C-3-16 BBS 2.0

Bab 3

Aku berjalan tanpa pandang kiri kanan dah. Aku berjalan di hadapan dan Aliya mengikut aku di belakang, sebab jambatan tu taklah besar sangat, memang cukup untuk laluan seorang atau sebiji motorsikal je.

“Hmm..hmmm…hmmmm…” suara tu makin kuat menyanyi, sambil sesekali diselitkan dengan bunyi ketawa perlahan, agak sinis seperti mentertawakan kami yang sedang ketakutan. Aku tak peduli, terus jalan. Aku taknak pandang keliling. Dah la kat atas jambatan tu takde lampu. Samar-samar je, hanya harapkan lampu jalan dari jalan besar tempat kami turun dari bas tadi.

Sedang berjalan laju tu, tiba-tiba Aliya berhenti. Dia pegang tangan aku kuat buatkan aku pun ikut berhenti melangkah. “Jalan la Aliya, jangan berhenti. Jangan peduli keliling, kita jalan terus,” kataku tanpa pandang Aliya.

Aliya tarik tangan aku buatkan aku terus pandang dia. Muka Aliya pucat. Matanya terpaku ke satu arah. “Kenapa?” aku tanya Aliya.

“Tu,” kata Aliya sambil memuncungkan mulutnya ke arah tempat yang sedang dipandangnya. Nak tak nak, aku terpaksa memandang ke arah yang Aliya tunjuk.

“Tang, tang, tang,” aku dengar bunyi besi berlaga dengan besi. Aku nampak sesuatu yang bergerak, di depan kami.

Susuk tubuh seorang wanita berpakaian serba putih, dengan rambut panjang mengurai, sedang duduk di atas pagar besi jambatan yang sedang kami lalui. Kakinya berjuntai ke bawah dan dia menggerak-gerakkan kakinya hingga berlaga di besi dinding jambatan, sebab tu berbunyi seakan besi berlaga dengan besi.

“Sue, kita patah balik. Kita call Maksu, minta dia datang ambil,” kata Aliya kepada aku. Aku tak bersuara.

“Tapi siapa tu? Gelap aku tak nampak,” kataku kepada Aliya, mata aku masih memandang susuk tubuh di depan kami.

“Aku tak tahu siapa atau apa benda tu. Tapi yang pasti, dia mencurigakan,” kata Aliya. Sekarang giliran dia pula menarik tangan aku. Kami berjalan mengundur di atas jambatan. Aliya menarik aku kembali ke jalan besar.

Belum sempat kami menghabiskan baki jambatan, ‘tang tang tang’, bunyi itu berubah tempat. Kini susuk tubuh wanita itu berada di depan Aliya pula, dalam kedudukan yang sama seperti tadi. Dia seakan mengepung kami supaya tak dapat keluar dari laluan jambatan itu.

Dan disebabkan dia berada berhampiran dengan jalan besar yang mempunyai lampu jalan, kami dapat lihat wajahnya dengan jelas. Kak Piah! Nama itu terkeluar dari mulut aku dan Aliya serentak.

Aliya peluk aku. Aku pun menggigil sama. Rasa nak menangis. Masa ni takde pula orang lalu lalang kat situ. Tapi jam pun dah pukul 11 kot masa tu. Kami keluar kolej tadi pun dah pukul 10 lebih. Kawasan tu bukannya ada kedai atau mall, jadi memang kalau dah waktu macam tu, kawasan tu mati. Semua orang duduk di rumah. Kalau keluar pun, mesti ke uptown.

“Kau siapa hah? Kenapa ganggu kami?” Entahlah macammana aku boleh lontarkan suara. Aliya pegang tangan aku dengan kuat. Dia pun terkejut macammana aku boleh bercakap dengan benda alah tu.

“Sue dan Aliya dah lupa pada Kak Piah?” kami dengar suara perempuan itu, perlahan tapi jelas. Aliya dah menggigil satu badan. Aku terpaksa beranikan diri.

“Kak Piah dah mati. Kami tak ganggu Kak Piah. Kak Piah jangan ganggu kami. Kalau kami ada buat salah dengan Kak Piah, kami minta maaf,” kataku agak lantang. Mungkin untuk menutup rasa takut.

“Eh, siapa kata Kak Piah dah mati? Kak Piah tunggu Sue dan Aliya balik rumah. Lama Kak Piah tunggu. Tapi Sue dan Aliya sama macam orang lain, janji nak tinggal dengan Kak Piah, tapi tinggalkan Kak Piah sendirian. Mirza dan Nisa pun tak balik-balik. Kak Piah tunggu semua orang, semua orang tinggalkan Kak Piah,” aku dengar suara perempuan tu lagi, lembut dan mendayu. Sama je macam suara Kak Piah rumah sewa kami dulu.

“Kak Piah, pergilah tempat Kak Piah. Jangan ganggu kami. Mirza dan Nisa dah mati. Mereka takkan balik lagi,” kataku lagi. Aliya dah menangis teresak-esak kat tepi aku.

“Kak Piah masih hidup. Mirza dan Nisa juga masih hidup. Sama seperti kamu. Kak Piah cuma nak berkawan dengan kamu. Kak Piah rindu,” kata perempuan itu lagi.

“Aliya! Sue! Korang buat apa kat situ?” tiba-tiba kami dengar suara Maksu. Aliya memandang keliling. Aku pun sama. Kami nampak Maksu berdiri di hujung jambatan sambil memegang lampu suluh, menyuluh ke arah kami.

Aliya tak peduli dah. Dia terus berlari ke arah Maksu. Aku menoleh semula ke arah tempat Kak Piah tadi, tapi tiada sesiapa di situ. Aliya terus peluk Maksu. “Kenapa ni?” Maksu tanya kami. Aku diam je. Aliya dah melalak macam apa dah.

“Dah, jom balik dulu.” Kata Maksu sambil memegang tangan Aliya dan melangkah meninggalkan jambatan tu. Aku mengikut rapat-rapat. Nak peluk Maksu segan pula. Tapi badan aku pun ikut menggigil. Sesekali aku pandang ke arah jambatan tu, mana tahu tiba-tiba Kak Piah terbang mengikut kami.

Sampai kat rumah, Paksu dah menunggu kat luar pagar. Wajahnya agak risau tapi bila melihat kami bersama Maksu, dia senyum semula. Nampak riak lega di wajahnya.

“Jumpa diorang kat mana?” Paksu tanya Maksu sebaik kami sampai depan pagar.

“Kat atas jambatan tu. Entah apa diorang buat kat situ,” kata Maksu. Aliya masih mengesat air mata. Paksu pandang aku, bagi isyarat bertanya kenapa. Aku gelengkan kepala, tak tahu nak mulakan macammana.

Masuk ke dalam rumah, aku tengok jam dah pukul 11.30. Anak-anak Maksu semua dah tidur.

“Kenapa lambat hari ini? Maksu dah tak tentu hala menunggu kamu balik. Selalunya sebelum 11 dah sampai rumah. Tu yang Maksu pergi cari kamu ikut jalan pintas tu, Maksu risau kot jadi apa apa-apa. Maksu telefon pun tak jawab,” Kata Maksu sebaik kami melangkah masuk ke dalam rumah dan duduk di kerusi. Aku pandang Aliya.

“Bas lambat ke? Atau kelas lambat habis?” Maksu tanya lagi bila kami tak menjawab soalannya, tapi matanya masih pandang Aliya.

“Sue, kenapa lambat?” Paksu tanya aku. Aku pun serba salah nak jawab.

“Kami sampai macam biasa tadi. Tapi macam ada benda kacau,” Aliya bersuara perlahan.

“Benda apa?” Maksu tanya.

“Nampak macam Kak Piah,” Aliya jawab.

“Kak Piah mana?” Paksu tanya.

“Kak Piah dari rumah sewa kami dulu,” Aliya menjawab.

“Kak Piah yang dah mati bunuh diri tu?” Maksu tanya semula. Aliya anggukkan kepala. Maksu pandang aku dengan mata terbeliak. Dan aku ikut anggukkan kepala macam Aliya juga.

“Korang ni dah kenapa. Kan Kak Piah tu dah mati? Dan dia terkurung kat dalam rumah tu sampailah entah bila. Ustaz Osman yang cakap haritu kan. Kak Piah dah dikunci tak boleh keluar dari rumah tu,” kata Maksu.

“Betul Maksu, Kak Piah ikut kami. Dia duduk di atas besi dinding jambatan tu. Sebab tu kami tak boleh lalu,” kata Aliya lagi. Dan aku anggukkan kepala tanda mengiyakan apa yang Aliya cakap.

“Dah dah. Pergi masuk bilik, mandi. Dah solat isya’ ke belum ni? Kalau belum, pergi solat dulu. Lepas tu makan. Dah pukul berapa ni,” kata Paksu cuba mengalih perhatian kami.

Aku tarik tangan Aliya, mengajaknya masuk ke dalam bilik. Aliya ikut je. Maksu dan Paksu memandang kami sampai kami tutup pintu bilik. Tapi wajah mereka penuh kerisauan.

Aliya duduk di atas katilnya. Wajahnya masih murung. Sesekali dia memandang keliling bilik.

“Aku mandi dulu ye?” aku tanya Aliya. Aliya tak menyahut. Dia pejamkan matanya.

Aku gapai tuala dan melangkah menuju ke bilik air. Selesai mandi, aku solat isya. Perut ni berkeroncong lapar. Lepas Aliya mandi, aku ajak dia makan. Tapi Aliya kata dia tak lapar.

“Kau temankan aku makan. Aku lapar ni,” kataku. Aliya mengikut aku ke dapur. Maksu dah masuk bilik tidur kot. Paksu masih di meja tulis di ruang tamu, membelek fail akaun kedai perabotnya.

“Pergi makan. Maksu dah panaskan lauk tadi. Iqbal menangis panggil Maksu, Maksu masuk bilik dah. Dia suruh kamu makan,” kata Paksu memandang ke arah kami. Aku hanya menganggukkan kepala. “Baik Paksu. Terima kasih,” kata Aliya.

Kami terus ke dapur. Di atas meja makan dah terhidang nasi dan lauk yang masih nampak asapnya. Aku terus duduk dan cedok nasi. Serius, aku lapar. Aku tak makan tadi. Aliya tadi dia makan mee masa aku pergi solat maghrib.

“Kau taknak makan ke Aliya?” aku tanya Aliya sambil mencedok kuah asam pedas ikan pari.

“Kau rasa, itu Kak Piah ke? Atau ada orang yang nak usik kita?” Aliya tanya, sambil tu dia meratah ikan pari di dalam pinggannya.

“Entahlah Liya. Aku tak tahu nak cakap macammana. Kita sama-sama takut kot. Aku ni pula kebetulan semalam mimpikan Kak Piah, jadi memang aku rasa seram sikit. Macam kau, mungkin kau terikut-ikut perasaan tertanya-tanya kau pasal ‘kawan’ yang cari kau malam semalam. Rasanya kalau kita jalan dengan kawan yang lain, kita takkan jadi macam ni kot,” kataku cuba memujuk hati Aliya dan hati sendiri.

Aliya diam. Dia terus meratah ikan pari dalam pinggannya. Aku rasa dia pun lapar kot. Mau tak lapar, lepas kami menahan takut tadi. Kami tak berbual dah lepas tu. Masing-masing habiskan makanan dan lepas tu kami tidur. Tiada perkara yang terjadi selepas itu sampailah keesokan paginya.

Lepas sarapan kami terus ke kedai perabot Paksu. Aku dan Aliya dan sepakat, takkan cakap tentang Kak Piah lagi. Kami anggap apa yang terjadi adalah disebabkan ketakutan dalam diri kami sendiri.

Lepas zohor, kami ke kelas seperti biasa. Kelas kami hari ni habis pukul 8 malam. Jadi, kami tak risau sangat. Sebab masa kami balik, masih ramai penduduk taman yang berulang alik melalui jalan pintas di belakang taman rumah Maksu.

Sampai rumah, aku terus masuk bilik. Aliya ke dapur, dahaga katanya. Aku terus mandi dan menunggu solat isya’. Seketika kemudian, Aliya masuk bilik. Aku masih kat atas sejadah.

“Lain pula rasanya bihun goreng Maksu malam ni.” Kata Aliya perlahan sambil ambil tualanya.

“Maksu goreng bihun ke?” aku tanya Aliya.

“Haah, aku rasa sikit tadi. Nanti kita makan sama-sama ye,” kata Aliya sambil melangkah ke bilik air.

Selepas aku solat dan Aliya dah mandi, kami ke dapur bersama-sama. Aku pandang keliling. Tak nampak Maksu dan anak-anaknya. Paksu selalunya waktu macam ni memang takde kat rumah, dia masih kat kedai perabot.

“Maksu mana?” aku tanya.

“Entah, dia keluar beli barang kot. Atau pergi kedai Paksu kot,” sahut Aliya.

Aku pun malas nak fikir. Aku dan Aliya duduk di meja makan. Aliya cedok bihun goreng ke dalam pinggan aku dan dia. Kami makan bersama. Sedap lain macam bihun goreng Maksu. Tapi ini bukan rasa yang selalu Maksu masak.

“Ada orang bagi kot,” sahutku bila Aliya kata bihun tu tak sama rasanya macam yang selalu Maksu masak. “Iyelah kot,” kata Aliya.

“Tapi rasanya macam kita pernah rasa kan?” kata Aliya.

“Kan? Aku pun rasa macam tu. Kita pernah makan kat kedai kot,” sahutku. Memang terasa macam dejavu pula suasana kami makan masa tu.

Tiba-tiba telefon Aliya berdering. Aliya angkat telefon. Maksu call.

“Maksu nak pastikan Liya dan Sue dah sampai rumah je. Hari ni semua ok kan?” Maksu tanya.

“Iye Maksu. Semua ok. Kami sedang makan bihun goreng Maksu. Sedap,” kata Aliya.

“Bihun goreng? Maksu tak masak bihun goreng pun. Lauk semua kat dalam peti sejuk. Panaskan dulu.” Maksu beritahu Aliya. Aliya pandang aku.

“Maksu kat mana ni?” Aliya tanya.

“Laaa… Kan Maksu dah cakap, Maksu balik kampung Paksu hari ni lepas anak-anak Maksu balik sekolah. Asar tadi Maksu dah sampai kampung Paksu dah.” Sahut Maksu di talian. Aliya dah buat muka semacam.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s