AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 13

Kak Melati keluar dari bilik sambil membawa tilam yang dilipat dan beberapa biji bantal, lalu meletakkannya di satu sudut di ruang tamu.

“Kamu tidur di sini.” Kata Kak Melati.

“Akak tidur kat mana?” Rashida tanya aku.

“Kamu jangan risau, akak kat mana-mana pun boleh tidur,” kata Kak Melati.

Rashida bentang tilam. Dia letakkan bantal aku. Dia suruh aku baring. Lepas tu dia letak satu lagi bantal kat bawah kaki aku yang berbalut. Lepas dia pastikan aku selesa, baru dia baring.

“Gasolin ni akak tinggalkan satu je ye. Dua lagi akak tutup,” kata Kak Melati.

“Biarlah semua terpasang,” kataku perlahan.

“Ok, akak biar pasang,” kata Kak Melati lalu melangkah ke dapur.

“Aku rasa lain macam la dengan Kak Melati tu.” Aku berbisik kepada Rashida.

“Kenapa?” Rashida tanya aku.

“Kau ingat tak pagi tadi, masa kita nak ke rumah jiran kau kau hujung sana, kan aku ada cakap aku nampak perempuan pakai baju merah kan? Tapi kau kata kau tak nampak kan?” aku tanya Rashida.

“Haah, aku ingat. Kenapa dengan perempuan tu?” kata Rashida.

“Kau rasa perempuan tu siapa?” aku tanya Rashida.

“Manalah aku tahu, dah aku pun tak nampak dia,” kata Rashida.

“Jadi, kalau kau tak nampak dia, hanya aku nampak dia, maksudnya perempuan tu bukan manusia biasa macam kita la kan? Dalam kata senang, hantu kan?” aku tanya Rashida.

“Iyelah kot,” sahut Rashida.

“Perempuan itulah Kak Melati,” kataku masih berbisik dan mataku melilau mencari-cari bayang Kak Melati. Risau dia dengar pula nanti.

“Hish, takkanlah. Malam ni elok je aku nampak dia, sembang dengan dia. Kau salah tengok kot. Kau tengok dari jauh, mungkin rupa tu nampak sama tapi sebenarnya tak sama.” Kata Rashida.

“Memang dia la. Masa kita lalu kat kebun pisang tu, kita lalu kat tepi dia. Dia berdiri pandang je kita.” Kataku lagi.

“Akak jerang air ye,” kata Kak Melati tiba-tiba berdiri kat tepi kami. Terkejut juga aku dan Rashida, bila pula dia datang kat kami, tak dengar bunyi apapun.

“Akak nak minum air panas ke?” Rashida tanya, cuba nak menutup keadaan menggelabah kami.

“Akak nak guna air panas sikit,” kata Kak Melati.

“Masaklah, akak tahu kat mana kayu api dan cerek kan?” aku tanya.

“Tahu, akak dah biasa dengan rumah ni,” kata Kak Melati.

“Akak dah biasa dengan rumah ni?” Rashida tanya Kak Melati semula.

“Iye, akak selalu datang rumah ni, tolong kemas, sapu, bersihkan apa yang patut. Kalau tak, entahlah rumah ni macam apa dah,” kata Kak Melati.

“Oooo… Jadi yang mak saya cakap ada orang kemas dan jaga rumah ni, akak la ye?” Rashida bertanya Kak Melati.

“Iyelah, akak kemas dalam rumah. Adik akak si Pulau tu kemaskan kat luar rumah,” kata Kak Melati.

“Akak dengan mak saya, saudara ke? Apa pula talian kita?” Rashida terus bertanya.

“Esoklah kita cerita, akak nak pergi jerang air,” kata Kak Melati sambil melangkah ke dapur.

“Tidurlah, jangan fikir lagi. Sementara boleh tidur ni. Nanti dah tak boleh tidur, jangan mengantuk pula,” kata Kak Melati dari arah dapur.

Aku dan Rashida berpandangan sesama sendiri. “Kenapa pula dia cakap macam tu?” aku tanya Rashida. Rashida angkat bahu.

“Dah, jom la kita tidur.” Kata Rashida terus berbaring di tepi aku.

Aku termenung. Mata aku tertumpu pada bungkusan kain hitam di atas meja. Dan aku tengok alang rumah. Aku tak nampak apa-apa tapi aku dengar bunyi rengusan. ‘Macam ni nak tidur?’ desis hati kecilku.

Aku terkejut bila tingkap di tepi kami terbuka dan tertutup sendiri. Aku cuit bahu Rashida. Rashida buka matanya. Aku tunjukkan tingkap yang terbuka dan tertutup sendiri tu.

“Siapa buka tingkap tu?” Rashida tanya aku. Aku angkat bahu.

Rashida bangun. Dia menghampiri tingkap. Rashida jenguk keluar tingkap. Lepas tu dia tarik daun tingkap untuk ditutup. Masa tu la aku nampak satu susuk tubuh perempuan berpakaian serba putih, rambut pun putih panjang mengurai, kukunya panjang, bergigi taring. Dia seakan terawang-awangan di depan Rashida. Tapi Rashida tak nampak. Dia terus tarik daun tingkap dan tutup lalu menguncinya.

“Angin kot.” Kata Rashida kembali berbaring di sebelah aku. Aku hanya diam. ‘Apa benda tu?’ aku berfikir sendirian.

Tak sempat aku hilangkan rupa perempuan tu tadi, aku dengar bunyi melantun kat beranda tu sekali lagi. Aku pandang ke arah pintu sebab aku dengar bunyi tu seperti betul-betul kat depan pintu. Pintu tu pun nampak bergerak-gerak seolah ditolak dari luar. Aku dah panik. Kalau dia boleh tolak pintu tu sampai terbuka, macammana pula aku nak lari dengan kaki berbungkus macam ni.

Sekali lagi aku cuit Rashida. “Apa lagi?” Rashida tanya aku. Mata dia dah merah sebab baru nak lena aku kejut.

Belum sempat aku jawab, apa yang aku risaukan terjadi. Pintu rumah tu terbuka sendiri. Dan bunyi melantun tadi kembali berbunyi.

“Shida, pintu tu terbuka,” aku tunjukkan pintu tu kepada Rashida.

“Siapa yang main-main dengan pintu la tingkap la ni.” Kata Rashida perlahan. Mungkin sebab dia mengantuk sangat, dia terus bangun nak tutup pintu. Sebaik dia menghadap pintu, aku nampak Rashida terhenti seperti nampak hantu.

“Shida, kenapa?” aku panggil.

“Pocong… Pocong depan pintu,” kata Rashida dengan suara menggigil.

Tak cukup dengan itu, tiba-tiba aku dengar bunyi seperti suara perempuan menangis. Menangis tersedu-sedu. Suara tu seakan bergema di luar rumah.

“Shida, kau tutup je pintu tu,” kataku cuba nak bangun dengan kaki yang berbalut. Risau aku bila tengok Rashida terpaku di depan pintu. Nanti entah apa yang akan masuk ke dalam rumah ni.

Tiba-tiba Kak Melati datang dari dapur. Dia seperti membaling sesuatu keluar rumah lalu cepat-cepat menutup pintu tu.

Kak Melati pegang ubun-ubun kepala Rashida. Mulut Kak Melati seperti membaca sesuatu. Lepas tu Kak Melati sapukan tangannya ke wajah Rashida dari atas ke bawah. Lepas kali ketiga Kak Melati buat macam tu, barulah Rashida terjelepuk ke lantai.

Kak Melati pegang tangan Rashida dan bawa Rashida ke tilam kami.

“Sebab tu akak suruh tidur. Barulah kamu tak perlu tengok semua ni,” kata Kak Melati sambil duduk di tepi kami.

“Apa benda semua ni sebenarnya kak? Boleh tak ceritakan kat saya. Saya datang sini Cuma nak ambil barang mak. Kenapa macam ni jadinya rumah nenek saya?” kata Rashida dengan nada yang agak lemah. Tak tahulah kerana masih terkejut, bersedih atau terkedu dengan apa yang dia baru lihat tadi.

Kak Melati tarik nafas panjang. Dia pandang aku dan Rashida silih berganti. Macam susah sangat untuk dia ceritakan kepada kami.

“Yang baru kamu lihat di tingkap tadi, itulah Pontianak. Pontianak ni berasal dari wanita yang merupakan anak sulung, yang mati ketika melahirkan anak sulung pada hari Selasa ketika bulan penuh. Dia akan terbang ke sana sini dan mengilai mengganggu orang kampung. Biasanya dia dipuja oleh Pontianak lain. Sebab tu kuburnya tak boleh ditanda, bimbang Pontianak lain akan tahu kewujudannya.” Kata Kak Melati.

“Yang kat luar pintu tadi ialah pocong. Dia adalah mayat yang dipuja untuk tujuan yang bermacam-macam. Setelah orang yang memujanya mendapat apa yang diperlukan, lalu mayat tersebut tak dikembalikan dengan cara yang sepatutnya. Jadi dia akan mengetuk pintu rumah orang kampung, kerana ingin meminta dirinya dihantar ke tempat sepatutnya,” Sambung Kak Melati lagi.

Aku dan Rashida tak bersuara tapi mata kami tak mengantuk dah. Kami mendengar dengan penuh minat walaupun bulu roma meremang tak turun-turun dari tadi.

“Yang kat atas alang tu, ada dua ekor. Satu namanya hantu raya satu lagi polong. Hantu raya ni besar, tenaganya sama macam tujuh lelaki dewasa. Hantu raya ni selalunya dibela untuk tujuan membantu menjaga rumah, jaga kebun, angkat benda berat semua tu la. Polong pula adalah sejenis semangat yang diseru dan dipuja untuk membalas dendam terhadap musuh. Polong ni terhasil dari titisan darah orang mati dilanggar, lalu di masukkan ke dalam botol yang panjang. Lalu si pemuja tadi akan menghiris jari hantu sebelah kiri hingga berdarah dan darahnya dititiskan ke dalam botol panjang tadi. Botol itulah yang dipuja dengan jampi serapah selama tujuh hari. Selepas tujuh hari, botol tersebut akan bergerak sendiri dan ada bunyi berdesit di dalamnya. Itu menandakan polong tu dah menjadi. Polong ni selalunya dibiarkan di dalam botol tu, diberi makan setitis darah tuannya setiap hari Selasa dan Khamis. Dia hanya akan dikeluarkan bila dia diperlukan untuk menghapuskan musuh. Polong ni lebih kurang sama dengan pelesit,” Kak Melati bercerita panjang lebar.

Aku cuit Rashida. Aku rasa aku dah tak tahan mendengar cerita Kak Melati. Terlalu terperinci sedangkan aku tahu benda yang disebut tu semuanya masih memerhati kami dari dalam dan luar rumah.

“Ada lagi sejenis, dia bukan hantu. Dia manusia biasa macam kamu. Tapi dia boleh pisahkan kepalanya dari badannya. Bila dipisahkan….,” Kak Melati berhenti bercerita bila Rashida angkat tangan.

“Kak, kami rasa kami dah faham pasal benda ni semua. Sekarang saya cuma nak tahu, kenapa terlalu banyak benda tu kat dalam rumah ni? Apa kena mengena nenek saya dengan semua ni?” Rashida bertanya perlahan.

“Kamu betul tak tahu siapa nenek kamu dulu?” Kak Melati tanya Rashida. Rashida gelengkan kepala.

“Mak kamu tak pernah cerita siapa nenek kamu?” Kak Melati tanya lagi.

“Mak selalu cakap, nenek saya lain dari orang lain. Nenek saya baik. Cuma mak saya kata dia tunggu masa yang sesuai untuk kenalkan saya dengan nenek. Malangnya mak kata nenek dah meninggal dunia dan tiada siapa beritahu mak. Sebab tu mak macam terkilan tak dapat jumpa nenek sebelum nenek meninggal. Mak kata nak bawa saya datang sini, nak ambil barang mak yang nenek tinggalkan. Tapi mak saya pula meninggal dunia baru-baru ni sebab kemalangan.” Kata Rashida dengan nada sedih. Ada getar dalam suaranya.Aku pegang tangan Rashida. Entahlah berapa kali dia perlu menceritakan tentang kematian ibu dan ayahnya.

“Ooo…. Mak kamu dah meninggal dunia. Patutlah…,” kata Kak Melati.

“Apa yang patutlah?” aku bertanya.

“Bahagian mak kamu menangis setiap malam, bergema seluruh kampung. Dia sedih kawannya dah tiada,” kata Kak Melati.

“Bahagian mak saya?” Rashida bertanya.

“Apa yang kamu tahu tentang keluarga mak kamu? Adik beradik dia, mak ayah dia, datuk nenek dia, dia ada ceritakan kat kamu?” Kak Melati bertanya lagi.

“Mak jarang bercerita pasal adik beradik mak. Mak bawa saya pindah ke semenanjung masa usia saya sepuluh tahun. Seingat saya, mak ada adik beradik tujuh orang. Tapi saya jarang jumpa mereka walaupun masa saya masih tinggal di sini dulu. Mak kata adik beradik mak semuanya duduk jauh. Sebab tu mak dan seorang kakak mak tinggal dengan nenek kat sini. Masa saya lahir, datuk dah meninggal dunia,” kata Rashida.

“Betullah apa yang mak kamu cakap. Nenek kamu lain dari orang lain. Nak kata dia jahat, dia tak jahat. Nak kata dia baik, dia tak baik. Dia menyimpan semua ‘benda’ ni yang ditinggalkan terawang-awangan oleh tuan asalnya. Dia menjaga mereka semua. Dah pada satu ketika, dia mahu serahkan setiap satu ‘benda’ tu untuk anak-anaknya. Setiap seorang akan diberi satu. Tapi tak siapa nak ambil termasuk mak kamu. Hanya seorang kakak mak kamu yang ambil untuk menjaga hati nenek kamu,” kata Kak Melati.

Rashida mengerutkan dahinya. Aku pun sama. Cerita Kak Melati macam tak masuk akal.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s