AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 12

“Betul ke apa akak cakap ni? Kami selalu dengar pasal ni tapi kami tak pernah pula tahu benda ni betul-betul wujud,” aku bertanya.

“Kau tak percaya, pergilah buka tingkap tengok,” kata Kak Melati.

“Mana akak tahu semua ni?” Rashida pula bertanya.

“Nenek kau yang simpan,” kata Kak Melati lagi membuatkan aku dan Rashida berpandangan sesame sendiri.

“Bop bop bop!” belum sempat kamu bertanya banyak, kami dengar bunyi seperti bola melantun di beranda rumah.

“Tu bunyi apa tu?” Aku tanya. Meremang dah bulu roma aku. Rasa nak menangis, rasa menyesal, semua ada.

Kak Melati diamkan diri sekejap, dia seperti cuba mengamati bunyi di beranda. Bunyi itu seperti melompat di atas tangga dan berhenti di depan pintu rumah. Kak Melati bangun menghampiri pintu.

“Akak nak buka ke pintu tu?” Rashida tanya. Wajahnya dah pucat. Aku pun sama. Cuma Kak Melati masih nampak tenang. Tapi tak setenang seperti masa dia datang tadi.

“Shhhh…” Kak Melati suruh kami diam.

“Akak tolonglah jangan buka pintu tu,” kata Rashida seakan merayu. Macam nak menangis dah rasanya.

“Sekarang pukul berapa?” Kak Melati tanya tanpa pandang kami.

Aku tengok jam, “Pukul 9.30 malam,” sahutku.

“Ini memang masa dia keluar ni. Akak rasa ada pocong berdiri depan pintu rumah ni,” kata Kak Melati sambil memandang pintu.

“Pocong!!!!!???” aku dan Rashida serentak bersuara.

“Shhhhh..!” Jangan cakap kuat. Nanti dia tahu kita sedar dia ada di depan rumah ni.

Kak Melati menghampiri kami.

“Kalau dia tahu, apa jadi kak?” Rashida bertanya.

“Kalau dia tahu, dia boleh masuk melalui angin. Kau tengok dinding rumah ni, banyak lubang kan. Jadi, mudah je dia masuk nanti. Diam je,” kata Kak Melati. Aku nampak Kak Melati pun berpeluh juga, dia pun takut aku rasa.

“Bop bop bop!” kami dengar lagi bunyi benda meloncat dan melantun kat beranda depan rumah. Kami kunci mulut, tak cakap apa-apa. Rasa macam nak lari keluar malam ni juga.

Kak Melati melangkah ke dapur. “Akak nak ke mana tu?” Rashida bertanya.

“Shhh… Korang tunggu sini,” kata Kak Melati separuh berbisik.

“Alin, aku takut sangat ni. Macammana semalam kita sampai pukul 12 tengah malam, mesti benda tu semua memerhati kita kan?”

“Tapi Shida, aku pula ada rasa sangsi kat Kak Melati tu. Kau percaya ke apa dia cakap?” aku tanya Rashida.

“Kau rasa dia main-mainkan kita ke?” Rashida tanya aku.

“Aku pun tak tahu. Cuma aku rasa Kak Melati tu macam…hmmmm… macam semacam. Tak tahulah nak cakap macammana. Tapi dia bercakap pasal hantu tu semua macam takde apa. Macam hantu-hantu tu adalah kawan-kawan dia je,” kataku. Rashida diam, mungkin sedang memikirkan apa yang aku cakap.

Perlahan-lahan aku kumpulkan kekuatan. Dengan kaki yang berbalut, aku tahan sakit. Aku melangkah ke pintu. “Kau nak buat apa tu?” Rashida tanya aku. Aku bagi isyarat kepada Rashida untuk diam.

“Janganlah Alin. Kau tu dah la nampak benda-benda ni semua. Nanti lagi lah takut jadinya,” kata Rashida.

“Tapi aku kena pastikan apa yang Kak Melati cakap itu betul, barulah kita boleh takut. Sekarang ni kita Cuma takut pada apa yang Kak Melati cakap. Entah betul entah tak,” kataku perlahan sambil menjeling ke arah dapur. Risau kalau Kak Melati dengar apa yang kami bualkan. Rashida diam dengan wajah nak menangis kat kerusi.

Aku menghampiri pintu. Aku cari lubang kecil untuk aku intai keluar.

Aku intai keluar dari satu lubang di antara dua papan di pintu. Gelap. Hanya diterangi cahaya bulan yang samar-samar. Aku masih di situ. Cuba mencari benda yang melompat-lompat tadi.

Dan aku nampak dia. Aku nampak sesuatu seperti mayat yang telah siap dikafankan. Kaki dan bahagian atas kepalanya berikat ketat. Dia berdiri di depan tangga menghadap pintu. Aku terduduk.

“Kamu buat apa ni?” tiba-tiba Kak Melati datang kepada aku dengan wajah risau.

“Jangan tengok dia. Nanti dia tahu kamu nampak dia,” kata Kak Melati sambil memapah aku kembali ke kerusi.

“Maksud akak, siapa saja boleh nampak benda tu ke?” Rashida bertanya, sebab dia agak terkejut bila Kak Melati seakan tahu aku boleh nampak benda tu.

“Tak semua. Siapa yang terbuka hijabnya saja yang akan nampak. Macam Alin,” kata Kak Melati sambil pandang aku.

“Mana akak tahu Alin boleh nampak?” Rashida tanya lagi.

“Grrrrrr…..” perbualan kami terhenti bila terdengar bunyi seperti anjing liar merengus, di atas kepala kami. Aku dan Rashida terus mendongak. Tapi Kak Melati tolak kami hingga kami terbaring  sikit.

“Jangan pandang. Jangan pandang ke arah apa-apapun yang kamu dengar,” kata Kak Melati.

Aku dan Rashida duduk dan tunduk ke lantai.

“Apa benda tu kak?” Rashida tanya.

“Hantu raya. Dan polong. Dua-dua benda ni selalunya yang duduk kat atas alang. Dan dua-dua ni belaan manusia sebab tu dia duduk dalam rumah.

“Dia kat atas kepala kita ke?” Rashida tanya dengan suara terketar-ketar.

“Iye,” kata Kak Melati. Dia pun sama-sama tundukkan kepala ke lantai macam kami.

“Nanti dia tak terkam kita ke?” Rashida tanya lagi.

“Sebab tu jangan bagi dia tahu bahawa kamu sedar akan kehadirannya,” kata Kak Melati.

“Jom kita duduk kat hujung sana. Selalunya benda ni akan duduk di atas alang utama rumah. Dia tak boleh ikut melalui kayu yang bukan alang utama. Dulu rumah ni ada kain yang dijadikan siling. Tapi sekarang kain tu semua dah reput, jadi kita akan terus nampak alang rumah tu,” kata Kak Melati.

Kami tak berani tanya banyak. Kak Melati bergerak perlahan ke arah bucu kiri di ruang tamu tu. Aku dan Rashida mengikut saja.

Kami duduk rapat-rapat di sudut tu. Tanpa suara. Aku dan Rashida dah tentu muka macam nak menangis. Kak Melati tu pun sama sebenarnya. Sebab masa dia papah aku dari pintu tadi, aku dapat rasa tangannya menggigil. Tapi dia cuba bertenang.

“Kak, setiap malam dia menggangu macam ni ke?” Rashida bertanya.

“Tak. Dia hanya muncul pada waktu bulan penuh. Tapi kali ni dia muncul pada bulan setengah, sebab dia tahu waris tuannya muncul,” kata Kak Melati.

“Maksud akak, saya?” Rashida bertanya. Kak Melati anggukkan kepala.

“Kak, siapa sebenarnya nenek saya ni?” Rashida bertanya.

“Susah untuk akak jelaskan sekarang, sebab takut benda tu semua dengar.” Kata Kak Melati.

Aku baca bismillah. Aku baca ayat Qursi. Aku baca 3 Qul. Aku baca apa saja yang aku tahu. Aku baca perlahan je, dengan nada berbisik. Tapi bermacam-macam bunyi seram makin jelas kedengaran.

Aku dengar bunyi mengilai, bunyi pokok besar bergoncang, bunyi angin kencang sampai berkeriut bumbung rumah yang dipasang menggunakan zink. Bunyi pocong melompat di beranda dan tangga, sampai menolak pintu. Bunyi benda kat atas alang, merengus seperti anjing. Bunyi kuku panjang sedang mencakar keliling rumah. Pintu bilik pula terbuka dan tertutup sendiri.

“Berhenti baca semua tu dulu. Benda tu jadi panas. Bila dia panas, dia mengganas sebab dia nak menjauhkan diri tapi tak mampu kerana mereka terikat,” kata Kak Melati.

“Tapi bukankah kita memang patut baca semua tu barulah benda tu pergi?” kataku memandang Kak Melati. Rasa sangsi aku kepada wanita itu masih berbaki. Tapi aku cuba menahan diri, sebab buat masa ini, hanya dialah yang kami boleh harapkan.

“Kamu berdua tunggu kat sini,” kata Kak Melati lalu bangun dan mendapatkan bakul rotan yang dibawanya tadi. Dia mengeluarkan sebungkus kain hitam. Tak tahu apa isi kat dalamnya. Kak Melati letakkan bungkusan hitam itu di atas meja makan di tengah rumah, betul-betul di bawah alang utama. Lalu kemudian dia duduk semula bersama kami.

Semua bunyi-bunyian tadi berhenti serentak.

“Apa benda yang akak letak tu? Apa yang ada kat dalam bungkusan hitam tu?” Rashida bertanya.

“Itu pengawal mereka.” Kata Kak Melati, pendek.

“Sekarang kamu berdua tidurlah. Rehatkan diri. Benda tu semua tak ganggu kita,” kata Kak Melati. Aku dan Rashida berpandangan sesame sendiri. Macammana nak tidur kalau kami tahu ada Pontianak, langsuir dan pocong kat luar rumah. Lepas tu ada pula hantu raya dan polong kat atas alang rumah. Memang tak la tidur jawabnya.

“Akak, jom la kita pergi rumah ayah akak. Saya tak sedap hati la kat rumah ni,” kata Rashida buatkan aku pandang dia.

“Boleh je nak pergi rumah ayah akak Tapi korang berani ke keluar rumah ni? Kat luar tu gelap. Dan bukan apa yang akak cakap tadi tu je ada merata kawasan rumah ni, ada banyak yang lain lagi. Akak sendiri pun tak berani. Tapi sebab akak tahu mereka takkan kacau kita kalau pengawal mereka ada di sini, sebab tu akak beranikan diri ikut arahan ayah akak untuk teman kamu berdua di sini malam ni. Dia nak temankan nanti tak elok pula sebab kamu perempuan,” kata Kak Melati.

“Tapi kak, semalam masa kami sampai, takde pula benda ni semua. Elok je kami masuk rumah ni dan tidur,” kata Rashida. Aku gosok muka beberapa kali. Memang dia rasa takde apa, tapi aku yang melihat ni rasa macam nak pecah kepala. Entahlah yang bertenggek kat atas kereta sewa pakcik tu semalam dah sampai mana agaknya.

Kak Melati pandang aku seperti mengetahui sesuatu. Tapi dia tak bersuara. Cuma pandangannya seperti ada sedikit kesangsian pada aku, sebagaimana aku sangsi pada dia.

“Benda tu ada, mereka memerhatikan kamu sejak kamu sampai. Kan Alin?” Kak Melati tanya aku. Rashida pun pandang aku.

“Kat bilik air, kat almari, kat bilik, kat cermin, kat semua tempat dalam dan luar rumah ni.” Kata Kak Melati, dia dah tak pandang aku. Tapi aku pula yang rasa berdebar-debar. Aku tak risau kalau Rashida tahu apa yang aku nampak sebab aku tahu Rashida memang tahu bahawa aku nampak benda ni semua, Cuma aku tak cakap pada dia sebab taknak dia kecil hati. Dah la baru sekali balik kampung sejak sepuluh tahun lepas, aku pula yang baru datang nak cakap perkara bukan-bukan pasal kampung dia ni.

Aku lebih tak sedap hati dengan Kak Melati. Sebab dia ada cakap tadi, jangan sampai benda tu tahu kalau aku nampak dia, kalau aku menyedari kehadiran dia. Aku bimbang kalau Kak Melati tu adalah sebahagian dari benda tu semua. Aku dah bertentang mata dengannya. Aku nampak dia di kebun pisang di masa Rashida tak nampak dia.

Rashida pandang aku. Aku tunduk ke lantai, tak berani nak bertentang mata dengan sesiapa sahaja termasuk Rashida. Inilah yang orang kata, kalau di hati kita dah ada perasaan sangsi dan was-was, kawan sendiri pun kita dah tak percaya.

“Tapi percayalah, ayah akak ada je memerhati dari jauh. Dia takkan biarkan kita. Tidurlah. Kamu tu Alin, kamu perlu rehatkan kaki tu. Barulah cepat sembuh,” kata Kak Melati sambil pandang aku.

“Mana tilam? Biar akak ambilkan. Kamu dah tentu tak berani bergerak ke mana-mana lagi kan?” Kak Melati bangun sambil menuju ke bilik yang Rashida tunjukkan.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s