KEKASIH DARI LAUT

Bab 9

Kami sama-sama menoleh perlahan melihat ke arah suara yang menegur kami tadi. Azli berdiri di belakang kami dan memandang wajah kami silih berganti.

“Kenapa pandang aku macam tu?” Azli tanya.

“Kau dari mana?” Sahak tanya.

“Dari bilik aku,” Azli jawab.

“Sejak bila?” Sudin pula tanya.

“Sejak tadi la. Aku tak ke mana pun hari ni,” kata Azli.

“Tapi sejak Asar petang tadi, kau takde kat mana-mana dalam rumah ni,” aku pula bersuara.

Azli tak menjawab. Dia pandang aku, tersenyum macam nampak kekasih hati. Dia melangkah dekat kepada aku. Aku pula mengundur ke belakang Ejey. Aku tolak Ejey ke depan, Ejey pula tolak Sudin ke depan dia. Tapi Azli tetap melangkah mengikut aku, walau aku pergi ke belakang siapapun.

“Kau nak lari ke mana Aan?” Azli tanya aku. Waktu tu aku nak telan air liur pun tak berani.

“Kau tu yang dah kenapa Li?” Sahak bersuara. Dia berdiri di hadapan Azli. Azli berdiri menghadap Sahak.

“Kenapa dengan aku pula? Korang tu. Pukul 2.30 pagi terjenguk-jenguk ke luar. Dah ambil tugas burung hantu ke cemana?” Azli bersuara. Ada masa aku rasa dia Azli kawan sebilik aku, tapi ada masa aku nampak dia macam bukan dia. Aku keliru.

Kami semua diam. Berpandangan sesama sendiri.

“Li, kau ok tak?” Sahak tanya lagi. “Aku ok je? Kenapa? Kau rasa aku tak ok ke?” Azli menjawab. Matanya sesekali mengerling aku.

“Li, kau menghilang lepas asar petang tadi. Dan tadi kami nampak kau menari kat luar halaman rumah. Aku tak rasa kau ok. Atau ada benda lain….,”

“Benda apa?” Azli memotong cakap Sahak.

“Maksud aku, kalau kau ada masalah, kau beritahulah kami. Kami akan tolong kau,” kat Sahak.

“Aku takde masalah apa-apa. Tapi korang yang nampak macam aku bermasalah. Aan tu, takkan dia tak nampak aku kat dalam bilik tadi. Aku nampak je dia solat maghrib isya semua.” Sahut Azli buatkan semua mata di situ mengalih pandangan ke arah aku.

“Sekarang cuba korang fikir, aku atau Aan yang tak ok?” Azli tanya lagi.

“Tapi masalahnya sekarang, kau yang kami nampak menari kat luar rumah tadi,” kata Ejey dalam takut-takut tu.

“Korang yakin mata korang tak ditipu? Yakin yang menari kat luar tu aku? Yakin yang berdiri bersama korang tu adalah Aan?” kata Azli. Kali ni Sudin dan Ejey menjarakkan sikit kedudukan mereka dari aku. Dan pandangan mereka pada aku pun dah lain macam.

“Li, kau jangan buat cerita. Aku tahu, kau tak ok. Kau macam orang lain,” aku beranikan diri bersuara bila Azli mengatakan sesuatu yang aku rasa tak betul.

“Kau kata aku buat cerita. Tapi kau tak sedar, kau yang sedang buat cerita,” kata Azli, pandang aku dengan mata merah.

“Kita bukan nak bergaduh. Kita nak selesai perkara ni. Kalau ada yang tak betul, kita cuba betulkan.” Kata Sahak yang dari tadi memerhatikan bunga-bunga pertelingkahan kami.

“Takde siapa nak gaduh pun. Korang yang tuduh aku bukan-bukan,” kata Azli. Dia terus melangkah masuk ke dalam bilik dan tutup pintu dengan kuat.

Sahak pandang aku. Aku diam. “Kau ok ke Aan?” Sahak tanya. Aku anggukkan kepala.

“Dah pukul 3.00 pagi ni weh. Jom tidur la. Takde apa kot. Entahlah, aku pun tak tahu. Aku masuk bilik dulu la,” kata Ejey melangkah masuk ke biliknya.

“Kita tidur dulu Aan. Esok kita sambung cerita hal ni. Kalau perlu bantuan, kita panggil Pak Radhi. Dia je yang aku ingat sekarang ni,” kata Sahak.

Aku tak terkata apa-apa. Sudin dah bangun masuk ke dalam bilik. Sahak pun bangun. Nak masuk bilik. Aku nak tahan, rasa macam menyusahkan mereka pula. Tapi aku takkan masuk tidur dalam bilik. Aku sanggup tidur kat sofa ruang tamu ni.

Aku baring kat sofa, lampu sengaja aku biarkan terpasang. Aku pejamkan mata cuba untuk lena.

Tap! Suis lampu seakan ditutup. Sebab nak kata elektrik takde, lampu luar elok je menyala. Aku membatukan diri. Aku pasang telinga.

Tap… Tap…. Tap…. Aku dengar bunyi tapak kaki melangkah. Mengelilingi sofa tempat aku sedang baring. Sesekali aku terdengar macam bunyi nafas seseorang.

“Kenapa tidur kat sini?” aku dengar suara Azli. Aku tak menyahut.

“Aku tanya, kenapa tidur kat sini? Kenapa tak masuk bilik?” Dia tanya lagi.

“Kenapa kau tutup lampu?” aku beranikan diri bertanya.

“Aku suka kegelapan. Cahaya terang melemahkan aku,” kata Azli lagi.

“Kau tidurlah kat bilik. Aku nak tidur kat sini. Pasang balik lampu tu,” aku menjawab walau dengan suara tenggelam timbul.

“Kau takut kat aku ye?” Azli tanya aku. Aku buka mata aku perlahan. Azli sedang bertinggung kat depan aku, menghadap muka aku. Ya Allah, serius seram tengok keadaan dia macam tu.

Aku berpaling ke arah lain. Aku pejamkan semula mata aku. Aku baca Al-Fatihah tapi tunggang terbalik. Azli pegang tangan aku, sejuk je tangan dia, macam baru keluar dari air sejuk setelah berendam lama.

Aku tepis tangan Azli. “Aku datang dari jauh, ikut kau. Nak jumpa kau, tapi macam ni layanan kau kat aku?” Azli bertanya dengan suara tegas, betul-betul kat tepi telinga aku.

“Dari jauh apa pula ni? Kau bukan memang tinggal di sini ke? Lagipun bukan aku yang ajak kau datang sini, kau yang datang sendiri,” aku membalas juga walau aku rasa tak sedap hati. Kaki dah kaku, tangan dah beku. Mujur mulut masih bisa berbicara walau tenggelam timbul suara.

“Aku selalu tengok kau. Aku suka kat kau.” Kata Azli dan kali ni aku berusaha untuk bangun.

“Li, kau dah gila ke? Kau lelaki, aku lelaki. Nak suka apa benda pula ni?” aku tanya sambil berdiri. Entahlah dari mana keberanian tu datang. Azli mengundur beberapa tapak. Dia duduk di lantai, menutup mukanya dan aku dengar dia menangis perlahan.

“Aan, kenapa ni?” Sahak bersuara di belakang aku. Dia terkejut kot bila dengar suara aku menjerit tadi. Ruang tamu terang semula bila Sahak pasang lampu.

“Li ni, bercakap macam orang gila,” aku beritahu Sahak.

“Li? Mana dia?” Sahak tanya aku. Aku pandang tempat Azli duduk sambil menangis tadi. Dia tiada di situ.

“Tadi dia ada kat sini,” kataku kembali cuak bila tak nampak Azli di mana-mana pun di ruang tamu tu.

Sahak melangkah ke pintu bilik aku. Dia tolak pintu bilik aku perlahan dan pasang lampu. Dia menjenguk ke dalam bilik.

“Tu Li tengah tidur elok je kat bilik tu?” kata Sahak. Aku tergamam seketika. Aku melangkah perlahan menghampiri Sahak dan aku menjenguk ke dalam bilik. Betullah, Azli ada tidur di katilnya.

“Aan, kau ok ke tak ni?” Sahak tanya aku perlahan. Aku usap muka aku dan mengeluh panjang.

“Aku risau tengok kau ni. Sekarang aku pun tak tahu, yang tak ok tu Li atau kau,” kata Sahak lagi. Aku diam. Tak tahu nak cakap apa.

“Kau penat ni. Atau kau rindu mak kau. Kau banyak fikir. Cuba tidur, tenangkan hati. Esok kita jumpa Pak Radhi. Kita cuba tanyakan hal ni kat dia. Atau kau nak jumpa Imam surau kat tempat kita ni?” Sahak tanya aku.

Dan aku terus diam. Dalam hati aku berfikir, kenapa Sahak bertanya aku seperti aku yang bermasalah sekarang ni? Sedangkan dah terang-terang Azli yang hilang tiba-tiba muncul. Azli juga yang menari macam perempuan kat halaman rumah. Kenapa sekarang macam aku pula yang dipersalahkan?

“Kau pergilah tidur dalam bilik kau.” Kata Sahak.

“Takpelah, aku tidur kat ruang tamu ni je,” kataku sambil berbaring kat sofa.

“Ikut suka kau la Aan.” Kata Sahak sambil berjalan ke arah suis lampu.

“Biar lampu tu berpasang,” kataku pada Sahak. Sahak tak menyahut tapi dia tak jadi tutup lampu. Aku pejamkan mata aku semula.

“He he he heee…” aku dengar suara perempuan ketawa perlahan. Aku buka mata, tiada sesiapa di depan aku. Aku angkat kepala, perhatikan keliling. Tiada sesiapa. Ruang tamu masih terang.

Dan bunyi ketawa itu masih jelas. Aku bangun dan cuba cari bunyi ketawa itu. Aku yakin itu suara perempuan. Bunyi ketawa itu datangnya dari dapur. Aku melangkah perlahan ke dapur.

Aku pasang lampu dapur, tiada sesiapa. Melilau mata aku pandang keliling, tiada sesiapa. Dan bunyi ketawa itu perlahan seakan yang empunya tawa itu sedang tertawa dengan mulutnya ditutup dengan tangan.

“Siapa tu?” aku tanya. Dan bunyi ketawa tu terus kedengaran.

“Aku tak tahu kau siapa, dan aku tak tahu apa kau buat dalam rumah ni. Paling aku tak tahu, kenapa kau kacau aku. Kalau ada apa-apa urusan kau dengan aku, beritahu aku. Jangan main-main macam ni,” kataku lagi. Aku dah give-up. Asyik menyalahkan dan dipersalahkan.

Bunyi ketawa tadi berhenti. Aku dengar bunyi tapak kaki orang kat belakang aku. Dan bunyi tapak kaki tu berhenti betul-betul kat belakang aku. Meremang bulu roma, tapi aku gagahkan diri untuk menoleh. Tiada sesiapa kat belakang aku tapi belakang tengkuk aku sejuk laksana terkena ais batu, menyebabkan telinga aku rasa kebas sekejap.

“Jangan main-main macam ni. Kalau ada orang lain kat sini, tolong bagitahu aku, tak kisahlah macammana pun caranya. Jangan buat aku macam orang gila kat sini,” aku bersuara lagi. Kali ni aku betul-betul nekad nak cari apa benda yang dok kacau aku ni.

Tiba-tiba paip air di sinki terpasang sendiri. Dan lutut aku lemah longlai bila aku nampak satu susuk tubuh perempuan berdiri di tepi sinki dalam keadaan membelakangkan aku.

Tap! Lampu padam. Seluruh rumah bergelap. Termasuk lampu luar rumah. Dan aku terduduk, aku rasa tulang aku dah jadi lembut.

Aku rasa ada kain selembut sutera berlalu di tangan aku. Dan aku dengar bunyi nafas seseorang. Hidung aku tersumbat dengan bau wangian bunga, seakan aku pernah hidu bau ni. Tapi aku tak boleh berfikir di mana aku hidu bau ni.

“Abang, jom ikut saya balik.” Aku dengar suara perempuan, melirik manja di tepi telinga aku.

“Saya nak jumpa keluarga saya, tapi saya tak boleh tinggalkan abang. Saya sayang abang,” aku dengar jelas setiap butiran ayat dari suara merdu kat tepi telinga aku. Aku dapat rasa ada jemari mengusap lembut kat tangan aku. Aku tak mampu gerakkan badan aku, seakan dikunci di setiap sendi.

Ada sesuatu meniup aku dan aku tak sedarkan diri.

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s