C-3-16 BBS 2.0

Bab 2

“Aliya, aku mimpikan Kak Piah. Macam betul la dia ada kat dalam bilik ni,” kataku sambil menggosok-gosok lengan tangan sambil memandang keliling bilik. Terasa-rasa macam Kak Piah ada kat dalam bilik tu. Mimpi tu macam nyata la. Meremang bulu roma aku.

“Kau pesan kat aku basuh kaki sebelum tidur. Tapi kau yang mimpi mengigau lagi teruk dari aku,” kata Aliya sambil bangun dan menutup suis lampu bilik lalu kembali ke katilnya dan berbaring semula. Aku pandang je Aliya.

“Aliya, aku seram la,” aku berbisik dari katil aku.

“Takde apalah. Kau mimpi je tu. Tidurlah,” kata Aliya.

Aku akur, aku berbaring semula dan menarik selimut menutup seluruh tubuh aku. Dari rambut sampai kaki, aku tutup semuanya. Kononnya nanti Kak Piah tak nampak aku. Hahaha….

Aku terlena juga walau dalam kepanasan. Dan sedar-sedar dah subuh, bilik dah cerah, Aliya goyangkan kaki aku.

Selesai mandi dan solat, aku ke dapur. Aliya masih di bilik, menyusun bukunya. Aku lihat Maksu sedang memotong timun. “Maksu masak apa?” aku tanya ramah. Maksu pandang aku dan senyum lalu menyambung kerjanya.

“Maksu masak nasi lemak. Irma dan Iqbal dah lama minta Maksu masak nasi lemak. Lagipun Paksu nak bawa ke kedai, hari ni katanya banyak kerja, mungkin tak sempat balik,” kata Maksu.

“Apasal kau berselubung macam ni? Panas kot,” kata Aliya. Aku diam je sambil bangun dan melipat kain selimut aku dan mengemas katil aku. Bayangan rupa Kak Piah semalam dah tak berapa kuat dalam ingatan aku. Malu pula rasanya aku menjerit semalam, sampai Maksu pun tersedar dan datang ke bilik kami.

Aku anggukkan kepala. Lalu aku menggapai jag dari rak pinggan. Aku ambil sekeping uncang teh dan masukkan ke dalam jag lalu menuangkan air panas ke dalam jag. Sementara menunggu teh menyerap ke dalam air panas, aku ambil pinggan dan cawan lalu menyusunnya di atas meja. Maksu pula menyedok nasi dan sambal tumis ke dalam bekas lalu menghidangkannya di atas meja.

Seketika kemudian, Aliya muncul diikuti oleh Paksu, Irma, Iqbal dan Irwan yang dah siap berpakaian sekolah. Aliya terus menuang air ke dalam cawan. Paksu duduk di kerusi sambil melayan anak-anaknya. Maksu masih di sinki, membasuh peralatan memasaknya tadi. Mujur aku dah basuh separuh tadi, jadi Maksu basuh bakinya saja.

“Kawan kamu tahu ke kamu tinggal kat sini?” tiba-tiba Paksu bersuara.

“Takde siapa tahu rumah ni. Kenapa Paksu?” Aliya menjawab.

“Semalam kawan kamu datang kan?” Paksu tanya Aliya. Dan masa ni wajah Aliya berubah. Mungkin dia baru teringat tentang hal u.

“Haah. Maksu cakap ada kawan nak jumpa. Tapi Liya keluar, dia dah takde. Tak tahu siapa dia,” sahut Aliya.

“Tu la. Maksu dah suruh dia tunggu. Tapi dia pergi pula. Nanti kamu tanya la kat kolej tu, siapa yang datang semalam,” kata Maksu.

“Macammana rupanya Maksu?” Aliya tanya.

“Kecil molek je. Dalam baya-baya kamu juga. Pakai baju kurung, rambut ikat tocang. Takdelah Maksu tanya nama dia, sebab ingatkan dia tunggu kat luar tu,” kata Maksu.

Aku pandang Aliya. Dari semalam dia kata dia tak sedap hati dengan kehadiran kawannya tu.

Lepas bersarapan, Paksu menghantar Irma dan Iqbal ke sekolah kebangsaan. Aku dan Aliya akan terus ke kedai perabot Paksu. Kedai Paksu buka pukul 10 pagi tapi kami yang bekerja di bahagian akaun dan pengurusan fail, kami masuk pukul 9 pagi. Tambahan pula kami tak berkerja sepenuh hari. Kami bekerja separuh hari je kat kedai Paksu. Lepas zohor kami akan balik. Tapi tengoklah kelas kami juga. Kalau hari tu kami ada kelas, kami baliklah lepas zohor. Kelas kami bermula pukul 4 petang sampai 10 malam. Tapi ada hari kelas kami dari pukul 6 sampai pukul 8 malam je. Kalau hari yang takde kelas, kami akan berada di kedai Paksu sampai pukul 5 petang.

Maksu pula akan hantar Irwan ke tadika. Selalunya dari tadika Maksu akan terus ke pasar untuk membeli barangan basah untuk dimasak. Begitulah rutin kami setiap hari.

Dari rumah Maksu, aku dan Aliya pula keluar menaiki bas ke kolej kami. Kalau kami tinggal di rumah sewa kami yang dulu, kami tak perlu naik bas pun. Boleh jalan kaki je sebab kolej tak jauh. Sebab tu kami nak pindah juga ke rumah sewa lain bersama dengan kawan-kawan kolej, tak perlulah kami naik bas atau teksi untuk ke kolej setiap hari.

Kat kolej, Aliya bertanya kepada kawan-kawan kami, siapa yang datang mencarinya di rumah Maksu semalam. Tapi tiada yang mengaku. Masing-masing kata mereka tak tahu pun kat mana rumah Maksu Aliya. Berkerut dahi Aliya memikirkan siapakah gerangan orangnya yang datang mencarinya semalam.

“Aku pelik betullah, siapa yang datang semalam? Takkan dia salah orang kot. Aku bukannya ada kawan lain kat KL ni. Kawan aku kau je la, lepas tu kawan kolej ni. Kita pun bukannya lama sangat dah kat KL ni. Baru 3 bulan lebih je. Siapa pula yang cari aku tu?” bebel Aliya sendirian di kafe masa kami sedang menanti kelas berikutnya setengah jam lagi.

“Aku pun tak tahu nak cakap macammana. Rasanya kawan kau adalah kawan aku juga. Tapi dia cari kau, bukan cari aku,” kataku turut sama berfikir.

“Kau mimpi apa semalam?” tiba-tiba je Aliya tanya aku. Aku cuba mengingati semula mimpi aku semalam.

“Aku mimpi ada orang tarik kaki aku. Aku hidu bau bangkai dan tanah merah sama macam bau kat rumah Kak Piah dulu. Bila aku tengok orang yang tarik kaki aku tu, aku nampak Kak Piah. Memang menjerit la aku,” kataku.

“Kau ingat lagi ke rupa Kak Piah?” Aliya tanya aku.

“Mana boleh lupa rupa dia. Cerita dia lain dari yang lain kot. Takkan boleh lupa la. Mujurlah mimpi je,” kataku.

“Kalau betul la kan kau jumpa Kak Piah. Kau rasa macamman?” Aliya tanya aku.

“Hish kau ni. Mulut tu takde insuran. Jangan disebut. Simpang Malaikat,” sahutku sambil menutup telinga aku. Aliya diam. Dia tak senyum pun. Mukanya serius, berkerut je dahi dia aku tengok.

“Dah la, kau tak payah fikir siapa cari kau. Lupakan je. Anggap je orang tu salah rumah. Kebetulan nama orang yang dia cari sama dengan kau,” pujukku sambil bangun dari duduk.

“Jom, kelas dah nak mula,” kataku kepada Aliya. Aliya bangun perlahan dan mengikut langkahku.

Pukul 10 malam, kelas kami tamat. Aku dan Aliya berjalan kaki ke perhentian bas di depan kolej. Beberapa orang kawan kami juga menunggu bas di perhentian yang sama. Kelas separuh masa ni tak ramai. Kebanyakan yang ambil course yang sama dengan kami ni, mereka ambil sepenuh masa. Dalam kelas separuh masa ni, ada la dua belas orang. Itupun kalau semua hadir. Bukannya apa, kalau berduit, memang boleh ambil kelas sepenuh masa. Jimat setahun.

Macam aku dan Aliya, kami ambil jurusan ni separuh masa untuk tempoh empat tahun. Kalau sepenuh masa, Cuma tiga tahun je. Takpelah, sekurang-kurangnya kami dapat cari duit untuk perbelanjaan kami. Taknak menyusahkan keluarga di kampung.

Seorang demi seorang kawan-kawan kami menaiki bas. Semuanya balik ke destinasi masing-masing. Lepas lima belas minit menunggu, bas kami sampai. Aku dan Aliya naik, bas tak penuh. Ada empat orang je kot kat dalam bas masa kami naik. Aku dan Aliya duduk di belakang pemandu bas.

Kami tak bersembang dalam bas. Penat. Masing-masing melayani fikiran masing-masing. Rasanya nak balik tidur je sekarang ni.

Tiba-tiba Aliya cuit tangan aku. “Sue, kau nampak tak perempuan yang duduk selang dua kerusi kat belakang kita ni?” Aliya tanya aku. Aku terus menoleh. Tiada sesiapapun.

“Mana ada sesiapa?” aku cakap kat Aliya. Aliya angkat jarinya dan tunjuk kat cermin tengah pemandu. Aku pun memandang ke arah cermin tu. Dan aku nampak seorang perempuan duduk di kerusi yang Aliya cakapkan tadi.

Berkerut dahi aku. Cepat-cepat aku toleh semula ke belakang kami, tempat perempuan tu duduk. Memang tiada sesiapa di situ. Meremang bulu roma weh. Aku pandang semula ke cermin tu, perempuan tu masih berada di situ dan kali ni matanya bertentang mata dengan aku.

Terbeliak mata aku. Aku pandang Aliya. Muka Aliya pucat.

“Aliya, kau fikir yang sama macam aku fikir ke?” aku bisik kat Aliya.

“Aku rasa aku fikir sama macam kau,” Aliya menyahut, juga berbisik kat aku.

“Kak Piah?” Kami serentak menyebut nama itu.

“Dik, dah sampai Ampang,” tiba-tiba pemandu bas bersuara dan memandang ke arah kami melalui cermin tengah. Melompat aku dan Aliya akibat terkejut. Kami menjerit serentak.

“Eh, kenapa ni?” Pemandu tu tanya lagi.

Aku pandang ke belakang. Tiada sesiapa. Bas dah kosong, tinggal kami berdua je. Aku tak berani pandang cermin tengah lagi. Aliya bangun, dia pegang tangan aku kuat. Kami berjalan seiringan turun dari bas sambil dipandang oleh pemandu bas tadi dengan wajah kehairanan. Mungkin kami kelihatan pelik. Jalan pun keras kejung, muka pucat macam nampak hantu.

Turun dari bas, kami pandang keliling. Nak jalan balik satu hal lagi. Dah tak ramai orang masa tu. Memang lah orang kata kat KL ni malam pun macam siang kat kampung. Tapi bukan semua tempat macam tu. Kami perlu berjalan untuk masuk ke kawasan taman rumah Maksu. Tak jauh pun sebenarnya. Berjalan lima minit je.

Selalu tu takde apa, kami berjalan sambil berbual dan gelak ketawa. Tapi hari ni semuanya terasa janggal. Terasa seperti ada yang mengekori.

Aku dan Aliya berpegangan tangan. Kami naik ke jejantas untuk melintas jalan. Baru je kami naik tangga, Aliya cuit tangan aku dan menuding jari ke bahagian atas jejantas. Aku nampak seseorang berdiri di sana. Tak nampak siapapun tapi hati ni berdebar kencang.

“Kita menyeberang ikut bawah je la. Tak payah naik jejantas.” Kataku sambil menuruni semula anak tangga. Aliya tak menyahut tapi dia mengikut je aku. Matanya sibuk memandang ke atas jejantas.

“Jangan tengok sana. Kita pun tak tahu siapa. Mungkin orang biasa. Dah, jom melintas, kereta tak banyak ni,” kataku menarik tangan Aliya. Aliya hanya mengikut.

Sebaik menyeberang jalan, kami perlu melintas satu jambatan kecil. Kat bawah jambatan tu ada longkang besar. Selepas jambatan barulah kami masuk ke kawasan taman. Rumah Maksu adalah di lorong ketiga dari jambatan tu.

Ada je jalan besar yang ramai orang yang kami boleh lalui. Tapi kami kena berjalan agak jauh, kena pusing blok kedai dua tingkat di depan taman. Maksu ajar kami jalan pintas ni. Memang dekat dengan rumah Maksu.

Maksu selalu pesan, dah sampai perhentian bas, telefonlah. Maksu atau Paksu akan datang ambil kami. Tapi kami taknak menyusahkan mereka. Lagipun kami berdua, takde apa nak ditakutkan. Kalau seorang tu, mungkin bimbang juga.

Aku dan Aliya melangkah laju di atas jambatan. Kami tak pandang kiri kanan dah. Target kami nak cepat sampai rumah Maksu.

“hmmm..hmmm…hmmm….,” kami dengar suara perempuan berlagu perlahan. Aku tak pasti samada Aliya dengar yang sama macam aku atau tak. Tapi dari cara dia menggenggam tangan aku macam nak hancur tulang aku tu, aku pasti dia mendengar apa yang aku dengar.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s