C-3-16 BBS 2.0

Bab 6

Aku tak tunggu lagi kat dalam bilik tu. Aku terus berlari keluar bilik. Elok pula lampu menyala, terang benderang je rumah Maksu tu. Aku pandang keliling, cari Aliya. Tapi Aliya takde. Aku berlari menuruni anak tangga, aku tak peduli dah Aliya ke Kak Piah ke. Yang aku tahu sekarang ni aku nak keluar dari rumah ni. Walaupun aku tahu risiko aku kat luar lebih tinggi, sekurang-kurangnya kalau aku menjerit kat luar sana, ada orang yang dengar. Biarlah orang kata aku gila ke apa.

Sampai kat pintu, aku pulas tombol pintu. Aku tolak pintu tu tapi tak boleh. Seperti ada sesuatu yang menahan dari arah luar. Aku kembali berdebar-debar. Lampu pula berkelip-kelip beberapa kali. Orang kata, kalau lampu berkelip macam tu, ada benda ghaib sedang berada di situ. Aku pandang keliling, tiada siapa di dalam rumah tu.

Aku cuba tolak lagi pintu tapi tak boleh. “Tolong! Tolong!” aku jerit, tak kira la apa nak jadi.

Seketika kemudian, aku terasa seperti ada yang menolak pintu tu dari arah luar. Baru aku perasan, pintu tu sepatutnya aku tarik ke arah dalam, bukan tolak keluar. Patutlah aku tolak, macam ada yang menahan, aku yang salah arah rupanya.

Sebaik pintu terbuka, aku nampak Aliya berdiri di depan pintu. Aliya tarik tangan aku dan menutup pintu tu kembali. Dia terus tarik tangan aku hingga ke pintu pagar. Di sana kami duduk di batu tepi pagar. Dengan suasana sepi tengah malam, hanya ditemani lampu jalan.

“Bila masa kau keluar?” aku tanya Aliya.

“Tadi kan kau yang ajak aku keluar? Lepas tu bila aku dah keluar, kau pula tak keluar. Aku nak masuk balik, pintu tu macam terkunci dari dalam. Berkali-kali aku panggil kau, tapi pintu tak terbuka pun. Aku pula yang naik seram duduk kat luar ni seorang diri,” kata Aliya.

“Tapi aku pula perasan kau takde dengan aku masa aku masuk bilik. Aku pun tak tahu macammana aku sampai ke bilik kita semula. Aku jumpa Kak Piah, dalam cermin almari kau,” kataku.

“Aku pun tak tahu apa yang sedang jadi. Yang aku tahu, Kak Piah sedang mengganggu kita. Dia mengekori kita sejak hari aku mimpikan dia.” Kataku perlahan.

“Tapi kan Ustaz Osman kata Kak Piah dah kena kurung kat rumah dia tu, macammana pula dia boleh keluar sekarang?” Aliya tanya aku.

“Aku tak tahu Aliya. Aku buntu sekarang ni. Kita kat halaman di tengah malam buta ni. Sekarang pukul berapa pun aku tak tahu. Telefon tertinggal kat dalam bilik, kita sendirian kat tepi jalan macam ni. Nak minta tolong kat siapa ni?” aku tanya Aliya.

“Sebenarnya kan, aku tahu bukan perompak kat dalam rumah tu. Dari mula aku dah tahu, Kak Piah yang ganggu kita.” Kata Aliya.

“Samalah, aku pun tahu. Sejak kita makan bihun goreng tu kan? Rasanya sama macam yang Kak Piah masak kat rumah sewa kita dulu kan?” kataku.

“Haah, aku pun perasan.” Kata Aliya.

“Cuma kita sama-sama cuba untuk mengalihkan fikiran kita dari memikirkan pasal Kak Piah. Sebab kita tak pasti, macammana Kak Piah boleh keluar dari kurungan di rumahnya,” kataku lagi. Aliya diam.

“Sue,” Aliya panggil aku sambil menepuk bahu aku. Aku memandang Aliya. Aliya menuding jari menunjukkan ke arah sesuatu. Aku pandang ke arah itu.

Kat depan rumah Maksu ada taman permainan kanak-kanak. Kami nampak salah satu buaian kat situ, berayun sendiri. Nak kata angin, takkanlah satu buaian saja yang dihayun angin. Lagipun, cara hayunan yang agak tinggi tu, seperti ada seseorang yang menghayunkannya.

“Angin kot,” kataku.

“Aku dah penat untuk bersangka baik Sue. Aku tahu kau pun cuba menafikan apa yang kau lihat kan? Tapi kau tahu tak, kita dah menipu diri kita sendiri sejak dari mula kita nampak Kak Piah?” kata Aliya.

“Ok, sekarang ni cuba kau beritahu aku, kita nak buat apa? Takde orang nak minta tolong. Telefon pun takde kat tangan kita, Jam pun tak tahu pukul berapa.” Kataku agak keras. Penat dah dengan gesaan Aliya sejak dari mula. Aku tahu dia takut, aku pun takut.

“Sue, aku rasa kita perlu masuk ke dalam rumah semula kot. Kau tengok tu,” kata Aliya sambil menunjukkan ke arah taman permainan tadi. Aku memandangnya. Di bawah sepohon pokok besar yang berada di tepi taman permainan tu, kami nampak satu susuk tubuh perempuan berpakaian serba putih seakan jubah labuh.

“Kak Piah ke tu?” aku tanya Aliya.

“Aku rasa dia la tu,” kata Aliya.

Tak sempat reda lagi, debaran jantung kami terasa semula.

“Kita masuk rumah, dia ada di dalam rumah. Kita di luar, dia pun ada kat luar. Kita dah terperangkap sebenarnya,” kataku.

Aliya melangkah beberapa tapak ke arah pagar sebelah rumah Maksu. Dia menekan loceng rumah jiran Maksu. Bertalu-talu. Dan semakin laju bila kelihatan jelmaan Kak Piah semakin menghampiri kami.

Mujur tak lama, lampu rumah jiran Maksu terpasang. Dan pintu terbuka. Pakcik Hamdan dan Mak Esah, jiran Maksu menjenguk keluar.

“Kenapa ni?” Mak Esah tanya kami dari pintunya. Dia pun tak keluar dari rumahnya.

“Mak Esah, kami tertinggal kunci rumah. Boleh kami tumpang rumah Mak Esah sampai subuh?” kata Aliya.

“Ya Allah, dua-dua pun tertinggal kunci?” Mak Esah bertanya.

“Ya Mak Esah. Minta maaf sebab ganggu Mak Esah dan Pakcik Hamdan jauh malam begini.” Kata Aliya.

“Kamu duduk kat luar ni dari pukul berapa?” Pakcik Hamdan bertanya ketika membuka kunci pintu pagar. Aku dan Aliya tak menyahut, kami asyik memandang ke arah susuk tubuh wanita jelmaan Kak Piah yang terhenti di tepi pintu pagar rumah Maksu. Kami terus masuk ke dalam rumah Mak Esah.

Pakcik Hamdan dan Mak Esah berpandangan sesama sendiri bila melihat keadaan kami begitu.

“Kat luar tu kawan kamu ke?” Pakcik Hamdan aku dan Aliya ketika dia nak menutup pintu rumah. Aku dan Aliya pandang Pakcik Hamdan.

“Pakcik nampak dia?” aku tanya.

“Kenapa pula tak nampak? Jelas terang je dia berdiri kat depan rumah Maksu kamu tu,” kata Pakcik Hamdan.

“Pakcik, tutup pintu tu dulu. Itu bukan orang,” kataku tanpa selindung lagi. Sekali lagi Mak Esah dan Pakcik Hamdan berpandangan sesama sendiri. Tapi Pakcik Hamdan tetap menutup pintu rumahnya. Kemudian dia mengintai keluar melalui tingkap rumahnya.

“Siapa tu?” Mak Esah tanya kami.

“Panjang ceritanya Mak Esah. Nantilah kami ceritakan. Buat masa ni, cukuplah Mak Esah dan Pakcik Hamdan tahu bahawa ‘benda’ tu sedang ganggu kami. Sebab tu kami keluar dari rumah tu.” kata Aliya.

Berkerut wajah Pakcik Hamdan dan Mak Esah mendengar cerita kami. Muka mereka macam tak percaya pun ada. Aku pandang jam dinding rumah Mak Esah, pukul 3 pagi.

“Nanti Mak Esah ambil tilam,” kata Mak Esah sambil bangun.

“Takpe Mak Esah, kami tidur di sofa ni saja cukup. Tak payah susah-susah. Mak Esah dan Pakcik Hamdan pergilah tidur,” kataku. Terasa bersalah pula mengganggu dua orang warga emas tu sedang tidur.

“Hish, tak baiklah pula biarkan tetamu tidur di sofa je. Lagipun kami dah berjiran dengan Maksu kamu tu sejak bertahun lamanya. Maksu kamu baik orangnya, selalu bantu orang taman ni. Tak sampai hati pula nak biarkan anak saudaranya tidur di sofa je. Anak dara pula tu. Ataupun kamu berdua tidur kat bilik dapur tu, boleh? Bilik tu kosong, takde siapa.” Kata Mak Esah.

“Baiklah Mak Esah. Kalau Mak Esah cakap macam tu, kami ikut je,” kata Aliya.

Mungkin kerana keletihan, aku dan Aliya terlena sampai azan subuh berkumandang. Kami bangun dan keluar dari bilik. Terdengar bunyi seseorang dari arah dapur. Aku dan Aliya berjalan bersama ke dapur. Kat dapur, kami nampak Mak Esah sedang memotong sayur sawi.

“Ha, dah bangun? Lena tak semalam?” Mak Esah tanya.

“Alhamdulillah, kami lena Mak Esah. Terima kasih banyak-banyak sebab bagi kami tumpang tidur semalam. Minta maaf sebab menyusahkan Mak Esah dan Pakcik Hamdan.” Kataku sambil memerhatikan gerak geri Mak Esah memotong sawi.

“Saya pergi masjid dulu ye,” tiba-tiba terdengar suara Pakcik Hamdan dari arah depan.

“Iyelah,” sahut Mak Esah.

“Kami nak tumpang solat. Mungkin perlu pinjam telekung Mak Esah,” kataku kepada Mak Esah.

“Boleh, kamu nak mandi pun boleh. Nanti Mak Esah pinjamkan tuala ye,” kata Mak Esah.

Selepas solat subuh, kami kembali ke dapur. Mak Esah tiada di sana. Tapi di atas meja dah terhidang bihun goreng. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri, bihun goreng lagi. Kami ni sampai dah trauma dengan bihun goreng.

“Ha, jom duduk. Kita sarapan sama-sama,” Mak Esah bersuara dari arah belakang kami.

“Mak Esah ni, susah-susah je masak banyak-banyak macam ni. Kami minta maaf sangat sebab susahkan Mak Esah,” kata Aliya lagi. Memang kami terasa bersalah sangat ni.

“Takde apalah nak susahnya. Mak Esah suka memasak tapi bila dah tinggal berdua je dengan Pakcik kamu ni, macam tak berbaloi memasak. Beli satu nasi lemak pun kadang kongsi berdua tak habis. Bila ada anak cucu datang, barulah seronok memasak, ramai yang makan,” kata Mak Esah.

Kami duduk di meja makan. Perut memang lapar, tapi bila tengok bihun goreng tu, rasa hilang selera sekejap.

Seketika kemudian, kami dengar suara seseorang memberi salam. Kami menyahut serentak. Pakcik Hamdan masuk ke ruang dapur. “Wah, bihun goreng. Sedap ni. Makanlah, kenapa ditenung je bihun goreng tu?” kata Pakcik Hamdan sambil duduk di satu lagi kerusi di situ. Mak Esah segera mencedokkan bihun goreng ke dalam pinggan Pakcik Hamdan.

“Kecoh kat masjid tadi, semalam ada perempuan berpakaian serba putih merayau-rayau kat kawasan taman ni. Dia ketuk pagar setiap rumah.” Kata Pakcik Hamdan sambil menjamah bihun goreng Mak Esah. Aku dan Aliya berhenti makan serentak. Bulat mata kami memandang Pakcik Hamdan.

“Siapa perempuan tu? Orang sini ke?” Mak Esah tanya.

“Entah. Takde pula dia ketuk pagar rumah kita. Budak berdua ni je yang tekan loceng,” kata Pakcik Hamdan. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Semalam masa kami masuk, pakcik kata ada kawan kami kat pagar rumah Maksu kan?” Aliya tanya.

“Ooo… iyelah. Yang kamu kata bukan orang tu? Yang itu ke?” Kata Pakcik Hamdan seakan baru teringat dengan kejadian semalam. Aku dan Aliya anggukkan kepala.

“Sebenarnya apa yang terjadi semalam?” Pakcik Hamdan bertanya.

“Kami tak tahu, tapi ada seakan jelmaan perempuan mengganggu kami kat dalam rumah Maksu semalam. Sebab tu kami lari keluar,” kataku.

“Jelmaan perempuan? Maksud kamu hantu?” Mak Esah tanya.

“Iya Mak Esah.” Sahutku lagi.

“Tapi kenapa dia ganggu kamu? Perempuan yang sama ke yang ganggu penduduk taman ni?” Pakcik Hamdan tanya. Aku dan Aliya berpandangan lagi. Tak tahu nak ceritakan macam mana. Lagipun kami tak pasti adakah yang mengganggu penduduk taman tu semalam adalah Kak Piah? Atau ada benda lain?

Ting tong! Loceng rumah Mak Esah berbunyi. Mak Esah pandang Pakcik Hamdan. “Siapa pula datang awal pagi ni?” kata Mak Esah.

“Entah,” sahut Pakcik Hamdan sambil bangun dan melangkah ke ruang tamu rumah.

Seketika kemudian, Pakcik Hamdan datang semula. “Rasanya orang tu cari kamu berdua,” kata Pakcik Hamdan. Untuk entah kali ke berapa, aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri dengan dahi yang berkerut seribu dan dada yang berdebar.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s