AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 10

Selepas Pak Manaf pergi, Rashida buka bekas makanan yang dibawa oleh Pak Manaf tadi. Aku masih duduk di kerusi rotan.

“Kau nak makan dah ke Alin?” Rashida tanya aku. Aku cuba nak bangun.

“Kau tak payah bangun. Aku bawa pergi sana. Aku tanya je, kot kau nak makan sekarang atau tunggu dulu.” Kata Rashida. Aku duduk semula.

“Aku lapar,” aku jawab.

“Kita makan la dulu ye. Lepas ni aku sambung cari barang mak aku tu. Kau tunggu situ, aku ambil pinggan dan mangkuk air untuk kau basuh tangan.” Kata Rashida terus ke dapur.

Masa tu aku nampak ada benda hitam kat bawah meja. Aku terus pejamkan mata, aku dah taknak tengok semua tu.

“Tang!” kerusi jatuh. Rashida berlari ke ruang tamu sambil bawa pinggan.

“Siapa jatuhkan kerusi ni?” kata Rashida sambil mengangkat semula kerusi yang jatuh tu. Aku angkat bahu walaupun aku tahu siapa punya kerja tu.

“Berderau darah aku. Ingatkan kau jatuh lagi,” kata Rashida sambil mengangkat semua bekas makanan tu lalu letakkan di atas meja kopi depan aku.

Ada nasi putih, sayur apa entah nampak macam direbus, ikan talapia kukus dan ada sambal tumis terung kecil-kecil tu, aku pun tak ingat namanya. Nampak sedap. Rashida cedokkan nasi untuk aku. Kami makan sama-sama. Tak sedar habis semuanya kami makan berdua. Kononnya tadi nak makan sikit, nanti bila lapar boleh makan lagi. Mana tak lapar, aku dengan cuak dan terkejut tak habis-habis, Rashida pula bertungkus lumus cari barang mak dia. Dah tentu kami guna tenaga yang banyak. Dan secara otomatik, kami lapar. Itulah alasan orang yang kuat makan.

Selesai makan, Rashida angkat semua bekas makanan ke dapur dan cuci. Aku cuba bangun. Sengal-sengal tu masih terasa tapi aku kuatkan diri. Tak boleh juga kalau aku biarkan saja kaki aku ni. Aku pegang apa saja yang tangan aku dapat gapai. Sampai kat pintu dapur, aku cuba turun anak tangga.

Rashida yang sedang  basuh pinggan terkejut melihat aku cuba menuruni anak tangga. Cepat-cepat dia datang pegang tangan aku.

“Kau nak ke mana?” Rashida tanya aku.

“Aku nak solat zuhur,” jawabku.

“Kau tunggu kat sini. Aku pergi ambil air bawa ke sini,” kata Rashida.

“Takpe, aku boleh ke bilik air tu. Lagipun aku nak buang air,” kataku.

“Boleh ke? Tinggi tangga nak ke bilik air tu,” kata Rashida.

“Boleh. Perlahan-lahan la. Kau tunggu kat pintu ye,” kataku. Rashida hanya menganggukkan kepala.

Dengan agak payah, aku menuruni tangga yang dibuat dari batang pokok, dari pintu dapur ke bilik air. Rashida bertegas nak ikut aku masuk bilik air. Dia risau aku jatuh.

“Kau jangan risau. Aku ok,” kataku, lalu aku masuk ke dalam bilik air.

“Jangan kunci. Tutup je,” Rashida bagi arahan.

“Iyelah mama,” kataku mengusik Rashida. Aku nampak dia risau, atau mungkin juga dia rasa bersalah.

Selesai ambil wudhu, aku menoleh ke pintu. Aku terkejut lagi. Aku nampak nenek tua yang berdiri membongkok sampai 90 darjah menunggu di tengah pintu. Dia memerhati aku. Allah, macammana pula aku nak lalu ni.

“Alin! Ooo Alin! Dah ke? Senyap je,” aku dengar Rashida memanggil dari luar bilik air. Aku tak menyahut. Nenek tua tu masih utuh di pintu bilik air.

“Gang!” pintu bilik air ditolak dari luar. Rashida berdiri pandang aku.

“Aku panggil tak menyahut. Kau dah kenapa berdiri kaku kat situ? Dah selesai, terus keluar la,” Rashida membebel kat aku lalu melangkah masuk ke dalam bilik dan papah aku keluar.

Rashida bawa aku masuk ke bilik utama. Dari sampai semalam, aku memang teringin sangat nak tengok keadaan bilik rumah ni. Boleh dikatakan hampir kesemua peralatan dalam rumah tu adalah rotan dan kayu jati tulen. Manakala tangga dan dinding dapur dibuat dari papan pokok yang disusun rapi. Kalau di semenanjung, mungkin orang kaya yang boleh buat rumah dari sumber macam ni. Tapi kat Sabah, ianya biasa sebab pokok dan rotan masih mudah didapati.

“Kau jamak la ye,” Rashida tanya aku sambil membentangkan sejadah. Tadi aku dengar Rashida tanya arah kiblat kat Pakcik Manaf. Pakcik Manaf yang tunjuk arah kiblat tu.

“Haah,” sahutku sambil membetulkan telekung.

“Aku tunggu kat luar ye,” kata Rashida. Dan aku mengangguk.

Aku solat sambil duduk. Tak daya aku berdiri. Peralatan kat dalam bilik tu kebanyakannya terdiri dari rotan dan kayu pokok. Aku berdiri di tepi meja solek dan cermin. Masa aku baca surah, aku dengar bunyi seperti kuku panjang mencakar lantai papan di belakang aku. Dugaan apa pula ni.

Waktu tenang pun, solat aku tak berapa nak khusyu, apatah lagi waktu tak berapa nak tenang dan aku pula tak berapa nak sihat ni. Ya Allah, tolonglah aku. Bunyi cakaran tu makin laju, seperti di belakang aku je. Kat belakang aku ni katil. Sesekali aku dengar bunyi macam ada orang duduk di atas katil tu. Tak khusyu langsung weh.

Aku cuba. Habis baca surah Al-Ikhlas, aku rukuk. Kat sebelah aku cermin. Masa iktidal, aku macam perasan sesuatu yang tak kena dengan bayang aku kat cermin. Tapi aku cuba untuk fokus pada solat aku.

Aku sujud, masih di atas kerusi sebab aku tak boleh bengkokkan buku lima kaki aku. Duduk antara dua sujud, sujud sekali lagi dan bangun untuk rakaat kedua. Aku buat semua tu tapi bayang aku dalam cermin hanya duduk sahaja. Tak rukuk, tak sujud. Aku teruskan solat aku. Sampai bacaan tahiyat akhir, bayang aku di cermin masih duduk kaku.

Aku bagi salam pertama, masa ni aku pandang cermin. Bayang aku masih duduk macam tadi, tak pusing ke kanan pun. Berdebar dada aku. Lepas bagi salam kedua, aku sapu muka. Aku pandang semula kepada bayang aku di cermin. Aku sedang memandang diri aku. Entahlah, aku tak rasa itu bayang aku.

Aku mulakan solat dua rakaat kedua untuk jamak asar ke zohor. Keadaan yang sama terjadi. Bayangan aku di cermin, tak sama dengan apa saja perbuatan yang sedang aku lakukan. Hinggalah aku beri salam kedua. Aku sapu muka. Aku pandang semula cermin tu.

Mata aku bertentang mata dengan mata bayang aku di dalam cermin. Aku kedipkan mata, tapi bayang aku tak kedipkan matanya. Aku angkat tangan, bayang aku tak angkat tangannya. Sah! Itu bukan aku.

Dan aku dengar sekali lagi bunyi kuku panjang mencakar lantai papan dan bunyi seseorang sedang duduk dan bangun di atas katil. Berkeriut bunyi katil kayu tu. Aku tak pandang belakang. Aku buka telekung, cuba bangun dengan berpaut pada almari solek. Aku dengar bunyi nafas yang kuat, seperti merengus.

“Aku tak kacau sesiapa. Dan aku takde niat nak ganggu sesiapa di sini. Jika kamu tak suka aku di sini, aku boleh pergi. Tapi izinkan aku selesaikan hal aku dan sahabatku. Selepas itu kami pergi.” Aku bercakap sendirian walaupun aku tak tahu aku cakap kepada siapa.

“Alin?” Rashida menyelak kain langsir pintu bilik dan pandang aku. Aku pandang Rashida.

“Kau cakap dengan siapa?” Rashida tanya aku.

“Aku rasa dalam rumah ni bukan kita berdua je. Ada ‘benda’ lain. Ada banyak. Aku tak tahu apa dia, tapi mereka bukan di kalangan kita,” kataku mendatar sambil melipat sejadah.

“Maksud kau?” Rashida tanya aku.

“Susah untuk aku jelaskan maksud aku. Ada benda yang kau tak nampak, ada dalam rumah ni. Di setiap sudut. Di ruang tamu, di atas alang, di dapur, di bilik air dan di bilik ni juga,” kataku. Rashida rapat kepadaku dengan wajah cuak. Dia pandang keliling bilik.

“Kau jangan takutkan aku,” kata Rashida.

“Aku takde niat nak takutkan kau. Tapi itulah kenyataannya. Sebab tu aku nak sangat pergi ke hotel murah pun takpe. Aku tak bolehlah, macam-macam ada kat dalam rumah ni. Sampai aku solat pun dia kacau,” kataku.

“Jadi macammana ni? Kita keluar sekarang?” kata Rashida.

“Sekarang dah hampir pukul 3. Kalau kita keluar sekarang, pukul berapa sampai pekan?” aku tanya.

“Pukul 5.30 kot. Nak cari hotel lagi. Kat sini, pukul 6 dan macam pukul 8 malam kita kat semenanjung.” Kata Rashida. Aku terdiam seketika.

“Barang mak kau dah jumpa?” aku tanya. Rashida gelengkan kepala dengan wajah sedih. Tiba-tiba aku rasa kesian kat dia. Tujuan aku ikut dia ke sini adalah sebab dia nak tunaikan amanat arwah mak dia untuk ambil barang dari rumah neneknya. Tapi sekarang aku pula macam mendesak dia untuk keluar dari rumah neneknya sedangkan barang yang dicari belum ditemui.

“Takpelah, kau cari dulu barang tu. Kalau tak jumpa lagi, malam ni kita tidur je la kat rumah ni. Gasolin dah ada kan. Kita takkan bergelap macam semalam kan?” aku tanya Rashida.

“Tapi kau ok ke?” Rashida tanya aku.

“Aku tak kacau ‘benda’ ni semua, jadi aku rasa mereka takkan kacau aku. Cuma mereka menunjukkan diri. Takpe, dulu masa mula-mula aku berubat, dukun tu cakap aku kena biasakan diri dengan mereka, barulah aku tak rasa takut. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk aku biasakan diri tu.

“Tapi kau kata masa tu kau sesat kat alam jin kan?” kata Rashida. Belum sempat aku jawab, kami dengar bunyi seperti tingkap di ruang tamu tertutup dan terbuka sendiri. Rashida cepat-cepat melangkah keluar, aku pula terhegeh-hegeh berjalan mengikut Rashida.

Aku nampak Rashida sedang membuka tingkap yang tertutup tadi dan menahannya dengan kayu kecil yang disendal di tepi bingkai tingkap.

“Kenapa?” aku tanya.

“Entah, angin kot. Mak aku kata, kat sini angin kuat pada waktu petang. Elok kalau nak main layang-layang,” kata Rashida.

Aku menjenguk ke luar tingkap. Kalau tak sebab rumah ni menyeramkan, memang seronok agaknya. Tambahan semak samun kat halaman rumah dah takde. Lapang je. Dari rumah nenek Rashida, boleh tengok Gunung Kinabalu. Kiranya rumah nenek Rashida ni di bawah kaki Gunung Kinabalu la. Macam tak percaya je aku sampai sini.

“Kau nak turun ke halaman ke? Melihat-lihat rumah nenek kau ni. Maklumlah, dah sepuluh tahun kau tinggalkan tempat ni kan,” kataku. Kesian pula aku tengok Rashida.

“Eh, takpelah. Aku nak cari barang mak aku tu. Lagi cepat jumpa lagi baik,” kata Rashida lalu terus masuk ke bilik ketiga dalam rumah tu. Aku pula duduk melihat keluar tingkap melihat keadaan tenang dan nyaman dengan suasana kampung.

Dalam tak sedar aku terlena sekejap. Bila aku sedar, hari dah gelap. Aku tengok Rashida sedang menghidupkan lampu gasoline. Satu pun belum menyala. Aku tengok jam, pukul 6 petang.

“Kau boleh pasang ke?” aku tanya Rashida.

“Boleh. Cuma dah lama tak buat, kan? Jadi kekoklah sikit. Kau nak mandi ke? Aku dah jerang air panas. Tadi ingatkan nak kejut kau, tapi aku tengok kau sikit punya lena, tak sampai hati aku nak kejutkan,” kata Rashida sambil mengepam gasoline supaya minyak tanah sampai ke tempat sepatutnya.

“Nanti nak solat maghrib, aku jirus-jirus gitu-gitu je la. Taknak mandi beriya, sejuk,” kataku. Rashida tak menyahut, hari semakin gelap. Tapi gasoline masih tak menyala. Aku pasang lampu tangan aku.

“Malam ni kita masak mee segera je la ye. Dengan roti kita pagi tadi tak habis lagi,” kata Rashida.

“Takpe, kau jangan risau bab tu. Kau nyalakan je gasoline tu,” kataku. Aku mula risau, lampu tangan aku ni dah nak habis bateri. Nak cas bateri pun, elektrik takde. Takkan nak guna torchlight dari handphone, power bank aku tu cukup-cukup je sampai esok kot. Kalau aku pakai malam ni, esok dah takde bateri.

Kat luar  kami dengar bunyi anjing menyalak panjang laksana melihat benda yang tak dapat dilihat dengan mata manusia. Seram bunyinya. Tapi aku cuba buat-buat macam takde apa. Rashida makin kuat mengepam gasoline yang tak nampak macam nak menyala pun.

“Tok tok tok” Aku dan Rashida melompat serentak kerana terkejut dengan bunyi ketukan yang tiba-tiba tu. Kami berpandangan sesama sendiri.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s