C-3-16 BBS 2.0

Bab 1

Selepas beberapa kali berjumpa pengurus kolej dan mengisi beberapa borang rayuan, akhirnya kami dapat sambung pengajian kami kat kolej yang telah kami daftar tu walaupun dah lewat hampir dua minggu. Semuanya sebab ada bukti ayah aku dan Maksu Aliya buat laporan polis tentang kehilangan kami tempoh hari. Untuk kerja sambilan takde masalah, sebab aku dan Aliya kerja kat kedai perabot Paksu je. Jaga akaun dan dokumen penting kedai. Dapatlah duit poket sikit.

“Aliya, Sue, minggu depan Maksu nak balik kampung Paksu. Anak sedara Paksu nak kahwin. Kamu berdua tinggallah kat rumah ni. Jaga rumah ni, jaga diri baik-baik. Maksu pergi lima hari. Kedai buka, Pak Mahat akan jaga kedai selama Paksu takde kat sini. Kamu berdua pun pergilah bantu apa yang patut. Semua kerja pun kamu berdua dah tahu. Ambil pesanan, buat borang, ambil deposit, suruh driver hantar barang dan ambil baki harga perabot. Itu je. Boleh kan?” Maksu tanya kami satu malam tu, masa kami sedang makan malam.

“Boleh Maksu, jangan risau. Kami akan jaga rumah ni dan kedai Paksu. Maksu dan Paksu pergilah balik kampung, enjoy majlis kenduri tu nanti,” sahut Aliya. Aku dia je, siapalah aku ni dalam keluarga ni, hanya menumpang teduh je.

Sebenarnya dah beberapa kali terdetik dalam hati aku, nak ajak Aliya pindah rumah sewa lain. Sebab rasa tak selesa pula aku menumpang di rumah Maksu Aliya. Tapi setiap kali nak suarakan perkara ni, aku teringat kat Kak Piah. Aku jadi takut.

Aliya pun ada cakap, walaupun itu mak saudara dia, tapi dia pun segan juga kat Paksu. Kami pun segan, dan aku yakin, Maksu dan Paksu pun dah macam kehilangan privasi dalam rumah mereka sendiri dengan wujudnya aku dan Aliya dalam rumah tu.

“Bila Maksu dan Paksu nak balik kampung?” Aliya tanya Maksu.
“Hari Rabu nanti. Dah kebetulan cuti sekolah kan, elok sangatlah kami balik awal. Banyak persiapan nak dibuat. Keluarga Paksu tak guna catering, semua masak sendiri. Jadi kamu faham-fahamlah kerjanya macammana,” kata Maksu lagi. Paksu dan anak-anaknya, Irma, Iqbal dan Irwan hanya makan tanpa sebarang kata tanpa pedulikan kami. Berselera mereka makan masakan Maksu. Kami pun tumpang sekaki. Maksu memang super dalam bab memasak ni.

“Maksu, Aliya dan Sue bercadang, lepas Maksu balik semula dari kampung dan selesai semua hal majlis sebelah keluarga Paksu, kami nak cari rumah sewa. Rasanya kami dah boleh berdikari. Kami kena move on, tak boleh nak terus teringat kisah rumah sewa dulu.” Kata Aliya.

Maksu dan Paksu berpandangan sesama sendiri. Mereka memandang kami silih berganti.

“Kamu yakin dah lupa dengan kejadian tiga bulan lepas?” Paksu bertanya.

“In Shaa Allah, kami perlu belajar melupakan. Lagipun, kami dah ok. Dah belajar, dah bekerja. Sampai bila nak tinggal dengan Maksu dan Paksu kan. Kami perlu berdikari.” Kata Aliya.

“Kamu nak cari rumah sewa area mana?” Maksu tanya.

“Ada kawan kolej kami yang ajak kami menyewa bersama mereka. Sebab ada antara kawan serumah mereka dah habis belajar dan keluar dari rumah sewa.” Kata Aliya. Aku hanya diam.

“Maksu taknak paksa kamu keluar atau tinggal sini. Terserah pada kamu berdua. Mana yang kamu rasa baik untuk kamu, kami ikut je. Nak tinggal kat sini pun Maksu dan Paksu tak kisah,” kata Maksu. Paksu hanya anggukkan kepala.

“Kamu fikirlah yang mana terbaik buat kamu. Tapi tunggulah kami balik balik buat keputusan. Boleh?” Paksu bertanya.

“Sudah pasti kami akan tunggu sampai Paksu dan Maksu balik. Jangan risau,” kata Aliya sambil pandang aku. Aku pun anggukkan kepala.
Sesudah makan, aku basuh pinggan dan Aliya kemas meja makan. Selalunya waktu malam, Paksu akan buka fail kedai siang tadi, semak akaun kedai. Maksu pula sibuk dengan kerja sekolah anak-anaknya.

“Kamu boleh ke tinggal kat rumah sewa tu?” mak aku bersuara risau bila aku call mak aku dan beritahu bahawa aku dan Aliya akan berpindah rumah.

“Sue ok la mak. Mak janganlah risau. Ramai kawan-kawan Sue kat rumah sewa tu. Semua belajar di kolej sama,” kataku meyakinkan mak. Aku rasa mak aku terlebih trauma dari diri aku sendiri. Anak hilang weh, siapa tak trauma.

“Kenapa Sue? Mak kau tak bagi kau duduk kat rumah sewa ke?” Aliya tanya aku sebaik aku letakkan telefon.

“Ha’ah, dia risau kot,” sahutku sambil duduk di kerusi sebelah Aliya lalu membuka laptop aku.

“Siapa tak risau? Anak hilang. Mak aku tu pun kalau boleh dia nak aku terus tinggal dengan Maksu. Dia tak kisah bayar Maksu aku duit sewa rumah dan belanja makan. Dia sanggup. Asalkan aku tak pindah keluar, asalkan aku tak duduk kat rumah sewa,” kata Aliya.

“Habis tu kau rasa macammana? Aku tak berapa selesa menumpang kat rumah Maksu kau ni.” Sahutku.

“Iya, aku faham. Aku ni yang anak saudara pun rasa tak selesa, inikan pula kau yang tiada kena mengena dengan keluarga ni kan,” kata Aliya.

“Aku bukan nak hidup selesa mewah macam tu. Rasa tak best aku ni orang luar, anak dara. Tinggal kat rumah yang ada lelaki bukan mahram aku. Lagipun, keluarga Maksu kau pun mesti nak privasi mereka sendiri kan. Bila ada kita ni, privasi mereka sedikit sebanyak akan terganggu,” kataku.

“Aku faham Sue. Takpe, nanti lepas Maksu balik dari kampung, kita pujuk mereka lagi,” kata Aliya. Aku hanya diam dan terus memandang laptop aku. Ada assignment yang perlu aku siapkan.

Lama juga kami buat kerja masing-masing, sampailah pintu bilik kami diketuk orang. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri. Aliya bangun dan buka pintu. Maksu berdiri di muka pintu.

“Ada perempuan kat luar sana. Katanya kawan kamu. Nak jumpa kamu,” kata Maksu.

“Kawan Liya?” Aliya pandang aku dengan wajah berkerut. Aku pandang Aliya.

“Siapa?” Aliya tanya aku. Aku angkat bahu. Memang la kami ambil course yang sama, kelas sama semua sama, tapi mungkin dia ada kawan lain selain dari yang aku kenal. Aliya ada ambil subjek lain juga. Aku pun. Kami ada ambil course tambahan, mengikut keinginan masing-masing. Macam aku, aku ambil subjek basic pengurusan. Aliya ambil subjek basic programming. Dan kami berdua ambil business course. Bermakna ada kelas yang kami tak sama.

Aliya pandang jam dinding, membuatkan aku pun ikut sama memandang jam dinding. Pukul 10 malam dah. “Siapa pula datang sini waktu macam ni?” rungut Aliya sendirian sambil melangkah keluar dari bilik. Aku terus menatap laptop aku.

Lebih kurang 5 minit kemudian, Aliya muncul semula. Dia terus duduk di kerusinya.

“Siapa?” aku tanya.

“Entah. Aku jenguk keluar, takde siapa pun. Maksu pun pelik, katanya tadi ada orang. Maksu dah suruh dia tunggu.” Kata Aliya.

“Kau ada janji dengan sesiapa ke?” aku tanya lagi.

“Takde rasanya,” sahut Aliya.

“Siapa yang tahu rumah ni?” aku tanya.

“Setakat ni takde siapa tahu. Kita pun baru tiga bulan lebih tinggal kat sini,” sahut Aliya.

Aku diam, kembali mengadap laptop. Aliya pun sama. Tapi aku perasan, fikiran Aliya terganggu. Aku rasa dia masih memikirkan tentang kawannya yang datang tadi. Tapi aku biarkan saja dia.

Ketika jam hampir ke pukul 12 malam, aku tutup laptop. Aliya dah lama berbaring di katilnya selepas menguap lebih dari sepuluh kali di meja tulis. Sekejap pusing ke kanan, sekejap pusing ke kiri. Macam tak boleh lena.

“Aliya, kau kenapa?” aku tanya.

“Aku tak boleh nak lena la. Aku macam terdengar suara orang panggil aku.” Kata Aliya.

“Hish kau ni Aliya. Pergilah ambil wudhu. Buat solat sunat,” kataku.

“Solat sunat benda kau ni, aku kan tengah cuti?” kata Aliya.

“Eh, iyelah, aku lupa,” sahutku dengan tersenyum sambil menggaru kepala yang tak gatal.

“Basuh kaki je la. Baca doa tidur. 4 Qul semua tu. In Shaa Allah, takde apa,” kataku perlahan sambil naik ke atas katil aku. Aku dah mengantuk ni. Rasa macam tak sempat kepala sampai ke bantal aku dah lena ni.

“Sue, kau rasa siapa yang cari aku tadi?” Aliya tanya aku yang dah hampir nak terbang ke alam mimpi.

“Manalah aku tahu. Kau tanyalah Maksu kau, rupanya macam mana.” Sahutku dengan mata terpejam.

“Aku rasa tak sedap hati la,” Aliya bersuara pula.

“Kenapa? Kau rasa macammana?” aku tanya, tahap kesedaran aku tinggal 20% je ni.

“Aku rasa berdebar-debar.” Aliya menyahut.

“Dah la, tak payah fikir sangat. Kau tidur la. Aku ngantuk ni. Esok kau ok la tu,” kataku perlahan.

Aku tak dengar dah suara Aliya. Tak tahulah samada dia dah tak bercakap atau deria aku dah takde masa dia bercakap. Aku dah terbang ke alam mimpi indah.

Aku tersedar bila terasa ada sesuatu yang menggerakkan tubuh aku. Aku buka mata perlahan-lahan. Aku nampak seseorang berdiri di tepi katil aku. Aku tak angkat kepala lagi. Aku tetap berbaring. Aku perlu kenalpasti dulu siapa orang itu.

Aku perhatikan pakaian orang yang berdiri di tepi katil aku tu. Kain putihnya lusuh dan kotor seakan dah lama tak basuh. Hidung aku pula dapat menghidu bau bangkai yang agak kuat dan menusuk hidung. Rasanya masa aku nak tidur tadi, takde pun bau tu.

Aku masih berdiam di bawah selimut. Aku cuba nak lihat wajah orang tu. Aku cuba nak memandang ke arah katil Aliya, tapi aku tak berani bergerak banyak, takut orang kat tepi aku tu perasan aku sedar dan sedang memerhatikannya.

Aku nampak susuk tubuh itu bergerak mundar mandir di dalam bilik tu. Sesekali dia berhenti dan seakan memandang ke arah aku. Aku pejamkan mata aku kuat-kuat. Aku yakin itu bukan Aliya atau Maksu. Bulu roma aku tegak berdiri. Aku berpeluh sejuk di bawah selimut walaupun kipas berpusing laju.
“Haaaaaa……” aku dengan satu suara. Aku makin takut. Aku pejamkan mata aku kuat-kuat. Tekak aku terasa tersekat. Ya Allah, apa benda ni?

“Haaaaa……” aku dengar lagi suara tu. Aku rasa nak menangis dah. Ini balasan untuk aku kot sebab tak pedulikan perasaan Aliya yang tak sedap hati tadi.

Tiba-tiba aku rasa seperti seseorang menarik kain selimut aku. Aku cuba pegang kain selimut aku tapi orang tu tarik lebih kuat. Aku menggigil. Aku rasa ada kuku tajam meleret di kaki aku. Aku cuba nak jerit tapi tak boleh, suara aku tersekat. Badan aku seperti ditekan di atas katil.

Aku cuba buka mata perlahan-lahan. Aku nampak susuk tubuh tadi terangkat seperti berada di awangan. Aku pandang susuk tubuh itu yang berada di atas aku, di atas angin. Aku beranikan diri memandang wajah makhluk itu. Wajahnya betul-betul di atas muka aku.

Aku rasa muka aku panas. Darah aku semua naik ke muka. Aku kenal wajah itu. Itu Kak Piah! Itu Kak Piah!

“Aaaahhhhhhhhhh!!!!” aku jerit kuat.

Dan satu tamparan hingga di pipi aku. Aku buka mata. Bilik terang benderang. Aliya berdiri di tepi katil aku. Maksu pula berdiri di muka pintu. Mereka pandang aku. Aku duduk, menggosok-gosok mata. Aku pandang keliling.

“Cari Kak Piah kau?” Aliya tanya aku.

“Aku mimpi ke?” aku tanya Aliya.

“Kau yang mimpi, mengigau meracau, lepas tu kau tanya aku samada kau mimpi? Mana aku tahu kau mimpi ke apa, tapi kau asyik panggil nama Kak Piah kau. Rindu ke?” Aliya usik aku. Maksu senyum lalu menutup semula pintu bilik kami.

-Bersambung-

2 thoughts on “C-3-16 BBS 2.0

Leave a Reply to afrinamran Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s