AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 19 (AKHIR)

“Lepas dua hari tak dapat hubungi kamu, mak terus ke kampus kamu. Mak tanya teman sebilik kamu dan beberapa orang kawan kamu. Semua pun kata kamu ke Sabah. Tapi mereka kata kamu pergi sendirian. Bila mak cakap kamu beritahu mak bahawa kamu pergi dengan Shida, mereka semua terkejut. Mereka kata Shida masih koma di hospital lepas kemalangan. Belum bangun lagi. Macammana pula dia boleh pergi Sabah dengan kamu. Sejak itu ayah aku dah marah. Dia dah ingat kamu tipu dia. Mak suruh tunggu sampai kamu balik. Kamu kata tiga hari kan. Mak pun dah tengok tiket pergi balik kamu. Tapi lepas tiga hari kamu tak balik juga. Ayah terus buat report polis.” Kata mak.

Aku terdiam. Aku tak tahu nak cakap apa. Kalau Rashida masih koma, siapa dengan aku di rumah nenek Rashida selama tiga hari ni? Atau dua minggu ni? Patutlah ayah kata aku tipu dia bulat-bulat. Patutlah ayah marah sangat dengan aku.

“Mak, Alin tak tahu apa yang dah jadi sebenarnya. Tapi dengan nama Allah, Alin bersumpah, Alin pergi dengan Shida. Tiada orang lain. Kalau ayah bunuh Alin sampai mati pun, itu juga jawapan Alin, tiada jawapan lain,” kataku perlahan menahan sebak.

“Dah. Kamu tidur dulu. Esok kita jumpa Ustaz Ridzuan. Haritu ayah ada jumpa dia juga. Ustaz Fariz Cuma cakap, kamu selamat. Ada yang menjaga kamu dengan baik di sana,” kata mak.

Aku tak jawab apa-apa. Aku baring. Mak selimutkan aku dan terus keluar dari bilik.

“Dah, biar dia tidur dulu. Esok kita jumpa Ustaz Fariz. Saya tak rasa dia tipu kita. Kita dah besarkan anak kita sebaik mungkin,” aku dengar mak aku pujuk ayah.

Aku tak mampu berfikir lagi. Air mata aku mengalir tak henti. Entahlah kenapa. Aku pejamkan mata.

“Alin… Alin…..” aku dengar suara bisikan memanggil aku. Aku bangun dan cari suara tu.

“Alin…. Alin….” Aku dengar lagi. Bunyi itu dari bawah meja tulis dalam bilik aku. Aku selak kain lapik meja tu. Aku tersentak. Aku nampak Rashida dengan berpakaian serba putih, duduk bersila di bawah meja.

Aku tersentak. Aku berundur ke belakang.

“Kau siapa sebenarnya?” aku tanya.

“Terima kasih,” kata bayangan Rashida.

“Kau siapa?” aku tanya lagi.

“Kotak itu milik kamu sekarang. Buatlah sesuatu agar semuanya selamat,” kata bayangan itu lagi dan bayangan itu hilang sedikit demi sedikit.

“Shida!” aku panggil.

Pintu bilik terkuak. Mak aku menjenguk.

“Alin, kenapa?” mak aku tanya sambil datang kepada aku. Ayah aku turut berdiri di pintu. Marah tapi nak tengok aku juga.

Aku menangis. Mak aku peluk aku. “Kenapa ni?” mak aku tanya. Aku tak jawab. Mak aku pimpin aku naik ke atas katil. Mak aku baringkan aku dan dia turut baring di sebelah aku.

“Biarlah saya temankan dia malam ni. Risau pula saya,” kata mak kepada ayah. Ayah hanya anggukkan kepala dan terus tutup pintu bilik.

Mak usap kepala aku. Aku masih teresak-esak. “Dah, tidur. Baca Al Fatihah, Ayat Qursi, Seribu Dinar, 3 Qul. Serah diri pada Allah. Tiada yang lebih berkuasa di dunia melainkan Allah. Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu. Semuanya terjadi dengan izin-Nya,” mak pujuk aku.

Aku baca semua yang mak suruh, sampai aku terlena.

Aku bangun bila terdengar azan subuh berkumandang di masjid berdekatan. Mak dah takde kat tepi aku. Aku bangun, pandang keliling. Jam pukul 6 pagi. Aku bangun dan keluar dari bilik. Mak aku sedang masak nasi lemak di dapur. Adik aku sedang bersiap nak ke sekolah. Ayah aku ke masjid untuk berjemaah Subuh.

Mak tersenyum bila nampak aku. “Pergi mandi, solat. Nanti kita makan sama-sama. Lapar kan?” Suara mak aku tu, dari dulu sampai sekarang, memang buat aku tenang. Buat aku lupa semua kesusahan aku. Mak aku buat aku rasa macam tiada apa yang boleh apa-apakan aku selagi mak aku ada di sisi.

Aku masuk semula ke bilik. Aku mandi dan solat subuh. Tak lama lepas tu, aku dengar bunyi motor ayah aku masuk ke halaman rumah. Aku terus ke dapur. Adik aku sedang membungkus nasi lemak untuk dibawa ke sekolah.

Seketika kemudian, terdengar bunyi bas sekolah di depan rumah. Berlarian dia keluar rumah lalu tergesa-gesa memakai kasut dan naik bas.

Ayah aku terus ke dapur. Aku ikut belakang ayah aku. “Mari makan sama-sama,” mak aku pelawa sambil menyedok nasi lemak ke dalam pinggan ayah dan aku. Aku dan ayah pun duduk, tak cakap banyak.

“Pukul 8 nanti kita Ustaz Fariz datang. Dia kata kamu ada bawa barang, betul ke?” kata ayah tanpa pandang aku.

“Barang apa?” aku tanya lagi. Ayah angkat muka dan pandang aku.

“Cubalah abang tu bawa bersabar. Nak marah je tahunya. Bagi peluang budak tu fikir dulu.” Kata mak. Ayah kembali menyambung sarapannya.

Aku pandang mak.

“Takpe. Makan dulu. Lepas ni kita punggah beg kamu. Ada baju nak basuh kan. Tengoklah nanti apa lagi yang kamu bawa balik,” kata mak. Aku diam, sambung sarapan aku. Mujurlah ada mak.

Lepas sarapan, aku masuk ke bilik aku. Aku tarik beg besar dan beg kecil aku. Aku buka beg besar, tiada apa-apa. Lepas tu aku buka beg kecil, baru aku tersedar pasal bungkusan yang aku ambil dari rumah nenek Rashida. Bungkusan tu masih bersama aku. Ini adalah bukti aku memang ke rumah Rashida dan Rashida betul-betul bersama aku. Mana mungkin Rashida di hospital.

Aku bawa bungkusan tu keluar bilik. Aku letak di atas meja.

“Inilah barang yang mak Shida pesan untuk ambil dari rumah nenek dia. Ini bukti Alin memang ke rumah nenek Shida, bersama Shida. Kalau Shida takde bersama Alin, macammana Alin boleh tau pasal bungkusan ni?” kataku sambil menjeling ayah.

“Assalamualaikum,” aku dengar suara lelaki memberi salam di luar rumah. Kami menjawab salam serentak. Ayah bangun menuju ke pintu dan mempelawa Ustaz Fariz masuk ke dalam rumah. Ustaz Fariz senyum kepada aku. Masa mak aku sebut Ustaz Fariz, aku ingat ustaz muda. Rupanya dah baya ayah aku.

“Alin apa khabar?” Ustaz Fariz tanya aku.

“Alhamdulillah,” sahutku.

“Jauh merantau ye,” kata Ustaz Fariz. Aku diam sambil pandang mak dan ayah aku.

“Jumpa kawan ustaz kat sana kan? Namanya Haji Alias,” kata Ustaz Fariz lagi. Pun aku masih diam tapi dahi aku berkerut. Ustaz Fariz kenal Haji Alias?

“Dia takde apa-apa. Alhamdulillah, Allah pelihara dia sebaiknya.” Kata Ustaz Fariz kepada mak dan ayah aku.

“Barang tu?” ayah tanya Ustaz Fariz.

“Barang ni saya ambil ye,” kata Ustaz Fariz.

“Eh, ini barang kawan saya. Saya kena hantar kepada dia semula,” kataku.

Ustaz Fariz senyum tengok aku. Dia tarik bungkusan tu ke hadapannya. Lalu membuka tali pengikat kain itu. Ada dua lapis kain batik yang membungkus satu kotak aluminium. Lalu Ustaz Fariz membuka kotak aluminium tu.

Ada beberapa arca berbentuk keris di dalam kotak tersebut. Dan setiap keris itu diikat dengan bebenang yang aku nampak seperti rambut manusia.

“Apa tu ustaz?” Mak aku tanya.

“Inilah pengawal setiap satu makhluk yang disimpan oleh nenek kawan kamu tu. Setiap satu ni ada tuannya. Rambut yang mengikat keris itu adalah rambut tuannya. Malangnya, tuan tidak bersetuju dengan pengangkatan ini. Maka mereka terbiar. Lalu kawasan itu telah dipagar supaya makhluk itu semua tak boleh keluar,” kata Ustaz Fariz.

“Kenapa dia simpan benda tu semua?” ayah tanya.

“Hobi. Dia obses dengan makhluk-makhluk halus ini. Inilah akibat bila agama tak ditanam dalam diri. Bila segalanya dibuat untuk kepuasan diri. Hingga menduakan Tuhan. Hingga menyusahkan anak-anak sendiri. Wallahu’alam,” kata Ustaz Fariz.

Aku agak terpaku masa tu. Meremang bulu roma aku. Maknanya betullah apa saja yang Kak Melati ceritakan kepada kami. Tapi Kak Melati tu sendiri hantu. Hish, tak dapat bayangkan dua malam aku di sana. Atau dua minggu?

Aku jenguk ke dalam kotak itu. Ada satu sampul surat. “Boleh saya tengok apa ada dalam sampul tu?” kataku ingin tahu. Ustaz Fariz mengambil sampul surat itu dan menyerahkan kepada aku.

“Boleh buka?” aku tanya.

“Boleh, bukalah,” kata Ustaz Fariz.

“Takde hantu keluar?” aku tanya lagi. Ustaz Fariz ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.

Aku buka sampul surat tu. Ada beberapa keping gambar keluarga. Aku tengok satu persatu. Gambar sekeluarga, ada mak, ayah, dan tujuh orang anak.

Sebab aku pernah tengok gambar keluarga Rashida, jadi aku cam salah seorang dalam gambar itu ialah mak Rashida. Tapi yang lain aku tak kenal.

Aku selak gambar berikutnya. Juga gambar keluarga. Masa ni mata aku agak bulat. Aku nampak gambar Pak Manaf, Kak Melati dan Pulau. Bersama dengan seorang wanita yang ku kira adalah mak Kak Melati atau isteri Pak Manaf. Aku selak semula gambar tadi, aku faham dah. Aku rasa, mak Kak Melati adalah kakak kepada mak Rashida. Bermakna Kak Melati dan Pulau adalah sepupu Rashida. Aku selak tujuh lagi gambar lain, semua gambar adik beradik mak Rashida bersama keluarga masing-masing. Gambar keluarga Rashida pun ada di situ.

Aku letak gambar tu semua. Aku termenung sendirian. Lama juga. Sambil diperhatikan oleh Ustaz Fariz, mak dah ayah aku.

“Dari apa yang Haji Alias sampaikan kepada ustaz, mak dan bapa saudara Rashida tak mahu mengambil bahagian mereka. Mereka telah putuskan hubungan dengan nenek Rashida. Tapi kakak sulung tak sampai hati, lalu dia menyanggupkan diri untuk menjaga semua simpanan nenek Rashida. Sampai masa dia meninggal dunia, anak perempuan sulungnya telah mengambil alih. Melati namanya.” Kata Ustaz Fariz.

“Maknanya Kak Melati masih hidup?” aku tanya.

“Iye, dia masih hidup. Tapi bertuankan iblis, bukan atas kehendaknya tapi dia terpaksa,” kata Ustaz Fariz.

“Pak Manaf dan Pulau?” aku tanya lagi.

“Mereka juga masih hidup. Tapi dalam keadaan yang sama, bertuankan iblis.” Kata Ustaz Fariz.

“Tak boleh bantu mereka ke?” aku tanya.

“Boleh. Sebab itulah kamu membawa semua ni balik. Untuk bantu mereka. Kita hapuskan semua ni dengan cara islam, maka, merdekalah mereka di sana nanti. In Shaa Allah.” Kata Ustaz Fariz.

“Kalau macam tu, ustaz hapuskanlah. Moga mereka terlepas dari semua ni,” kataku sambil menghulurkan sampul surat tadi kepada Ustaz Fariz.

“Gambar tu tak perlu dihapuskan. Serahkan kepada Rashida bila dia sedar nanti,” kata Ustaz.

“Oh ye. Macammana dia boleh bersama saya di sana, jika dia sedang koma di sini?” aku bertanya. Makin aku tanya, makin banyak yang aku nak tahu.

“Itu rahsia Allah. Mungkin ada pesanan akhir dari mak Rashida memintanya atau pernah menyuarakan hasrat untuk mengambil barang ini. Mungkin ada saudara di sana yang masih berhubung dengan mak Rashida di sini. Segalanya mungkin. Kena tunggu Rashida sedar baru boleh tanya. Yang pasti, Rashida benar-benar berusaha untuk melaksanakan hasrat maknya. Semua ini tentang kekeluargaan. Air dicincang takkan putus. Mulut kata marah, hati masih sayang. Mulut kata taknak ambil tahu, hati masih sengsara bila adik beradik sakit,” kata Ustaz Fariz.

“Tapi macammana Shida boleh bersama saya kalau dia koma. Saya tahulah dia nak tunaikan hasrat mak dia. Tapi macammana dia bersama saya kalau dia sedang koma? Siapa yang bersama saya tu?” aku bertanya lagi.

“Rohnya. Dia sendiri mungkin tak sedar dia sedang koma. Dia sendiri masih tak tahu dia perlu berada di mana. Wallahu’alam,” kata Ustaz Fariz.

Aku teringat kata-kata Haji Alias. “Orang kata hidup di dunia ni hanya sementara. Tapi semasa di dunia ini terlalu banyak perkara yang kita nak lakukan. Sampai adakala kita melawan fitrah alam. Kita lupa siapa kita. Atau mungkin kita tak sedar siapa kita, di mana kita berada. Lebih parah bila kita tak tahu kita sepatutnya berada di alam mana satu,”

Haji Alias cakap pasal Rashida? Bukan pasal aku yang boleh nampak alam ghaib ni? Haji Alias tahu itu adalah roh Rashida. Patutlah dia tak paksa Rashida balik dengan aku walaupun dia tahu Rashida berada di zon berpagar tu.

Aku usap muka aku perlahan. Satu keluhan berat terbit dari mulut aku. Memang berat.

“Dah faham?” Ustaz Fariz tanya aku sambil tersenyum. Aku tak jawab. Hanya mampu kerutkan dahi.

“Tapi siapa belikan tiket kapal terbang untuk saya? Siapa yang tidur bersama saya di bilik kampus? Siapa yang ke kuliah bersama saya?” aku tanya lagi.

“Kamu tanyalah rakan di kampus kamu. In Shaa Allah kamu akan dapat jawapan,” kata Ustaz Fariz. Dan aku diam.

“Ustaz ambillah kotak ni. Buatlah apa yang patut. Moga terlepaslah semua yang terpenjara selama ini.” Kata ayah.

“In Shaa Allah, saya akan uruskan sebaik mungkin.” Kata Ustaz Fariz sambil membungkus semula bungkusan tersebut dan membawanya pulang.

“Ayah, Alin nak tengok Shida boleh?” aku tanya ayah.

“Boleh, itulah sebaiknya. Bersiaplah, ayah bawa kamu jumpa dia,” kata ayah, lembut. Tak macam semalam.

Lebih kurang pukul 11 pagi, selepas perjalanan lebih kurang satu jam setengah, aku, ayah dan mak sampai ke sebuah hospital. Ayah bawa aku masuk ke dalam wad. Aku nampak Rashida terbaring dengan wayar yang penuh di badannya. Tak sedar air mata aku mengalir laju.

Aku sentuh telapak tangan Rashida.

“Ya Allah Shida. Kenapa aku tak perasan semua ni? Kenapa aku tak tahu? Selama ni kau dengan aku. Kat hostel, kat kuliah, kat mana-mana saja. Kau dengan aku. Kenapa aku makin keliru. Shida, bangunlah. Aku dah bawa balik barang yang kau nak. Aku dah laksanakan hasrat mak kau. Bangunlah. Aku nak sembang dengan kau. Banyak yang aku nak sembang,” kataku dengan deraian air mata.

Tiba-tiba tangan aku rasa pergerakan di tangan Rashida. Dia menggenggam tangan aku.

“Mak, Shida sedar. Dia pegang tangan Alin,” kataku menjerit kat mak.

Ayah aku cepat-cepat panggilkan doctor. Doktor sampai tapi tangan Rashida masih macam tadi. Doktor kata mesin tak menunjukkan sebarang pergerakan pun. Mak dan ayah pandang aku. Aku nak kata apa? Memang aku tengok tangan Rashida genggam tangan aku. Aku sumpah! Tapi siapa nak percaya kan? Baik aku diam.

Seminggu lepas kejadian, aku tak nampak benda-benda pelik dah. Aku pun rasa pelik. Mana pergi semua benda yang selalu bertenggek kat depan mata aku tu. Aku ada cakap kat mak. Mak kata mungkin asbab aku dah bantu merdekakan semua simpanan nenek Rashida, maka anugerah aku pun dah merdeka sekali.

“Iye ke?” aku pun tak tahu. Harap-harap betullah. Aku pun dah taknak tengok benda tu semua. Aku bersyukur sangat kalau anugerah ni dah takde kat aku. Hidup aku pun lebih tenang.

Seminggu lepas kejadian, aku kembali ke kampus. Aku masuk bilik aku.

“Eh, Alin. Kau dah balik. Semua ok? Kau sihat?” Zaiton tanya aku. Aku pula pandang dia macam pelik. Zaiton ni pelajar jurusan sama dengan aku dan Rashida tapi dia dari bilik sebelah. Tapi kenapa dia duduk di bilik aku sekarang ni? Mana dia dapat kunci?

“Kau buat apa kat bilik aku?” aku tanya.

“Eh, aku memang duduk kat bilik ni?” Zaiton jawab.

“Kau bukan kat bilik sebelah ke?” aku tanya tak puas hati.

“Kau dah lupa ke? Lepas Shida kemalangan, kau yang minta aku duduk sebilik dengan kau sementara sampai Shida sembuh. Sebab kau kata kau takut. Tak ingat dah?” Zaiton tanya aku dengan muka berkerut.

“Iye ke?” aku tanya.

“Iye la. Dah dekat dua bulan kot aku duduk sebilik dengan kau,” kata Zaiton lagi.

“Maknanya selama ni, kau yang duduk dengan aku?” aku tanya Zaiton lagi.

“Haah la..” Zaiton menjawab sepatah.

“Yang selalu pergi kuliah dengan aku, makan dengan aku, tidur dengan aku selepas Rashida kemalangan, itu kau?” aku tanya lagi.

“Ya Allah Alin oiii.. Iyelah. Buat apa aku nak tipu kau, tak dapat duit pun,” kata Zaiton. Aku diam. Berfikir sejenak.

“Kau fikir apa lagi Alin? Ini aku lah Zaiton, kau siap suruh aku belikan tiket kapal terbang untuk ke Sabah lagi. Bersusah payah aku minta abang aku belikan pergi balik. Tapi kau tak balik. Apa cer? Banyak versi aku dengar cerita kau ni. Cuba cerita sikit kat aku ni,” kata Zaiton.

“Kau belikan tiket kapal terbang aku?” aku tanya Zaiton.

“Iyelah. Lupa pula dia,” sahut Zaiton.

Aku letak beg aku. Aku keluar dari bilik. “Tu nak ke mana pulak tu?” Zaiton panggil aku. Aku tak menyahut. Terus keluar mencari Ustaz Malik. Aku nampak dia sedang makan di kantin. Aku berlari ke arah Ustaz Malik.

“Ustaz,” aku panggil. Mujur tak tersembur air kopi dari mulut dia sebab terkejut dengan kehadiran aku.

“Alin, bila balik?” Ustaz Malik tanya aku.

“Baru je. Saya nak tanya ni,” aku terus je cakap.

“Kamu dah kenapa ni? Salam tak apa tak, tiba-tiba macam ni. Terkejut saya.” Kata Ustaz Malik.

“Ustaz, haritu masa bilik kuliah kena serangan histeria, saya ada minta ustaz ubatkan kawan saya yang hampir terkena histeria juga kan? Lepas tu ustaz suruh saya bawa kawan saya balik bilik dan mandikan dia kan? Ingat tak?” aku tanya.

“Iye, saya ingat. Kenapa?” Ustaz Malik tanya aku.

“Kawan saya tu Rashida kan?” aku tanya.

“Rashida apa pula? Kan Zaiton tu,” Ustaz Malik menjawab.

“Zaiton? Bukan Rashida?” aku tanya semula.

“Iye, Zaiton. Bukan Rashida. Kamu ni betul dah ok ke tak ni?” Ustaz Malik tanya aku.

“Takpelah ustaz. Terima kasih,” kataku sambil berlalu pergi meninggalkan Ustaz Malik yang masih termangu-mangu melihat aku. Aku melangkah perlahan-lahan. Aku rasa aku dah faham segalanya. Minda aku masih memandang Rashida kerana rohnya masih bersama aku. Sebab itu aku masih tak merasakan bahawa dia tiada di sisi aku.

Aku kembali ke bilik. Zaiton masih di tempatnya tadi, sedang buat assignment.

“Oh ya. Aku lupa nak cakap. Ni aku jumpa barang ni kat bawah bantal Rashida. Lama dah tapi aku tak ingat. Haritu aku kemas bilik, aku jumpa balik benda ni. Tak tahulah kau punya ke Rashida punya. Nah ambillah balik.” Kata Zaiton sambil menyerahkan satu bungkusan kain kecil kepada aku.

Aku pun ambil. Aku buka bungkusan kain tu. Satu arca kecil sebilah keris digulung dengan rambut. Ahhhhh…. Sudahhhhhhhh…! Aku bawa arca tu ke tingkat bawah, aku campak arca tu dalam tong sampah. Huh! Puas hati aku.

– TAMAT –

3 thoughts on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s