KEKASIH DARI LAUT

Bab 10 (AKHIR)

Aku tersedar bila terasa badan aku disimbah dengan air. Bukan air biasa, air masin dari laut. Aku buka mata. Ada seorang perempuan sedang memerhatikan aku yang terbaring. Tapi kabur. Kepala aku pening.

“Abang,” aku dengar suara seorang perempuan. Dia panggil siapa tu aku tak pasti.

“Kita dah sampai tempat saya,” aku dengar lagi suara perempuan tu.

Aku cuba buka mata. Dengan penuh kepayahan, aku duduk. Aku pandang keliling. Tiada sesiapa. Kosong. Tapi aku bukan kat tempat aku. Aku kat tempat lain. Macam istana lama. Aku pandang perempuan di depan aku. Aku pernah jumpa dia. Sesekali aku terdengar bunyi air yang banyak, macam ombak tapi aku tak nampak laut.

“Abang ingat saya tak?” perempuan tu tanya aku. Aku memicit kepala aku yang masih sakit dan pening. Aku pandang perempuan tu dan cuba mengingatkan siapa dia. Aku yakin aku pernah nampak dia.

“Melati?” aku sebut namanya. Perempuan tu anggukkan kepala dan tersenyum manis memandang aku. Aku berdiri dan pandang keliling. Aku makin cuak ni. Aku kat mana ni?

“Saya kat mana ni?” aku tanya Melati.

“Rumah Melati,” Melati jawab.

“Kat mana?” aku tanya lagi.

“Dalam laut,” Melati menjawab. Aku pandang dia dengan wajah cuak, penuh tandatanya.

“Dalam laut? Macammana saya boleh sampai sini? Siapa bawa saya ke sini? Apa tempat ni? Awak ni siapa sebenarnya?” aku tanya bertalu. Terus terang cakap, aku rasa nak nangis masa tu. Rasa nak lari tapi tak tahu nak lari ke mana.

Aku kena cuba untuk tak panik. Sebab aku tak rasa aku berada di tempat yang betul masa tu. Macam ada sesuatu yang tak kena. Pasti ada kawan-kawan aku yang nak kenakan aku. Aku cuba ingat apa yang terjadi. Aku ingat semuanya, pasal Azli, pasal Sahak, Sudin dan Ejey. Dan kami baru balik dari rombongan kilang di laut.

Laut? Melati? Hah???

Aku makin cuak. Ya Allah, aku kat mana ni? Aku bangun dan meninjau keliling kawasan itu. Istana lama ni tak nampak macam sesuatu tempat yang aku tahu selama hidup aku di muka bumi Allah ni. Tak pernah aku dengar ada istana lama macam ni. Hiasannya penuh dengan hidupan laut. Rumpai laut  sebagai langsir. Aku jenguk keluar tingkap, aku nampak ikan berenang! Ya Tuhan, betul ke aku kat dalam laut? Aku seperti berada di dalam kapal selam.

“Siapa lagi ada di sini?” aku beranikan diri bertanya. Aku tiada pilihan.

“Kita berdua, dan enam lagi kakak saya. Ibu dan ayah saya dah tiada,” kata Melati.

“Di mana kakak Melati?” aku tanya lagi. Aku memang sedang keliru sekarang ni.

“Ada, tapi mereka belum tahu Abang ada kat sini. Jom Melati kenalkan kepada mereka.” Kata Melati sambil menarik tangan aku. Aku menepis tangan Melati, menahannya dari memegang tangan aku.

Melati berhenti melangkah dan memandang aku. Aku diam. “Abang milik Melati sekarang. Abang tak boleh ke mana-mana tanpa Melati yang hantar Abang balik.” Kata Melati, wajahnya yang tadi agak ceria, kini bertukar macam nak marah.

“Melati, kamu bawa siapa ni?” aku dengar satu lagi suara perempuan. Aku menoleh ke arah suara itu. Aku nampak seorang perempuan perpakaian seakan pakaian dalam istana, seakan seorang puteri raja.

“Kekasih Melati.” kata Melati. Aku pandang Melati. Kekasih??? Sejak bila aku jadi kekasih dia?

“Melati, berapa kali kakak pesan, jangan keluar dari kawasan kita. Jangan ganggu orang luar.” Kata perempuan tadi. Lepas tu aku nampak muncul lagi beberapa perempuan yang berpakaian sama macam perempuan tadi. Ada tujuh orang semuanya termasuk Melati.

“Melati sunyi. Melati sukakan dia. Dia lelaki yang baik,” kata Melati sambil matanya melirik ke arah aku.

“Walau bagaimana baiknya dia, walau bagaimana kamu sukakan dia, dia milik alamnya. Takkan sama,” kata perempuan yang dipanggil kakak oleh Melati tu lagi.

“Tidak. Dia milik Melati. Melati dah bawa dia ke sini. Dia tak boleh balik tanpa izin Melati,” kata Melati. Wajahnya agak menyeramkan bila dia marah. Aku nampak gigi taring di kiri kanan mulutnya, dan ada seakan sisik di kulit wajahnya.

“Melati, dia tetap akan balik ke tempat dia tanpa Melati izinkan. Orang dia dah panggil.” Kata kakak Melati lagi. Juga dengan wajah nak naik darah. Sama je, bersisik semuanya.

“Tidakkkkk! Dia takkan balik.” Kata Melati terus memegang tangan aku. Tapi tangannya bukan seperti manusia biasa. Ianya seakan ular tedung, melilit tangan aku membuatkan aku tak berdaya menggerakkan tubuh aku.

“Melati, lepaskan dia. Kalau tak, kakak akan serahkan kamu kat orang dia sebagai ganti. Kamu nak?” kakak Melati juga mula mengeluarkan taring di kiri kanan mulutnya.

“Aan! Aan! Bangun!” aku dengar suara tu, tapi aku tak berdaya menyahut. Dan aku tak nampak sesiapa pun yang memanggil aku. Sebab telinga aku berdengung, seakan ada air masuk ke dalam telinga aku.

Tubuh badan aku masih tak boleh bergerak kerana dililit dengan lingkaran tangan Melati. Aku tak tahu Melati dan kakak-kakaknya ni apa siapa atau apa sebenarnya.

“Melati, alam dia dan kita tak sama. Carilah kekasih dari alam kita. Cukuplah dengan apa yang kamu telah buat suatu ketika dulu. Jangan diulang perkara sama.” Kata kakak Melati lagi.

“Pulangkan orang kami. Kami tak ganggu orang kau. Kau di alam kau. Kami ni alam kami. Kita takkan pernah boleh bersatu. Kau ambil dia dengan baik, tolong pulangkan dengan baik juga.” Aku dengar suara lelaki. Semua yang berada di situ menoleh ke keliling, seperti mencari suara itu.

“Pulangkan semula barang milik kami yang orang kau ambil. Itu adalah pusaka ibu dan ayah kami,” kata kakak Melati. Dia seakan sedang berinteraksi dengan suara lelaki tadi.

“Aku minta maaf bagi pihak orang aku. Aku pulangkan semula barang milik kamu. Dan tolong pulangkan orang kami yang kau ambil,” kata lelaki itu lagi.

“Tidakkkk. Melati tak izinkan dia pergi. Dan masa ni aku nampak rupa Melati yang agak hodoh. Seperti nenek tua yang berusia ratusan tahun, hitam dan bersisik, dengan mata yang kemerahan. Lingkaran tangannya yang melilit aku, makin kuat melilit hingga aku tak boleh bernafas.

Ku tahu asal usulmu,

Yang laut balik ke laut,

Yang darat balik ke darat,

Nasi berwarna hamba sembahkan,

Umbok mayang ku umbok,

Umbok dengan jala jemala,

Pulih mayang ku pulih,

Pulih balik sediakala.

Aku dengar bait-bait ayat ini. Tapi aku tak tahu siapa yang menyebutnya. Dan aku kenal bait-bait lagu ni. Mak aku suka nyanyi. Dulu masa kat sekolah pun, kalau ada persembahan pentas akhir tahu, selalu mereka buat persembahan tarian ni. Tarian ulik mayang kalau tak silap aku.

Perlahan-lahan aku rasa lingkaran yang mengikat tubuh aku menjadi longgar. Aku dengar suara menangis, sangat sedih bunyinya. Dan bergema di setiap sudut dalam istana lama tu.

“Melati, sudahlah. Pulangkan dia semula ke tempatnya.” Aku dengar suara kakak Melati.

Tiba-tiba pipi aku terasa pedih seakan ditampar orang. Aku buka mata. Aku nampak Sudin dan Sahak. Aku perhatikan keliling, aku sedang berbaring berbumbungkan langit. Aku dengar bunyi ombak. Aku sedang baring kat tepi laut!

Aku terus duduk. Aku nampak seorang lelaki bersila kat tepi aku. Pak Radhi pun ada. Aku memandang semua orang yang berada di situ dengan wajah cuak.

“Azli, campakkan barang tu semula ke laut.” Kata Pak Radhi. Lalu aku nampak Azli mencampakkan sesuatu ke laut. Aku nampak bayang-bayang seorang perempuan sedang berdiri di atas air laut. Dia mengangkat tangan seakan sedang menghadap raja sambil tunduk memberi hormat. Sekejap je, lepas tu dia hilang. Sekelip mata je.

“Apa cerita ni? Kenapa semua orang ada kat sini? Kenapa kita berada kat laut ni? Bukan ke kita dah balik rumah?” aku tanya bertalu-talu.

“Panjang ceritanya. Cukuplah aku cakap, kamu kena culik oleh jin air. Puteri raja 7 beradik, yang selalu kita dengar lagu ulik mayang tu. Rupanya benda tu betul.” Kata Ejey. Aku pandang Pak Radhi memohon kepastian. Itu cerita dongeng kot, takkanlah jadi betul.

“Kita anggap sajalah macam tu Aan. Segalanya rahsia Allah. Dia dah pulangkan kau semula ke alam sini pun dah cukup baik. Ada yang tak balik-balik sampai sekarang tahu tak?” kata Pak Radhi.

“Tapi kenapa saya? Saya tak usik mereka?” aku menjawab, masih tak percaya dengan apa yang aku dengar.

“Kau tak usik mereka, kawan kau ambil barang mereka. Adik bongsu mereka datang ke alam kita untuk mencari barang milik mereka yang hilang tu. Mungkin dia terjumpa kamu dan dia jatuh cinta pada kamu. Wallahu alam,” kata Pak Radhi.

“Siapa ni?” kataku menunjukkan lelaki yang bersila di tepi aku tadi.

“Pakcik orang sini. Orang laut. Panggil saja Pak Hamid. Pak Radhi ni adik pakcik. Dia yang bawa kamu berjumpa saya. Katanya kawan-kawan rumah jumpa kamu tak sedarkan diri di rumah kamu. Muka kamu tumbuh sisik dan tangan kamu jadi kasar. Itu tanda-tanda kamu sedang disimpan oleh jin air.” Kata lelaki yang mengakui dirinya Pak Hamid.

“Apa barang mereka yang Azli dah ambil ?” aku tanya lagi.

“Dia ambil sejenis batu karang yang dia jumpa kat dalam laut masa rombongan kilang kamu bercuti kat sini haritu. Pada kita, ianya mungkin batu karang. Tapi pada mereka, ianya adalah emas pusaka tinggalan ibu ayah mereka.” Kata Pak Hamid lagi.

“Aan, masa Azli hilang malam tu, benda tu dah masuk dalam badan dia dah. Dia dah ikut kita balik ke rumah kita. Dia dah bersama kita satu malam. Kita yang tak sedar,” kata Sahak perlahan kat tepi telinga aku.

“Patutlah kelakuan dia ganjil sangat.” Balasku perlahan.

“Aku pun minta maaf sebab tak percayakan kau. Aku tahu kau dah cuba beritahu aku pasal Azli, tapi aku kata kau yang berkhayal,” kata Sahak lagi.

“Sorry Aan, sebab aku ambil barang mereka, kau yang jadi mangsa,” kata Azli pula.

“Jin air tu memang sukakan Borhan. Sebab itu dia sanggup ikut melalui badan Azli,” kata Pak Radhi.

“Tu la kau Aan, takut sangat dengan perempuan di alam kita. Sampai perempuan di alam lain bawa kau lari,” kata Sudin mengusik perlahan.

“Dah, jom kita balik. Mereka dah ambil barang mereka, dan mereka dah pulangkan milik kita. Taburkan nasi tujuh warna ni di atas air laut bahagian selat. Itu sebagai hadiah perdamaian kita dengan alam satu lagi,” kata Pak Hamid sambil menghulurkan sepinggan nasi berwarna warni kepada Ejey.

“Boleh tak saya yang taburkan?” kataku.

“Boleh, pergilah. Jangan terpedaya lagi,” kata Pak Hamid.

Aku mengambil pinggan berisi nasi dari tangan Pak Hamid. Aku melangkah ke arah selat laut yang agak berlumpur tapi banyak batu-batu besar di situ. Tiada orang lain di tepi pantai. Menurut Pak Hamid, dia terpaksa meminta kawasan itu dikosongkan, kerana bimbang berlaku perkara yang tak diingini.

Matahari semakin condong ke barat. Aku agak waktu tu dah menghampiri pukul 7 malam.

Aku berdiri di atas satu batu besar. Aku ucapkan bismillah. Aku taburkan nasi berwarna tu sedikit demi sedikit. Dalam ombak perlahan yang memukul batuan pantai, aku nampak sesuatu yang bergerak di dalam air. Tak jelas tapi aku tahu ada sesuatu di situ.

“Abang,” aku dengar.

“Melati balik tempat Melati. Saya balik ke tempat saya. Kita tak boleh bersama, alam kita tak sama. Minta maaf kalau saya ada berbuat salah.” Ucapku perlahan. Memang itulah tujuan aku nak tabur sendiri nasi berwarna tu. Sebab aku mengharapkan aku dapat jumpa dengan Melati lagi.

Aku dengar bunyi tangisan yang amat menyedihkan. Seakan bergema di segenap pantai. Tak tahulah mereka yang lain dengar atau tak bunyi tangisan tu.

Di satu lagi batu besar di tepi laut, aku nampak Melati berdiri di situ memandang aku. “Baliklah tempat Melati. Hiduplah Melati sebagaimana yang Melati mahukan. Kita berpisah di sini,” kataku.

“Aan, cepat. Air makin tinggi,” aku dengar suara Sudin memanggil aku. Dan aku segera meninggalkan batu besar. Pak Hamid mempelawa kami ke rumahnya. Mandi, solat maghrib dan makan dulu. Pak Radhi pun mengajak kami juga. Katanya lepas makan malam kami bertolak balik ke rumah kami semula. Esok kami dah mula kerja.

Sampai kat rumah Pak Hamid, kami mandi dan solat. Pak Hamid jadi imam. Selesai solat maghrib, kami makan malam.

Tiba-tiba seseorang letakkan duit kat tepi aku. Aku pandang je duit tu. Ada RM7.70, dah macam duit pengeras pula. Mak aku selalu cakap, kalau orang berubat, kena bayar dengan angka tujuh.

“Kenapa tu Nadia?” aku dengar suara Pak Hamid menegur.

“Haritu dia ni la tinggalkan duit RM10 sebab nak bayar balik duit Nadia RM2.30. Sekarang ada rezeki Nadia pulangkan balik bakinya. Takdelah hutang lagi ye.” Kata perempuan yang letakkan duit kat tepi aku tadi.

Aku dongakkan kepala aku melihat perempuan tadi. Muka aku berubah merah. Dialah gadis yang bayarkan duit masa aku takde duit kecil kat 7E haritu. Allah, malunya aku. Jumpa lagi dengan dia ni.

“Itu maknanya ada jodoh la tu.” kata Pak Radhi sambil ketawa besar, disambut oleh mereka yang berada di situ. Sudin yang berada di sebelah aku mencuit tangan aku sambil mengangkat keningnya. Sahak pula pula isyarat bagus kat aku bila dia dia angkat ibu jari tangannya. Aku memandang Nadia yang tersipu-sipu malu. Entahlah kenapa, hati aku berbunga. Inikah yang dinamakan cinta?

– T A M A T –

3 thoughts on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s