AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 8

“Kucing rupanya,” kata Rashida. Aku pun diam tapi aku nampak perempuan tua dalam buaian tu. Kucing hitam tadi cuma duduk diribaan perempuan tua tadi. Melompat sebab terkejut bila kami sampai.

Aku dan Rashida berjalan ke tangga. Belum sempat kami sampai ke anak tangga ketiga, kami dengar bunyi derap kaki seseorang melangkah kat dalam rumah nenek Rashida. Rumah papan kan, mestilah bunyi orang melangkah tu kuat.

“Kau dengar tak apa yang aku dengar ni, Shida?” aku tanya Rashida untuk dapatkan kepastian. Aku rasa dia dengar sebab dia pun berhenti melangkah serentak dengan aku.

“Bunyi macam ada orang berjalan kat dalam rumah kan?” Rashida tanya aku. Aku anggukkan kepala.

“Siapa pula yang masuk rumah nenek aku ni? Memanglah aku tak kunci tapi selama ni pun memang rumah ni tak berkunci. Tapi aku tak tahu pula ada orang boleh keluar masuk rumah ni.” Kata Rashida. Aku diam. Dari celahan anak tangga, aku nampak sepasang mata sedang memerhati kami. Aku tak tahu apa tu sebab aku tak berani nak bertentang mata dengannya. Tapi yang pasti, bukan perempuan tua yang duduk di buaian tadi.

“Jom kita tengok siapa kat dalam rumah ni,” kata Rashida sambil melangkah perlahan memijak anak tangga. Aku ni, nak ke taknak, terpaksa ikut. Tinggal di bawah aku nampak, ikut naik atas pun dah tentu aku yang nampak.

Rashida menolak daun pintu perlahan-lahan. Berkeriut pintu papan tu berbunyi. Rashida menjenguk ke dalam rumah. Dia pandang ke kiri kanan. Kemudian dia melangkah masuk.

“Alin, kau tengoklah, kalau ada nampak apa-apa. Aku tak nampak apa-apa.” Kata Rashida menarik tangan aku masuk ke dalam rumah. Aku melangkah masuk dengan perasaan berbelah bagi.

Aku pandang keliling. Tak nampak apa-apa. “Ada apa-apa ke?” Rashida tanya aku. Aku gelengkan kepala. “Kucing kot tadi tu,” kata Rashida. Aku pun diam juga. Nak kata apa kan?

Rashida letakkan gasoline di atas meja makan. Aku pun ikut sama.

“Kau tahu ke nak hidupkan lampu gasoline ni?” Aku tanya Rashida.

“Tahu kot. Dulu aku pernah tengok ayah aku pasang. Senang je, kena pam minyak tu naik. Nanti menyalalah lampu tu. Cerah la kita malam ni.” Kata Rashida sambil membelek-belek gasoline tu.

“Shida, kalau aku cakap, kau jangan kecil hati ye. Aku pun serba salah nak cakap ni,” kataku perlahan-lahan sambil pegang tangan Rashida. Rashida pandang aku dengan wajah yang penuh tandatanya.

“Kenapa ni Alin? Cakaplah,” kata Rashida lembut. Dan dia memang seorang yang lembut pun.

“Boleh tak kalau kita tinggal di hotel je. Hotel bajet pun takpe.” Aku beritahu isi hati aku kepada Rashida.

“Kenapa? Kau tak selesa kat rumah ni ye? Aku minta maaf sangat, aku pun tak tahu keadaan rumah ni. Berhutan, takde elektrik, banyak nyamuk. Tapi aku kena cari barang yang mak aku suruh aku ambil tu.” Kata Rashida perlahan.

“Tak, aku tak rasa susah dengan hutan, takde elektrik atau nyamuk semua ni. Aku boleh je hadap hal macam ni. Aku pun bukannya orang kaya sangat Shida, kau kenal aku dan keluarga aku kan.” Kataku Cuma menjelaskan apa yang aku rasa.

“Habis tu? Kalau kau takut mandi air sejuk, takpe. Aku boleh masak air setiap kali kau nak mandi,” kata Rashida lagi. Aku gelengkan kepala aku. Susah betul aku nak cakap perkara ni.

“Bukan bukan. Bukan pasal tu. Ini takde kena mengena dengan kesusahan semua tu. Ini pasal apa yang aku rasa kat dalam rumah ni.” Kataku.

“Kau rasa apa?” Rashida tanya aku balik. Tepat dia memandang mata aku.

“Aku rasa ada ‘benda’ lain kat dalam rumah ni, kat halaman rumah ni, kat depan rumah, kat belakang rumah, kat mana-mana je dalam kawasan ni. Benda ni bukan satu atau dua, tapi ada banyak.” Kataku perlahan, seakan berbisik.

“Benda apa yang kau maksudkan?” Rashida tanya aku, juga berbisik sambil matanya melilau pandang keliling rumah.

“Benda yang kau tak boleh nampak. Benda yang aku nampak tapi aku tak tahu apa benda tu. Yang pasti, benda tu bukanlah sama macam kita,” kataku kepada Rashida.

Rashida diam. Dia tunduk ke lantai dan pejamkan matanya. Seakan mencari idea untuk keluar dari masalah kami.

“Aku bukan taknak sewa hotel. Tapi kau tahu kan, aku perlu cari barang tu.” Kata Rashida perlahan.

“Aku tahu. Aku faham. Memang tujuan kita datang sini untuk cari barang yang mak kau amanatkan tu. Macam ni, kita sewa hotel untuk tidur je. Menjelang senja, kita balik ke hotel. Siang-siang macam ni, kita duduk di rumah ni cari barang tu. Kalau pasal bajet, takpe, aku bayarkan duit hotel.” Kataku perlahan.

“Aku boleh je. Nak bayar duit hotel pun boleh. Sebab aku tak cari hotel kat sini ialah rumah nenek aku ni jauh di pedalaman. Kalau kita nak balik hotel, lepas tu nak balik sini, masa kita habis di atas jalan je nanti. Kau tengok je masa kita nak datang sini semalam. Dah tengah malam baru sampai. Sedangkan kita sampai kat Lapangan terbang masih awal, baru zohor kan masa tu. Jadi, kau bayangkan kalau menjelang maghrib kita nak keluar ke pekan, pukul berapa baru kita sampai hotel. Lepas tu pagi esok nak balik semua ke sini, pukul berapa kita nak sampai sini?” kata Rashida buatkan aku terdiam berfikir sejenak.

Ya tak ya juga. Aku diam.

“Atau macam ni. Aku cuba cari barang tu hari ni. Kalau dapat cepat, kita panggil kereta sewa dan cari hotel bajet kat pekan. Kalau tak jumpa, malam ni kita tidur sini. Esok aku yakin akan jumpa dah barang tu. Sebaik jumpa, kita terus ke pekan. Tak perlu datang sini balik. Lusa kita pun dah nak balik semenanjung. Kau rasa macammana?” Rashida tanya aku.

Apa lagi yang aku boleh jawab? Memang itu saja jalan untuk kami. Walau aku tak setuju, tapi aku tiada pilihan lain. Nak taknak aku terpaksa setuju.

“Baiklah kalau kau dah cakap macam tu. Jom kita cari barang tu. Cuba kau cakap kat aku, macammana rupa barang tu?” aku tanya Rashida.

“Mak aku kata, barang tu dalam kotak. Kotak tu dibungkus dalam dua lapis kain batik. Dan kain tu diikat dengan tali berwarna hitam dan putih. Barang tu ditindih dengan barang lain. Jadi mungkin kat atas alang atau di bawah para. Takpun di bawah katil. Mak aku pun tak berapa ingat barang tu kat mana, tu yang aku kena cari tu,” kata Rashida. Aku mendengar dengan tekun.

“Barang apa sebenarnya tu?” aku tanya Rashida.

“Entah, aku pun tak tahu. Macam barang berharga. Mak aku kata, nenek aku suruh mak aku bawa sekali masa pindah ke semenanjung dulu. Tapi mak aku aku nantilah dia datang ambil kemudian. Tapi tak ambil juga sampailah mak aku meninggal dunia,” kata Rashida tiba-tiba sebak bila sebut pasal mak dia.

Aku sendiri pun sebenarnya tak pernah berjumpa secara langsung dengan mak Rashida. Selalu nampak mak dan ayah dia hantar dia kat pagar universiti. Nampak dari jauh je. Nak kata aku ingat rupa mak dan ayah Rashida, memang aku tak ingat. Sebab tak berapa jelas, tengok dari jauh.

“Mak kau memang tak pernah balik sini sekalipun ke lepas pindah ke semenanjung?” aku tanya. Tapi Rashida tak jawab. Dia membelakangkan aku. Dan aku nampak dia kesat matanya dengan lengan baju.

Tiba-tiba aku rasa bersalah buatkan dia terkenangkan arwah mak dan ayah dia.

“Maaf Shida, aku takde niat nak buat kau sedih. Soalan spontan. Sorry ye,” kataku sambil memeluk bahu Rashida.

“Takde apalah. Biasalah semua orang pun akan sedih bila teringatkan kat mak ayah yang baru meninggal dunia. Sebab tu aku nak cari juga barang yang mak aku cakap tu. Aku nak mak aku tenang,” kata Rashida.

“Takpe, kita cari sama-sama.” kataku memujuk. Aku pun berharap sangat agar kami jumpa barang tu hari ni. Rumah nenek Rashida ni pun tak besar sangat. Ada tiga bilik tidur, ruang tamu dan dapur. Sempat kot kami menggeledah cari barang tu hari ni. Aku tengok jam tangan baru pukul 11 pagi.

“Ok, kalau macam tu, kau cari di ruang tamu dan dapur, aku cari kat dalam bilik. Boleh?” Rashida tanya aku. Matanya masih merah, suaranya masih serak.

“Boleh,” aku sahut sepatah.

Rashida bangun dan terus masuk ke dalam bilik di bahagian depan sekali. Aku pun bangun dan cuba mencari tempat. Sebaik aku menoleh, aku dah nampak seorang lelaki tua berjanggut sampai ke perut sedang duduk bersila kat tepi dinding. Terkejut aku. Dia pandang aku. Tapi aku tundukkan pandangan aku.

“Kau nampak aku,” lelaki tua itu bersuara garau.  Aku tak menyahut. Cuba buat-buat tak nampak. Cuma kuatkan kaki aku yang longlai. Aku berdiri, cuba melangkah ke dapur.

Tiba-tiba pintu rumah tertutup sendiri. Aku menoleh ke arah pintu. Dan aku menjeling ke tempat lelaki tua tadi duduk bersila. Dia tak tiada di situ. Aku beristighfar beberapa kali.

Aku menoleh keliling ruang tamu, tiada sesiapa di situ. Aku pun mula meninjau-ninjau ke sekitar ruang tamu. Ada almari lama dengan penutup kaca, di dalamnya tersusun rapi beberapa pinggan lama yang dah berhabuk. Aku perhatikan setiap inci bahagian dalam almari.

Aku dengar ada bunyi tapak kaki berjalan kat belakang aku. Aku menoleh. Tiada sesiapa. Aku pandang ke arah almari cermin tu kembali, dan sekali lagi aku dengar bunyi tapak kaki berjalan di belakang aku. Aku menoleh lagi dan masih tiada sesiapa di situ.

“Shida?” aku panggil.

“Alin, kau panggil aku ke?” aku dengar suara Rashida dari dalam bilik.

“Kau ada keluar ke sini ke tadi?” aku tanya.

“Takde pun. Aku masih kat bilik ni,” sahut Rashida dari dalam bilik. Aku diam.

“Kenapa Alin?” Rashida menjengukkan kepala keluar dari pintu bilik sambil pandang aku.

“Takde apa.” Kataku perlahan. Rashida kembali menghilangkan diri ke dalam bilik tu.

Aku pula pandang keliling ruang tamu. Kosong.

Aku kembali memandang ke almari cermin tu. Cuba focus dengan tugas aku mencari barang milik mak Rashida. Aku nak cepat jumpa barang tu, supaya kami boleh keluar dari rumah ni segera.

Almari tu ada tiga tingkat. Aku cari bermula dari tingkat paling bawah. Tiada. Tingkat tengah, tiada. Dan masa aku mencari di tingkat paling atas, aku dengar bunyi dengusan nafas. Ada angin sejuk meniup jendela. Aku tak peduli walaupun bulu roma kat belakang tengkuk aku dan meremang. Kulit tangan aku pun dah berbiji biji macam kulit ayam. Tak tahulah sebab sejuk atau sebab lain.

Aku pandang ke arah cermin almari. Ada sesuatu di sana. Bukan di dalam almari tapi di belakang aku. Ada satu wajah lagi di belakang wajah aku. Seperti seorang anak perempuan dalam usia sepuluh tahun Matanya hitam, tiada gigi, hidungnya berlubang.

Cepat-cepat aku menoleh ke belakang aku. Kosong. Aku pandang keliling. Aku perasan ada sesuatu di atas alang rumah. Aku mendongak perlahan-lahan dengan dada yang berdegup kencang.

Aku nampak seperti ada sepasang mata berwarna merah sedang memandang tepat kepada aku. Aku tunduk. Kat atas alang kayu tu gelap, jadi bentuknya tak berapa jelas. Cuma aku pasti, ada sesuatu kat atas alang kayu, sedang memerhatikan aku.

‘Apa benda pula tu?’ desis hati kecil aku.

Walaupun aku taknak pandang, tapi aku nak tahu apa benda tu. Sebab dia diam di situ, tak bergerak. Hanya memerhati. Tapi kalau aku pandang dia, dia akan tahu bahawa aku nampak dia.

Aku tak berani pandang almari cermin tu lagi. Nanti entah apa pula yang aku akan nampak. Aku bangun dan melangkah ke dapur. Ada sesuatu yang sedang bertinggung di atas dapur kayu. Dan kali ni aku jatuh terjelepuk.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s