AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 11

“Siapa pulak tu?” Rashida tanya aku. Kami berpandangan sesama sendiri. Aku hanya mampu angkat bahu.

“Tok tok tok,” sekali lagi pintu diketuk dari luar. Anjing pun makin galak menyalak panjang.

“Orang kampung kau memang tak tahu bagi salam ke?” aku tanya Rashida, geram pula aku. Semuanya main ketuk pintu je sampai kami terkejut.

“Entahlah Alin,” kata Rashida sambil bangun menuju ke pintu.

“Tunggu sekejap,” aku tahan langkah Rashida. Rashida menghentikan langkahnya dan memandang ke arah aku dengan dahi berkerut, mungkin sedang memikirkan kenapa aku menahan langkahnya.

Aku bangun dari kerusi lalu melangkah perlahan ke arah tingkap yang bersebelahan dengan pintu. Aku nak tengok dulu siapa kat luar tu. “Kau tunggu kejap, biar aku tengok siapa kat luar. Orang ke bukan,” kataku perlahan. Rashida akur, dia diam kat tempat dia berhenti tadi.

Aku tolak sikit daun tingkap dan intai siapa yang sedang berdiri kat luar pintu rumah. Aku nampak sesusuk tubuh perempuan sebab dia pakai baju kurung dan selendang di bahunya. Kecil besar mata aku nak pastikan dia orang atau bukan.

“Tok tok tok” sekali lagi pintu diketuk.

“Macammana Alin? Nak buka ke tak pintu ni?” Rashida tanya.

“Sekejap,” aku menahan Rashida. Aku cuba amati wajah perempuan itu, dan ternyata wajah itu aku pernah lihat tapi aku tak pasti di mana.

Aku berfikir sejenak. “Alin? Dia ketuk lagi ni. Nak buka ke tak?” Rashida panggil aku lagi.

Dan aku mula teringat siapa perempuan tu. Dialah perempuan berbaju merah yang aku nampak berdiri kat kebun pisang pagi tadi.

“Shida, aku rasa dia bukan macam kita,” kataku.

“Maksud kau, dia hantu?” Rashida tanya aku dengan wajah cuak.

“Sebab pagi tadi aku nampak dia, tapi kau tak nampak dia. Dia berdiri kat kebun pisang,” kataku berbisik.

“Habis tu macammana ni? Hari dah gelap. Gasolin pun belum pasang,” kata Rashida, ada getar dalam suaranya.

“Tok tok tok,” Kali ni kami dengar bunyi ketukan tu dari pintu dapur pula. Aku dan Rashida berpandangan sesama sendiri. Masing-masing dah takut.

“Shida?” aku dengar satu suara lelaki memanggil dari luar pintu rumah.

“Itu suara Pak Manaf kan?” Rashida tanya aku.

“Haah la. Cepat buka pintu tu.” kataku kepada Rashida. Terketar-ketar Rashida menarik engsel kayu yang menahan pintu utama.

Sebaik pintu terbuka, Pak Manaf berdiri di muka pintu. “Ingatkan takde orang. Ketuk banyak kali tak berjawab. Kenapa masih bergelap ni? Kenapa tak pasang gasoline tu?” Pakcik Manaf membebel di muka pintu. Matanya melilau memandang keliling rumah.

“Melati, mari sini. Diorang ada ni ha,” kata Pakcik Manaf sambil memanggil seseorang.

Dan datanglah seorang perempuan dalam usia 30-an, membawa mangkuk tingkat dan lampu suluh di tangannya. Dia datang dari pintu belakang. Lalu menghampiri Pak Manaf yang sedang berdiri di muka pintu. Dan muka aku berubah sama sekali, betullah itu perempuan yang aku nampak kat kebun pisang pagi tadi.

“Ini Melati. Anak pakcik. Dia ada bawakan sikit makanan untuk kamu makan malam ni. Dan Pakcik minta dia temankan kamu berdua kat rumah malam ni. Sekurang-kurangnya ada orang yang biasa dengan kampung ni kat rumah ni. Boleh ke dia temankan kamu berdua malam ni?” Pakcik Manaf tanya aku.

“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan pakcik. Elok sangatlah dia temankan kami,” kata Rashida dengan nada gembira seakan terlepas dari satu bebanan di dada. Tapi tidak bagi aku.

“Kau nampak dia Shida?” aku tanya Rashida berbisik dari belakang Rashida.

“Nampak siapa?” Rashida tanya aku, juga berbisik.

“Perempuan tu la,” sahutku.

“Nampaklah, kenapa pula tak nampak?” kata Rashida.

“Ada masalah ke? Kalau taknak Melati tidur sini pun takpe, pakcik faham,” kata Pakcik Manaf.

“Eh, taklah pakcik. Kawan saya ni dia memang macam ni, susah nak percayakan orang. Lagipun dia dalam keadaan tak berapa selesa tu, kan kaki dan pinggang dia sakit sebab jatuh tadi. Kaki dia pun dah bengkak tu,” kata Rashida.

“Takpe, pakcik ada bagi kat Melati ubat sapu yang dibuat dari daun herba. Memang sesuai untuk bengkak. Nanti dia tolong sapukan. Sekarang ni, bagi pakcik nyalakan gasoline tu dulu. Dah pukul berapa ni, masih duduk dalam gelap. Tadi kata pandai pasang,” kata Pakcik Manaf, membebel macam ayah-ayah.

Rashida bangun dan mengambil ketiga-tiga gasoline yang diletakkannya di atas meja tadi. Lalu diserahkan kepada Pakcik Manaf. Pakcik Manaf tak masuk rumah pun, dia nyalakan lampu gasoline di tangga je. Terang benderang rumah tu lepas Pakcik Manaf nyalakan gasoline.

“Nah, letak kat dapur satu, kat ruang tamu satu, satu lagi buat spare kot nak pergi bilik air ke, atau nak masuk bilik ke,” kata Pakcik Manaf.

Rashida menyambut gasoline dari tangan Pakcik Manaf.

“Pakcik dah bakar sabut kelapa kat kiri dan kanan rumah. Larilah semua nyamuk tu nanti. Kamu berehatlah. Nak apa-apa., beritahu kat Melati. Pakcik balik dulu, dah malam ni,” kata Pakcik Manaf.

“Terima kasih Pakcik. Kak Melati, marilah masuk,” Rashida menjemput Kak Melati masuk ke dalam rumah. Pakcik Manaf berlalu pergi meninggalkan kami.

“Shida, aku nak solat. Dah lewat ni,” aku panggil Rashida perlahan.

“Kak Melati duduk dulu ye. Saya nak bawa Alin ambil wudhu di bilik air. Dia tak boleh jalan sendiri nak turun tangga, kaki dia bengkak. Nanti saya datang semula,” kata Rashida.

“Takpe, uruskan hal kamu dulu. Jangan risaukan akak,” kata Kak Melati ramah sambil senyum memandang aku. Entahlah aku rasa lain macam je dengan Kak Melati.

Rashida temankan aku ambil wudhu dan solat di bilik. Sebelum solat, aku sempat berbisik kepada Rashida, aku beritahu dia bahawa aku rasa tak selesa dengan Kak Melati. Aku beritahu dia bahawa aku nampak Kak Melati di kebun pisang tadi tapi Rashida tak nampak.

“Seiras kot. Aku pun tak tahu nak cakap apa. Mungkin yang kau tengok pagi tadi orang lain. Kalau dia bukan dari kalangan kita, takkanlah aku nampak dia kan,” Rashida pujuk aku. Aku pun terfikir juga, betullah tu.

“Kau solat dulu. Nanti lepas solat, kita makan apa yang Kak Melati bawa. Kita cuba bertahan malam ni je lagi ye. Esok aku janji, kita keluar dari rumah ni, kita pergi pekan. Malam esok kita tidur kat hotel,” Rashida memujukku lembut. Aku diam. Cuba berprasangka baik.

Aku ingat pesan ayah, bacalah ayat seribu dinar setiap kali hati tak senang, setiap kali kita dalam masalah. In Shaa Allah, segalanya akan ok. Serahkan segalanya kepada Allah, Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu.

Bismillahirrohmaanirrohim…

Waman yattaqillaahayaj ‘Al Lahu Makhroja, Wayar Zuqhu Min Hai Sulaa Yahtasib, Waman Yatawakkal Alallahu Hi Fahuwa Hasbuh, Innallaha Baa Lighu Amrih, Qad Ja’alallahu likulli Syai ‘in Qadra.

Sodaqallaahul ‘azim.

Selesai solat, aku lipat sejadah dan telekung lalu letakkannya di atas almari solek yang mana cerminnya aku dah tutup dengan kain.

Baru je aku nak melangkah keluar dari bilik, Rashida muncul di muka pintu. Dia pandang aku sambil senyum. “Dah solat?” dia tanya aku.

“Dah,” sahutku.

“Jom makan.” Katanya sambil memegang tangan aku dan memapah aku keluar dari bilik.

Mata aku melilau mencari Kak Melati. “Kak Melati mana?” aku tanya perlahan. Belum sempat Rashida jawab, Kak Melati muncul dari pintu dapur membawa pinggan.

“Ha, dah sudah? Jom makan. Lapar dah tu. Nanti lepas makan, akak sapukan ubat herba ni kat kaki,” kata Kak Melati sambil tersenyum. Aku tak jawab apa-apa, terus duduk di kerusi dan melihat makanan yang dihidangkan.

Kari ayam, ikan masin goreng dan ulam kubis. Perut aku memang lapar. Kak Melati cedokkan nasi ke dalam pinggan aku dan Rashida. Kami makan bersama-sama.

Selesai makan, Rashida membasuh pinggan. Kak Melati suruh aku duduk kat kerusi rotan. Dia nak sapu ubat. Aku nampak ubatnya macam daun inai yang dah ditumbuk halus. Baunya pun macam bau inai tapi lebih kuat.

Kak Melati sapukan ubat tu ke kaki aku dan lepas tu dia balut kaki aku dengan sehelai daun yang besar lalu kemudiannya dia mengikat dengan menggunakan tali yang aku rasa macam ranting halus dari pokok.

“Dah siap. Rehatkan je kaki. Pagi esok surutlah bengkak tu.” kata Kak Melati.

Rashida muncul dari dapur sambil mengelap tangannya yang basah. Dia kemudiannya duduk bersama kami.

“Kak Melati memang tinggal dengan Pakcik Manaf ke?” Rashida memulakan perbualan.

“Haah, lepas suami akak meninggal dunia, akak dan anak akak tinggal dengan ayah,” kata Kak Melati.

“Akak kerja apa?” Rashida tanya lagi.

“Buat ikan masin je. Ayah tangkap ikan sungai, akak jemur dan buat ikan masin,” kata Kak Melati.

Rashida anggukkan kepala.

“Ayah kata kamu datang sini sebab nak cari barang mak kamu. Dah jumpa ke?” Kak Melati tanya.

“Belum lagi. Saya dah cari di tiga-tiga bilik. Kat ruang tamu ni, Alin dah cari. Tapi takde juga.” Kata Rashida.

“Dah cari kat dapur? Atau kat alang rumah. Orang dulu-dulu suka letak barang kat atas alang rumah,” kata Kak Melati.

“Tak cari kat alang rumah lagi. Kat dapur macam takde,” kata Rashida sambil mendongakkan kepala melihat ke arah alang rumah. Masa ni aku pula yang berdebar-debar sebab dah beberapa kali aku nampak lembaga hitam berbulu panjang dengan mata merah, duduk kat atas alang rumah tu sambil memerhatikan kami.

“Cubalah tengok, mana tahu ada kat situ,” kata Kak Melati. Rashida bangun dan menghalakan lampu suluh ke atas alang kayu di bahagian bumbung rumah. Kak Melati pun ikut sama mendongak. Cuma aku tak sanggup nak mendongak tengok kat atas. Aku takut nanti aku nampak perkara yang tak sepatutnya. Hari dah malam ni.

Tiba-tiba bumbung rumah ditimpa hujan. Tapi sekejap je, macam hujan lalu.

“Nasib baik hujan tak lama. Takut ada bumbung yang bocor. Maklumlah rumah dah lama ditinggalkan,” kata Rashida masih berdiri di atas kerusi menyuluh ke arah alang rumah.

“Itu bukan hujan tau,” kata Kak Melati tiba-tiba.

“Bukan hujan? Habis tu air apa?” Rashida bertanya.

“Itu kencing langsuir. Mesti dia terbang melintas kat atas bumbung rumah. Selalunya kalau dia kencing kat bumbung rumah orang tu, maknanya dia dah tanda rumah tu,” kata Kak Melati buatkan aku dan Rashida mula tak sedap hati.

“Tandakan kenapa pula?” laju je aku bertanya.

Belum sempat Kak Melati jawab, kami dengar bunyi pokok besar kat tepi rumah bergoncang. Seakan ada sesuatu yang besar sedang menggoncangnya di atas pokok.

Dan dada aku berdebar makin kuat bila terdengar bunyi hilaian tawa yang agak menyeramkan dari arah pokok besar di kiri rumah nenek Rashida.

“Hiiii hiiii hiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii………”

“Apa tu kak?” Rashida bertanya. Dia dan aku dah berpelukan. Seram weh. Kak Melati pula diam seakan sedang mengesan bunyi tu.

“Itu macam Pontianak tu,” kata Kak Melati buatkan mata aku dan Rashida membulat dan rasa macam nak lari dari rumah masa tu juga.

– Bersambung –

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s