AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 18

“Kenapa kamu masih belum balik ke semenanjung? Sampai terlepas tarikh tiket,”Kak Wani tanya aku masa kapal terbang kami dah berlepas. Masa tu aku dah ok sikit. Kak Wani belikan air buah, suruh aku minum. Barulah lega sikit rasa sakit kepala aku, takde rasa mual dah.

“Panjang ceritanya kak. Tapi yang saya tahu, saya berada di sini Cuma tiga hari. Tak lebih dari tu. Dua malam saja saya kat sini. Saya pun tak tahu macammana boleh jadi dua minggu,” kataku.

“Pelik juga. Kamu pengsan ke?” Kak Wani tanya aku. Aku pandang Kak Wani dengan dahi berkerut. Kak Wani ni tanya macam ni, dia bergurau ke apa.

“Maksud akak, kot kamu ada jatuh atau kemalangan, lepas tu kamu tak sedarkan diri ke. Mana tahu kan, kamu tak ingat ke,” Kak Wani tanya aku.

“Tak juga. Tapi saya memang tak dapat nak jelaskan apa yang terjadi.” Kataku. Memang aku tiada jawapan.

Kak Wani dan aku diam bila pramugari datang membawa makanan. “Kamu nak apa-apa tak?” Kak Wani tanya aku.

“Saya memang lapar kak, belum makan apa-apa lagi,” kataku.

“Patutlah kamu pening dan nak muntah. Perut dah masuk angin la tu,” kata Kak Wani.

“Akak order nasi ayam untuk kamu ye,” kata Kak Wani. Aku anggukkan kepala je.

Aku pandang ke arah pramugari tu. Tiba-tiba mata aku terpaku pada satu makhluk hodoh yang bertenggek di atas bahunya. Rupanya macam kelawar tapi matanya melilau melihat keliling. Aku nampak dia pandang Kak Wani, dan aku nampak juga Kak Wani pandang dia. Aku tahu Kak Wani nampak benda tu. Maknanya benda tu bukan makhluk halus la. Takkan ada makhluk halus di atas kapal terbang kan.

Sebaik aku dapat nasi ayam aku, pramugari tu berlalu pergi. Aku nampak di belakang pramugari itu ada beberapa lagi makhluk yang sama. Semuanya memandang ke arah aku dan Kak Wani.

“Apa benda kat bahu dan belakang dia tu kak?” aku tanya Kak Wani. Kak Wani pandang aku dengan wajah penuh tanda tanya.

“Kamu nampak benda tu?” Kak Wani tanya.

“Nampak. Kak Wani pun nampak kan?” aku tanya semula.

“Itu makhluk halus, mungkin belaan orang atau tersesat di sini. Tapi hanya orang tertentu yang boleh nampak benda-benda macam ni. Kalau kamu nampak, maknanya kamu ada anugerah tu,” kata Kak Wani.

“Tapi Kak Wani pun nampak kan?” aku tanya.

“Sebab akak ada anugerah tu. Akak boleh nampak makhluk dari alam lain yang tak dapat dilihat dengan mata kasar manusia biasa,” kata Kak Wani.

“Jadi, kita sama? Ada anugerah tu?” aku tanya. Kak Wani anggukkan kepala.

“Akak nampak lah semua benda-benda pelik tu?” aku tanya macam tak percaya ada orang yang sama macam aku. Dan Kak Wani anggukkan kepala juga.

“Tak takut?” aku tanya.

“Mula-mula memang takut. Tapi bila difikirkan balik, dia juga hamba Allah. Dia tak ganggu kita, dia Cuma mengusik kadang tu. Tak semua orang dapat anugerah ni, jadi bila kita dapat anugerah ni, bermakna Allah bagi kita ujian untuk kita mendapatkan keredhaan-Nya. Kita redha dengan anugerah Allah, maka kita takkan rasa takut. Allah bagi kita sebab dia tahu kita layak, kita mampu,” kata Kak Wani.

Aku diam. Sambil berfikir, sambil aku buka bekas nasi ayam aku. Aku lapar. Aku nak makan.

Kami tak berbual lepas tu. Kak Wani menutup matanya dengan kain hitam, dia nak rehat kot. Aku pula menjenguk ke luar tingkap, memerhati keindahan alam. Walau ada satu masa aku nampak ada orang tua berpakaian serba hitam dan bertongkat sedang berdiri di sayap kapal terbang. Aku perhatikan dia, dah tentu dia bukan manusia macam aku. Tapi aku melihatnya dengan tenang. Aku tenang bila aku dah tahu, ada orang lain yang mempunyai anugerah sama seperti aku.

Maka terlintaslah semua kejadian yang aku alami selama berada di rumah nenek Rashida. Abang Man kata, Haji Alias tu jin islam. Dia bawa aku keluar dari tempat tu. Tapi kenapa dia tak paksa Rashida ikut aku keluar? Kenapa dia biarkan Rashida di sana?

Apa khabar Rashida sekarang? Dia sendirian tu. Bukan aku tak menyesal tinggalkan dia tapi aku harap dia akan ikut aku bila tengok aku berdegil. Tapi mana tahu, hatinya lebih keras dari apa yang aku fikir.

Tapi yang paling aku hairan, macammana aku boleh berada di sana dah dua minggu? Haji Alias ada juga cakap, masa di dunia jin lebih panjang berbanding dunia manusia biasa. Dua hari pada manusia biasa, mungkin dua minggu di alam jin. Siang di alam manusia, malam di alam jin.

Takpe, sekurang-kurangnya aku dah tahu di mana aku nak cari Rashida nanti. Aku akan minta sesiapa cari dia kalau dia tak balik juga esok. Mungkin polis atau sesiapa saja. Sebab aku dah boleh bagitahu di mana Rashida.

Dalam tak sedar, aku turut terlena. Hinggalah aku terasa sedikit hentakan dan bahu aku ditepuk.

“Alin, kita dah sampai. Kapal terbang dah mendarat pun,” kata Kak Wani. Aku terus bangun dan melihat ke luar. Kami dah sampai KLIA. Ya Allah, rasa nak menangis. Aku dah sampai tempat aku.

Aku dan Kak Wani berjalan keluar dari kapal terbang. Sampai je kat gate luar, aku dengar suara yang amat aku kenali, memanggil aku. Aku cari suara itu. Dari satu sudut, yang ramai orang, aku nampak mak aku melambai-lambai aku. Ayah aku ada dengan mak. Muka ayah serius. Muka mak macam dah lama menangis.

Tadi masa mak kata nak datang jumpa aku kat KLIA, aku kata tak payah sebab baru tiga hari aku pergi kot. Tapi sekarang aku dah faham, kenapa mak betul-betul nak jumpa aku. Aku dah pergi selama dua minggu tanpa khabar dan berita. Aku tak tahu cerita dongeng apa yang aku boleh beritahu dan mak dan ayah aku.

Mak peluk aku kuat-kuat dan meraung kat situ. Beberapa orang yang lalu lalang kat situ memandang kami. Kak Wani tersenyum melihat gelagat mak aku.

“Dia hilang dua minggu?” Kak Wani tanya ayah. Ayah anggukkan kepala.

“Dah report polis?” Kak Wani tanya lagi. Dan ayah anggukkan kepala lagi. Muka ayah serius. Aku pula yang berdebar-debar. Mak masih tak lepaskan aku.

“Dia pun tak sedar tu. Bukan salah dia,” kata Kak Wani lagi kepada ayah. Ayah pandang Kak Wani.

“Alin, akak pergi dulu ye. Nombor telefon akak masih simpan kan? Ada rezeki kita jumpa lagi. Akak harap kita jumpa lagi. Kita kan serupa,” kata Kak Wani sambil tersenyum dan menggenyitkan matanya kepada aku. Aku bersalaman dengan Kak Wani. Aku ucapkan terima kasih. Di masa aku dalam kesusahan, Allah turunkan bantuan melalui Kak Wani.

“Kita pasti jumpa lagi kak,” kataku kepada Kak Wani. Kak Wani anggukkan kepala. Dan di berlalu pergi.

Mak pegang tangan aku. Ayah angkat beg aku tanpa kata. Kami melangkah ke kereta ayah.

“Ayah, ayah nak bawa Alin ke mana ni?” aku tanya.

“Balik rumah kita,” mak menyahut.

“Boleh tak kalau Alin balik ke kampus dulu. Alin nak tunggu Shida. Dia akan balik esok. Kami masih ada urusan,” kataku.

“Shida mana?” ayah aku bersuara. Keras sekali bunyinya. Mak aku dah tundukkan kepala.

“Kawan Alin yang Alin ikut ke Sabah tu la,” aku menjawab.

“Kenapa dia tak balik sekali dengan kamu?” ayah tanya aku.

“Sebab dia nak jumpa saudara dia. Dia masih ada urusan di sana,” kataku.

“Urusan apa lagi? Dah dua minggu kamu pergi sana, takkan urusan tak habis lagi?” ayah tanya. Aku pandang mak. Mak pandang keluar tingkap kereta. Mata mak bengkak.

“Alin pergi tiga hari je ayah. Alin pun tak tahu nak cakap macammana jadi dua minggu. Alin betul-betul tak tahu,” kataku.

“Kau tipu kami ye. Mak kau menangis dah macam dunia nak kiamat dah. Kau tipu kami bulat-bulat ye. Ayah bagi kamu kelonggaran sebab ayah percayakan kamu tapi ini yang kami balas kat kami?” ayah mula meninggikan suara sambil memandu.

“Abang, tunggulah balik rumah baru kita bincang pasal ni. Tengah memandu tu kan?” mak aku tegur ayah aku.

“Alin tipu apa?” aku pun sama nak tinggikan suara. Tiba-tiba nak marah aku, tak tahu apa yang jadi kat aku. Tak tanya aku sihat ke, macammana kat sana. Terus nak marah aku, tengking aku macam tu.

“Alin, diam dulu. Nanti balik kita sembang. Tak elok gaduh atas jalan ni,” kata mak aku.

“Takdelah, ayah kata Alin tipu mak ayah. Mana ada Alin tipu. Memang Alin pergi tiga hari, macammana dia jadi dua minggu tu Alin tak pasti,” jawabku taknak beralah.

Ayah aku dah diam. Tapi aku tahu dia masih tak puas marahkan aku. Lepas tiga jam dalam kereta tanpa suara, kami sampai rumah mak. Ayah angkat beg aku bawa masuk ke dalam rumah. Aku bawa satu lagi beg. Masa ni dah pukul 9 malam.

Adik aku menjenguk keluar dari biliknya, “Angah dah balik?” Dia tegur aku. Baru je aku nak pergi peluk dia, dan dia pun baru je nak datang salam aku, ayah aku dah berdehem semacam. “Ana, kamu masuk bilik kamu. Jangan keluar,” ayah aku bagi arahan. Adik aku patah balik masuk ke dalam bilik.

“Alin, pergi mandi dan solat. Isya pun dah masuk ni. Abang pun sama. Nanti kita bincang dengan tenang. Sabar,” kata mak aku bila nampak ayah aku berdiri di pintu sambil memandang aku macam harimau nampak mangsa.

Aku terus masuk ke bilik aku. Kakak aku tinggal dengan kawannya di kuarters guru. Kakak aku dah jadi cikgu.

Lepas aku mandi dan solat, mak aku datang ke bilik aku. “Kamu dah makan?” mak aku tanya. “Tadi dalam kapal terbang je makan nasi ayam. Boleh bertahan lagi sampai pagi esok. Alin rasa nak tidur je ni. Penat sangat,” kataku.

Ayah aku berdiri kat luar pintu bilik memandang aku dengan wajah tak puas hati.

“Cakap dengan ayah, kamu ke mana sebenarnya? Dengan siapa? Kenapa tipu mak dan ayah? Kami dah buat report polis tahu tak? Sampai polis sabah cari kamu. Kamu ingat semua ni main-main?” ayah aku bersuara tapi tak segarang tadi. Cuma mukanya masih merah menahan marah.

“Esok je la. Dia penat ni. Biar dia rehat dulu,” kata mak aku memujuk ayah.

“Nak kira penat dia je? Penat kita ni, risau kita ni, tak tidur malam kita ni sebab bimbangkan dia, makan hati dengan dia, siapa nak kira pula?” ayah tanya mak tapi pandang aku. Mak terus tundukkan kepala.

“Kan Alin dah beritahu semuanya. Alin ke sana tiga hari, ikut Shida ke rumah nenek dia. Alin tak tipu, demi Allah, Alin sumpah,” kataku sambil pandang muka ayah.

“Kenapa tak call kami? Kenapa tak jawab call? Kenapa tak balas mesej?” ayah tanya aku. Menggeletar tangannya menahan marah.

“Kat sana line takde,” sahutku perlahan.

“Kamu kata pergi dengan Shida, kenapa tipu?” ayah tanya lagi.

“Betullah Alin pergi dengan Shida. Mana ada tipu,” kataku.

“Kamu tipu!” ayah tengking aku. Tersentak aku, tak pernah lagi ayah tengking aku sampai macam tu. Mak angkat muka pandang ayah. Mak tolak ayah keluar bilik.

Mak duduk tepi aku. Aku dah menangis dah. Mak gosok bahu aku.

“Cuba cakap kat mak, cakap betul-betul. Kamu ke mana? Dengan siapa?” mak tanya aku.

Aku lepaskan satu keluhan berat. Aku usap mukaku menahan rasa kecewa sebab mak dan ayah aku tak percayakan aku.

“Alin pergi dengan Sabah dengan Shida. Alin dah hantar gambar tiket kat mak kan? Alin tak tipu.” Kataku perlahan. Sebak dada aku.

“Alin, Shida masih koma di hospital.” mak aku bersuara sambil pandang tepat ke wajah aku. Muka aku pula rasa macam keras kejung, takde darah. Terbeliak mata aku tengok mak.

“Shida masih koma di hospital? Kenapa?” aku tanya mak aku. Macam tak masuk akal.

“Iye, Shida masih koma di hospital. Dia kemalangan bersama dengan mak dan ayahnya. Mak dan ayahnya meninggal dunia tapi dia masih koma, hingga sekarang,” kata mak aku.

“Mak merepek apa ni? Shida ada dengan Alin selama kami berada di Sabah. Mak ayah dia dah meninggal dunia sebulan lebih kot.” Sahutku masih tak percaya dengan apa yang aku dengar.

Bersambung…

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s