AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 14

“Mak kamu lari ke semenanjung bukan semata-mata sebab nak ikut ayah kamu, tapi sebenarnya dia nak lari dari nenek kamu. Nenek kamu dah serahkan bahagian untuk mak kamu jaga tapi mak kamu lari macam tu saja tanpa sempat diserahkan.” Kata Kak Melati menyambung ceritanya.

“Tinggallah kakak mak kamu yang sulung, terpaksa menanggung semua simpanan mak kamu, demi nak melepaskan nenek kamu, ketika nenek kamu di penghujung nafas terakhir. Kamu tahu macammana nenek kamu mati?” Kak Melati tanya Rashida. Rashida hanya gelengkan kepala.

“Nenek kamu mati dalam keadaan yang amat memalukan. Tubuh badannya kering, matanya tersembul keluar. Rambutnya memutih. Kukunya panjang dan tajam. Masa hembusan nafasnya yang terakhir, orang kampung dengar tangisan bergema di setiap pelusuk. Tangisan yang amat menyeramkan. Tangisan yang tiada siapa dapat lupakan. Tangisan yang buat semua orang takut nak keluar malam. Tangisan yang buat kami sekeluarga disisihkan. Jenazah nenek kamu tiada yang nak uruskan. Semua lari. Pada hari kematiannya, seluruh kampung seakan dilanda gerhana matahari. Gelap di siang hari. Jika gerhana berlaku setengah jam, gerhana kematian nenek kamu berlangsung sehingga nenek kamu dikebumikan,” kata Kak Melati.

Aku dan Rashida terus terkedu tak tahu nak kata apa.

“Akhirnya ada seorang ustaz muncul untuk bantu menguruskan jenazah nenek kamu. Masalahnya nenek kamu perempuan, mana boleh lelaki yang uruskan. Nak taknak, kakak sulung mak kamu terpaksa bantu. Mujur dia ada seorang lagi anak perempuan, iaitu sepupu kami. Maka dia dan anak perempuannya yang uruskan dengan mengikut arahan dari ustaz tu. Masa tu sepupu kamu tak tahu kewujudan benda simpanan nenek kamu. Dan dia pun tak tahu bahawa ibunya telah menyanggupkan diri untuk mengambil semua simpanan nenek kamu. Tak tahu macammana, ketika menguruskan jenazah nenek kamu, simpanan nenek kamu terturun kepada sepupu kamu tu. Dalam tak sedar, semua terjadi begitu saja. Sampailah masa kebumi, hanya menantu lelaki nenek kamu, iaitu suami kepada kakak sulung mak kamu yang ada. Dua orang penggali kubur, ustaz tu dan suami kakak sulung mak kamu saja yang uruskan. Sebaik talkin selesai dibaca, setelah tujuh langkah orang terakhir meninggalkan kubur nenek kamu, suasana jadi terang semula, seperti sediakala. Tiada lagi gerhana,” kata Kak Melati, bercerita dengan penuh emosi. Aku nampak kesedihan di wajahnya.

“Lepas tu semua ok?” Rashida bertanya.

 “Lepas tiga hari nenek kamu meninggal dunia, orang kampung sering bertemu dengan jelmaan nenek kamu. Seorang nenek tua dengan rupa yang sama pada masa nazaknya hingga matinya. Dia terbongkok-bongkok mengetuk pintu rumah setiap orang kampung,” kata Kak Melati dan membuatkan aku teringat kat nenek tua yang sering kelihatan di bilik air rumah tu. Gambaran tu sama sangat. Itukah nenek Rashida?

“Tak tahan diganggu oleh jelmaan nenek kamu, orang kampung menyerang rumah kakak sulung mak kamu. Menghalau mereka dari kampung. Hampir berlaku pertumpahan darah tapi mujurlah ustaz berjaya meleraikan mereka. Orang kampung minta ustaz berbuat sesuatu. Hinggalah ustaz tu ‘memagar’ kawasan rumah ni agar semua yang berada di dalamnya takkan boleh keluar.” Kata Kak Melati.

Mata Kak Melati melilau melihat keliling rumah, seakan ada yang menarik perhatiannya.  Aku tak berani pandang. Aku hanya tunduk ke lantai walaupun aku perasa seakan ada sesuatu yang sedang berterbangan di atas siling rumah pada masa tu. Aku tengok jam tangan, pukul 1 pagi. Bermakna lebih kurang pukul 2-3 pagi waktu sabah, waktu kemuncak jin dan makhluk halus keluar dari tempat mereka.

“Lepas tu semua ok dah?” Rashida bertanya.

“Lepas tu keluarga kakak mak kamu disisihkan. Kadangkala kakak kamu keluar ke hujung kampung nak beli ikan atau barang basah, dia dihalau dan dimalukan. Hinggalah dia tak berani lagi keluar dari kawasan ni. Hingga sekarang,” kata Kak Melati lagi.

“Mereka di mana?” Rashida bertanya.

“Rumah mereka tak jauh dari sini.” Kata Kak Melati.

“Auuuuuuuuuu…!!!” anjing diluar melolong panjang. Bukan seekor, tapi macam ada banyak ekor. Seperti di keliling rumah.

“Drangggg!!!” tiba-tiba kami dengar bunyi seperti besi kecil yang banyak, jatuh di dapur. Kami pandang Kak Melati.

“Apa tu?” Rashida bertanya.

“Itu toyol. Dulu dia mencuri duit orang kampung. Tapi sekarang dia akan merayau dalam rumah ni saja, mencari semua duit syiling. Hari-hari dia kutip duit syiling yang sama dan menaburkannya di lantai dapur. Dialah yang kamu nampak mencangkung di bawah dapur kayu sampai kamu terjatuh dan sakit kaki ni kan?” Kak Melati pandang aku.

Rashida pun pandang aku. “Iye ke Alin?” Rashida tanya aku. Aku tak jawab. Sebab masa tu aku nampak benda hijau tu sedang mengintai dari pintu dapur. Tersengih tengok aku, dengan matanya yang merah, telinganya yang panjang, dua taring di mulutnya. Betul, itulah benda yang aku nampak mencangkung kat bawah dapur kayu nenek Rashida.

“Tok tok tok!” Belum sempat kami tarik nafas, dah pintu rumah pula diketuk dari luar. Dan tak semena-mena semua tingkap terbuka dan tertutup sendiri seperti ada angina kencang yang sedang meniupnya. Rashida pegang tangan aku kuat-kuat, sampai rasa nak patah jari jemari aku. Aku tahu dia takut.

“Siapa tu kak?” Rashida bertanya.

“Dia dah datang.” Kak Melati bertanya.

“Siapa?” Rashida bertanya.

Kak Melati tak jawab. Dia bangun dan melangkah ke pintu. “Kak, jangan buka,” kata Rashida.

“Bila kau masuk ke rumah ini, kau tiada pilihan. Kau kena ikut perintah mereka. Mereka tuan kau,” kata Kak Melati buatkan aku dan Rashida berpelukan sesame sendiri. Ya Allah, kalaulah masa boleh diputarkan, tak mungkin aku tinggalkan semenanjung.

Kak Melati membuka pintu rumah. Dan semua tingkap yang terbuka tertutup sendiri tadi kembali seperti sediakala. Bunyi raungan, hilaian dan apa saja bunyi tadi, berhenti serta merta.

“Semua ok?” aku dengar suara lelaki.

“Semua ok ayah.” Kata Kak Melati. Aku dan Rashida berpandangan sesama sendiri. “Pakcik Manaf?” aku dan Rashida menyebut nama tu serentak dengan nada berbisik.

“Kamu berdua belum tidur?” Pak Manaf menegur kami dari pintu yang terbuka luas.

“Belum pakcik,” Rashida menyahut.

“Tidurlah. Dah nak habis malam ni. Esok pula sembang,” kata Pakcik Manaf sambil tersenyum kepada kami. Entahlah kenapa seram sejuk pula tengok Pakcik Manaf tu.

Kami tak menyahut. “Dah, ayah pergi dulu. Kunci pintu ni,” kata Pakcik Manaf kepada Kak Melati.

“Baik ayah” sahut Kak Melati sambil menutup dan mengunci pintu.

“Kenapa Pakcik Manaf datang sini tengah malam ni?” Rashida bertanya.

“Kan akak dah cakap, dia ada memerhati kita dari jauh. Dia risaukan kita. Jadi, kamu jangan takut. Tiada apa yang akan apa-apakan kamu. Kamu tidurlah,” kata Kak Melati.

“Macammana nak tidur kalau …,” aku cuit tangan Rashida melarang dia bercakap terus. Rashida pandang aku. Aku buat isyarat suruh dia diam.

“Jomlah kita tidur Shida, aku mengantuk. Esok kita dah nak balik kan. Nanti kita tak cukup rehat,” kataku sambil menggenyit mata kepada Rashida.

“Esok dah nak balik? Barang mak kamu dah jumpa?” Kak Melati tanya.

“Belum lagi kak. Awal pagi esok kami cari lagi. In Shaa Allah jumpa. Sebab dah periksa hampir keseluruhan rumah dah. Esok jumpalah tu,” aku yang menyahut. Aku memang dah suruh Rashida diam.

Kak Melati tak menyahut, hanya menjeling ke arah kami sambil berlalu ke dapur.

Aku tarik tangan Rashida mengajaknya berbaring. “Aku tak boleh nak tidur la,” Rashida berbisik kepada aku.

“Aku pun. Tapi kita berhentilah bersembang dengan Kak Melati. Aku rasa Kak Melati dan Pakcik Manaf tu lain macam sangat.” Kataku kepada Rashida.

“Aku pun ada rasa macam tu. Tapi darinya saja aku dapat tahu cerita mengenai keluarga mak aku. Kalau boleh, sebelum kita balik esok, kita pergilah ke rumah mak saudara aku tu kejap ye,” kata Rashida.

“Iyelah iyelah. Sekarang kita cuba tidur. Pejamkan mata. Baca Al Fatihah, baca 3 qul, bacalah apa yang kau ingat nak baca. In Shaa Allah, kita akan dipelihara,” kataku memujuk Rashida menyuruhnya tidur.

Sebenarnya aku pun tak mengantuk. Tapi aku taknak Kak Melati terus berbual pasal benda-benda ni. Bukan masa yang sesuai sebenarnya. Semakin dia bercerita, aku dapat tengok Rashida semakin berminat nak tahu. Aku takut dia terpengaruh. Dan aku ada agenda lain, aku nak tengok gerak geri Kak Melati. Tadi dia jerang air nak buat apa? Takkan nak bancuh kopi kot. Dan aku pelik, Kak Melati tak mengantuk ke?

Sebaik aku dan Rashida berbaring, aku nampak Kak Melati membawa satu-satunya gasoline yang masih menyala ke dapur. Aku dengar bunyi berdesit di atas alang. Dan bunyi melompat-lompat di luar rumah. Aku pandang Rashida, dia seperti dah lena. Atau mungkin dia tak dengar bunyi tu semua.

Aku dengar bunyi tempayan yang diseret kat dapur. Aku perasan, memang ada satu tempayan besar di bahagian kiri dapur kayu nenek Rashida. Lepas tu aku dengar bunyi seakan air dituang ke dalam tempayan tu. Masa ni bunyi berdesit tu makin kuat. Hilaian dan lolongan anjing diluar saling bersahutan seperti ada sesuatu yang diraikan atau ditakuti.

Aku duduk. Lalu mengesot perlahan di tepi dinding agar dapat lihat apa yang terjadi di dapur. Aku nampak tempayan besar tu dah berada di tengah dapur. Dan ada asap keluar dari tempayan tu seperti air panas telah dituang ke dalam tempayan tu. Dada aku berdebar. Jantung aku berdegup pantas. Aku tak berani bergerak tapi aku nak tengok apa yang sedang berlaku di dapur tu.

Aku nampak Kak Melati menjunjung satu bungkusan hitam di atas kepalanya. Dia berjalan mengeliling tempayan yang berasap tu, sambil menyebut beberapa perkataan yang aku tak faham. Macam bahasa Thailand pun ada. Rong rang rong rang bunyinya.

Sedang aku asyik memerhati Kak Melati, tiba-tiba aku rasa ada benda sejuk menyentuh pipi aku. Ah sudah.. Apa benda pula ni? Aku cuak dah. Aku tak berani menoleh. Tapi aku sentuh pipi aku. Sejuk. Ada seakan jari jemari kecil di situ. Aku menoleh perlahan.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s