AKU NAMPAK DIA 2.0

Bab 1

“Assalamualaikum mak. Alin ni. Mak sihat?” aku bersuara setelah dengar mak aku kata hello dihujung talian.

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah, mak sihat. Alin dah makan?” mak tanya aku balik.

“Dah mak.” Jawabku perlahan. Berpusing-pusing dalam kepala aku cuba menyusun ayat terbaik untuk aku suarakan hasrat aku kat mak.

Sejak kes aku masuk ke alam lain dulu, sampai sekarang aku dah masuk universiti dah, mak aku tak bagi aku ke mana-mana langsung. Walaupun rombongan yang dianjurkan oleh pihak universiti. Mak aku siap buat surat, bahkan dapat surat sokongan Doktor Rizuan lagi, membuatkan pihak universiti terpaksa mengecualikan aku dari sebarang aktiviti luar universiti.

Tapi kali ni Rashida beriya-iya mengajak aku menemaninya balik kampung. Dia sanggup tanggung semua belanja aku dari tiket kapal terbang sampailah ke makan minum aku. Dia cuma nak aku temankan dia je. Sebab dia nak ambil barang dari rumah pusaka neneknya. Itu je. Dia janji dengan aku, sebaik dia ambil barang tu, katanya kita terus balik semula ke semenanjung.

Aku dah suruh dia ajak kawan lain, tapi dia tetap nak ajak aku juga. Memanglah dia rapat dengan aku tapi ada je kawan lain untuk dia ajak balik kampung dia. Katanya sejak neneknya meninggal dunia sepuluh tahun lepas dan mak ayahnya berpindah ke semenanjung, sampai sekarang dia tak pernah menziarah ke rumah neneknya lagi.

Mak dia pun dah terputus hubungan dengan saudara mara kat sana. Rashida pun lebih rapat dengan keluarga sebelah ayah sebab ayahnya memang orang semenanjung. Ayah Rashida seorang guru, sebelum berkahwin ayah Rashida  mengajar di sebuah sekolah di Sabah. Kat sana juga ayah Rashida bertemu mak Rashida dan mereka berkahwin.

Ketika usia Rashida sepuluh tahun, nenek Rashida iaitu ibu kepada mak Rashida meninggal dunia. Dan kebetulan permohonan ayah Rashida untuk berpindah ke semenanjung diluluskan. Maka sejak itulah mereka berpindah ke semenanjung dan tak balik dah ke Sabah. Rashida pun tak begitu ingat dengan saudara mara sebelah ibunya. Yang dia ingat, dia ada seorang bapa saudara iaitu abang kepada ibunya. Ibunya hanya ada seorang abang.

“Alin? Kenapa kau diam je ni? Kau sihat? Ok tak? Ada jadi apa-apa ke?” tiba-tiba aku tersentak bila terdengar suara mak aku di talian. Aduh, mengelamun pulak aku.

“Alin ok mak. Cuma Alin sebenarnya nak minta izin dari mak dan ayah. Alin nak ikut kawan Alin balik ke kampungnya. Sekejap je. Bukan pergi seronok-seronok, dia nak ambil barang dari rumah neneknya. Dia akan tanggung semuanya, tiket kapal terbang semua. Alin Cuma ikut je. Tak lama pun. Tiga hari je,” sahutku.

“Kenapa dia tak ajak orang lain? Kat mana kampungnya sampai kena naik kapal terbang?” mak aku dah mula tanya aku soalan yang aku juga sedang cuba cari jawapannya.

“Dia tak ramai kawan kat sini. Dia berasal dari Sabah. Tapi dah lama tinggalkan Sabah. Dia nak balik sana sekejap nak ambil barang yang ibunya suruh,” kataku. Jawab je la.

“Kenapa ibunya sendiri tak pergi ambil barang tu? Ayahnya mana?” Mak aku kalau bagi soalan, memang aku seriau walau aku tahu jawapannya. Sebab aku tahu, akan muncul soalan demi soalan hingga sampai masa aku mengaku kalah.

“Ibu dan ayahnya kemalangan bulan lepas. Ayahnya meninggal dunia di tempat kemalangan. Ibunya meninggal dunia selepas tiga hari. Masa ibunya masih sedar, ibunya ada berpesan padanya untuk ambil barang dari rumah neneknya.” Sahutku, menceritakan apa saja yang aku tahu.

“Dia takde saudara mara lain ke untuk diajak pergi sana?” mak aku tanya lagi.

“Ayah dia anak tunggal. Dia sekarang dah jadi sebatang kara mak. Sian dia,” kataku buat cerita sedih.

“Habis tu sekarang dia tinggal dengan siapa?” mak aku terus tanya dan tanya. Macam tak rasa kesian dengan cerita aku.

“Dia tinggal dengan datuk dan neneknya yang dah tua. Datuk dan neneknya taknak dah naik kapal terbang jalan jauh-jauh,” sahutku lagi.

“Barang apa yang dia nak ambil tu? Kenapa dah sepuluh tahun baru nak ambil?” Aku diam sekejap. Haah, kenapa nak sepuluh tahun baru nak ambil? Takde pula aku tanya Rashida.

“Alin takde la tanya sampai situ mak. Sebab rasanya hal keluarga mereka. Dia Cuma nak Alin temankan je,” sahutku lagi.

Mak aku diam sejenak. Aku pun tak berani bersuara. Sejujurnya, dalam hati aku, memang aku teringin sangat nak ikut Rashida. Aku tak pernah ke mana-mana sejak masuk universiti ni. Mak dan ayah aku tak bagi.

“Mak? Boleh ke Alin ikut kawan Alin?” aku tanya mak setelah mak berdiam diri agak lama.

“Mak bukan taknak bagi Alin ikut dia. Bukan dia je, semua pun mak tak bagi ikut kan? Alin tahu kenapa kan?” mak aku bersuara perlahan.

“Iye mak, Alin tahu. Tapi mak, macam yang Alin cakap kat mak, Alin dah jarang nampak benda-benda tu semua. Kalau nampak pun, mereka tak kacau Alin. Takde apa dah mak. Lagipun, sampai bila mak nak Alin berkurung je. Habis ijazah nanti, Alin kena cari kerja. Kalau Alin dapat kerja di tempat yang jauh macammana? Takkan mak taknak benarkan lagi? Inilah masa untuk Alin biasakan diri dengan semua tu.” Kataku memujuk mak.

“Mak risaukan kau Alin. Mak taknak perkara dulu jadi lagi. Dulu tu, mujur kamu dapat balik. Kalau mak tak dapat cari kamu macammana?” mak aku tanya aku soalan yang kerap kali dia tanya setiap kali aku memujuk nak pergi ke mana-mana.

“Mak percayalah cakap Alin. Alin tahu jaga diri. Alin tahu mana betul, mana imaginasi, mana alam yang tak sama. Memanglah sekarang dah kurang, tapi mungkin sebab Alin terperap kat sini. Alin taknak nanti tiba-tiba Alin kena pergi ke satu tempat, Alin tak sempat nak belajar tentang semua ni. Lagi susah nanti mak,” aku masih berusaha pujuk mak aku.

“Susahlah mak nak cakap Alin. Kamu cakaplah dengan ayah kamu. Sekejap mak panggil ayah,” kata mak aku.

“Eh mak, mak…. Mak aje lah cakap dengan ayah. Mak tahulah kalau Alin cakap dengan ayah, selalunya berakhir dengan bergaduh je. Taknaklah. Mak cakap dengan ayah ye. Alin teringin sangat nak pergi. Sekali je mak. Alin nak merasa sangat tengok tempat orang,” kataku lagi merengek-rengek kat mak.

Memang aku tak boleh cakap dengan ayah aku. Ayah aku tu masih macam dulu. Cuma sebab aku dah jarang jumpa dia, jadi sesekali bersembang bolehlah. Tapi kalau dia dapat tahu aku masih boleh tengok benda-benda tu, memang dia tak bagi aku masuk universiti pun. Mak la yang selalu cover aku walaupun kadang-kadang tu mak pun tak setuju dengan aku.

Aku termenung sekejap lepas letak telefon. Aku cuba kenang balik sejak setahun aku masuk universiti ni. Aku cakap kat mak, aku dah tak nampak benda-benda pelik yang orang lain tak nampak. Tapi sebenarnya aku masih nampak. Cuma aku cuba membiasakan diri untuk tak nampak.

Aku bukan nak tipu mak, bukan nak tipu ayah. Bukan nak tipu diri sendiri juga. Tapi aku sedang mencuba. Mencuba untuk diri aku sendiri. Ada je masa kuliah aku nampak studen berambut panjang pakai jubah putih labuh sampai tak nampak kaki. Pernah juga aku nampak lembaga putih berdiri kat belakang lecturer masa lampu dipadam untuk pasang slide kat papan putih.

Pernah satu malam tu aku makan kat kafe dengan Seha, masa tu dah pukul 11 malam kot. Aku lapar, Seha pula ajak makan. Masa kami makan tu, aku perasan ada seseorang duduk kat meja sebelah kami. Dia tak makan, tapi duduk je kat situ. Mula-mula aku tak ambil kisah pasal dia, sebab aku ingat dia studen macam kami. Tapi bila Edri datang duduk kat sebelah perempuan tu sambil tegur kami, masa tu aku menoleh tengok perempuan tadi. Mukanya pucat, matanya hitam terbeliak besar, lidahnya menjulur keluar hampir sampai dada.

Aku melompat sikit, memang terkejut. Sebab aku tak sangka aku akan nampak benda tu. Seha dan Edri pandang aku sebab aku tiba-tiba berdiri. “Kau dah kenapa Alin?” Edri tanya aku sebab aku pandang ke arah dia dengan wajah yang terkejut.

“Kenapa Alin?” Seha pula tanya aku. Dan masa tu la perempuan pelik tu toleh muka dia dan pandang aku. Tepat ke mata aku. Sedangkan selama ini aku cuba sedaya upaya untuk tak melihat ke dalam mata mereka. Itu yang Ustaz Kamil pesan kat aku.

Ustaz Kamil kata, jangan bertentang mata dengan mereka kerana itu akan membuatkan mereka tahu bahawa aku nampak mereka. Andai mereka tahu bahawa aku nampak mereka, keadaan pasti takkan sama. Mereka adalah dari kalangan jin. Namun kehidupan mereka sama macam manusia. Ada yang baik, ada yang jahat. Ada yang suka mengusik, ada yang kuat iman.

Jika aku tersalah tenung pada yang tak baik, atau yang suka mengusik, pasti dia akan berdamping dengan aku. Maklumlah, macam kita juga, kalau terjumpa kawan yang agak pelik, mesti kita nak kenal dia kan. Nak tahu kenapa dia begitu dan begini. Jadi, satu cara untuk aku elakkkan diri dari mereka berminat nak berkawan dengan aku ialah, jangan bertentang mata dengan mereka. Jadi mereka tak tahu aku nampak mereka.

Tapi masa kat kafe tu, sebab aku punya reaksi terkejut sampai Seha dan Edri pun terkejut, buatkan benda tu sedar aku nampak dia. Dia sengih pandang aku, macam dia dah dapat tangkap aku. Bingo!

Aku terus bangun. Mee hailam aku tak habis pun. Seha panggil aku. Tapi aku jalan je terus. Masalahnya benda tu terus pandang aku. Walaupun dia tak ikut aku, tapi cara sengih dia tu, dia memang dah tahu aku nampak dia. Aku terus lari masuk bilik aku. Rashida yang sedang tekun dengan assignment dia pun terkejut nampak aku menerpa masuk dalam bilik dan terus baring kat atas katil.

“Kau dah kenapa ni Alin? Bukan kau kata nak pergi makan dengan Seha ke? Cepatnya kau balik. Mana roti aku yang aku suruh kau beli?” Rashida tanya aku.

Aku tak menjawab, terus baring berselubung dengan kain selimut walaupun cuaca agak panas malam tu. Dah lama aku tak rasa takut bila ternampak benda-benda ni. Mungkin sebab dah lama aku tak bertentang mata dengan mereka.

“Tok tok tok” Pintu bilik diketuk dari luar.

“Siapa pula tu?” Kata Rashida sambil bangun dan nak buka pintu.

Aku keluar dari selubung dan menahan Rashida dari buka pintu. “Jangan buka!” aku jerit kat Rashida. Rashida pula terkejut dan tergamam bila lihat aku menjerit macam tu. Dia pandang aku tanpa suara.

Dari cermin tingkap, aku nampak benda yang duduk kat kafe tadi. Dia berdiri di situ. Aku nampak dia. Cepat-cepat aku bangun dan tutup cermin tingkap. Aku kunci pintu. Tekan tombol, selak lagi. Aku tarik meja computer Rashida dan letak kat pintu.

“Kau ni dah kenapa Alin? Macam nampak hantu,” Rashida tegur aku.

“Iye, aku nampak hantu,” aku menjawab sambil jegilkan mata kat Rashida. Muka Rashida berubah masa tu. “Kat mana?” Dia tanya aku. Aku tunjuk kat cermin tingkap yang dah aku tutup.  Rashida pandang ke arah cermin tingkap tu dengan wajah yang cuak.

“Tadi dia ke yang ketuk pintu?” Rashida tanya.

“Iyelah agaknya,” aku menyahut.

“Tapi bukan ke hantu boleh masuk ikut laluan angin?” Rashida tanya aku semula membuatkan aku pandang dia dengan mata terbeliak. Aku terus tunduk, aku tarik kain yang bersangkut kat kerusi tepi aku, aku tutup bahagian yang terbuka sedikit di bahagian bawah pintu.

Sebaik aku bangun, aku nampak benda tu berdiri kat belakang Rashida. Sekali lagi aku terkejut. Dan benda tu tersengih tengok aku.

“Kenapa pula ni Alin? Kau nampak apa pula?” Rashida tanya aku sambil pegang tangan aku. Dia menggigil, aku pun menggigil.

“Buka pintu. Cepat Shida, buka pintu,” kataku kuat.

Rashida bangun dan tarik meja yang aku dah letak kat pintu, konon nak sendal pintu tadi. Baru je Rashida nak pulas tombol pintu, “tok tok tok” pintu diketuk dari luar. Rashida menarik semula tangannya dan pandang aku.

“Buka je. Buka je pintu tu cepat!” aku jerit. Tak peduli dah aku siapa kat luar tu. Sekurang-kurangnya aku tak perlu berdepan dengan benda yang tersengih kat depan aku ni. Rashida teragak-agak nak buka pintu, aku pula gagahkan diri mengesot sebab kaki aku dah lemah, lutut aku macam dah tak bersendi bila benda tu menjilat kaki aku.

Aku terus buka pintu. Seha berdiri kat depan pintu, memandang aku dan Rashida dalam keadaan yang tak sepatutnya. Dengan meja computer kat tengah bilik, aku mengesot dan Rashida berdiri kaku kat tepi pintu.

“Korang dah kenapa?” Seha tanya.

Aku memandang keliling. Benda tadi dah tiada. Rashida pandang aku. Aku gelengkan kepala. Aku berdiri, cuba buat-buat seperti tiada apa yang terjadi.

“Kenapa kau datang sini?” aku tanya Seha perlahan sambil menolak meja computer kembali ke tempatnya. Rashida pula melangkah perlahan ke katil aku dan membetulkan bantal dan selimut yang berterabur. Seha memandang kami dengan wajah yang agak pelik.

“Ni ha mee hailam kau. Kau baru makan dua sudu je kot. Lepas tu kau lari balik tinggalkan aku. Aku suruh Makcik Som bungkuskan. Ni pula roti kau Shida, tadi sebelum kami order makanan, Alin suruh aku ingatkan dia untuk beli roti kau. Tapi dia pula lari balik tak cakap apapun dengan aku,” kata Seha sambil buat nada merajuk sebab aku tinggalkan dia tadi.

Bersambung….

2 thoughts on “AKU NAMPAK DIA 2.0

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s