AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 2

“Lain macam je korang ni, apa dah jadi?” Seha masih cuba mengorek cerita.

“Takde apa la. Kau balik le ke bilik kau. Dah tengah malam ni,” kata Rashida.

Seha tak menyahut. Dia melangkah perlahan meninggalkan kami tapi dengan jelingan mata yang tak puas hati. Seolah mengetahui kami sembunyikan sesuatu. Sesuatu yang amat besar. Itu amat jelas di wajah aku dan Rashida.

Sebaik Seha pergi, Rashida cepat-cepat tutup bilik kami. Lepas tu dia pandang keliling bilik kami yang terang benderang pada jam menghampiri pukul 12.30 tengah malam. Aku tak berani pandang keliling. Aku bergerak perlahan, naik ke atas katil aku, baring dan pejamkan mata rapat-rapat.

“Alin, benda tu dah takde dalam bilik ni kan?” Rashida tanya aku, berbisik kat tepi telinga aku yang berselubung.

“Aku tak tahu. Aku taknak tengok. Kau pergilah buat kerja kau.” Sahutku tanpa buka selubung kain selimut aku. Lepas tu aku tak dengar apa-apa dah, aku terlena sampai pagi.

Pagi esoknya, Rashida tanya aku lagi, apa yang aku nampak semalam. Aku beritahu dia, jangan sesekali tahu apa yang aku nampak sebab itu akan buat hidup dia takkan aman. Cukuplah aku seorang yang menerima anugerah ini.

Rashida adalah satu-satunya kawan aku yang tahu bahawa aku boleh lihat benda-benda tak terlihat dek mata kasar ni. Dulu dia pun tak tahu. Sampai satu hari masa kat dalam bilik kuliah, Rashida berbisik kat aku, katanya dia nampak beg Puan Sarah macam bergerak. Masa tu Puan Sarah sedang mengajar kelas kami. Dia sedang menulis di papan putih.

“Alin, cuba kau tengok beg tangan Pn Sarah tu. Tadi dia letak kat meja kecil tepi dinding kan? Sekarang beg dia kat atas meja besar tu pula. Aku tak nampak pun Puan Sarah gerakkan beg dia. Dari tadi dia menulis je kat papan putih tu.

Kata-kata Rashida membuatkan aku memandang ke arah beg tangan Puan Sarah. Masa tu aku tak nampak apa-apa, sampailah masa Puan Sarah nak ambil pen marker berwarna merah di atas meja. Masa tu aku nampak ada satu tangan berwarna hitam dan berbulu tebal, menarik beg tangan Puan Sarah. Berderau juga darah aku bila nampak tangan berbulu hitam tu.

“Alin, kau tengok, beg tu berubah tempat lagi,” Rashida pula sibuk dengan fokusnya pada beg tangan Puan Sarah yang bergerak sendiri tu.

“Takde apalah. Kau boleh tak fokus kat apa yang Puan Sarah ajar. Nanti balik bilik, kau sibuk tanya aku. Kau kata tak faham la bagai. Padahal masa pensyarah ajar, kau fokus kat benda lain.” Kataku tak selesa dengan sikap Rashida.

Rashida diam bila aku tegur dia macam tu. Tapi aku pula yang dah lari focus. Aku pandang kat tangan berbulu hitam tu. Aku pandang ke bawah meja. Ada sejenis makhluk seakan orang utan, berbadan besar, berbulu lebat, duduk di bawah meja. Sesekali dia menghulurkan tangannya yang panjang ke atas meja.

Entahlah macammana, makhluk tu tiba-tiba bangun berdiri dan memandang ke seluruh bilik kuliah. Memandang satu persatu wajah di sana. Makhluk tu seakan berjalan di tangga dan melihat kami semua dari arah dekat. Sampai kat aku, dia berhenti. Aku tak pandang dia. Aku buat-buat tak nampak.

Makhluk tu menarik kotak pensil Rashida yang duduk kat sebelah aku. Rashida buat muka pelik sambil memandang kotak pensilnya yang bergerak sendiri.

“Alin, kau nampak tak kotak pensil aku bergerak sendiri?” Rashida tanya aku.

“Takdelah, kau tertolak tadi kot,” aku menyahut.

“Heeheeeheeee…” Aku dengar bisikan hilai dari makhluk hitam berbulu lebat tu.

Rashida menggosok lengan kanannya. Dia memandang keliling. “Apasal tiba-tiba aku rasa sejuk sampai ke tulang ni?” Rashida berbisik kat aku. Aku masih diam. Tapi focus aku memang dah beralih dari Puan Sarah kepada makhluk yang sedang bertinggung di tepi Rashida, dan sedang memerhati aku.

“Balik sini!” tiba-tiba aku dengar Puan Sarah menjerit sambil mengetuk pembaris kayu ke mejanya. Semua pelajar yang berada di dalam bilik kuliah terkejut.

“Balik sini!” Sekali lagi Puan Sarah menjerit dan memandang ke arah Rashida. Semua mata pelajar lain pun memandang ke arah Rashida. Rashida buat muka cuak. Dia bangun dari kerusi tapi aku menahannya.

“Puan Sarah bukan panggil kau. Kau duduk je kat situ,” kataku sambil menarik tangan Rashida menyuruhnya duduk semula di kerusinya.

“Habis tu dia panggil siapa?” Rashida tanya aku.

“Bukan kau.” Aku menjawab pendek.

Rashida duduk semula. Dia memandang ke arah Puan Sarah yang masih memandang ke arahnya. Tapi aku pula nampak makhluk hitam berbulu lebat tu sedang merangkak turun tangga kembali semula ke meja Puan Sarah.

Sebaik sahaja makhluk tu sampai di meja Puan Sarah, aku nampak Puan Sarah seperti mengikat sesuatu di tangan makhluk tadi. “Puan Sarah buat apa tu?” Rashida tanya aku. Aku masih diam.

“Tadi dia panggil siapa?” Rashida tanya aku lagi. Aku masih tak jawab.

Tiba-tiba Puan Sarah angkat wajahnya dan pandang ke arah aku. Aku tundukkan muka aku dan buat-buat seperti sedang menulis di buku. “Nur Azlin! Nanti jumpa saya di pejabat saya,” Puan Sarah bersuara membuatkan semua yang berada di situ memandang aku, termasuk Rashida.

“Kenapa tiba-tiba Puan Sarah nak jumpa kau?” Rashida tanya aku. Aku angkat bahu. Berdebar juga dada aku.

Habis waktu kuliah, aku pergi ke pejabat Puan Sarah. Puan Sarah senyum memandang aku. Dia suruh aku duduk. Dia kemudiannya menutup pintu. Puan Sarah duduk semula di kerusinya. Masa ni aku nampak makhluk hitam berbulu lebat tu sedang duduk bertinggung kat kaki aku.

“Kamu nampa dia kan?” Puan Sarah tanya aku.

“Siapa?” aku buat-buat tanya.

“Tu, benda yang sedang bertinggung kat kaki kamu tu,” kata Puan Sarah. Aku tak menyahut.

“Dia pendamping saya. Dia selalu bersama saya. Dan saya tahu kamu nampak dia. Saya cuma nak beritahu kamu, jika ada yang tahu pasal benda ni, saya tahu hanya kamu yang akan beritahu. Dia tak ganggu sesiapa. Jadi jangan besarkan hal ini,” kata Puan Sarah, seakan mengugut pun ada.

“Saya tak nampak apa-apa puan. Puan jangan risau,” sahutku.

“Iye, itu yang sepatutnya. Saya taknak tahu macammana kamu boleh nampak dia. Dan kamu tak perlu tahu kenapa dia adalah pendamping saya. Deal?” Puan Sarah tanya aku.

“Deal!” aku menyahut.

“Baiklah, kamu boleh keluar,” kata Puan Sarah. Dan tanpa aku tunggu walau sesaat, aku terus bangun dan keluar dari pejabat Puan Sarah. Rashida menunggu di luar pejabat. Terkejut aku bila dia serbu aku sebaik aku melangkah keluar dari pejabat Puan Sarah.

“Kenapa Alin? Dia nak apa?” Rashida tanya aku. “Takde apa. Benda kecil je. Pasal assignment haritu je,” sahutku dan terus melangkah pergi. Sebab aku nampak makhluk hitam tu berdiri kat muka pintu, tersengih pandang aku.

Aku terus balik ke bilik. Tak makan tengahari pun. Aku duduk diam kat katil aku. Aku termenung panjang. Kenapa Puan Sarah ada pendamping macam tu. Aku tengok Puan Sarah tu elok je bertudung labuh, sopan lemah lembut, tak nampak di mana-mana cacat cela hingga dia perlu menduakan Tuhan. Aku tampar pipi aku berkali-kali. Inilah perkara yang paling aku tak suka bila aku terlihat benda-benda tu. Aku terburuk sangka kat orang lain. Aku prejudis. Aku fikir negative pasal orang tu sedangkan aku tak tahu cerita di sebaliknya.

“Alin, aku tahu kau nampak sesuatu.” Rashida tanya aku sebaik sahaja dia selesai solat zohor.

“Nampak apa?” aku tanya balik. Cuba buat muka tak faham apa yang dia cakap.

“Alin, kita ambil Ijazah Psikiatri, kau lupa ke?” Rashida mula mentelaah aku.

Aku bangun. Buat-buat cari barang dalam beg. Walhal aku tak cari apapun.

“Dari muka kau, aku tahu kau nampak sesuatu yang orang lain tak nampak. Betul kan?” Rashida terus meneka aku.

“Takdelah. Merepek je kau ni,” Sahutku. Rashida tak menyahut. Dia melipat sejadah dan telekung.

“Jom kita makan. Aku lapar la,” aku mengajak Rashida makan tengahari. Dah nak pukul 2.00 petang, kami belum makan tengahari lagi. Rashida akur, dia memang tak banyak soal dengan aku. Sebab tu aku boleh rapat dengan dia. Dan tinggal sebilik dengan dia walaupun kami dah masuk tahun kedua.

“Kau tahu tak? Dulu aku pun boleh tengok benda-benda halus ni. Aku nampak macam-macam. Ayah aku bawa aku berubat tapi tak boleh juga. Sampailah aku jumpa seorang ustaz tu, dia yang hilangkan keupayaan aku melihat benda halus ni,” kata Rashida masa kami makan.

Aku berhenti makan. Lalu menoleh kepadanya. “Ustaz mana?” aku tanya dalam tak sedar.

“Ada seorang ustaz kat area rumah aku. Kau nak cuba?” Rashida tanya aku.

“Boleh juga,” sahutku.

“Bila kau nak pergi?” Rashida tanya aku lagi.

“Secepat mungkin,” sahutku.

“Tapi ustaz tu akan tanya, sejauh mana kau nampak benda halus ni. Nampak setiap masa, atau nampak sekejap-sekejap je. Kau kena cakap kat aku supaya aku boleh cakap kat ustaz tu nanti. Sebab dia memilih, dia taknak mengubat kalau kita ada menyimpan walau sedikit kisah. Itu menyulitkan proses perubatan dia.” Kata Rashida.

Dan tanpa aku berlengah, dan tanpa aku sedar, semua rahsia aku, aku ceritakan pada Rashida. Sejak bila aku nampak benda halus ni semua. Peristiwa aku diculik ke kawasan jin. Kisah jin yang berdendam dengan aku. Sampai Rashida melopong. Tak berkelip matanya memandang aku.

“Shida, boleh tak kau bawa aku jumpa ustaz tu?” Aku tanya Rashida semula.

“Alin, sebenarnya ustaz tu tak wujud. Dan aku pun tak pernah nampak benda-benda halus ni. Aku cuma nak korek rahsia kau. Aku tak sangka kisah kau sebegini luar biasa. Aku tak terfikir sejauh ini anugerah kau,” kata Rashida membuatkan aku bangun dan terus tinggalkan dia terkebil-kebil di meja makan.

Dia tipu aku!

Rashida berlarian mengejar aku di belakang. Berkali-kali dia minta maaf kat aku. “Alin, aku takde niat nak tipu kau. Aku cuma nak tahu kisah kau. Kita tinggal sebilik dah dua tahun. Aku selalu nampak kau dengan wajah cuak, seakan nampak sesuatu. Tapi kau cuba sembunyikan dari aku. Aku perasan semua tu. Kau jangan simpan semua tu sendiri. Kau perlukan teman untuk meluahkan segala rasa kau. Anugerah kau terlalu tinggi Alin.” Rashida memujuk aku di bilik.

Aku tak menyahut.

“Alin, aku betul-betul minta maaf. Aku mengaku aku bersalah perangkap kau dengan kisah aku yang aku reka. Aku minta maaf. Tujuan aku ikhlas. Aku taknak kau simpan sendiri segalanya. Kau boleh kongsi dengan aku. Macam yang kau cakap, hanya mak kau percayakan kau. Itupun sebab terpaksa, sebab kau anak dia. Tapi percayalah cakap aku, aku percaya cakap kau sepenuhnya,” Rashida bercakap dengan nada penuh harapan aku memaafkannya.

Aku angkat muka memandangnya. “Betul kau percayakan aku?” aku tanya Rashida.

“Iye, aku percayakan kau. 200% aku percaya apa yang kau cakap. Walaupun aku tak nampak,” kata Rashida.

“Aku taknak cerita kat orang sebab aku tahu tiada siapa akan percayakan aku. Sedangkan ayah aku sendiri kata aku gila. Sanggup hantar aku ke hospital mental. Jadi biarlah aku simpan semua ni sendiri. Aku sedih dianggap gila.” Kataku perlahan, setitis air mata jatuh dipipi.

Rashida peluk aku. “Jangan risau, aku percayakan kau. Sepenuh hati aku. Kongsilah dengan aku.” Katanya buatkan air mata aku makin laju.

“Janji dengan aku, jangan beritahu sesiapa pasal ni,” kataku.

“Aku janji dengan nyawa aku sendiri, aku takkan cakap pada sesiapa pasal ni,” kata Rashida mengangkat tangannya seakan sedang mengangkat sumpah.

Sejak itulah Rashida tahu bahawa aku boleh nampak benda-benda yang tak dapat dilihat oleh mata kasar manusia biasa.

Ada sekali tu, beberapa pelajar perempuan di universiti kami diserang histeria. Mula-mula Zakiah yang kena. Dia tiba-tiba menjerit kat dalam dewan kuliah. Beberapa orang kawan yang cuba membantu pun tiba-tiba ketawa dan menjerit. Aku duduk kat bahagian depan sekali. Sedangkan kelompok yang terkena histeria tu di bahagian belakang sekali.

Masa tu En Shafiq sedang mengajar. Menggelabah juga dia. Dia suruh Ali pergi panggil Ustaz Malik. Sementara Ustaz Malik nak sampai, En Shafiq suruh kami yang belum terjangkit ni keluar. Tapi mana tahu, dua orang yang keluar dari dewan kuliah, dah terasuk sama. Dah menjerit pula kat luar dewan. Kecoh universiti masa tu.

Aku sempat juga menoleh ke arah kelompok yang sedang menjerit dan ketawa tu. Aku nampak dalam kalangan mereka, ada dua lagi perempuan yang aku yakin bukan kawan-kawan pelajar aku. Dua perempuan tu memakai baju kebaya pendek, rambut disanggul, gayanya ala-ala orang dulu-dulu. Seperti biduanita Saloma.

“Kau nampak apa Alin?” Rashida tanya aku sambil berbisik.

“Ada dua perempuan lain dalam kalangan mereka yang menjerit tu,” kataku juga berbisik.

“Hantu?” Rashida tanya aku lagi, juga masih berbisik. Aku angkat bahu. Dan masa tu Hazira menarik bahu aku. Sakit juga. Dia terlompat-lompat sambil menepuk belakang aku. Aku tengok Rashida dah berwajah pucat. Aku yakin tak lama lagi, Rashida pun akan terasuk juga.

“Shida, jangan pandang mereka. Istighfar. Baca Al-Fatihah. Jangan berhenti. Kalau tak, kau pun akan terasuk macam mereka.” Kataku menggenggam tangan Rashida.

Bersambung….

One thought on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s