AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 16

Aku tarik tempayan tu keluar sedikit dari tempat simpanannya. Aku jenguk ke dalam tempayan tu. Aku nampak satu bungkusan. Aku angkat bungkusan tu keluar dari tempayan lalu letakkanya di atas para dapur. Tak berat sangat tapi terasa juga seperti ada serpihan besi di dalamnya. Bungkusan itu seakan satu kotak kecil dibalut dengan kain batik dan diikat di bahagian atasnya dengan tali berwarna hitam dan putih.

“Shida, mari sini kejap,” aku panggil Rashida. Rashida datang kepadaku.

“Inikah barang mak kau yang kau nak cari?” aku tanya Rashida. Rashida memandang ke arah bungkusan itu dengan mata terbeliak.

“Ya! Inilah dia. Mak aku kata berbalut dengan kain batik dan diikat dengan tali berwarna hitam dan putih. Tak salah lagi. Kau jumpa kat mana? Puas aku cari merata dapur ni tapi tak jumpa,” kata Rashida.

“Kat dalam tempayan ni,” kataku sambil menunjukkan ke arah tempayan tadi. Rashida menjenguk ke dalam tempayan itu. Dan aku mengikut sekali menjenguk. Aku tersentak sekejap, aku nampak macam ada kepala manusia kat dalam tu. Kepala seorang lelaki. Matanya terbeliak memandang ke arah kami. Tapi sekadar memandang.

Rashida pula mengerutkan dahinya memandang ke arah aku bila tubuh aku tersentak macam terkejut sangat tu. “Kenapa?” Rashida tanya aku.

“Takde apa. Tolak la tempayan tu balik ke tempatnya,” kataku menutup mulut menahan rasa nak muntah.

Rashida akur, dia menolak tempayan tu masuk kembali ke bawah para dapur, lalu ditutup mulut tempayan tu dengan talam besar. Dia membawa bungkusan itu ke ruan tamu.

“Bukalah, tengok apa ada di dalam,” kataku tak sabar. Nak sangat aku tahu apa barang yang sama penting dengan nyawa tu.

“Mak aku pesan, jangan buka di sini. Kena buka setelah kita balik ke semenanjung,” kata Rashida.

“Pulak dah. Nanti kalau barang ni benda merbahaya macammana? Kena tahan kita kat Lapangan terbang nanti,” kataku.

“Kau jangan risau, ini bukan barang bahaya,” kata Rashida.

“Takpelah kalau macam tu. Jom kita bersiap. Aku nak balik. Flight aku pukul 4 petang. Flight kau pun lebih kurang la kan? Sebab haritu beli terus siap pergi balik, kan?” aku tanya Rashida.

Rashida tak menyahut. Dia termenung.

“Shida, kau menung apa lagi? Dah dapat kan apa yang kau cari? Jom kita siap balik,” kataku agak keras, geram juga tengok Rashida yang seperti tak teruja nak balik ke rumah kami.

“Alin, aku nak jumpa mak saudara aku dulu,” kata Rashida.

“Kau pun tak tahu kan kat mana mak saudara kau. Nak cari macammana?” aku tanya.

“Aku nak tanya Kak Melati dan Pakcik Manaf, mesti mereka tahu. Sebab aku tak rasa aku akan datang ke sini lagi. Ini mungkin kali terakhir aku datang sini. Aku mungkin takkan berpeluang berjumpa mereka,” kata Rashida lagi.

“Aku bukan nak halang kau. Tapi kita terikat dengan flight. Kau pun tahu kita nak sampai Lapangan terbang tu entah berapa jam pula. Nanti terlepas flight tu, susah nak dapat tiket macam tu je. Takpelah, kau dah tahu kan suasana kampung kau macammana. Nanti kau dah habis belajar, kau datanglah semula ke sini,” kataku cuba memujuk Rashida.

Rashida tak menyahut. Dia bangun dan terus melangkah ke pintu. “Kau nak ke mana?” aku tanya.

“Aku nak pergi rumah Pakcik Manaf,” kata Rashida tanpa menoleh ke arah aku lagi. Aku cuba mengejarnya tapi dengan kaki aku yang tak berapa nak kuat tu, pergerakan aku agak terbatas. Aku panggil Rashida yang dah melangkah laju meninggalkan kawasan rumah neneknya.

Aku menarik nafas panjang. Geram juga dengan sikap Rashida. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa Rashida pentingkan diri sendiri. Dah habis baik aku layan dia, dia boleh pergi tinggalkan aku macam tu je?

Aku kemaskan barang aku. Aku ambil juga bungkusan mak Rashida. Aku dah buruk sangka kat Rashida. Aku taknak nanti dia sorok pula bungkusan tu, lepas tu tak pasal-pasal kami kena cari balik barang tu. Aku taknak dah duduk kat rumah ni. Memang aku nak keluar dari rumah ni. Kalau Rashida taknak keluar, aku akan keluar sendiri.

Lepas aku kemaskan barang aku, aku kemaskan barang Rashida juga. Aku nak bila dia balik nanti, semua dah siap. Kami cuma perlu hubungi kereta sewa.

Aku ambil telefon aku. Dah takde bateri. Rasanya baru semalam aku cas dengan power bank aku. Dah la line susah nak dapat kat sini. Mak dan ayah aku pun aku tak call. Entah-entah mereka risaukan aku kat sini.

Aku ambil power bank dan cas bateri telefon aku. Sambil tu aku menjenguk keluar tingkap, mana tahu Rashida dah balik. Tapi ternyata aku tak nampak Rashida.

Hampir 15 minit, aku cuba hidupkan telefon aku. Aku on data. Takde line. Aku melangkah keluar rumah, berlegar-legar di halaman rumah mencari tempat yang aku boleh dapat line. Kejap ada kejap takde. Aku melangkah agak jauh, hingga sampai ke tempat kereta sewa hantar kami pada malam kelmarin. Di situ ada line tapi hanya 2 bar.

Telefon aku berbunyi banyak kali. Bunyi notification. Aku buka. Terbeliak mata aku. Seratus dua belas missed call, seribu lima ratus tujuh puluh tujuh mesej whatsapp. Kebanyakannya dari nombor mak aku. Semuanya bertanya aku di mana, kenapa tak call, kenapa tak dapat call, kenapa kenapa kenapa?

Aku balas mesej mak aku. “Maaf mak, Alin sihat. Kat sini takde line. Susah nak dapat call. Inipun kejap ada kejap takde. Hari ni Alin balik, naik flight pukul 4 petang. Mak tunggu Alin kat KLIA ya,” taipku.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba aku dengar suara seorang lelaki memberi salam. Dan baru aku perasan, inilah kali pertama aku dengar orang bagi salam kat kampung ni. Aku menoleh, aku nampak seorang lelaki memakai kurta lengan panjang berwarna putih dengan seluar slack hitam dan berkopiah. Dia tersenyum memandang aku.

“Waalaikumussalam,” jawabku sambil memandang keliling, mana tahu ada orang lain bersama lelaki itu.

“Buat apa kat sini?” Lelaki tu tanya.

“Saya ikut kawan saya pergi rumah nenek dia tu,” kataku sambil menunjukkan ke arah rumah nenek Rashida.

“Berapa lama dah kat sini?” Lelaki tu tanya lagi.

“Hari ni hari ketiga. Dah nak balik dah hari ni,” sahutku.

“Pakcik orang sini?” aku bertanya pula.

“Haah, saya orang sini. Panggil saja saya Haji Alias,” sahutnya.

“Alin, ooo Alin. Kau buat apa kat sana?” aku dengar suara Rashida memanggil aku. Aku pandang ke arah Rashida yang berdiri di tangga rumah neneknya. Aku lambai dia untuk datang kepadaku.

Rashida menghampiri aku dan lelaki tu. “Ini Haji Alias, dia orang kampung kau juga. Kau tanyalah dia, mana tahu dia tahu pasal mak saudara kau. Atau kau dah jumpa mak saudara kau?” aku tanya Rashida. Rashida hanya gelengkan kepala.

“Tapi aku dah tahu rumahnya. Aku balik ni, nak beritahu, kau baliklah dulu. Aku menyusul kemudian. Aku perlu selesaikan segalanya di sini sebelum balik ke sana. Kau jangan risau, nanti kereta sewa hantar kau sampai Lapangan terbang macam dulu. Kau pergi kaunter dan tunjukkan tiket kau. Mereka akan bantu kau,” kata Rashida.

Aku mula rasa nak marah. Kenapa pula aku kena balik sendiri? Sedangkan dia dah janji untuk balik bersama aku. “Mana boleh macam tu? Kau janji nak balik dengan aku,” kataku keras.

“Terpulang kat kau. Kalau kau nak balik dengan aku, kita balik esok sajalah,” kata Rashida seperti tak menghiraukan apa yang aku rasa. Muka aku dah panas, rasa nak mengamuk dah. Rashida pula boleh buat muka selamba badak dia. Huh! Sampai aku lupa ada orang lain bersama kami.

Haji Alias tersenyum memandang aku. “Sabar. Sabar itu kan separuh dari iman. Kenapa nak marah-marah. Syaitan suka pada orang yang marah,” katanya lembut.

“Saya benci orang tak pegang janji,” aku cakap sambil menjeling ke arah Rashida.

“Tak semua janji boleh ditepati. Tak semua perkara itu buruk. Dan tak semua perkara itu juga baik. Adakala kita berbuat sesuatu tanpa kita sedar. Segalanya dengan izin Allah juga,” kata Haji Alias lagi. Aku pandang Haji Alias, yang dia nak bagi ceramah kat sini, dia tak tahu apa yang aku dah alami selama tiga hari dua malam di rumah ini.

“Haritu dia suruh saya ikut ke sini untuk ambil barang mak dia. Sekarang kami dah jumpa barang tu. Dia pula sibuk nak cari mak saudara dia. Lain kali datanglah lagi,” kataku masih dengan nada meninggi.

“Kau baliklah dulu ye. Nanti aku menyusul. Aku minta maaf sangat. Aku mesti selesaikan semuanya di sini sebelum balik,” kata Rashida perlahan. Dia pegang tangan aku, tapi aku tepis.

“Kamu baliklah dulu. Biar dia selesaikan hal dia,” kata Haji Alias.

“Saya bukan orang sini. Saya tak begitu pandai selok belok sini. Semuanya harapkan dia sebab dia janji akan jaga saya di sini,” kataku lagi.

“Orang kata hidup di dunia ni hanya sementara. Tapi semasa di dunia ini terlalu banyak perkara yang kita nak lakukan. Sampai adakala kita melawan fitrah alam. Kita lupa siapa kita. Atau mungkin kita tak sedar siapa kita, di mana kita berada. Lebih parah bila kita tak tahu kita sepatutnya berada di alam mana satu,” kata Haji Alias lagi.

Aku pandang Haji Alias. Terdetik hati aku bila dia cakap pasal alam satu lagi. Dia tahu ke aku boleh nampak alam satu lagi?

“Sabar ye. Kalau nak keluar sampai bawah bukit, saya pun boleh hantarkan. Kebetulan saya memang nak turun bawah. Nanti sampai sana, boleh tahan mana-mana kereta sewa untuk pergi ke Lapangan terbang,” kata Haji Alias.

“Ya, saya nak tumpang tuan haji. Janji saya dapat keluar dari tempat ni. Biarlah dia taknak balik. Saya tak peduli, saya nak balik,” kataku memuncungkan mulut. Memang hati aku panas betul. Haji Alias tersenyum memandang aku. Rashida tunduk ke tanah dengan wajah muram kerana dimarahi aku depan orang lain. Bukan aku tak kesian, tapi dia dah melampau.

Aku melangkah ke arah rumah nenek Rashida. Haji Alias pun ikut aku. Aku pun pelik, dah kenapa dia ikut aku? Rashida pula yang berdiri kaku kat tempat dia berdiri tadi. Keras juga hati dia. Masa aku naik tangga untuk masuk ke dalam rumah, Haji Alias berdiri di beranda sambil memerhati keliling.

Aku ambil beg aku. Aku ambil juga barang mak Rashida. Aku sorok dalam beg. Harapan aku nanti bila dia perasan aku dah ambil barang tu, dia mesti berkejar nak balik juga.

“Mari saya bawakan beg,” Haji Alias menawarkan diri membawa satu beg aku. Aku bawa dua beg haritu. Lalu dia melangkah keluar dari kawasan rumah nenek Rashida. Rashida masih berdiri di situ, memandang aku dengan wajah sayu.

“Alin, terima kasih banyak-banyak. Kau sahabat aku dunia akhirat. Aku takkan lupakan kau. Dan maafkan aku dari hujung rambut sampai hujung kepala. Jangan benci aku sebab aku sayang kau. Ada rezeki, diizinkan Allah, kita jumpa lagi. Aku harap, kita akan jumpa lagi,” kata Rashida kepada aku. Sedih pula bila dia cakap macam tu.

“Tak payahlah nak cakap macam tu. Esok kau balik semenanjung juga kan. Duduk sebilik dengan aku juga kan. Belajar sama fakulti dengan aku juga kan. Jangan pula kau nak cakap, kau nak tinggal kat sini terus,” kataku memandang tepat wajah Rashida. Rashida tak menjawab, wajahnya merah menahan sedih aku rasa.

“Jom la kita balik. Ok ok. Nanti kita datang balik ke sini. Lepas final exam nanti. Aku temankan kau. Aku janji,” kataku, masih nak memujuk Rashida.

“Aku minta maaf Alin. Aku kena selesaikan hal aku. Aku mesti selesaikan,” kata Rashida.

Aku melepaskan satu keluhan panjang. Aku dapat rasa dia sungguh-sungguh dengan apa yang dia cakap. Aku terus melangkah ke kereta Haji Alias. Ada seorang wanita bersamanya.

“Masuklah, ini isteri saya. Saya sebenarnya nak bawa dia pergi beli barang kat bawah sana,” kata Haji Alias dengan ramah. Isterinya juga memandang aku dengan senyuman yang amat menenangkan. Aku duduk di bahagian belakang.

“Kali pertama datang Sabah?” isteri Haji Alias bertanya ketika kami dalam perjalanan.

“Iya.” Sahutku ringkas.

“Macammana dengan Sabah? Seronok?” dia tanya lagi.

“Saya tak sempat jalan-jalan. Kaki sakit sebab jatuh semalam,” sahutku.

“Ooo… patutlah nampak macam terjengkot-jengkot,” katanya lagi.

“Kawan tu tadi, dia memang taknak balik ke?” dia bertanya lagi.

“Haah, dia nak jumpa saudaranya.” Kataku lagi.

“Jarang orang masuk kawasan ni. Sebab tu kami tak sangka ada orang kat dalam rumah tu,” kata isteri Haji Alias.

“Haah, masa kami sampai, rumahnya penuh semak samun sebab dah lama ditinggalkan. Mujurlah ada Pakcik Manaf dan anaknya yang tolong kami, balutkan bengkak kaki saya, bagi makanan,” kataku.

“Manaf? Anaknya Melati dan Pulau?” dia tanya lagi.

“Haah, kenal ke?” aku tanya lagi. Masa ni Haji Alias terbatuk-batuk kecil. Dan isterinya terus diam.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s