AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 7

Rumah yang Rashida cakap tu tak jauh dari rumah nenek Rashida. Lepas je kebun pisang tu, sampai dah rumah tu. Rumahnya nampak sunyi macam takde orang. Tapi keliling rumah bersih macam ada yang menjaga rumah tersebut.

“Ada orang ke Shida?” aku tanya.

“Entah, aku pun tak tahu. Tapi mak aku kata, ada Makcik Embun duduk kat rumah ni.” Jawab Rashida tanpa pandang aku. Dia meninjau-ninjau rumah Makcik Embun.

“Assalamualaikum,” panggilnya.

Tiada sahutan. Rashida berjalan ke bahagian tepi rumah tu, dan sekali lagi dia memberi salam. Juga tiada sahutan.

“Kau tunggu sini, aku cuba tengok kat bahagian belakang.” Kata Rashida. Aku angguk je. Rashida melangkah ke bahagian belakang rumah. Aku pula masih di halaman rumah, dekat tangga utama rumah tu. Aku memandang keliling, seronoknya rumah kampung. Sejuk je, takde sesak macam kat Bandar.

Aku dengar Rashida ucapkan salam beberapa kali. Tiba-tiba tingkap rumah kat bahagian depan terbuka. Terkejut aku yang sedang memanjangkan leher memerhati keliling.

Aku melangkah ke tengah halaman supaya aku nampak siapa kat tingkap. Tiada sesiapa tapi tingkap tu terbuka.

“Shida! Shida! Mari sini,” aku panggil Rashida. Rashida berlari datang kat aku.

“Kenapa?” Rashida tanya aku. Aku muncungkan mulut aku menunjukkan ke arah tingkap yang terbuka.

“Assalamualaikum. Makcik Embun, oooo Makcik Embun. Ada kat rumah ke?” Rashida memanggil. Tiada sahutan.

“Takde orang. Angin tolak kot tingkap tu. Tapi takkan diorang tak kunci rumah tu?” Rashida membebel sendirian.

“Cari siapa dik,” tiba-tiba kami dikejutkan dengan suara seorang lelaki. Aku dan Rashida menoleh serentak. Kami nampak seorang lelaki dalam usia 60-an sedang memikul kayu api, berdiri di depan kami.

“Ini rumah Makcik Embun kan?” Rashida tanya lelaki tu.

“Haah, rumah dia la ni. Tapi dia takde dah. Dia dah meninggal dunia tahun lepas. Kenapa nak  cari dia?” Lelaki tu tanya lagi.

“Dia dah meninggal? Siapa tinggal kat rumah ni?” Rashida tanya lagi.

“Takde siapa. Kosong,” kata lelaki itu lagi.

“Ni rumahnya nampak macam berjaga je,” Rashida masih bertanya tak puas hati.

“Rumah ni pakcik yang bersihkan. Anak sulung Makcik Embun ni tinggal kat Johor. Dia minta pakcik jagakan rumah ni. Dia bagi upah untuk pakcik jaga rumah ni,” kata lelaki tu lagi.

“Ooo… Hmmm…. Takpelah kalau macam tu. Pakcik tinggal kat mana?” Rashida bertanya lagi.

“Rumah pakcik kat belakang ni. Kamu berdua ni datang dari mana? Kenapa kamu ni cari dia? Tak pernah lagi orang luar datang cari Makcik Embun ni. Kalau perlu, pakcik boleh cuba hubungi anaknya,” kata lelaki tu lagi.

“Bukan. Saya ni Rashida, ini kawan saya, Alin. Saya ni cucu kepada Wan Endang yang tinggal kat rumah depan kebun pisang tu. Saya memang tak duduk sini sebab keluarga saya dah pindah ke semenanjung sejak sepuluh tahun lalu. Sekarang ni saya balik sebab amanat mak saya minta saya ambilkan barang dari rumah nenek. Tapi tu la, rumah nenek tu gelap, takde bekalan elektrik. Mak saya kata selalunya bekalan elektrik ke rumah nenek tu ditarik dari rumah Makcik Embun ni. Tu yang saya datang sini, ingat nak minta pinjam tarik bekalan elektrik untuk malam ni dan malam esok. Lusa saya balik semenanjung dah.” Kata Rashida panjang lebar. Dan lelaki itu pun tekun mendengarnya.

“Oooo….. kamu cucu Wan Endang. Anak kepada Saliha la ye? Dah besar dah kamu. Dulu kecil lagi masa mak dan ayah kamu bawa kamu pindah ke semenanjung,” kata lelaki itu lagi.

“Pakcik kenal mak saya?” Rashida bertanya.

“Apa pulak tak kenalnya. Orang sini, mestilah pakcik kenal. Pakcik dengan mak kamu tu lebih kurang je umur kami. Sekolah pun sama-sama dulu. Cuma mak kamu bijak sikit, tu yang boleh jadi cikgu. Pakcik ni lembab sikit belajar, malas pun iye. Jadi teruslah tinggal kat sini buat kerja kampung je.” Kata lelaki tu.

Rashida anggukkan kepala memahami cerita lelaki tu.

“Bila kamu sampai sini?” lelaki tu tanya lagi.

“Semalam. Dah tengah malam baru kami sampai. Kami pun ambil flight dah petang.” Sahut Rashida.

“Habis tu semalam bergelap la?” lelaki tu tanya lagi.

“Kami ada bawa lilin dan lampu spot light yang guna bateri tu. Tapi dapat bertahan lapan jam je. Nak cas bateri pun, elektrik takde. Ni yang saya cari Makcik Embun, ingat dia ada lagi. Boleh tarik elektrik dia,” kata Rashida.

“Macam ni la. Pakcik bagi kamu lampu gasolin tiga biji. Kamu tahu guna lampu gasoline kan?” lelaki tadi bertanya.

“Tahu, tapi tak menyusahkan pakcik ke? Kot pakcik pun nak guna,” kata Rashida pula serba salah.

“Pakcik bukannya pakai pun gasoline tu. Guna masa nak pergi kebun waktu malam je. Kat rumah dah ada lampu elektrik. Sekarang bukan musim buah, pakcik tak pergi kebun malam-malam.” Kata lelaki tu lagi.

“Kalau macam tu, bolehlah saya pinjam gasoline pakcik ye. Nanti nak balik saya pulangkan semula.” Kata Rashida.

“Boleh, kamu tunggu sini, pakcik pergi ambilkan,” kata lelaki tadi sambil melangkah ke bahagian belakang rumah Makcik Embun.

“Nasib baik jumpa pakcik tu tadi. Kalau tak, bergelap la kita,” kata Rashida.

Aku tak menyahut, tapi dari sisi mata aku, dari arah tingkap yang terbuka tadi, aku perasan ada sesuatu yang bergerak di dalam rumah Makcik Embun. Aku pandang terus ke tingkap tu. Rashida pula menghadap aku dan membelakangkan rumah Makcik Embun.

Aku kecilkan mata aku supaya aku dapat lihat ke dalam tingkap rumah Makcik Embun. Aku nampak macam susuk tubuh seorang perempuan tua dengan rambut mengerbang dan hidungnya panjang. Dia Cuma berdiri tak jauh dari tingkap, nampak macam pakai baju berwarna kuning lembut, sedang memandang ke arah aku dan Rashida yang menunggu di halaman rumah.

Aku tepuk tangan Rashida. Rashida pandang aku. “Kenapa Alin?” Dia tanya. Aku tunjukkan ke arah tingkap rumah Makcik Embun yang terbuka. Rashida memandang ke arah yang aku tunjukkan tu. “Kenapa? Kau nampak apa?” Rashida tanya lagi sambil matanya melilau ke arah tingkap rumah Makcik Embun yang terbuka.

“Ada orang kat dalam rumah tu,” kataku separuh berbisik.

“Mana? Aku tak nampak pun. Gelap je dalam rumah tu,” kata Rashida, masih gigih melihat dan mencari apa yang aku cakap kat tingkap rumah Makcik Embun tu.

“Nah ni gasolinnya. Minyak semua pakcik dah letak. Kamu Cuma pasang je nanti,” tiba-tiba lelaki tadi muncul di depan kami. Serentak kami melompat akibat terkejut.

“Eh, maaflah kalau pakcik dah buat kamu terkejut.” Kata lelaki tadi.

“Takdelah pakcik. Kawan saya katanya dia nampak macam ada orang kat dalam rumah Makcik Embun ni. Tu yang kami perhati tu,” kata Rashida sambil menyambut dua gasoline dari tangan lelaki itu dan menyuruh aku mengambil lagi satu.

“Mana ada orang. Perasaan kamu je tu. Dah, pergilah balik rumah nenek kamu. Hati-hati, Kalau nak apa-apa, boleh cari pakcik kat rumah belakang ye,” kata lelaki itu lagi.

“Maaf, pakcik. Kita dah sembang lama. Tapi saya tak tahu nama pakcik,” kata Rashida.

“Panggil Pakcil Manaf je.” Sahut lelaki tadi.

“Pakcik, kalau saya minta pakcik potong rumput kat rumah nenek saya, boleh ke? Berapa upah pakcik potong rumput, nanti saya bayar,” kata Rashida.

“Boleh je. Kalau macam rumah nenek kamu tu, pakcik ambil RM50, mesin keliling rumah, tapi tak sampai jalan la,” kata Pakcik Manaf.

“Bolehlah pakcik. Nanti pakcik tolong potong rumput rumah nenek ye,” kata Rashida.

“Boleh, petang sikitlah. Lepas asar macam tu,” Pakcik Manaf membalas sambil tersenyum memandang aku. Entahlah kenapa hati aku ada prasangka buruk kat Pakcik Manaf ni. Matanya asyik melirik ke arah tingkap rumah Makcik Embun yang terbuka.

“Baiklah Pakcik Manaf. Terima kasih banyak-banyak sebab bagi pinjam gasoline ni. Takdelah bergelap kami malam nanti. Bila kami dah nak balik nanti, kami pulangkan semula gasoline ni ye,” kata Rashida lagi.

“Iya. Jangan risau. Tinggalkan aje kat bawah rumah nenek kamu tu pun boleh. Nanti pakcik ambil je dari sana,” kata Pakcik Manaf lagi sambil melihat kami melangkah meninggalkan rumah Makcik Embun.

Sebelum melangkah lebih jauh, aku sempat menoleh ke tingkap rumah Makcik Embun yang terbuka. Dan bayang perempuan tadi masih berdiri di situ memandang kami. Walaupun siang, hari cerah, bulu tengkok aku berdiri. Aku yakin aku nampak perempuan tu.

Dan aku nampak Pakcik Manaf menoleh ke arah tingkap yang terbuka. Dia seakan memberi isyarat kepada seseorang di dalam rumah tersebut. Dan tingkap rumah Makcik Embun tertutup dengan sendirinya. Rashida yang sedang melangkah seiringan dengan aku pun berhenti melangkah lalu menoleh ke arah rumah Makcik Embun.

Dia kerutkan dahi lalu memandang aku. “Siapa tutup tingkap tu?” Dia tanya aku. Aku angkat bahu. “Pakcik Manaf kot. Dia tolak dari luar,” kata Rashida. Aku diam Tapi aku menoleh semula ke arah rumah tu. Tingkap rumah tu tinggi kot, kalau nak kata Pakcik Manaf tutup tanpa naik tangga.

“Kau nampak orang ke kat dalam rumah tu?” Rashida tanya aku.

“Aku salah tengok kot. Atau ada kucing atau tikus berlari dalam rumah tu agaknya,” sahutku.

“Takkan kucing pandai buka dan tutup tingkap,” kata Rashida sambil meneruskan langkah pulang ke rumah neneknya. Aku tak menjawab, jalan je terus. Taknak pandang ke rumah Makcik Embun, atau Pakcik Manaf lagi. Lain macam meremang bulu roma aku tadi.

Kami perlu lalui kebun pisang sekali lagi untuk kembali ke rumah nenek Rashida. Hati aku kecut lagi. Walaupun takut, mata aku melilau juga memandang ke dalam kebun, tercari-cari perempuan berbaju merah tadi. Takde. Aku jalan laju, rasa macam diperhatikan je. Rashida pun terikut jalan laju, sampai tercungap-cungap dia ketika sampai kat tangga rumah neneknya.

“Kau nak lumba jalan kaki ke apa?” Rashida tanya aku. Aku tak menyahut. Tapi aku memandang ke arah buaian di bawah rumah. Ianya masih berayun.

“Shida, buaian tu memang berayun sendiri ke?” aku tanya sambil menunjukkan ke arah buaian tu.

“Ada kucing kot kat dalam tu,” kata Rashida sambil melangkah ke bawah rumah dan menuju ke buaian tersebut. Aku pula yang kecut perut. Kalau aku, memang takdelah aku nak pergi tengok apa yang buatkan buaian tu bergerak sendiri. Sebab tadi aku dah nampak benda yang duduk kat buaian tu.

“Shida, tak payah lah tengok. Jom kita naik atas. Cari barang yang mak kau suruh bawa balik tu.” Kataku perlahan.

Rashida menoleh kat aku. “Sekejap aku nak tahu juga kenapa buaian ni bergerak sendiri. Takkan ada hantu kot siang-siang buta ni. Tapi kan, kalau ada hantu, mesti kau dah nampak kan?” kata Rashida sambil menarik kain buaian.

“Eauuuu!” terduduk Rashida kat situ bila seekor kucing hitam melompat keluar dari buaian tu. Kusss semangat, dengan aku-aku sekali terduduk terkejut.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s