AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 15

Aku menoleh perlahan. Benda hijau tadi sedang memerhatikan aku. Terkejut. Aku tahan nafas sekejap. Tersandar aku kat dinding menahan nafas. Benda hijau tu menepuk-nepuk tangan aku, kaki aku, membelek aku macam tak pernah tengok orang. Sejuk je tangan dia. Aku tawakkal je. Aku pejamkan mata. Bila-bila masa dia boleh gigit aku. Ikut pada kata Kak Melati tadi, benda hijau tu namanya toyol. Toyol ni berasal dari janin yang telah sempurna jasadnya tapi mati sebelum dilahirkan. Janin ini dikorek dari kuburnya lalu dipuja oleh si pemuja yang tidak berhati perut. Toyol ni hisap darah dari ibu jari kaki kiri manusia.

Sedang aku menanti saat ajal menjelma tu, tiba-tiba bahu aku ditepuk orang. Aku buka mata. Aku tercari-cari toyol hijau tadi.

“Kau buat apa kat sini?” Rashida tanya aku. Cepat-cepat aku tutup mulutnya. Aku bagi isyarat suruh dia diam. Rashida bagi isyarat ‘kenapa?’ kat aku. Aku halakan jari telunjuk aku ke arah dapur.

Lalu aku dan Rashida perlahan-lahan menoleh ke arah dapur. Kami tersentak bila muka Kak Melati betul-betul di depan kami, sedang melihat kami dari tepi pintu juga.

“Kenapa?” Kak Melati tanya aku dan Rashida. Rashida pandang aku, sekali lagi bagi isyarat muka ‘kenapa?’.

“Hmmmmm…. Aaaaaaa…. Takde, tadi saya macam ada dengar bunyi di dapur. Tu yang saya nak tengok tu,” kataku tergagap-gagap.

“Pergi tidur. Jangan jalan sana-sini di waktu macam ni. Banyak benda yang memerhati kamu dari dalam dan luar rumah ni. Cepat pergi ke tilam kamu semula,” kata Kak Melati, wajahnya agak suram, seperti menahan marah.

Rashida tarik tangan aku, aku menurut. Kami kembali ke tilam di sudut kiri ruang tamu.

“Kau dah kenapa?” Rashida tanya aku. Aku tak jawab. Hanya diam dan pejamkan mata.

Rashida pun malas nak bertekak dengan aku, dia pun baring dan cuba lelapkan mata. Aku tak puas hati, aku tahu Kak Melati sedang buat sesuatu di dapur, dengan tempayan dan air panas tu.

“Auuuuu…!” lolongan anjing panjang bersahut-sahutan di luar. Ada bunyi seperti benda melompat-lompat di atas kayu alang rumah. Aku tetap pejamkan mata, tapi telinga aku tetap mendengar macam-macam bunyi. Kadang tu aku terfikir, kenapa bila aku sendirian, aku boleh nampak semua kejadian ni, tapi bila Rashida berada bersama aku, Kak Melati akan sedar kehadiran aku. Sampai otak aku terfikir, Rashida bersubahat dengan Kak Melati.

Aku pusing ke arah Rashida. Aku pandang wajahnya. Tenangnya dia tidur. Seakan tak takut apa-apapun. Kenapa dia boleh begitu tenang? Mungkin sebab dia tak nampak apa yang aku nampak. Mungkin sebab ini rumah nenek dia. Mungkin sebab dia lebih husnuzon berbanding aku. Entahlah.

Aku menjeling ke dapur. Aku nampak asap putih yang agak tebal dari dapur. Sampai aku tak nampak pintu dapur. Mula-mula aku panik, takut ada benda terbakar ke. Kalau ada benda terbakar, mesti ada bau asap atau bau terbakar. Tapi sekarang ni, takde bau apapun waima bau asap sekalipun. Apa benda kabus putih tu.

Baru aku nak bangun, aku terdengar suara mengerang seperti sedang menarik sesuatu yang agak berat. Aku berbaring semula. Namun mata aku terbuka sedikit, masih menjeling ke arah pintu dapur. Risau pula apa yang sedang terjadi. Tapi naluri aku berkata, asap putih tu bukan sesuatu yang tak disengajakan. Ia adalah buatan seseorang. Aku syak Kak Melati.

Aku buka mata aku sedikit tapi aku berbaring dan buat-buat tidur. Dari asap putih yang menebal tu, aku nampak sesuatu yang bergerak keluar dari asap tu. Aku cuba amati apa benda tu. Mula-mula aku nampak rambut, lepas tu wajah Kak Melati tapi rambutnya dah dilepaskan tak berikat seperti tadi. Perlahan-lahan Kak Melati keluar dari asap tebal itu tapi hanya kepala tanpa badan! Aku hampir tak dapat menahan diri untuk terus berdiam.

Namun segala sendi aku dah lemah selemah-lemahnya. Aku tak mampu gerakkan jari aku sekalipun. Aku nampak kepala Kak Melati berterbangan mengelilingi ruang tamu. Yang paling mengerikan ialah bila segala isi perut mengikut kepala berkenaan. Jantung, hati, sampai ke usus, semuanya masih terikat dan mengikut kepala yang terputus dari lehernya.

“Astaghfirullahal azim,  Astaghfirullahal azim, Astaghfirullahal azim” Aku beristighfar tak tahu berapa kali dah. Ruangan dalam rumah diliputi asap nipis. Rashida terbatuk-batuk dalam tidurnya. Kepala Kak Melati serta merta menoleh ke arah kami. Aku pejamkan mata sekuat-kuatnya, walaupun seluruh tubuh aku menggeletar dan peluh sejuk membasahi tubuh aku.

Kepala Kak Melati terbang perlahan ke arah kami. Ya Allah. Kepala di atas tilam kami. Aku tak berdaya, kalau kaki aku tak sakit sekalipun, aku tetap tak berdaya berlari.

Tingkap di atas kepala kami tiba-tiba terbuka sendiri. Dan kepala Kak Melati tadi terus terbang keluar melalui tingkap. Masa ni Rashida terus terbatuk-batuk dan bangun untuk duduk. Aku tepuk belakangnya perlahan-lahan.

“Kenapa aku rasa macam lemas dalam asap tadi?” kata Rashida sambil memandang keliling. Masa ni asap dah takde. Aku diam, tak tahu nak kata apa. Tubuh aku pun masih menggigil. Nak bangun tutup tingkap yang terbuka pun aku takut.

“Siapa buka tingkap tu?” Rashida bertanya sambil menuding jarinya ke tingkap. Aku masih juga diam. Lidah aku masih kelu. Rashida bangun lalu menutup tingkap yang terbuka tu. Aku sempat menjeling, dan aku nampak perempuan yang dikatakan langsuir tu sedang terapung-apung melihat Rashida di luar tingkap.

Lepas tutup tingkap, Rashida melangkah ke dapur. Cepat-cepat aku menahannya. “Kau nak ke mana?” aku tanya Rashida.

“Aku dahaga,” sahutnya.

“Nanti, kau minum je air mineral ni ha. Tak perlu ke dapur,” kataku.

“Takpelah, aku minum air masak kat dapur je,” katanya masih mahu melangkah ke dapur. Aku cuba bangun tapi kaki aku makin sakit. Aku menjerit kesakitan. Rashida berpatah balik kepada aku. “Kau ok ke? Kau nak bangun ke mana?” tanyanya sambil membantu aku duduk semula.

“Kau tak payah la ke dapur. Minum je la air ni. Aku takut,” kataku.

“Aku nak ke dapur je pun. Bukan nak keluar rumah.” Kata Rashida.

“Dalam rumah ni saja dah ada macam-macam kan? Mana la aku tak takut,” kataku.

Rashida duduk kat tepi aku. Dia ambil botol air mineral yang aku bagi kepadanya tadi. Dia minum dengan tenang. Aku memerhati.

“Shida, kau tak rasa takut ke dengan semua yang terjadi kat sini?” aku tanya Rashida.

“Aku tak tahulah nak cakap macammana. Takut memang takut, tapi aku masih perlu cari barang mak aku, bawa balik rumah mak aku. Pada aku, selagi semua benda tu tak kacau aku, aku tak perlu takut dengan mereka. Aku hanya perlu takut dengan Allah, Pencipta aku. Benda tu juga hamba Allah, mereka pun takut kepada Allah. Jadi kepada kita perlu takut dengan mereka?” kata Rashida perlahan.

Aku terdiam. Betullah apa yang Rashida cakap. Tapi pada aku, sebab dia tak nampak apa yang aku nampak. Kalau dia nampak apa yang aku nampak, tak tahulah macammana. Mungkin lagi teruk dari aku.

“Kak Melati mana?” Rashida tanya aku.

“Dia.. Dia…. Dia tidur agaknya,” sahutku tergagap-gagap.

“Dia tidur kat mana?” Rashida bertanya lagi sambil matanya meninjau ke sekeling ruang rumah. Aku angkat bahu tanda tidak tahu.

“Kau tunggu sini kejap, aku pergi tengok Kak Melati tidur kat mana,” kata Rashida. Aku pegang tangannya. “Tak payahlah. Kita tidur je. Tahulah Kak Melati uruskan dirinya. Kan dia memang dah biasa dengan rumah ni,” kataku.

Rashida tak jadi bangun. Dia baring semula. Aku pandang ke arah dapur. Aku nak sangat tengok apa yang ada kat dapur tu, terutama tempayan yang Kak Melati letak air panas tadi.

Aku pastikan Rashida dah lena. Aku mengesot melalui dinding, terus ke pintu dapur. Aku nampak tempayan tu masih di bahagian tengah dapur. Dan aku nampak badan Kak Melati tanpa kepala ada di dalamnya! Tubuhku kembali menggigil. Tiada darah ataupun apa-apa kesan pemotongan, badan tanpa kepala itu tenang diam di dalam tempayan.

Masa aku terkaku di situ, hidung aku terhidu bau hanyir seakan darah. Bulu roma aku meremang. Tubuh aku menggigil kesejukan yang lain macam.

“Kau nampak aku,” aku dengar suara berbisik di tepi telinga aku. Aku menoleh perlahan. Muka Kak Melati betul-betul di depan muka aku. Kepalanya tanpa badan. Dan aku tak mampu menahan diri aku lagi. Dunia aku terus gelap. Aku pengsan.

“Alin, Alin, bangun nak,” aku dengar suara yang aku kenal. Aku buka mata. Aku nampak Pakcik Manaf dan Kak Melati. Aku terus melompat bangun dengan muka yang ketakutan.

“Alin, kenapa ni? Kau kenapa?” Rashida pegang tangan aku yang menggigil. Dia seakan nak menangis dah.

“Aku…. Aku …. Aku nampak Kak Melati……Kak Melati….,” aku tergagap-gagap sambil pandang Kak Melati yang memandang aku sambil mengerutkan dahinya.

“Kenapa dengan Kak Melati?” Rashida tanya aku.

“Haah, apa Kak Melati dah buat kat kamu? Melati, kamu buat apa kat dia sampai dia pengsan macam ni?” Pakcik Manaf tanya Kak Melati.

“Takde buat apapun. Melati tidur kat tepi pintu bilik ni. Tiba-tiba dengar bunyi benda jatuh. Bila Melati buka mata, nampak si Alin ni dah terjelepuk kat tepi pintu dapur ni. Tanya Shida, dia pun terjaga masa Melati bangun. Kan Shida kan?” Kak Melati memandang Rashida.

“Haah, saya pun terjaga sebab terdengar bunyi benda jatuh. Lepas tu nampak Kak Melati berlari dari hujung sana terus kepada Shida yang dah tak sedar diri,” kata Rashida. Aku pandang wajah Kak Melati dan Rashida silih berganti.

“Cuba cakap, kamu nampak apa?” Pakcik Manaf tanya aku, lembut sangat, membuatkan dada aku sebak rindukan mak ayah aku. Masa ni baru aku teringat aku tak hubungi mereka pun sejak aku sampai sini. Tapi kenapa mereka pun tak hubungi aku?

“Alin?” Pakcik Manaf panggil aku sekali lagi bila aku tak menyahut. Aku pandang Pakcik Manaf, Rashida dan Kak Melati silih berganti. Tapi aku tetap diam. Tak tahu macammana nak bercerita kalau Kak Melati memandang aku macam tak pernah berlaku apa-apapun semalam.

“Kau mimpi kot ni Alin?” Rashida tanya aku bila aku masih buat muka termangu-mangu.

“Takpe. Pakcik taknak paksa kamu cakap atau ingat apa-apa. Dah pagi dah ni. Matahari dah hampir terbit dari kaki gunung.” Kata Pakcik Manaf sambil tersenyum memandang aku.

Aku cuba bangun. Kaki aku masih sengal-sengal lagi.

“Kau nak ke mana?” Rashida tanya aku.

“Aku nak solat subuh,” sahutku.

“Jom aku temankan,” kata Rashida sambil memapah aku ke dapur. Aku perasan Kak Melati melihat aku dari hujung anak matanya. Sampai di dapur, aku mencari tempayan besar yang Kak Melati gunakan semalam. Telah diletakkan di tempat asalnya.

Selesai solat subuh, sudah ada makanan di atas meja makan. “Pulau hantar sarapan tadi. Jom kita makan. Lepas ni kita cari barang mak aku. Kalau tak jumpa juga, takpelah, kita balik sajalah. Takde rezeki akulah tu,” kata Rashida dengan wajah yang agak sugul. Aku masih diam.

“Alin, janganlah diam macam ni. Aku terasa macam kau marahkan aku pula. Aku ada buat salah ke?” Rashida tanya aku.

“Takdelah. Mana Pakcik Manaf dan Kak Melati?” aku tanya sambil memerhati keliling.

“Mereka dah balik. Pakcik Manaf kata, sebelum kita keluar nanti dia datang jumpa kita,” kata Rashida sambil menghirup air kopi. Aku takde selera nak makan dah. Aku minum air mineral yang aku bawa.

“Kau taknak makan ke? Atau minum? Kenalah makan sikit. Kita nak jalan jauh ni, nak balik semenanjung.” Kata Rashida.

“Takpelah, kau makan dulu. Aku nak ke dapur sekejap, nak ambil air panas kosong,” kataku perlahan.

“Takpelah, biar aku ambil. Kau duduklah,” Kata Rashida.

“Takpe, biar aku yang ambil,” kataku dengan nada yang agak tegas tanpa memandang Rashida. Rashida diam. Dia seakan terkejut dengan reaksi aku. Entahlah, aku tak tahu apa perasaan aku sekarang. Nak kata marahkan Rashida, tak juga. Nak kata tak marah dia, memang aku ada rasa kesal sikit terhadap dia. Rasa terkilan dan jauh hati. Entahlah kenapa.

Aku melangkah perlahan-lahan ke arah dapur. Sampai di dapur, aku tarik tempayan yang Kak Melati guna semalam. Aku jenguk ke dalam tempayan. Dan aku nampak sesuatu.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s