C-3-16 BBS 2.0

Bab 4

“Hari ni sampai Jumaat Liya dan Sue balik pukul 8 kan? Jadi takde masalah masa balik. Sabtu takde kelas, jangan keluar lepas maghrib. Ahad nanti Maksu balik dah. Kamu berdua jaga diri elok-elok. Habis kelas terus balik. Balik sama-sama, jangan balik asing-asing. Faham tak ni?” Maksu membebel di talian.

“Iya Maksu, Liya faham. Jangan risau,” sahut Aliya.

Lepas letak telefon, Aliya terus ke peti sejuk. Dia buka pintu peti sejuk dan keluarkan satu bekas lalu meletakkannya di atas meja. “Apa ni Aliya?” Aku tanya.

“Maksu kata dia tak masak bihun goreng. Dia letak semua lauk dalam peti sejuk. Aku nak tengok kot Maksu terlupa atau silap. Tapi nampaknya betullah, lauk ada kat dalam peti sejuk. Habis tu siapa letak bihun goreng ni kat sini?” kata Aliya, kembali meletakkan bekas lauk tadi ke dalam peti sejuk. Aku yang sedang menyedok bihun nak suap ke mulut pun terhenti.

“Mana aku tahu, aku kan bersama dengan kau sepanjang masa. Cuba tanya pekerja kedai Paksu, kadang-kadang diorang ada juga bagi makanan kat Paksu. Paksu bawa balik. Kot Maksu tak tahu,” kataku.

“Mungkin juga kan,” kata Aliya sambil menguis-nguis baki bihun di dalam pinggannya. Dah separuh juga kami makan. Lapar kan.

Aku bangun lalu membuang baki bihun ke dalam bakul sampah. “Kenapa kau buang?” Aliya tanya aku.

“Entahlah, dah hilang selera aku nak makan.” Sahutku sambil membasuh pinggan di sinki.

“Nak panaskan lauk ke?” Aliya tanya aku lagi.

“Tak payahlah. Cukup dah untuk malam ni. Esok kita sarapan la pula. Aku nak mandi, solat lepas tu nak tidur. Penat la,” sahutku. Aliya tak menyahut, hanya memandang aku berlalu ke ruang tamu.

Semasa aku lalu di ruang tamu untuk ke bilik, aku nampak pintu utama terbuka luas. Gelap je kat luar rumah. Aku melangkah ke pintu, aku rasa tadi pintu tu dah tutup. Siapa pula buka pintu tu.

Aku cuba nak jenguk keluar, nak tengok kot aku atau Aliya ada tinggalkan apa-apa kat luar sampai kami lupa nak kunci pint utu. Angin bertiup dari luar membuatkan aku rasa kesejukan. Cepat-cepat aku tutup semula pintu tu. Aku tengok jam, dah pukul 9.30 malam.

Aku terus melangkah ke bilik. Ambil tuala, salin baju dan mandi. Masa aku buka pintu bilik air, aku tengok lantai bilik air basah seakan baru digunakan. Bilik air tu selalunya hanya aku dan Aliya yang gunakan. Maksu dan keluarganya memang tak gunakan bilik air tu. Sebab untuk masuk ke bilik air tu, mereka perlu masuk ke bilik kami. Maksu memang tegah anak-anak dan Paksu masuk ke bilik tu. Bahkan Maksu dah pesan suruh kami kunci pintu bilik tu setiap kali keluar. Maksu ada bagi aku dan Aliya kunci bilik tu. Tapi kami tak pernah kunci pun. Rasa tak selesa pula nak kunci bilik di rumah yang kami menumpang.

Aku masuk ke dalam bilik air. Pandang keliling. Manalah tahu ada paip bocor ke atau apa-apa yang menyebabkan lantai bilik air itu basah. Tiada apa.

Aku terus mandi cepat-cepat dan keluar dari bilik air tu. Masa aku keluar dari bilik air, Aliya sedang duduk di katilnya sambil memeluk tualanya.

“Kau pasang tv ke tadi?” Aliya tanya aku.

“Tak,” aku sahut sepatah.

“Tadi tv berpasang. Aku ingat kau pasang. Cari kau takde, dengar bunyi kau kat bilik air. Aku dah tutup tv tu,” kata Aliya.

“Aku tak pasang tv pun,” kataku lagi. Aku yakin aku tak pasang tv tadi.

“Takpelah,” kata Aliya sambil melangkah ke bilik air.

“Aliya, tadi masa kita masuk rumah, kau kunci pintu ke tak?” aku tanya minta kepastian.

“Pintu utama ke?” Aliya tanya aku.

“Haah,” sahutku.

“Aku kunci dah tadi,” sahut Aliya.

“Sebab masa aku nak masuk ke bilik tadi, pintu tu terbuka luas. Aku ingat kot kau lupa kunci,” sahutku sambil menyarung telekung.

“Aku kunci dah, Aku yakin aku kunci,” kata Aliya.

“Takpelah, kau pergilah mandi. Eh, lagi satu, cuba kau tengok kot ada apa-apa paip bocor kat dalam bilik air tu. Sebab masa aku masuk tadi, lantai bilik air tu basah macam baru lepas digunakan. Selalunya lantai bilik air tu kering je, melainkan kita baru guna,” kataku.

“Iye ke? Nanti aku tengok,” kata Aliya sambil melangkah masuk ke bilik air. Aku pula terus tunaikan solat isya’.

Sebaik aku habis solat, aku nampak Aliya duduk kat katilnya sambil memeluk lutut. Wajahnya agak pucat seperti ketakutan. Matanya memandang ke arah pintu bilik air. Berkerut dahi aku tengok dia. Aku tanggalkan telekung aku, lepas tu aku menghampiri Aliya.

“Kenapa ni Aliya?” aku tanya. Aliya terkejut lalu terus peluk aku sambil menangis.

“Kenapa kau ni Aliya? Jangan takutkan aku macam ni. Dah la Maksu takde,” kataku, rasa janggal bila Aliya berkelakuan macam tu.

Aliya tekup mukanya kat dada aku. Dia angkat tangannya dan menuding jari ke arah pintu bilik air. “Kenapa dengan bilik air tu?” aku tanya walaupun dada aku semakin berdebar-debar.

“Kak Piah ada kat bilik air,” Aliya bersuara dengan terketar-ketar.

“Hah! Kau jangan bergurau macam ni Aliya. Jangan main-main cakap macam ni,” kataku agak keras.

“Aku tak main-main Sue. Kau tak percaya, pergilah tengok.” Kata Aliya. Jantung aku berdegup kencang. Aku tengok jam, dah pukul 10 malam. Takkan nak call Maksu, mesti dia sedang seronok di kampung. Kang tak pasal-pasal dia balik pula malam-malam buta ni.

“Kau salah tengok kot. Jom kita tengok sama-sama. Takde apa tu,” kataku, juga dengan suara tenggelam timbul.

“Aku tahu apa yang aku nampak. Kau ingat aku suka-suka ke nak cakap macam ni?” kata Aliya agak keras bila aku tak percaya dengan apa yang dia cakap.

Aku bukan tak percaya, tapi aku sedang cuba menguatkan hati dan perasaan aku. Kalau dah Aliya takut, takkan lah aku pun nak ikut takut sama. Mak aku kata, jin dan syaitan ni sepatutnya yang takut kat manusia, bukan manusia takut kat mereka. Kalau manusia takut kat mereka, itu adalah bonus untuk mereka. Sebab bila manusia takut, mereka boleh menguasai manusia.

“Jom kita tengok sama-sama. Kot la bila berdua, kita nampak sebenarnya itu benda lain,” kataku memujuk.

“Aku taknak,” kata Aliya.

“Habis tu, takkan kau nak ketakutan kat sini sampai pagi esok. Kita berdua je tau tinggal kat rumah ni malam ni. Kita bukannya ada kenal sesiapa orang lain kat kawasan ni untuk kita tumpang tidur malam ni. Dan untuk waktu macam ni, kita pun tak berani nak keluar rumah. Jadi kita kena jaga diri kita sama-sama,” kataku masih memujuk.

“Kau pergilah tengok sendiri. Aku takut, aku taknak,” kata Aliya.

“Aku boleh pergi tengok. Tapi aku tak tahu kau nampak ‘benda’ tu kat mana,” sahutku, tak berani nak sebut nama tu.

“Dia ada bertenggek kat mangkuk tandas tu,” kata Aliya lagi.

Berdebar juga jantung aku. Tadi aku guna mangku tandas tu. Tapi tak nampak pula sesiapa kat sana. Tapi memang masa aku masuk, lantai basah. Mana tahu Kak Piah memang dah ada kat dalam bilik air tu masa aku masuk mandi tadi. Huhuuuuu…….!

Aku bangun perlahan-lahan. Aliya masih pegang aku. “Kau lepaskanlah aku dulu. Biar aku pergi tengok kat bilik air.” Kataku beranikan diri.

“Aku takut. Jangan tinggal aku kat sini sorang-sorang,” kata Aliya sambil pandang aku dengan muka kesiannya.

“Aku ajak kau sama-sama tengok bilik air tu, kau taknak. Aku nak pergi sendiri pun kau taknak lepaskan aku. Takkanlah sepanjang malam ni kita nak duduk macam ni sampai pagi?” aku mula geram dengan Aliya. Dia ingat aku tak takut ke?

“Ok ok, aku ikut kau,” kata Aliya sambil bangun dari katilnya.

Kami sama-sama melangkah ke bilik air. Aku tolak pintu bilik air perlahan-lahan. Aku pandang keliling. Aku pandang ke arah mangkuk tandas, tiada sesiapa.

“Takde apapun,” kataku. Aliya masih menekup mukanya di belakang aku.

“Aliya, kau tengok sendiri. Takde apa,” kataku sambil cuba menarik Aliya yang berada di belakang aku untuk melihat sendiri ke dalam bilik air tu. Aliya masih keraskan badannya di belakang aku.

“Aliya, kalau kau tak tengok sendiri, kau akan terus takut macam ni. Bila kau takut, aku pun ikut takut. Kita kena berani, sebab kita kena jaga diri sendiri malam ni sampai Maksu balik. Faham tak,” kataku.

“Aku takut la Sue,” kata Aliya masih menekup mukanya di belakang aku.

“Ok, kau takut. Lepas tu? Aku ni berani sangat la? Tolong la Liya, jangan macam ni.” kataku.

Aliya mengangkat mukanya memandang ke dalam bilik air walaupun matanya dikecilkan sedikit. Dia pandang ke seluruh bilik air tu, memang tiada apa-apa. Dia cepat-cepat tarik pintu bilik air tu dan tutup. Lepas tu dia tarik tangan aku ke katil semula.

“Kau ok tak ni?” aku tanya Aliya.

“Aku ok. Dah la, jom tidur. Aku tak boleh dah buat apa dah ni,” kata Aliya.

“Lampu luar kau dah tutup ke belum?” aku tanya.

“Belum lagi,” sahut Sue.

“Kenapa tak tutup je terus tadi?” aku tanya. Sue diam.

Baru je aku nak bangun dari katil aku, tiba-tiba aku dengar satu bunyi di ruang tamu. Ruang tamu rumah tu kat luar bilik kami je. Rumah Maksu ada dua ruang tamu, satu kat tingkat atas, kat luar bilik kami ni la. Satu lagi kat tingkat bawah. Bilik Maksu dan Paksu kat tingkat bawah. Itu bilik tidur utama, lebih luas. Kat tingkat atas ada lagi tiga bilik. Bilik yang aku dan Aliya duduk tu paling besar kat atas. Dua lagi bilik, Irma dan Iqbal punya. Irwan masih tidur dengan Maksu di bilik bawah.

Aku pasang telinga. Aku pandang Aliya, dia pun seperti mendengar apa yang aku dengar.

“Bunyi apa tu?” Aliya tanya aku.

“Macam bunyi tv,” kataku.

“Tadi aku dah tutup,” kata Aliya.

Lepas tu kami dengar bunyi bola melantun di luar bilik. Sama je bunyinya macam Iqbal main bola dengan Irwan kat ruang tamu tingkat atas tu.

“Kau dengar bunyi bola tak?” aku tanya Aliya dan Aliya mengangguk.

“Ting ting ting treett treeetttt…” bunyi guli pula berleretan di luar bilik kami. Aku masih pasang telinga di pintu bilik.

“Kau rasa ada orang ke kat luar sana?” aku tanya Aliya, Aliya angkat bahu. Dia melangkah perlahan mendekati aku. Kami terus pasang telinga.

Seketika kemudian, terdengar bunyi seperti sofa diseret. Dan bunyi televisyen dikuatkan.

“Sue, kita call Maksu je la. Aku takut la. Entah-entah ada perompak masuk rumah ni,” kata Aliya, mukanya dah macam nak menangis.

“Kalau betul perompak, lebih baik kita call polis je terus. Sekarang ni dah pukul berapa, kang Maksu risau pula,” kataku.

“Tapi kalau perompak, takkanlah dia pasang tv,” kata Aliya lagi.

“Mana tahu, dia ingatkan takde orang kat rumah ni. Sebab kereta Paksu dah takde kat luar,” kataku.

Dalam kami berteka teki tu, tiba-tiba pintu bilik diketuk kuat dari luar. Aku dan Aliya melompat terkejut. Kami mengundur beberapa langkah ke belakang.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s