat mainan anak-anak Maksu. Aku melangkah ke bilik kecil di dapur. Aku buka pintu. Dan ternyata kat dalam bilik tu pun berselerak macam baru lepas perang.

“Astaghfirullahal azeem, apa benda yang mengamuk kat dalam rumah ni?” Maksu tanya. Matanya memerhati keliling bilik.

“Kami tak tahu Maksu. Sumpah, kami tak tahu. Semalam sebelum kami lari ke rumah Mak Esah, memang ada beberapa mainan anak-anak Maksu, bergerak sendiri. Walau yang dah rosak pun boleh jalan sendiri,” kata Aliya.

Maksu pandang Aliya dan aku. Wajahnya ada sedikit cuak. Tak tahulah dia percaya atau tak dengan cerita kami.

“Takpelah, tinggalkan dulu rumah ni. Jom bersiap solat asar. Lepas tu kita pergi ke rumah Kak Piah kamu tu,” kata Maksu lalu melangkah ke biliknya.

Aku dan Aliya masing-masing takut nak melangkah ke bilik kami di tingkat atas.

“Dah kenapa masih kat situ? Pergilah siap cepat,” Maksu bersuara dari pintu biliknya yang dibuka sedikit.

“Kami takut nak naik atas.” Kata Aliya.

“Kamu takut hantu ke takut Allah?” Maksu buat dah, dia tanya soalan budak tadika tu.

“Takut Allah la,” Aliya menyahut.

“Habis tu?” Maksu bertanya lagi.

“Yelah, yelah. Jom Sue, kita naik atas,” kata Aliya dengan nada merajuk sambil melangkah menaiki anak tangga tu satu persatu. Aku pun ikut sekali. Sampai kat bilik, kami berdua memandang keliling. Tiada apa di situ.

“Kau mandi dulu?” Aku tanya Aliya.

“Aku takut nak mandi. Terbayang-bayang Kak Piah bertenggek kat atas mangkuk tandas tu.” kata Aliya.

“Hish kau ni. Janganlah ingatkan pasal benda tu.” kataku lalu mengambil tuala dan terus masuk ke bilik air. Cuak gak, mata memerhati keliling. Aliya ikut belakang aku, “Kita mandi sekali boleh tak?” Aliya tanya aku.

“Hish kau ni. Nanti kau mandi, aku tunggu la kat tepi pintu ni.” Kataku kepada Aliya lalu menutup pintu bilik air walaupun Aliya masih berdiri di situ.

Mujurlah tiada apa yang terjadi. Lepas solat Asar, kami turun ke ruang tamu tingkat bawah. Maksu sedang mengemas dapur. Aku terus ke dapur, cadangnya nak bantu Maksu. Tapi Maksu bila nampak kami, terus ajak kami keluar.

“Jom cepat, nanti Ustaz Osman kena tunggu lama pula kat sana,” kata Maksu terus melangkah ke pintu keluar. Aliya mengikut langkah Maksu. Aku sempat la melihat-lihat ke dapur. Maksu dah kemas sikit, takdelah bersepah macam tadi. Tapi di satu sudut, aku nampak seseorang. Aku nampak Kak Piah! Dia berdiri betul-betul di tepi pintu bilik air. Aku tak nampak jelas, sebab di kawasan tu agak samar-samar, melainkan kami buka pintu dapur.

“Dah, jangan tengok lagi. Jom kita pergi. Maksu pun nampak tadi walaupun Maksu tak kenal rupanya, tapi Maksu syak, itulah dia,” kata Maksu memegang tangan aku perlahan. Aku tersentak.

“Maksu nampak dia?” aku tanya semula. Maksu anggukkan kepala.

“Nampak siapa?” Aliya tiba-tiba datang dari arah ruang tamu dan bertanya kami.

“Takde apa. Jom kita pergi. Selesaikan perkara ni secepat mungkin.” Kata Maksu. Aku akur, mengikut langkah Maksu keluar rumah. Maksu kunci rumah. Kami naik kereta Maksu dan Maksu memandu tenang ke Bandar Baru Sentul. Kami perlu menziarah rumah di Blok C, Tingkat 3, Pintu 16. Nampak tenang, tapi hati kami kecut, otak kami serabut. Kalau boleh lari balik kampung, memang kami dah buat. Tapi bak kata Ustaz Osman, nanti Kak Piah cari kami kat kampung pula.

Sampai di flat yang kami tuju tu, Ustaz Osman telah berada di sana. Kelihatan dia sedang berbual dengan seseorang, yang nampaknya sama seperti Ustaz Osman, tapi agak tua sedikit. Muka masing-masing serius, tapi masih tenang.

“Assamualaikum Ustaz,” Maksu bagi salam. Ustaz Osman dan sahabatnya menoleh ke arah kami.

“Waalaikumussalam. Ha, dah sampai. Kenalkan ini sahabat saya, Haji Din. Dulu dia tinggal kat sini, lama juga. Tapi dah pindah ke taman sebelah, beli rumah di sana,” Ustaz Osman memperkenalkan kami kepada Haji Din.

“Ini ke budaknya yang ustaz cakap tu?” Haji Din pandang aku dan Aliya.

“Iye, mereka berdua ni la.” Kata Ustaz Osman.

“Memang dia berkenan sangat la kalau macam ni. Baya-baya adik-adik dia je,” kata Haji Din.

“Haah, sebab tu kena kurung hari tu. Dah keluar pun kena ikut lagi,” kata Ustaz Osman. Aku dan Aliya hanya tersenyum kepada Haji Din.

“Dua malam lepas, ada orang cari kan?” Haji Din tanya.

“Haah, tapi saya tak sempat jumpa. Dia dah pergi. Maksu je sempat jumpa dia,” kata Aliya.

“Tahu tak siapa tu?” Haji Din tanya.

“Tak tahu pula. Maksu pun tak kenal,” Aliya menyahut.

“Cuba tunjuk gambar yang kamu ambil di rumah ni dulu. Tunjuk kat Maksu kamu. Mana tahu itu orang yang sama,” kata Haji Din buatkan air muka Aliya berubah. Dia keluarkan telefonnya dari beg lalu membuka galeri dalam telefonnya.

Aliya skrol galeri di telefonnya. Dan dia berhenti pada satu gambar. Gambar tiga orang perempuan. Aku kenal salah seorang dalam gambar tu, itulah Kak Piah. Dua orang lagi aku tak kenal, nampak macam dalam usia aku dan Aliya.

Aliya tunjukkan gambar tu kepada Maksu. Maksu amati gambar tersebut. “Inilah kawan kamu yang datang malam tu,” kata Maksu sambil menunjukkan gambar salah seorang gadis dalam gambar tu.

“Itulah Mirza, adik kepada Sofea.” Kata Haji Din.

“Tapi Mirza dah mati kan? Macammana dia boleh cari kami?” aku bertanya.

“Mungkin dia nak beritahu kamu sesuatu.” Kata Haji Din sambil melangkah ke arah tangga flat itu. Ustaz Osman dan Maksu mengikut langkahnya. Aliya cuit aku, mukanya macam penuh tandatanya.

“Pelik kan, macammana adik Kak Piah boleh cari kita sampai rumah Maksu. Padahal dia dah mati,” kataku.

“Aku tak pelik sangat yang tu. Ada benda lain yang aku lebih pelik,” kata Aliya.

“Apa dia?” aku tanya.

“Macammana Haji Din tu tahu aku ada ambil gambar tu dari rumah ni?” Aliya tanya. Berkerut dahi aku. Haah, macammana Haji Din tau? Sedangkan kami baru pertama kali jumpa. Aku sendiri pun tak tahu Aliya ada simpan gambar tu.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s