AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 6

Lembaga itu seakan lelaki tua yang berusia ratusan tahun kerana telinga dan hidungnya yang dah memanjang, matanya seakan tersembul keluar, rambutnya panjang dan keras. Dia duduk di kerusi sambil melipat kaki kanannya seperti manusia biasa.

Sedang aku memerhati lembaga lelaki tua yang pelik tu, aku dengar bunyi lantai kayu rumah dipijak perlahan dari arah dapur. Bunyi derap kaki tu makin keluar dari pintu dapur. Aku menunggu dengan penuh debar. Jantung aku berdegup pantas, kalau ada pertandingan larian pantas, jantung aku la yang paling laju.

Aku nampak satu lembaga menyerupai perempuan tua yang juga pada kiraan aku dah berusia ratusan tahun. Strukur badannya yang membongkok lebih rendah dari keadaan kita rukuk dalam solat. Dan dia berjalan mengiring ke kanan. Perempuan tua itu menghala kepada lelaki pelik tadi.

Sedang aku memerhati, tiba-tiba kedua-dua mereka memandang aku serentak. Aku pejamkan mata aku rapat-rapat. Ya Allah, kalaulah aku tahu macam ni keadaan rumah Rashida, aku sanggup keluar belanja sewa hotel bajet. Sebab selalunya aku diigaukan dengan suasana kampung yang menenangkan, sejuk dan nyaman. Mana aku tahu ada kampung yang macam ni.

Aku buka mata perlahan-lahan, kedua-dua mereka dah tiada di meja tadi. Aku menoleh ke arah tepi meja, dan masa tu aku nampak kedua-dua mereka sedang mencangkung kat belakang aku dan pandang aku tanpa berkedip mata. Aku rebah, tak sedar diri dah.

Aku sedar bila aku rasa ada orang tepuk pipi aku. Aku buka kelopak mata aku perlahan-lahan. Aku lupa apa yang terjadi semalam. Cuma aku rasa kepala aku sakit.

“Alin, bangun. Dah subuh. Pergi solat,” aku dengar suara Rashida. Aku kuatkan diri untuk duduk. Aku pandang keliling. Aku nampak Rashida sedang mengikat langsir tingkap.

“Dah lama kau bangun Shida?” aku tanya.

“Baru je. Ini pun dah terlajak ni. Kau pergilah solat subuh dulu, takut terlepas nanti,” kata Rashida. Aku bingkas bangun, membuka beg pakaian aku dan mengambil tuala.

“Aku rasa baik kau solat je dulu. Sejuk ni kalau kau nak mandi. Nanti matahari terbit baru kau mandi. Sebab air kolah tu dah lama bertakung, aku takut kau demam nanti sebab sejuk sangat. Nanti aku dan buang air kolah tu dulu, kita tadah air lain baru kau mandi,” kata Rashida sambil melangkah ke dapur.

Aku akur. Melangkah ke dapur dan membuka pintu keluar ke bilik air seperti yang Rashida dah tunjuk semalam. Di kaki gunung, aku nampak sinar matahari yang makin menunjukkan diri. Cantik.

“Shida, kau tunggu aku kat atas tangga ni. Aku takut la,” kataku.

“Iyelah, aku tunggu kau kat sini. Aku nak jerang air. Nanti boleh kita mandi dengan air panas,” kata Shida.

Aku terus menuruni tangga dan menghala ke bilik aku. Aku tolak pintu bilik air. Dengan bantuan lampu tangan, aku pandang keliling bilik air. Tiada sesiapa, atau apa-apa.

“Kau nampak apa-apa ke Alin?” Shida bertanya dari atas tangga bila dia lihat aku berhenti kat pintu bilik air.

“Takde apa.” Sahutku.

Aku terus berkumur dan basuh muka lalu mengambil wudhu. Betul-betul sejuk airnya, macam ais batu kat rumah aku je. Menggigil aku cuba bertahan mengambil wudhu sampai basuh kaki. Sejuk.

Selesai ambil wudhu, aku terus keluar dan naik tangga semula. Rashida sedang membakar kayu api di dapur. Tak sangka aku berpeluang melihat dapur kayu lagi. Ingatkan dah takde dapur kayu macam tu di zaman moden ni.

Selesai solat Subuh, aku sidai telekung dan sejadah di ampaian yang berada di tepi dinding. Dari celahan dinding kayu, aku nampak cahaya matahari yang mula mencerah. Aku jenguk ke dapur, tak nampak Rashida. Aku panggil Rashida tapi tak dengar bunyi dia menyahut.

Tapi aku nampak satu lagi pintu di dapur terbuka. Di dapur tu ada dua pintu rupanya. Satu pintu untuk ke bilik air dan tandas. Satu lagi pintu juga perlu menuruni tangga kayu, untuk terus keluar ke halaman rumah. Aku jenguk ke pintu yang terbuka. Aku nampak Rashida kat bawah rumah.

“Shida, kau nak ke mana?” aku panggil. Rashida menoleh.

“Aku nak tengok kalau ada kedai makan area sini. Atau ada orang menjual sarapan ke untuk kita makan pagi ni,” kata Rashida.

“Tunggulah aku, kita jalan sekali,” kataku.

“Tak payahlah, kau rehat je. Buka semua tingkap. Dari tingkap kau boleh nampak matahari terbit kat kaki gunung. Cantik tau.” Kata Rashida.

Aku tak menyahut, hanya memandang Rashida yang melangkah ke arah hutan belakang rumah tu. Aku masuk semula ke dalam rumah. Aku buka semua tingkap dan pintu keluar. Hari dah cerah. Betullah kata Rashida, dari tingkap rumah yang terbuka, aku nampak matahari terbit. Cantik. Memang cantik ciptaan Allah.

Aku pandang ke dalam rumah. Susunan rumah tu cantik. Tak banyak barang. Kalau ada pun semuanya barang lama. Ada meja makan, ada almari lama. Ada almari kaca yang di dalamnya ada pinggan mangkuk corak orang dulu-dulu, ada satu kerusi malas rotan dan beberapa labu air yang bermacam corak. Semuanya nampak seperti barang lama tapi tak kotor, takde habuk. Seperti ada yang menjaga rumah tu.

Sedang aku membelek-belek rumah, Rashida muncul semula dari arah pintu dapur. Di tangan kanannya ada plastik berisi bungkusan makanan. Dan di tangan kirinya ada plastik berisi air kopi dan teh panas.

“Jom kita makan dulu. Nanti dah kenyang, kita ronda-ronda sekitar rumah ni. Aku tak pasti samada jiran sebelah sana tu masih boleh kongsikan bekalan elektrik. Sebab mak aku cakap, bekalan elektrik ke rumah ni memang ditarik dari rumah jiran hujung sana. Tapi kalau tak boleh tarik, kita pakai lilin dan lampu tangan je la, kau ok kan?” Rashida tanya aku.

“Aku ok je. Semalam pun kita pakai lilin dan lampu tangan tu je, nampak semua juga,” sahutku.

“Lepas tu aku nak cari barang yang mak aku suruh ambil tu,” kata Rashida sambil membuka bungkusan makanan. Ada mee dan bihun goreng. Lepas tu ada beberapa jenis kuih. Aku kenal karipap je, yang lain tu aku tak kenal.

“Kau nak mee ke bihun?” Rashida tanya aku. “Bagi aku bihun la,” sahutku.

“Nah ni air kopi kau. Kau kan tak sempurna kalau tak dapat kopi,” kata Rashida sambil menghulurkan plastik berisi kopi panas kat aku. Aku ambil plastik air kopi tu lalu masukkan ke dalam cawan yang Rashida dah letak kat tepi aku tadi.

“Kau beli kat mana ni?” aku tanya sambil makan.

“Kat seberang hutan belakang rumah ni, ada jalanraya. Kat tepi jalan tu ada seorang makcik ni jual semua ni. Aku beli je la.” Kata Rashida sambil turut sama makan mee gorengnya.

“Ni kuih apa?” aku tanya “Ini kuih cempiang kalau tak silap aku. Yang ni kuih penjaram, kalau kat semenanjung kita panggil cucur gula merah. Yang cempiang ni aku tak berapa tahu. Tapi dia ada rasa rempah-rempah sikit. Aku suka yang ni. Kau cubalah,” kata Rashida memperkenalkan kuih-kuih tu kat aku.

“Kau kata kau dah tinggalkan tempat ni lama. Sejak kau masih kecil. Macammana kau boleh kenal semua kuih-kuih ni?” aku tanya dengan wajah penuh tanda tanya.

“Mak aku orang sini, asal sini. Dah tentu sesekali dia rindu makanan dari kampung halamannya. Dia masak la. Aku tukang makan. Mula-mula memang nampak macam cucur biasa, tapi bila kau makan, baru kau tahu rasanya berbeza,” kata Rashida sambil menghirup teh panasnya.

Aku tak cakap banyak, terus makan sarapan kami. Selesai sarapan, Rashida ajak aku keluarkan semua air dari kolah. Katanya air tu dah lama, tak elok untuk mandi. Takut demam nanti. Lepas kamu keluarkan air dari kolah tu, Rashida sumbat semula lubang di bahagian bawah kolah yang kami buka tadi untuk keluarkan air. Lepas tu dia pasang paip dan isi air baru ke dalam kolah.

“Nanti dah penuh, kau mandilah dengan air baru ni. Isi air panas yang aku jerang tadi dalam baldi tu, campur dengan air dari kolah ni. Takdelah sejuk sangat nanti. Sorry la, aku takde water hitter,” kata Rashida.

Masa ni aku kagum dengan dia. Rashida sebenarnya seorang yang agak slow di universiti. Dia tak banyak bergaul dengan orang lain. Dia bergaul dengan aku pun sebab kami tinggal sebilik. Dia jarang bercerita tentang kampungnya. Loghat dia pun dah tak macam orang Sabah. Tapi dia kata dia masih faham loghat-loghat di sesetengah kawasan di Sabah. Iyelah, mak dia orang Sabah kan.

Tapi bila di sini, aku nampak dia bijak dari apa yang aku sangkakan. Aku rasa, Rashida ni kalau sesat dalam hutan, dia masih boleh hidup. Aku ni pula, kalau sesat dalam hutan, tunggu mati je la agaknya.

Lepas aku mandi, Rashida ajak aku keluar rumah. Aku ikut. Halaman rumah penuh semak samun. Rashida ambil penyapu dan sapu lantai kayu di beranda rumah. Aku turun ke tanah.

Aku pandang keliling. Dan mata aku terpaku pada satu susuk tubuh yang berdiri di tengah-tengah kebun pisang di tepi rumah Rashida. Perempuan dalam usia mak aku, memakai baju kurung lusuh berwarna merah dan rambut disanggul. Dia memerhatikan aku dan Rashida.

“Shida, siapa tu?” aku panggil Rashida. Rashida memandang ke arah yang aku tunjuk.

“Mana?” Rashida tanya aku dengan dahi berkerut, cuba mencari orang yang aku tunjuk tu.

 “Tu, kat tengah-tengah kebun pisang tu,” kataku sambil menuding jari dengan muncung-muncung mulut sekali nak tunjukkan perempuan tu kepada Rashida.

“Takde siapapun kat situ.” Kata Rashida.

“Betul kau tak nampak? Perempuan baya mak aku, pakai baju kurung warna merah,” kataku. Rashida gelengkan kepala sambil masih meninjau-ninjau ke arah yang aku tunjuk.

Dan aku turunkan tangan aku. Aku pandang wanita itu. Dia masih dalam keadaan tadi, memandang kami tanpa berkelip mata. Aku pula yang berdebar. Kalau aku nampak dan Rashida tak nampak, maknanya itu bukan manusia? Tapi takkanlah hantu keluar waktu siang? Tak mustahil juga, sebab aku selalu je nampak benda-benda halus ni masa kat kuliah waktu siang, pagi ada, petang pun ada.

Aku memandang ke arah lain. Melihat ke arah bawah rumah. Rashida masih menyapu di beranda. Dan sekali lagi aku nampak seseorang di bawah rumah. Duduk di buaian kain yang kainnya diikat di tiang rumah. Perempuan tua. Juga memandang aku.

“Shida,” aku panggil Rashida. Rashida datang kepada aku.

“Bawah rumah tu, yang sedang duduk kat dalam buaian kain tu, ada orang. Kau nampak ke?” aku tanya. Rashida tunduk dan melihat ke arah yang aku tunjukkan tu. Lama juga dia melihat.

“Ada orang tak?” aku tanya Rashida.

“Takde siapa pun,” sahut Rashida. Aku pandang Rashida agak lama.

“Kenapa ni Alin? Kau nampak benda ke?” Rashida tanya aku.

“Aku nampak susuk tubuh orang. Aku ingatkan orang macam kita, tapi kalau kau tak nampak, maknanya bukan orang la,” kataku perlahan.

“Dah, jom pergi rumah jiran aku kat hujung sana. Kot-kot boleh pinjam tarik bekalan elektrik dari rumah dia ke rumah nenek aku ni untuk malam ni dengan malam esok. Lusa kita dah nak balik,” kata Rashida. Wajahnya nampak cuak bila aku kata aku nampak orang tapi dia tak nampak. Tapi dia cuba kawal perasaannya, aku tahu. Aku kenal sangat dengan Rashida ni.

Aku ikut Rashida. Kami perlu melintasi tepi kebun pisang untuk ke rumah jiran hujung yang Rashida cakap tadi. Dan perempuan berbaju kurung merah tadi masih di sana, memerhati kami. Aku tundukkan muka aku, taknak bertentang mata dengannya. Aku taknak tengok pun rupanya macam mana.

Aku cuba berjalan macam biasa. Walaupun aku rasa macam aku berjalan seperti ketam sebab cuba kawal diri aku yang agak panik masa tu. Yang kat bawah rumah masih berayun, yang kat tepi ni masih memandang.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s