C-3-16 BBS 2.0

Bab 7

“Lelaki ke perempuan Pakcik?” aku tanya.

“Lelaki. Katanya dia panggil kamu kat rumah sebelah ni. Tapi takde yang menyahut. Sebab tu dia tekan loceng rumah ni, nak tanya pasal kamu berdua,” kata Pakcik Hamdan lagi.

Aku dan Aliya melangkah perlahan ke ruang tamu dengan penuh tandatanya. Pakcik Hamdan mengikut di belakang kami sebab Mak Esah suruh dia ikut kami.

Sampai kat pintu, aku jenguk keluar. Aku nampak Pak Manap berdiri di luar pagar rumah Mak Esah. Aku dan Aliya menarik nafas lega.

“Kamu kenal ke orang tu?” Pakcik Hamdan tanya.

“Kami kenal dia. Takpelah, kami pergi jumpa dia sekejap,” kataku kepada Pakcik Hamdan. Pakcik Hamdan terus ke dapur semula. Aku dan Aliya melangkah keluar menghampiri Pakcik Manap. Tersenyum lebar Pakcik Manap bila nampak kami. Tak macam tadi, nampak mukanya seperti kerisauan.

“Kenapa kamu berdua ada kat sini? Telefon mana?” Pak Manap tanya kami laksana seorang ayah bertanya kepada anaknya.

“Panjang ceritanya Pak Manap. Pak Manap pula buat apa kat sini? Awal lagi ni, takkan nak panggil kami masuk kerja dah kot,” kata Aliya.

“Maksu kamu telefon Pak Manap. Katanya dia call kamu sejak pukul 11 semalam tapi tak berjawab. Dia risau. Dia suruh Pak Manap tengok kamu berdua. Tapi semalam dah tengah malam, takkan Pak Manap nak datang rumah kamu pula. Awal subuh tadi Maksu kamu telefon lagi. Katanya kamu berdua masih tak jawab telefon. Mesej pun tak reply. Terus dia call Pak Manap, minta tolong datang sini tengok kamu berdua,” kata Pak Manap.

“Ooo… Kami tertinggal telefon kat rumah sana. Semalam kami tidur kat rumah Mak Esah ni,” kata Aliya.

“Kenapa tak beritahu kat Maksu kamu? Dia risau sangat. Kenapa tinggal telefon? Dua-dua pun tinggal?” Pak Manap tanya dan kami anggukkan kepala serentak.

Pak Manap mendail nombor Maksu. Seketika kemudian dia menyerahkan telefonnya kepada Aliya. Aliya menjawab.

“Kamu berdua ke mana ha? Sampai nak patah jari Maksu call kamu berdua. Hantar mesej tak tahu la berapa banyak, satu pun tak berbalas.” Maksu membebel tanpa sempat Aliya bagi salam. Berkerut muka Aliya mendengar suara Maksu yang agak keras dan kuat. Pak Manap senyum je.

“Kami tidur kat rumah Mak Esah. Terlupa bawa telefon,” kata Aliya.

“Dah kenapa tidur kat rumah Mak Esah? Rumah Maksu tu tak boleh tidur dah?” Maksu marah lagi.

“Bukan macam tu. Ada sesuatu terjadi semalam. Sebab tu kami lari ke rumah Mak Esah,” kata Aliya.

“Apa yang jadi?” Maksu tanya.

“Kak Piah, dia kacau kami,” sahut Aliya.

“Kamu berdua ni dah kenapa? Berapa kali dah cakap Kak Piah tu dah mati. Dah terkurung kat rumah lama kamu dulu. Jangan fikirkan sangat. Sebab tu dia muncul. Kalau betul dia nak ganggu kamu, kenapa lepas tiga bulan? Dia boleh kacau kamu sehari lepas kamu duduk kat rumah Maksu pun,” kata Maksu.

“Kami tak tahu Maksu. Kami pun tak sangka jadi macam ni,” kata Aliya.

“Tu kamu keluar dari rumah Maksu tu, rumah tu kunci ke tak?” Maksu tanya. Dan masa ni mata Aliya terbeliak memandang aku. Memang kami tak kunci pintu semalam. Lari keluar je.

“Rasanya dah kunci semalam. Nanti Liya pergi tengok. Ni Pak Manap ada, Liya ajak Pak Manap temankan,” kata Aliya.

“Ya Allah Aliya. Kamu keluar rumah tak kunci? Semalaman?” Maksu bebel lagi. Biasalah orang dah risau, lepas tu buka cerita pasal hantu. Memang kena la.

“Minta maaf sangat Maksu. Kami memang diluar kawalan semalam. Kami balik rumah sekarang,” kata Aliya lalu menyerahkan telefon kepada Pak Manap.

Pak Manap bercakap dengan Maksu sekejap. Maksu macam bagi arahan kat Pak Manap sebab Pak Manap dok terangguk-angguk kepala lepas tu jawab ok ok je. Lepas Pak Manap letak telefon, dia ajak aku dan Aliya balik ke rumah Maksu.

Aku dan Aliya masuk ke dalam rumah Mak Esah. “Mak Esah, kami balik rumah dulu. Terima kasih sebab tumpangkan kami semalam. Minta maaf susahkan Mak Esah dan Pakcik semalam ye,” kataku kepada Mak Esah dan Pakcik Hamdan yang sedang berdiri di muka pintu memerhatikan kami.

“Nah bihun goreng buat bekal. Tadi makan tak sempat habis kan,” kata Mak Esah sambil menghulurkan sebekas bihun goreng. Kami pun dah lupa bahawa kami sedang sarapan tadi. Baiknya Mak Esah. Tiba-tiba teringat kat mak di kampung.

Sampai di rumah, pintu rumah Maksu terbuka luas. “Kamu tak tutup pintu pun?” Pak Manap tanya kami. Aku dan Aliya diam, nak kata apa lagi kan?

Kami masuk ke dalam rumah Maksu. Pak Manap berhenti di muka pintu. “Pak Manap, jom lah ikut masuk. Kalau Pak Manap tak ikut, kami tak berani nak masuk,” kata Aliya. Dan Pak Manap akur, dia ikut kami masuk ke dalam rumah.

Keadaan dalam rumah tak berubah. Elok je kemas tersusun seperti sebelumnya. Tak nampak pula mainan bersepah macam semalam. Dengan kereta polis, dengan anak patung lagi. Aku terus ke dapur, tengok kat atas meja. Takde bihun goreng pun.

“Sebenarnya apa yang terjadi semalam?” Pak Manap tanya kami.

“Kalau kami cakap pun, takde orang nak percaya.” Kata Aliya dengan nada merajuk dan terkilan.

“Ok, cerita kat Pak Manap.” Kata Pak Manap memujuk.

“Janji Pak Manap takkan kata kami merepek,” kata Aliya seakan mengugut.

“Iye, Pak Manap janji,” kata Pak Manap sambil angkat tangan kanannya seakan orang nak angkat sumpah tu.

Maka, kami pun berceritalah segalanya. Dari malam mula-mula aku mimpikan Kak Piah, sampailah apa yang terjadi semalam. Pak Manap mendengar dengan penuh tekun. Sesekali dia mengerutkan dahinya dan menggaru kepalanya yang penuh uban.

“Macam ni la. Maksu kamu ada cakap kat Pak Manap, suruh Pak Manap panggilkan Ustaz Osman. Katanya Ustaz Osman tahu pasal Kak Piah kamu ni,” kata Pak Manap.

“Haah, Ustaz Osman yang bawa kami keluar dari rumah Kak Piah dulu,” kata Aliya.

“Sekejap Pak Manap telefon dia. Maksu kamu baru je hantar nombor telefon Ustaz Osman tu kat Pak Manap,” kata Pak Manap sambil mendail nombor Ustaz Osman. Tak lama mereka berbicara, tak sampai 5 minit pun.

“Petang nanti, lepas zohor, Ustaz Osman datang sini,” kata Pak Manap. Aku dan Aliya angguk kepala.

“Sekarang Pak Manap nak ke kedai perabot. Kamu berdua masuk lambat sikit pun takpe. Kalau taknak masuk pun takpe. Nanti Pak Manap boleh cakap dengan Maksu kamu.” Kata Pak Manap sambil bangun dari kerusi dan melangkah keluar.

“Tunggu Pak Manap. Kami nak ikut sekali. Taknaklah duduk dalam rumah ni,” kata Aliya. Pak Manap menghentikan langkah.

“Siang pun takut?” Pak Manap bertanya.

“Kami takut,” sahut Aliya. Pak Manap senyum.

“Kalau macam tu, pergilah siap. Pak Manap tunggu di sini.” Kata Pak Manap lalu duduk kembali di kerusinya tadi. Aku dan Aliya cepat-cepat pergi ke bilik kami, mandi ala kadar bersiap. Aku ambil telefon. Ada 13 missed call dari Maksu. Ada 6 mesej, juga dari Maksu. Begitu juga Aliya. Jadi, tak hairanlah kenapa Maksu marah sangat kan. Sampai sanggup suruh Pak Manap datang cari kami.

Selepas bersiap, kami ikut Pak Manap ke kedai perabot Paksu. Bihun goreng Mak Esah kami makan kat kedai je. Kami banyak mengelamun, teringatkan kisah semalam. Kenapa Kak Piah kacau kami? Macammana Kak Piah boleh keluar dari kurungan rumah tu?

Lepas zohor, Pak Manap menemani kami balik ke rumah Maksu. Ustaz Osman tiba di rumah Maksu lebih kurang pukul 2.30 petang. Ustaz Osman tak banyak cakap, dia masuk ke dalam rumah dan memerhati keliling seakan mencari sesuatu.

“Ustaz, bukan Kak Piah tu dah kena kurung ke? Kenapa dia masih kacau kami?” aku bertanya.

“Susah nak dijelaskan. Yang pasti, kamu berdua dah lepaskan dia dari kurungan tu,” kata Ustaz Osman buatkan aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Kami lepaskan Kak Piah? Macammana?” aku tanya lagi.

“Pertama sekali, kamu dah bawa Kak Piah tu keluar dari rumah tu. Tanpa bantuan manusia, dia tak boleh sama sekali keluar dari rumah tu. Tapi dengan kamu, dia dah keluar ke kawasan manusia. Pasar, taman permainan, kawasan kejiranan. Kan?” Ustaz Osman tanya.

“Bukan kami bawa dia, dia yang bawa kami. Tunjukkan jalan semua tu.” sahutku lagi. Tak adillah untuk Ustaz Osman menuduh kami membawa Kak Piah keluar dari rumah tu.

“Iyelah, lagipun masa tu kami mana tahu dia tu bukan manusia,” kata Aliya, juga tak puas hati dengan tuduhan tu. Ustaz Osman tersenyum je.

“Ok ok, saya minta maaf. Saya bukan menuduh kamu. Saya nak kamu tahu, bahawa melalui kamu, Kak Piah tu dah berjaya keluar dari rumah tu.” kata Ustaz Osman.

“Tapi kan lepas tu ustaz dah kurung dia semula kat rumah tu?” aku tanya.

“Saya dah kurung dia semula. Tapi selalunya kalau dia mengikut macam ni, maknanya ada barang dia yang kamu simpan. Kamu kena pulangkan semula,” kata Ustaz Osman.

“Barang Kak Piah? Kami tak ambil apa-apapun dari sana,” kata Aliya sambil pandang aku. Aku pun geleng kepala juga.

“Kamu pasti?” Ustaz Osman tanya kami. Pak Manap hanya memerhati kami dari satu sudut.

“Kalau betul kami dah ambil barang dia, kenapa dah tiga bulan lebih baru dia munculkan diri?” aku bertanya lagi. Kami memang dah pening dengan hal Kak Piah ni.

“Macam ni, benda-benda macam ni, selalunya dia tak terus muncul. Dia akan muncul bila dia bersedia. Mungkin dia dah berada bersama kamu sejak awal lagi. Tapi dia hanya boleh memperlihatkan dirinya selepas 100 hari di dunia kamu. Sebab tu lepas tiga bulan baru dia muncul. Dia nak mengenali dunia kamu terlebih dahulu,” Kata Ustaz Osman.

“Sekarang ni macammana?” aku tanya Ustaz Osman, malas nak berdebat pasal kemunculan Kak Piah lagi. Yang penting sekarang, macammana nak lepaskan diri dari Kak Piah ni.

“Kamu kena cari barang atau apa-apa yang kamu dah terambil dari rumah sana,” kata Ustaz Osman. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Cuba fikir baik-baik. Mesti ada sesuatu,” kata Ustaz Osman.

Hampir setengah jam juga kami memikirkan dan menggeledah bilik. Akhirnya Aliya terjumpa sesuatu. Sekeping penanda buku besi berbentuk pepohon pokok.

“Itu kau ambil dari rumah Kak Piah ke?” aku tanya.

“Aku pernah nampak benda ni kat rumah Kak Piah tapi aku tak ambil rasanya. Sampailah kita masuk kolej, aku nampak benda ni kat dalam kotak pensil aku. Takde pula aku terfikir benda ni boleh jadi sebab Kak Piah ikut kita,” kata Aliya.

“Kenapa kau tak cakap kat aku?” aku tanya.

“Cakap kat kau buat apa? Nanti kau suruh aku pergi sana hantar semula. Taknak la aku. Aku tak pakai pun benda ni. Aku letak je kat dalam laci almari ni.” Kata Aliya menunjukkan tempat dia jumpa penanda buku besi tu.

Aliya serahkan penanda buku tu kepada Ustaz Osman.

“Kamu kena pulangkan sendiri,” kata Ustaz Osman buatkan aku dan Aliya tergamam seketika.

“Pulangkan kepada Kak Piah?” Kami bertanya serentak.

“Iya, kamu je yang tahu di mana letaknya benda ni kat dalam rumah tu. Kena letak di tempat asal, kalau tak, dia masih cari kamu,” kata Ustaz Osman.

“Tapi, saya rasa ini bukan milik Kak Piah. Kak Piah bukan belajar lagi. Ini mungkin milik penyewa bilik yang pada masa tu balik bercuti.” Kata Aliya.

“Mana ada penyewa sebenarnya kan. Kan dia sebut nama adik-adik dia yang dah mati terbakar yang duduk kat bilik kita tu,” kataku.

“Jadi, benda ni milik siapa?” Aliya bertanya sambil membelek-belek penanda buku besi di tangannya.

“Adakah ianya milik salah seorang adik Kak Piah?” aku tanya Aliya. Dan Aliya pandang aku seperti ada sesuatu yang dia baru sedar.

“Maknanya yang datang cari aku kat sini malam kelmarin tu, adik Kak Piah?” Aliya tanya aku. Mulut kami melopong sama-sama.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s