AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 5

Aku kembali ke kereta sewa. Aku masuk ke dalam kereta. Rashida masih pejamkan mata sambil jarinya menekan-nekan dahinya.

“Ada lagi ke lauknya?” Pakcik tu tanya aku.

“Tak banyak. Tinggal kuah je. Cukuplah untuk kami makan malam ni, sementara tunggu pagi esok,” sahutku. Pakcik tu terus memandu kereta sewa.

“Kau ok ke ni Shida? Teruk aku tengok kau ni. Makan je la pain killer tu,” aku tegur Rashida sambil tangan aku memicit-micit kepalanya. Rashida tak menyahut. Memang benci betul dia kalau disuruh makan ubat.

Perjalanan kami melalui jalan yang tak berturap dan kecil. Tiada kenderaan lain. Gelap dan sunyi. Sesekali terdengar pokok bergoyang. Sebab Pakcik tu tak pasang air-cond. Tingkap pun buka separuh. Sejuk sangat kat situ.

Aku tak berani nak pandang keliling. Sebab macam terasa-rasa ada yang mengikut. Dah la Rashida macam tu, aku pula ini kali pertama ke tempat asing. Aku tengok jam, pukul 9 malam. Tapi aku rasa macam dah tengah malam dah.

Lebih kurang setengah jam dari kedai makan tadi, pakcik tu memberhentikan kereta sewanya di hadapan sebuah rumah usang. Kelilingnya penuh hutan. Halamannya penuh semak samun. Aku dongak ke langit, banyak bintang bertaburan, tiada bulan menunjukkan diri.

“Dah sampai.” Kata pakcik tu tanpa memandang kami. Matanya melilau melihat keliling. Muka macam cuak je.

“Berapa pakcik?” aku tanya.

“RM80.00” sahut pakcik tu. Rashida menarik tangan aku lalu meletakkan sekeping wang kertas RM100.00.

“Bayar je, tak payah ambil baki,” katanya berbisik. Aku anggukkan kepala.

“Nah pakcik. Simpan bakinya. Terima kasih sebab sudi hantar kami di tengah malam buta kat kawasan macam ni,” kataku.

“Terima kasih banyak. Jaga diri. Nampak rumah macam dah usang tu. Hutan lagi. Boleh ke ni?” Pakcik tu tanya.

“Boleh,” Rashida menjawab perlahan lalu melangkah keluar dari kereta. Aku pun ikut sekali.

“Pergilah masuk rumah tu dulu. Saya suluhkan lampu kereta ni. Dah masuk nanti, saya pergi,” kata Pakcik kereta sewa tu. Aku dan Rashida akur. Aku ikut langkah kaki Rashida menuju ke rumah usang tu.

Aku nampak sesuatu. Di atas bumbung. Bulu roma aku meremang. Aku tundukkan wajah. Aku taknak tengok walaupun aku tahu ada mata yang memandang kami. Di kiri kanan, semak samun tu bergerak-gerak, seakan ada yang melalui kawasan tu, mengekori langkah kami. Aku tak toleh dah. Aku ikut Rashida rapat-rapat.

Sampai kat kaki tangga pintu depan rumah, Rashida melangkah anak tangga rumah tu satu persatu. “Hati-hati Alin. Tangga ni dah usang. Naik perlahan-lahan,” kata Rashida. Aku hanya anggukkan kepala.

Rashida tolak pintu rumah, terus terbuka. Tak berkunci pun. Dia lalu membuka lampu dari telefonnya. Aku pun berbuat begitu. Rashida masuk ke dalam rumah. “Masuklah Alin, tutup pintu tu. Kunci guna selak tu je,” kata Rashida.

Aku menjenguk ke luar pintu. Melihat ke arah kereta sewa tadi. Aku lambaikan tangan ke arah kereta tu. Dan aku rasa pakcik tu nampak lambaian aku lalu dia bunyikan hon kereta dan mula meninggalkan kawasan situ.

Masa kereta tu nak berlalu pergi, aku nampak sesuatu yang seakan mencangkung di atas bumbung keretanya. Tapi tak jelas. Cuma aku yakin ada sesuatu di atas bumbung keretanya. Cepat-cepat aku masuk semula ke dalam rumah. Dan masa nak tutup pintu, dari celahan pintu yang hamper tertutup, aku nampak seseorang sedang duduk di atas tangga, membelakangkan aku.

“Tutup pintu tu cepat Alin, jangan tengok apa-apa dah,” Rashida menegur aku. Aku pun terus tutup pintu walau hati aku nak tahu siapa duduk kat tangga tu.

Aku kunci pintu. Guna selak kayu je di atas dan dibawah pintu. Kat tengahnya pun ada sebatang kayu panjang sebagai kunci. Betul-betul macam rumah dulukala. Nostalgia sungguh.

Aku memandang Rashida yang sedang memasang lilin. Patutlah dia bawa berkotak-kotak lilin dalam beg dia. Aku letak beg. Meninjau-ninjau rumahnya.

“Maaf Alin, rumah nenek aku ni dah usang. Tapi kau jangan risau, kayunya masih teguh. Cuma tiada bekalan elektrik.” Kata Rashida.

“Takpe. Aku suka rumah kampung macam ni.” Sahutku. Rashida menuju ke satu ruang yang aku rasa itu adalah dapur. Seketika kemudian, dia datang semula dengan botol mineral dan semangkuk air.

“Jom kita makan dulu. Kau dah buat jamak masa maghrib tadi kan?” Rashida tanya aku. Aku anggukkan kepala lalu duduk di depan Rashida.

Kami buka bekalan makanan yang aku beli kat kedai makanan tadi. “Ini je lauk yang ada Shida.” Kataku. “Takpe, ini pun dah cukup. Untuk malam ni je. Esok kita cari makanan sempurna sikit,” kata Rashida. Aku anggukkan kepala. Mungkin sebab kami dah keletihan sangat, walaupun perut lapar tapi kami tak boleh habiskan makanan yang sikit tu.

Selesai makan, Rashida masuk ke dalam satu lagi pintu. Aku rasa itu bilik kot. Sebab lepas tu dia keluar bawa segulung tilam lalu membentangnya di ruang tamu. Lepas tu dia masuk semula ke bilik tu dan membawa keluar beberapa biji bantal.

“Dah lama kan rumah ni tak berpenghuni? Tapi kenapa masih banyak barang?” tanyaku.

“Kami yang dah lama tinggalkan rumah ni. Tapi rumah ni masih berpenghuni. Lepas nenek aku meninggal dunia, ada la yang jaga rumah ni. Setahu aku, mak aku ada la bayar orang untuk tengokkan rumah ni. Macam yang aku cakap, rumah ni masih elok. Walaupun dah ditinggalkan lama. Sekarang nak cerita memang susah sebab gelap. Esok kau tengoklah, rumah ni macammana. Mesti kau kagum,” kata Rashida sambil merebahkan tubuhkan di tilam.

“Kau taknak makan ubat ke Shida? Baik kau makan ubat. Tadi kan dah makan nasi sikit, makanlah ubat.” Aku pujuk Rashida suruh dia makan ubat.

“Takpelah, nanti aku bangun tidur, legalah ni.” Kata Rashida.

“Tandas kat mana? Aku nak buang air ni. Lama dah tahan,” kataku.

“Kena turun tangga kat belakang dapur. Tandas dan bilik air kat situ,” kata Rashida.

“Ada air tak?” aku tanya lagi.

“Ada. Kat sini air tak putus sebab air dari gunung belakang ni. Tapi sejuk gila,” kata Rashida.

“Jom la teman aku ke bilik air sekejap. Tak tahan ni,” kataku.

Rashida bangun sambil memicit kepalanya. Mukanya agak pucat. Kesian pula aku tengok dia. Tapi aku pun takut nak ke tandas sendirian.

Rashida melangkah ke dapur. Aku ikut. Di dapur ada satu pintu, Rashida buka pintu tu. Ada tangga tapi Rashida tak turun. Dia tunjuk kat aku. “Tu ha tandas dan bilik air. Aku tunggu kat sini boleh?” dia tanya aku. Aku jenguk ke bahagian bawah tangga.

“Nah bawa lampu ni,” Rashida bagi aku lampu yang dia bawa dari universiti kami. Terang lampu tu, guna bateri yang boleh dicas.

Aku melangkah turun tangga kayu tu perlahan-lahan. Sampai di bawah tangga, ada dua pintu masuk. Satu ke tandas, satu lagi ke bilik air. Aku menolak pintu masuk ke bilik air. Aku tengok ke dalam. Elok je, tak nampak macam dah lama ditinggalkan. Ada kolah besar, penuh air kat dalamnya.

Aku ambil cebok yang tergantung di tepi dinding, aku cedok air. Perggghhhh sejuk gila. Betullah kata Rashida. Menggigil aku, terjerit sikit.

“Alin, kau ok tak?” aku dengar Rashida panggil aku.

“Aku ok. Terkejut air ni sejuk sangat.” Sahutku.

“Kan aku dah cakap, air tu dari gunung. Dah tentu sejuk. Tambahan dah lama bertakung kat dalam kolah tu,” kata Rashida. Aku diam. Aku letak lampu kat tepi kolah.

Sebaik sahaja aku lepaskan hajat aku, aku jirus kaki. Aku ambil semula lampu yang aku letak di tepi kolah tadi. Tapi masa ni aku nampak sesuatu, duduk di tepi kolah tu. Aku pejamkan mata, taknak tengok. Bulu tengkok dah naik mencanak dah.

Aku buat-buat tak nampak benda tu. Aku tunduk. Tangan meraba tangkai lampu.

“Kau nampak aku kan?” aku dengar suara garau seakan nenek tua. Aku diam. Aku melangkah ke arah pintu. Dan aku perasan benda tu mengikut kat tepi aku. Dia seakan perempuan tua, tapi berjalan membongkok seperti monyet. Rambutnya panjang sampai meleret ke lantai. Aku cuba sedaya upaya untuk tak bertentang mata dengannya.

Sampai kat pintu, aku nak tarik pintu tu. Tapi aku nampak ada ada sesuatu yang bergayut kat tengah pintu tu. Nampak macam bayi yang tergantung dalam buaian. Masa ni aku dah menggeletar. Aku nak panggil Rashida, tapi suara aku tersekat.

“Auuuuuuuuuuu!” Aku dengar lolongan anjing yang panjang, dekat je. Macam kat luar dinding bilik air ni je. Bersahut-sahutan. Aku diam sekejap, tunduk ke lantai.

“Uk..uk…uk…uuukkkkkk!” aku dengar bunyi. Macam kat belakang aku. Aku nak menoleh tapi takut. Bunyi tu macam dekat je dengan kaki aku. Nak kata bunyi monyet, bukan. Nak kata bunyi binatang, dia seakan serak-serak macam suara orang.

“Bismillahirrohmaanirrohim,” aku baca perlahan.

“Heeheeeheeee…” aku dengar jelas. Tapi aku cuba untuk tak memandang keliling.

“Bismillahirrohmaanirrohim,” aku ulang.

“Heeeheeeheeee….” Dan dia juga mengulang.

“Allahu Akbar… Allahu Akbar…” aku ucap perlahan, tak keluar suara pun.

Dan pintu bilik air terbuka. Rashida berdiri kat tengah pintu. “Apa lama sangat?” Rashida tanya aku. Aku tak jawab. Tapi aku lega sebab nampak Rashida kat situ.

“Aku panggil kau beberapa kali, kau tak menyahut. Ingatkan kau dah tidur kat dalam bilik air ni,” rungut Rashida lagi. Dan aku masih juga diam.

“Dah, jom naik atas. Aku mengantuk ni,” kata Rashida menarik tangan aku. Aku ikut je. Aku dengar beberapa bunyian kat belakang aku. Ada bunyi macam besi buaian yang diayunkan, berkeriut keriut. Ada bunyi nafas kuat. Ada bunyi besi meleret. Ada bunyi hentakan kaki. Macam ramai sangat yang berada kat dalam bilik air tu.

Rashida kunci pintu dapur. Aku terus ke ruang tamu dan berbaring di atas tilam yang dibentang oleh Rashida tadi. “Kau kena pakai baju sejuk Alin, sejuk ni. Aku tak jumpa selimut. Esoklah aku cari,” kata Rashida sambil turut sama berbaring kat sebelah aku.

Aku duduk semula, menarik beg baju aku. Memang betul, sejuk betul, sampai ke tulang. Aku seluk ke dalam beg dan ambil baju sejuk dan stokin. Aku pakai stokin dan sarung baju sejuk ke badan. Lepas tu aku baring semula.

“Kita tidur dulu ye Alin. Esoklah kalau nak buat apa-apapun. Esok jugalah aku tunjukkan kat kau dalam dan luar rumah ni,” kata Rashida.

“Ok Shida. Selamat malam,” kataku. Aku pun taknak ganggu Rashida lagi. Sebab dia sakit kepala. Biarlah dia tidur. Semuanya dah cukup untuk malam ni.

Aku pejamkan mata. Masa ni aku dengar bunyi derap kaki seperti orang melangkah. Aku buka mata aku perlahan-lahan. Rashida masih baring kat tepi aku.

Aku pandang ke meja yang Rashida letak lilin tadi. Ada empat lilin kat situ. Aku nampak lilin tu terpadam satu persatu seperti ada yang meniupnya.

“Shida,” aku berbisik memanggil Rashida tapi dia tak menyahut. Aku dengar bunyi dengkurannya. Dia dah lena. Aku pandang semula ke meja tadi. Tinggal satu ke lilin yang menyala.

Aku pejamkan mata. Aku dengar bunyi kerusi ditarik. Aku buka mata semula, perlahan-lahan tanpa gerakkan badan aku. Aku tengok ke arah meja tadi. Aku nampak satu lembaga sedang duduk di situ. Memerhatikan kami.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s