AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 3

Aku tarik tangan Rashida, bawa dia ke satu tempat lain. Aku suruh dia istighfar. Aku suruh dia kuat. Aku baca Al-Fatihah, Al-Ikhlas, apa-apa surah yang aku ingat. Rashida Nampak lemah, diam je. Tunduk. Aku risau sangat. Aku tahu dia dah hampir terasuk sama.

Aku nampak Ustaz Malik berjalan laju ke arah dewan kuliah. Aku panggil Ustaz Malik. Ustaz Malik pandang aku.

“Ustaz, dia ni macam hampir terkena. Boleh tengokkan tak sebelum kena rasuk macam yang lain.” Kataku perlahan. Ustaz Malik memegang ubun-ubun kepala Rashida. Entah apa dibacanya, lalu meniupkan ke ubun-ubun kepala Rashida.

“Bawa dia balik ke bilik. Suruh dia mandi. In Shaa Allah dia ok,” kata Ustaz Malik dan terus berlalu meninggalkan kami.

“Ustaz,” aku panggil Ustaz Malik. Ustaz Malik pandang aku sekilas.

“Ada beberapa orang dah lari keluar dari dewan kuliah. Mereka dah terasuk juga. Saya tak pasti pelajar blok mana,” kataku kepada Ustaz Malik. Ustaz Malik anggukkan kepala tanda faham.

“Kamu balik ke bilik terus. Bawa kawan kamu pergi.” Kata Ustaz Malik.

“Lagi satu ustaz. Ada dua orang perempuan yang bukan pelajar university ini kat dalam dewan. Mungkin itu penyebabnya mereka semua terkena histeria ni,” kataku membuatkan Ustaz Malik berhenti melangkah dan pandang aku.

Aku pula pegang tangan Rashida dan pimpin dia balik ke bilik, tanpa pedulikan apa yang dah jadi kat dewan kuliah. Sampai kat bilik, aku suruh Rashida mandi sampai menggigil dia. Sampai dia merayu la suruh aku berhenti jirus dia.

“Kau ok ke tak ni?” aku tanya Rashida. Walaupun aku dah biasa tengok benda-benda pelik ni, tapi jujur aku kata, aku masih penakut. Perkara paling aku takut ialah bila aku tak tahu itu orang atau bukan. Macam sekarang ni, itu  Rashida atau benda lain yang masuk ke dalam diri dia.

“Aku ok. Jangan risau. Tadi je aku rasa macam mabuk sikit. Aku nampak beberapa Lembaga hitam cuba tarik aku. Aku nak menjerit tapi suara aku tak keluar. Sekarang dah ok,” kata Rashida lagi.

Aku terdiam. Agaknya macam tu la orang yang terkena histeria tu. Dia nampak sesuatu tapi tak tahu nak beritahu macammana sebab orang lain tak nampak. Pasal tu orang yang diserang histeria tu selalu menjerit macam orang gila. Orang nampak macam dia gila, tapi dia sebenarnya cuba lari dari sesuatu yang orang lain tak nampak.

Tiga hari kot universiti kami tutup. Semua kuliah dihentikan serta merta. Pelajar yang terkena serangan histeria dah dihantar pulang ke rumah keluarga masing-masing. Ada yang penjaga datang jemput setelah dimaklumkan oleh pihak universiti. Dengar khabar, sebaik sahaja keluar dari pagar universiti, mereka semua dah ok.

“Alin, haritu awak ada cakap bahawa ada dua orang perempuan lain kat dalam dewan kuliah masa serangan histeria terjadi, kan?” Ustaz Malik tanya aku satu hari, masa aku sedang makan kat kafe universiti, selepas seminggu dari kejadian histeria tu.

Tersedak juga aku masa tu. Rashida dan Azlina pun ada bersama makan dengan aku.

“Saya teka je ustaz. Sebab nampak pakaian dia tak sama dengan pelajar lain. Tapi mungkin juga saya silap pandang,” kataku cuba tutup cerita. Rashida pandang aku.

“Memang ada dua perempuan lain kat dalam dewan kuliah masa tu. Dan perempuan itulah punca histeria tu terjadi. Perempuan tu pernah mengganggu universiti ini juga tapi dah lama kami halau mereka. Tak sangka dia datang lagi.” Kata Ustaz Malik.

“Kenapa perempuan tu kacau universiti ni Ustaz?” Rashida bertanya sebab nak tukar topik. Dia tahu aku dah takde jawapan kalau Ustaz Malik terus bertanya.

“Mereka dibuang dari universiti sebab berkelakuan tak baik di sini. Malam sebelum mereka sepatutnya meninggalkan universiti ini, mereka gantung diri di dewan kuliah tu,” kata Ustaz Malik.

“”Hish ustaz ni, tak payah la cerita macam tu. Seram la ustaz nak masuk dewan tu lagi nanti,” kata Azlina yang dari tadi menjadi pendengar setia. Masa kejadian histeria, Azlina tak masuk dewan sebab dia demam.

“Itu cerita lama. Tapi yang amat menarik perhatian saya ialah macammana Alin boleh nampak perempuan tu?” Ustaz Malik bertanya.

“Dia ni memang macam ni ustaz. Saya sebilik dengan dia, saya tahulah.” Kata Rashida. Aku dah panik, bimbang Rashida pecah rahsia.

“Maksud kamu, Alin ni boleh nampak alam satu lagi?” Ustaz Malik bertanya.

“Bukanlah ustaz. Dia suka berangan. Entah apa-apa je yang dia cakap kadang tu. Cuma kadang benda tu jadi betul. Selebihnya dia berangan je.” Kata Rashida.

Ustaz Malik pandang aku.

“Iye ustaz, kebetulan je tu. Saya pun tak tahu macammana boleh nampak. Sekali tu je pun,” kataku cuba menutup sangsi Ustaz Malik.

“Kalau macam tu takpelah. Memang ada sesekali Allah buka hijab kita, hingga kita dapat lihat alam satu lagi. Itu anugerah tau.” Kata Ustaz Malik lagi sambil bangun dan meninggalkan kami.

Azlina pandang aku.

“Kau pandang apa? Nampak hantu ke kat muka Alin tu?” Rashida tegur Azlina.

“Best kan kalau boleh nampak hantu,” kata Azlina.

“Haah, best sangat. Doalah kau dapat tengok. Baru kau tahu best ke tak best. Jangan nanti duduk bawah katil seumur hidup sudah,” kata Rashida mengusik Azlina.

“Macammana Alin? Mak kau bagi tak kau ikut aku balik kampung aku?” aku tersentak dari lamunan yang panjang bila Rashida tegur aku tiba-tiba.

“Mak aku kata, dia nak tanya ayah aku dulu,” sahutku.

“Kau call la mak kau. Semalam kan kau cakap dengan mak kau. Takkan hari ni tak dapat jawapan lagi. Aku kena beli tiket kapal terbang dah ni,” kata Rashida.

“Aku rasa takutlah pulak nak call. Takut nanti ayah aku yang jawab telefon,” kataku.

“Ala, kalau ayah kau yang jawab, kau minta la nak cakap dengan mak kau,” kata Rashida lagi dengan wajah bersungguh-sungguh.

Aku ambil telefon. Aku dail nombor mak aku. Dan apa yang aku bimbangkan, betul-betul terjadi. Ayah aku jawab panggilan aku. Tergagap aku sekejap.

“Assalamualaikum ayah. Ayah sihat?” aku tegur ayah aku.

“Waalaikumussalam. Ayah sihat. Kamu sihat?” ayah aku tanya aku balik.

“Alin sihat ayah.” Sahutku dan diam. Tak tahu macammana nak mulakan bicara.

“Duit belanja semua cukup?” ayah aku tanya lagi.

“Cukup ayah,” sahutku pendek sambil buat mimik muka serba salah pada Rashida.

“Kamu nak cakap apa-apa ke?” ayah tanya aku.

“Hmmm…. Mak ada ke ayah?” aku tanya.

“Ada. Kenapa taknak cakap dengan ayah? Apa hal penting yang nak sangat cakap dengan mak tu?” ayah aku tanya lagi. Buatkan aku tergagap-gagap.

“Takde apa, saja nak tanya khabar mak. Rindu, dah lama tak cakap dengan mak,” jawabku, masih tergagap=gagap.

“Dah lama? Bukan baru semalam ke kamu cakap dengan mak kamu?” ayah aku tangkap aku dah. Aku usap muka aku yang dah merah padam.

“Tu kenapa diam?” ayah aku tanya lagi. Dan aku masih diam.

“Nak tanya mak boleh ke tak ikut kawan balik kampung dia kat Sabah?” ayah aku tanya aku. Dan masa ni aku rasa kalau ambil pisau toreh kulit muka aku pun tak berdarah kot. Punyalah aku cuak. Sejuk tangan aku.

“Hmmm….. Boleh ke ayah? Alin teringin nak tengok tempat orang. Lagipun semua kawan Alin yang bayar. Alin cuma ikut je, temankan dia. Ayah jangan risau, kan Alin dah cakap, dah lama Alin tak nampak benda-benda pelik tu. Alin rasa kebolehan Alin makin hilang. Alin dah jadi macam orang lain. Ayah, selama ni Alin tahan diri Alin. Alin tak pergi ke mana-mana. Alin ikut arahan ayah dan mak. Alin duduk saja di asrama walaupun kawan lain semua pergi ikut program universiti. Alin tahu ayah dan mak risaukan Alin. Alin dah besar, Alin dah boleh jaga diri. Sampai bila Alin kena lari dari masalah, masalah tu untuk kita selesaikan. Kan ayah yang ajar Alin macam tu. Entah-entah, Alin dah normal macam orang lain, tapi sebab mak dan ayah masih tak izinkan Alin ke sana sini, maka kita tak tahu pun bahawa semua kebolehan Alin tu sebenarnya dah takde. Kita kena mencuba ayah,” lancar je sebutan aku.

Aku rasa kalau berdepan dengan ayah, mungkin aku tak berani.  Tapi hari ni aku berjaya luahkan segala isi hati aku walaupun hanya dalam telefon.

“Dah habis cakap?” ayah aku tanya aku balik.

“Dah,” aku jawab, berani.

“Pergilah,” ayah jawab sepatah. Dan aku terdiam sekejap. Macam tak jelas apa yang aku dengar.

“Apa dia ayah?” aku tanya.

“Pergilah,” ayah aku ulang.

“Betul ke ni ayah?” aku tanya lagi. Tapi hati aku dah berbunga riang.

“Iye, betul. Pergilah. Jaga diri elok-elok. Ayah tak mampu jaga kamu seumur hidup,” kata ayah di talian.

“Terima kasih ayah. Terima kasih. Alin janji akan jaga diri. Alin akan call ayah selalu masa kat sana nanti,” kataku menahan sebak. Air mata dah menitik setitis demi setitis. Rashida memandang aku dari meja tulisnya.

“Macammana?” Rashida tanya aku sebaik sahaja aku putuskan talian telefon.

“Ayah aku izinkan aku ikut kau,” aku bercakap dengan suara ketar menahan gembira atau sedih, aku pun tak tahu.

“Yes! Esok aku pergi beli tiket.” kata Rashida. Kembali berpusing menghadap tugasannya.

Aku berbaring kat katil aku dan entah pukul berapa aku terlena. Aku tersedar bila aku dengar bunyi katil berkeriut seperti ada orang naik ke atas katil. Aku buka mata perlahan-lahan. Aku nampak satu lembaga sedang duduk di atas katil Rashida. Bilik dah gelap.  

“Shida?” aku panggil Rashida.

“Shida?” aku panggil lagi bila Rashida tak menyahut.

Lembaga yang duduk di atas katil tu tadi kemudiannya aku lihat berbaring di atas katil Rashida. Masa ni aku bangun. “Shida?” aku panggil lagi nama Rashida.

“Kreekkk..” tiba-tiba pintu bilik terbuka. Rashida masuk.

“Eh Alin. Terkejut aku. Kau terjaga ke? Sorry la, aku cuba bergerak perlahan. Sampai lampu pun aku tak pasang. Taknak kau terjaga,” kata Rashida sambil mengunci pintu.

“Kau ke mana?” aku tanya.

“Aku ke tandas.” Rashida menyahut sambil melangkah ke katilnya dan duduk di situ. Aku cuba melihat ke arah lembaga yang berbaring kat katil Rashida tadi.

“Pukul berapa sekarang?” aku tanya.

“Pukul 2 pagi,” jawab Rashida sambil menarik selimutnya untuk berbaring.

“Dah lama ke kau ke tandas?” aku tanya lagi.

“Kejap je. Aku buang air je kot. Kau kenapa?” Rashida tanya lalu terus berbaring. Masa ni aku nampak seperti ada satu bayang-bayang putih melangkah ke arah tingkap dan terus hilang di situ.

“Kenapa Alin? Kau nampak apa?” Rashida tanya aku.

“Takde apa. Tidurlah,” sahutku sambil membaringkan tubuhku dan cuba lelapkan mata.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s