AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 17

Lebih kurang 15 minit perjalanan, Haji Alias memberhentikan keretanya di depan kedai yang aku berhenti malam kelmarin untuk beli nasi. “Kita dah sampai. Kat sini ada banyak kereta sewa. Kamu tunggu kat sini sekejap, saya pergi jumpa orang kedai tu,” kata Haji Alias lalu keluar dari kereta.

Aku hanya memerhati. Haji Alias bertemu dengan beberapa orang lelaki yang berada di dalam kedai makan tu. Mereka semua memandang ke arah aku. Kekok pula rasanya. Cuma yang pelik, muka masing-masing berkerut seribu, macam banyak betul masalah mereka. Lepas tu tengok aku pulak tu.

Seketika kemudian, Haji Alias datang semula ke kereta. “Jom, nanti orang baju biru tu akan hantarkan ke Lapangan terbang,” kata Haji Alias kepada aku. Aku pun tanpa banyak tanya, terus keluar dari kereta dan mengikut langkah Haji Alias.

“Ini namanya Abang Roni, dia akan bawa kamu sampai ke Lapangan terbang,” kata Haji Alias memperkenalkan aku kepada lelaki berbaju biru tadi. Aku anggukkan kepala kepada Abang Roni.

“Naik kereta ni ye. Sia hantarkan ke Lapangan terbang. Barang semua ada dah?” Lelaki berbaju biru tu bertanya ramah. Aku hanya menganggukkan kepala. Aku dah habis tawakkal ni. Hanya berserah kepada Allah je. Moga Allah jaga aku, dan jaga Rashida juga.

Ada lima orang lagi di situ termasuk Haji Alias, memandang aku macam ada sesuatu yang dah terjadi. Makcik kedai tu pun sama, dia pandang aku tapi bila aku pandang dia, dia pandang ke lain. Kenapa dengan mereka ni? Atau memang orang sini perangainya pelik. Tapi malam kelmarin, elok je dia cakap dengan aku masa aku beli nasi.

“Jom adik,” Abang Roni mengajak aku sambil mengangkat kedua-dua beg aku lalu dimasukkan ke dalam bonet keretanya. Aku hanya mengikut.

“Terima kasih tuan haji.” Kataku kepada Haji Alias. “Sama-sama, jaga diri baik-baik,” pesan Haji Alias. Aku terus berlalu pergi mengikut langkah Abang Man. Apa yang ada dalam kepala aku sekarang hanyalah aku nak balik semenanjung, jumpa mak ayah aku.

Sebelum aku naik kereta, aku pandang ke arah jalan aku datang. Aku mengharap agar Rashida muncul. Aku masih menaruh harapan agar Rashida akan ikut aku balik semenanjung. Tapi sampailah kereta Abang Roni bergerak, Rashida tak muncul. Sebaknya dada aku masa tu.

“Kau nda papa?” Abang Roni tanya bila dia tengok aku kesat mata aku dengan lengan baju.

“Saya ok,” sahutku, tapi suara serak, tekak sakit menahan sebak. Abang Roni diam. Aku pula pandang ke luar tingkap.

“Abang memang penduduk asal kampung tu ke?” aku bertanya memecah kesunyian.

“Haah, itu makcik yang meniaga kat kedai tu tadi mak sia la,” kata Abang Roni.

“Oooo…. Abang memang tinggal dekat situ la ye. Kenal la semua orang kat situ,” kataku.

“Sia keturunan keempat yang tinggal di situ. Kalau durang orang lama, sia kenal la. Tapi kalau orang baru, sia tak berapa kenal,” kata Abang Roni.

“Abang kenal lelaki namanya Pakcik Manaf? Anaknya Melati dan Pulau,” aku tanya. Muka Abang Roni berubah.

“Kenal gitu-gitu sijak. Dengar nama dari ging kampung.” Sahut Abang Roni. Matanya memandang ke sana sini seakan tak suka dengan soalan aku.

“Abang pernah datang ke semenanjung?” aku tukar topik.

“Nda pernah. Sia ini budu. Mama sia bilang, sia nda buleh pergi mana-mana. Biar sia betagar seja di sini. Kalau sia pergi jauh, mama takut sia ampai-ampai. Tinggal seja di sini, bawa kereta sewa. Habis kerja boleh limping di rumah. Ada ging panggil hantar orang, sia pergi,” kata Abang Roni.

“Masa mula-mula saya sampai, saya beli makanan dari kedai mama abang,” kataku.

“Iya, mama ada bilang, tu hari ada dua orang sumandak mahu naik atas bukit. Tapi terus teda nampak pulang. Pemandu kereta sewa yang kau naik tu hari, dia kemalangan masa pulang dari hantar kau. Dia masuk hospital. Kaki patah, kepalanya luka. Tapi sekarang sudah balik. Dia kata ada hantu macam monyet limpas di depan keretanya. Dia terkejut terus terbabas siring hutan,” kata Abang Roni.

Aku diam. Teringat pula aku dengan lembaga yang aku nampak mencangkung di atas keretanya ketika dia berlalu pergi meninggalkan aku dan Rashida di rumah nenek Rashida.

“Mama risau. Mama minta sia dan ging pergi cari kau di atas bukit. Ging sia cari di hutan mengkali kamik sesat tapi tak jumpa. Ging sia balik. Mama minta tolong Ustaz Aziz untuk tinguk kau di mana. Ustaz Aziz cari kau juga tak jumpa. Dia bilang perlu cari orang istimewa untuk cari kau. Sia ingat dia main-main, seja mahu buyuk sia tapi bila Haji Alias muncul, baru sia percaya kau sudah kena tapuk,” kata Abang Roni.

“Tapuk?” aku tanya. Aku bukannya faham sangat dengan bahasa orang Sabah ni.

“Kena sorok,” Abang Roni jawab.

“Kena sorok dengan siapa?” aku tanya sambil kerutkan dahi.

“Sia nda tahu. Susah mahu bilang. Nanti kau kata sia miring. Tapi Haji Alias tu emang champin. Dia pasti jumpa kalau ada orang hilang kena tapuk di atas bukit sana. Haji Alias bukan orang biasa-biasa sama macam sia dan kau. Dia muncul bila ging kita masuk kawasan dia,” kata Abang Roni lagi, buatkan aku makin pening kepala.

“Kai jangan risau. Kau sudah lepas. Kau sudah bebas. Baliklah ke rumah kau,” kata Abang Roni.

“Tapi siapa Haji Alias tu?” aku tanya tak puas hati.

“Sia dengar, dia dari ging jin islam,” kata Abang Roni berbisik. Padahal aku dengan dia je kot kat dalam kereta tu. Aku termenung seketika.

Telefon aku berbunyi. Cepat-cepat aku jawab, sebab aku masih mengharapkan Rashida hubungi aku. Tapi rupanya bukan Rashida yang hubungi aku. Mak aku. Aku jawab telefon. Suara mak terputus-putus, tak jelas. Aku letak telefon, aku buka whatsapp.

“Mak, Alin dalam perjalanan ke Lapangan terbang. Kita jumpa nanti kat KLIA.” Taipku.

“Iya, mak tunggu kamu di KLIA,” mak balas whatsapp aku.

“Tak payah kot mak. Jauh mak nak datang dari rumah kita ke KLIA. Alin balik kampus dulu. Nanti hujung minggu Alin balik rumah mak,” balasku.

Mak bluetick, tapi tak balas dah. Risau sangat mak kat aku sampai nak tunggu aku kat KLIA. Tiga jam kot mak nak datang dari rumah kami ke KLIA. Semata-mata nak sambut aku balik. Mentanglah ini kali pertama aku ke luar kawasan. Mak Mak…

“Kita sudah sampai epot,” Abang Roni bersuara. Aku pandang keliling.

“Berapa ringgit?” aku tanya Abang Roni sambil membuka dompet.

“Nda payah. Kau pergi seja. Jaga diri.” Kata Abang Roni.

“Eh, jangan macam tu. Jauh abang bawa saya ni. Tolong angkat beg lagi,” kataku.

“Nda papa. Kau dapat balik dengan selamat pun sia sudah senang hati. Nda semua orang luar masuk sana buleh balik selamat. Kau emang champin sama seperti Haji Alias.” kata Abang Roni lalu keluar dari kereta dan membuka bonet belakang. Aku turut keluar dari kereta.

Abang Roni hantar beg aku sampai ke pintu masuk Lapangan terbang. “Sia hantar sampai sini seja. Kamik balik dengan selamat ya,” Abang Roni cakap kepada aku.

“Terima kasih banyak-banyak Abang. Saya takkan lupa jasa abang dan orang kampung termasuk Haji Alias dan Ustaz Aziz yang tolong cari saya,” kataku.

Sebenarnya, aku tak berapa faham apa yang Abang Roni ceritakan. Kenapa perlu kena cari aku dan Rashida. Pergi sajalah ke kampung tu, pasti jumpa rumah nenek Rashida. Kami bukannya ‘hilang’. Kenapa perlu ada ayat cari dan sorok. Siapa sorok siapa?

Tapi aku malas nak fikir. Yang aku tahu sekarang, aku nak balik tempat aku. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Biarlah aku di negeri sendiri, sekurang-kurangnya aku tahu batu itu milik aku.

Aku terus menuju ke kaunter. Aku tawakkal je ni. Sebab aku tak pandai kan. Masa dari KLIA hari tu, Rashida yang tolong aku check-in. Tapi kali ini aku kena buat sendiri. Aku tahu kena daftar bagasi tapi aku tak tahu kat mana. Maka, cara terbaik, aku pergi tanya kat kaunter dulu.

“Selamat datang cik. Boleh saya bantu?” Ramah pekerja di kaunter tu.

“Saya tak biasa dengan prosidurnya. Boleh tolong semak tiket saya. Ajarkan saya di mana nak check-in bagasi semua. Dan saya perlu tunggu di gate berapa?” aku tanya pekerja kaunter tu lalu menyerahkan tiket kapal terbang aku.

Pekerja itu mengambil tiket aku dan membacanya. Dia mengerutkan dahinya. Dia pandang aku dan tiket itu silih berganti.

“Cik bagi tiket yang salah ni. Mungkin ada tiket lain?” Pekerja itu tanya aku.

“Takde, itulah tiket saya,” kataku.

“Sekejap ye,” kata pekerja itu lalu bangun dan pergi kepada seorang lelaki perpakaian kemas dengan tali leher, yang nampaknya macam berpangkat lebih tinggi darinya. Mereka bercakap-cakap sambil memandang aku. Aku mulalah berdebar-debar, aku ada buat salah ke?

Lelaki yang berpakaian kemas tu datang menghampiri aku. “Cik, tiket ni dah lepas tarikhnya. Mungkin cik ada tiket lain. Atau tertukar ke,” kata lelaki itu. Aku mula panik.

“Saya takde tiket lain. Itulah tiket balik saya. Saya dah beli siap-siap pergi balik. Mungkin salah cetak,” kataku.

“Kami tak salah cetak cik. Masa cik beli, cik ada semak tarikh tak?” dia tanya aku lagi.

“Saya dah semak. Memang hari ini la,” kataku.

“Tapi tiket ni untuk tarikh dua minggu lepas,” kata lelaki itu lagi. Aku tarik tiket tu dari tangannya. Aku tengok tarikh yang tertulis di dalam tiket tu. “Betullah hari ini.” Kataku lagi.

Lelaki itu mengambil calendar lalu menunjukkan kepada aku. “Cik, ini calendar. Hari ini 29 haribulan mac. Tiket cik 15 haribulan mac. Memang dah lepas cik,” kata lelaki itu lagi.

Aku ambil telefon aku. Aku semak tarikh di telefon aku. Jelas ianya 29 haribulan mac. Aku datang 13 haribulan mac. Tiga hari maknanya 15 mac la kan. Kenapa boleh jadi 29 mac? Aku gosok muka aku. Aku mula panik.

“Cik ok tak ni?” lelaki tadi bertanya. Aku tak jawab. Aku rasa pening. Mujurlah ada seorang wanita menahan aku dari jatuh. Dia bawa aku ke satu tempat duduk.

“Adik ok?” dia tanya aku. Suara tu macam aku pernah dengar.

Aku angkat muka. “Eh, kamu Alin kan?” wanita itu tanya aku. Aku masih mengerutkan dahi memikirkan siapa wanita itu, macammana dia kenal aku.

“Ini saya la. Kak Wani. Haritu kita duduk sebelah-sebelah masa penerbangan ke KK. Tak ingat?” katanya. Aku cuba recall balik. Iya, aku ingat. Mestilah ingat, dia je yang tegur aku kat dalam kapal terbang selain dari pramugari.

“Kata duduk sini tiga hari saja. Kenapa masih di sini? Atau kamu pun dah balik semenanjung dan sekarang datang balik sini? Sebab Sabah seronok kan?” kata wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Wani.

“Tak kak. Saya belum balik. Ini baru nak balik. Tapi tiket saya dah tamat tempoh,” kataku sambil menunjukkan tiket aku.

“Laaa… Memanglah dah tamat. Dah dua minggu tamat. Kamu tak perasan ke?” Kak Wani tanya aku. Aku masih pening lagi. Aku pejamkan mata dan picit kepala aku.

“Macam ni la. Akak ada 1 tiket lagi. Sepatutnya akak balik semenanjung dengan anak akak. Tapi anak akak taknak balik pula dah. Dia berubah fikiran, nak tinggal sini terus dengan neneknya. Kawan pun dah ramai kat sini. Jadi akak pun malas nak bertekak dengan dia. Nak tak nak, kena burn je tiket ni. Kalau kamu nak, kamu ambillah tiket ni.” Kata Kak Wani.

“Saya nak tiket tu kak. Saya memang dah buntu ni. Saya bayar balik kat akak harga tiket ni,” kataku kembali rasa selamat.

“Takpe, ambillah. Rezeki kamu. Bagi akak kad pengenalan kamu. Nanti akak uruskan kat kaunter sekejap. Harap takde masalah,” kata Kak Wani sambil bangun dan pergi ke kaunter. Lama juga Kak Wani di kaunter. Dan pekerja kaunter tu pun macam dah kenal Kak Wani. Hampir sejam Kak Wani berurusan di kaunter. Aku tak mampu nak ambil tahu apa yang mereka buat. Yang aku tahu, aku cuma nak balik rumah aku.

“Ok, dah selesai. Alhamdulillah, mereka benarkan. Jom kita check-in beg. Lepas tu boleh naik kapal terbang dah.” Kata Kak Wani. Aku ikut je.

Mujurlah ada orang yang sudi bantu aku di masa aku dalam kesusahan. Syukur Ya Allah.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s