AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 9

“Alin, kau ok ke? Macammana boleh jatuh ni?” Rashida berlari mendapatkan aku. Dia terus pegang tangan aku. Risau sangat wajahnya.

Aku cuba duduk. Mataku memandang ke arah dapur kayu. Tiada apa-apa kat situ. Rashida membantu aku untuk duduk. Kaki aku terseliuh sikit. Dan pinggang aku sakit. Rasanya masa aku jatuh tadi, bahagian belakang pinggang aku terkena papan pintu antara ruang tamu dengan dapur memasak tu. Sebab ruang antara dapur memasak dengan ruang tamu dipisahkan dengan tiga anak tangga. Kedudukan dapur rendah sikit dari ruang tamu.

“Macammana boleh jatuh? Kau tak nampak ke ada anak tangga kat sini? Semalam dalam gelap, kau ok je melangkah tangga ni,” kata Rashida merungut macam seorang mak bebelkan anaknya. Sambil tu dia menggosok-gosok kaki aku. Aku tahu dia risau.

“Aku tak perasan anak tangga ni tadi. Ingatkan dah sampai bawah, rupanya ada lagi satu anak tangga,” kataku berdalih.

“Sakit lagi tak?” Rashida tanya aku.

“Sikit je. Takde apa ni,” kataku perlahan sambil menggosok belakang pinggang aku.

‘Tok tok tok’ tiba-tiba pintu rumah diketuk. Aku dan Rashida berpandangan sesama sendiri.

“Siapa tu?” Aku tanya Rashida. Rashida angkat bahu.

“Sekejap aku pergi tengok,” kata Rashida sambil bangun melangkah ke pintu.

Rashida menjenguk melalui tingkap. Lalu dia membuka pintu. Ada seorang lelaki muda berdiri di pintu. “Saya Pulau. Anak Pakcik Manaf. Ayah saya suruh saya datang sini potong rumput,” kata lelaki muda tu.

“Ooo… Anak Pakcik Manaf. Haah, saya minta Pakcik Manaf potong rumput kat halaman rumah ni,” kata Rashida.

“Ayah ada hal. Sayalah yang potong  rumput. Keliling rumah ni je kan?” Pulau bertanya.

“Iye, keliling rumah ni. Yang sebelah tepi ni, sampai ke kebun pisang tu la,” kata Rashida memberi arahan kepada Pulau sambil menunjukkan halaman rumah.

“Ni ayah suruh bagi. Ada minyak tanah. Ayah kata buat spare kalau-kalau minyak tanah habis,” kata Pulau lagi sambil menyerahkan satu tong kecil kepada Rashida.

“Terima kasih banyak-banyak. Nak saya bayar sekarang ke upahnya atau nanti dah selesai baru bayar?” Rashida tanya.

“Takpelah, nanti bayar kat ayah je.” Kata Pulau sambil melangkah menuruni anak tangga di beranda dan terus ke halaman rumah. Seketika kemudian kami dengar bunyi mesin rumput. Rashida kembali kepada aku.

“Kau boleh berdiri ke tak ni?” Rashida tanya aku.

“Boleh. Sikit je ni.” Kataku sambil cuba berdiri dengan kaki kanan yang terseliuh.

“Aduhhhhh….” Aku terjerit sikit bila kaki aku memang sakit masa aku nak pijak.

Rashida cepat-cepat pegang aku. “Dah, jom ke ruang tamu tu. Kau baring kat kerusi rotan tu. Tak payah buat apa-apa. Rehat dulu. Nanti aku ambil minyak angin. Bengkak pula tu nanti kaki kau,” kata Rashida sambil memimpin aku ke kerusi rotan di ruang tamu. Dia betulkan kusyen bagi aku baring di situ. Lepas tu dia berlari masuk ke bilik dan keluar semula membawa dua biji bantal dan botol minyak angin.

Dia sendalkan bantal di kepala dan pinggang aku. Lalu dia membuka penutup botol minyak angin menyapunya di kaki aku. Masa ni aku nampak kasih sayang dia sebagai sahabat.

“Kau rehat je dulu kat sini. Biar aku yang cari barang mak aku tu. Nanti Pulau dah selesai mesin rumput, aku keluar dari makan tengahari ye.” Kata Rashida.

“Takpe Shida. Kita kan ada roti, mee segera dan bubur nasi segera. Makan itu je cukup,” kataku. Kesian pula kat Rashida terpaksa bersusah payah ke sana sini mencari makanan untuk kami. Tadi kami janji nak pergi makan sama-sama. Rashida kata kedai yang dia beli kuih pagi tadi, ada jual untuk makan tengahari juga.

“Makan roti tak kenyang la Alin. Kena makan nasi. Kau jangan risau, rehat je. Aku akan uruskan semua tu nanti.” Kata Rashida sambil menutup penutup botol minyak angin lalu meletakkannya di bawah kerusi rotan.

“Kau nak apa-apa, panggil je aku. Jangan gatal nak berjalan. Bagi kaki tu lega dulu. Pinggang tu lagi.” Kata Rashida memberi amaran kat aku. Aku anggukkan kepala je.

“Aku pergi sambung cari barang mak aku tau. Aku harap juga agar dapat jumpa hari ni. Boleh kita keluar ke pekan. Tidur hotel ye,” kata Rashida. Dan aku juga anggukkan kepala aku sambil tersenyum kepadanya.

Rashida bangun. Dia terus masuk ke bilik kedua. Mungkin dia dah cari kat bilik pertama tadi. Aku pejamkan mata. Cuba menahan rasa sengal di pinggang.

“Krik Kruk Krik Kruk Krik Kruk” aku dengar satu bunyi. Ah sudah. Apa lagi? Aku tak berani buka mata, tapi aku cuba pastikan itu bunyi apa.

Hampir seminit juga bunyi tu berlarutan. Dan aku buka mata aku perlahan-lahan. Aku pandang keliling. Di tepi meja makan, aku nampak sesuatu yang bergerak. Kerusi malas rotan. Ianya seakan ada seseorang sedang duduk di atasnya.

Aku cuba menoleh untuk melihat dengan lebih jelas, tapi sengal di pinggang dan sakit di kaki membataskan pergerakan aku.

“Krik Kruk Krik Kruk Krik Kruk” Bunyi tu makin laju. Aku cuba sedaya upaya untuk menoleh ke arah kerusi malas rotan tu. Aku pasti ada seseorang yang menggerakkannya.

Dan betullah sangkaan aku. Ada satu susuk tubuh perempuan muda sedang duduk di atas kerusi malas rotan tu. Dia memandang kea rah aku. Matanya putih. Rupanya tak menakutkan, tapi kehadirannya di situ agak menakutkan sebab tiada sesiapa sepatutnya yang berada di situ selain aku dan Rashida.

“Kau nampak aku,” aku dengar suaranya, halus je. Dia masih menghayunkan kerusi malas rotan tu. Bergerak-gerak lantai papan rumah nenek Rashida. Aku palingkan muka aku ke arah lain. Dan aku berbaring semula di kerusi rotan tadi. Aku pejamkan mata.

“Kau nampak aku,” aku dengar suara tu seakan di tepi telinga aku je. Dan bunyi kerusi malas rotan tu dah berhenti. Maknanya perempuan tu tadi berada kat tepi aku. Aku terus pejamkan mata, walaupun seluruh tubuh aku dah menggigil.

Aku teringat kata-kata ustaz yang pernah aku temui semasa aku berada di hospital mental satu ketika dulu. Ustaz tu kata, benda-benda halus ni tak boleh sentuh atau cederakan kita. Jadi tak perlu takut kepada dia. Benda-benda halus ni ada yang jenis mengusik, ada yang jenis nak berkawan, ada yang jenis nak ambil tahu. Dia tak boleh sentuh kita. Dia cuma mengusik. Kena pula dia tahu kita nampak dia. Memang lagi sakan la dia nak mengusik. Tujuan dia memang nak bagi kita takut. Itu je. Jadi, kita sebagai manusia yang lebih tinggi tarah dari mereka, kenapa nak takut? Takut hanya kepada Allah. Jangan takut kepada selain dari-Nya,” kata Ustaz tu. Aku pun dah tak ingat nama ustaz tu. Tapi dia memang baik.

Masa jururawat marah pesakit sebab pesakit kata nampak hantu, ustaz ni akan marah jururawat tu semula. Ustaz tu kata jangan bongkak, bimbang satu hari Allah bukakan hijab seketika untuk melihat benda-benda halus ni, baru tahu apa yang pesakit ni rasa. Jururawat tu terus diam dan tak berani marah kami kalau ustaz tu berada di hospital. Lepas ustaz tu balik, dia marah balik.

Penat kot melayan kerenah pesakit mental. Bukan semuanya mental sebab nampak hantu. Ada yang mental memang mental. Lagipun, mereka tak nampak apa yang kami nampak. Mereka terpaksa jaga kami di kala kami kata kami nampak hantu sedangkan mereka tak nampak. Sesiapapun akan kata kami menipu atau kata kami buat cerita kan.

Seketika kemudian aku dengar bunyi kerusi malas rotan tu berbunyi semula. Mungkin perempuan tu dah pergi ke sana. Aku buka mata perlahan-lahan, aku nampak benda lain pula. Benda seakan monyet kecil di atas alang kayu rumah, betul-betul kat atas muka aku.

Aku menjerit. Rashida berlari menghampiri aku. “Kenapa Alin?” Tanyanya. Belum sempat aku menjawab, tiba-tiba pintu rumah diketuk dari luar.

Aku pandang semula ke arah alang kayu rumah, tiada apa-apa di situ.

“Kau ok ke tak ni Alin? Aku makin risau la kat kau ni,” kata Rashida.

“Kau pergi tengok dulu siapa kat luar tu,” kataku dengan muka mengerekot menahan sakit pinggang dan kaki.

Rashida bangun dan melangkah ke pintu. Dia membuka pintu. Kelihatan Pakcik Manaf berdiri di muka pintu dengan satu beg berisi beberapa bekal di tangannya.

“Nah ni, untuk makan tengahari. Ada nasi dengan masak pucuk paku. Ikan talapia bakar. Itu je yang ada,” kata Pakcik Manaf.

“Ya Allah Pakcik. Terima kasih sangat-sangat. Baik sungguh,” kata Rashida sambil menyambut beg makanan tu dari tangan Pakcik Manaf. Aku cuba menoleh dengan sedaya upaya.

“Tu kenapa tu?” Pakcik Manaf tanya aku.

“Dia jatuh kat tangga ke dapur tadi,” sahut Rashida.

“Teruk ke? Dah sapu minyak panas?” Pakcik Manaf tanya.

“Dah, Shida dah sapu tadi,” sahutku sambil cuba untuk tersenyum walaupun pahit.

“Kalau bengkak kena tuam dengan air panas. Takut nanti jadi lagi teruk,” kata Pakcik Manaf.

“Takpe Pakcik, sikit je ni,” sahutku.

“Tadi pakcik ada hal. Sebab tu suruh Pulau je datang mesinkan rumput. Dah nak siap pun nampaknya,” kata Pakcik Manaf yang masih berdiri di pintu rumah.

“Takpe Pakcik. Nah, ni dah alang-alang  pakcik ada kat sini, saya bayarlah siap-siap upah mesin rumput tu. Anak pakcik kata suruh bagi kat pakcik,” kata Rashida sambil menghulurkan sekeping nota RM100.00.

“Pakcik tak bawa duit tukar. Nanti-nantilah bagi,” kata Pakcik Manaf.

“Takpe Pakcik. Ambil semua. Tak perlu bagi baki. Pakcik pun dah banyak tolong kami. Bagi pinjam gasoline, tolong potong rumput. Ni dah hantar makanan tengahari pula.” Kata Rashida.

“Takde apalah. Pakcik kenal keluarga kamu dah lama, sejak kamu belum lahir lagi. Kami dah macam saudara.” Kata Pakcik Manaf lagi.

“Kalau saya jumpa barang yang mak saya suruh cari tu hari ni, kalau masih awal, kami ingat kami akan ke pekan. Kami tidur di hotel je.” Kata Rashida.

“Laaa… Kenapa tak tidur kat sini je. Banyak nyamuk ye?” kata Pakcik Manaf.

“Hmm…. Bukan. Hmmm… Macammana nak cakap ye.” Kata Rashida.

“Kami ingat nak jalan-jalan sekitar Sabah sebelum balik semenanjung,” aku tolong jawab bila tengok Rashida teragak-agak macam tu.

“Macammana nak jalan-jalan dah kaki macam tu?” Pakcik Manaf tanya aku. Rashida dan aku berpandangan sesama sendiri.

“Dah, tak payahlah ke pekan tu. Tidur je kat rumah ni. Nanti petang sikit pakcik hantarkan ubat nyamuk. Dekat senja nanti, Pakcik suruh Pulau bakarkan sabut kelapa dan kayu reput di depan dan belakang rumah ni. Larilah semua nyamuk tu nanti.” Kata Pakcik Manaf lagi.

“Tengoklah nanti macammana.” Kata Rashida perlahan.

“Rehatkan kaki tu dulu. Bukannya dekat pekan tu. Kalau gerak sekarang pun belum tentu sampai sampai waktu senja nanti. Buat penat je. Hotel bukannya murah. Kalau ambil yang murah nanti, entah-entah lagi teruk dari rumah nenek kamu ni.” Kata Pakcik Manaf lagi.

Aku dan Rashida berpandangan sesama sendiri.

“Ayah, dah siap,” aku dengar suara Pulau dari halaman rumah.

“Ha, kau balik dulu. Ayah pun nak balik juga ni,” kata Pakcik Manaf kepada Pulau.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s