KEKASIH DARI LAUT

Bab 8

“Azli mana?” Aku bertanya tanpa menjawab usikan Sudin dan Sahak.

“Manalah kami tahu. Kami pun baru balik ni. Tengok kau seorang je terjerit-jerit panggil nama Melati kat situ. Mana ada orang lain,” kata Sahak sambil melangkah ke dapur.

Aku bangun, terus menjenguk ke luar rumah. Motor Azli ada kat depan rumah. Aku masuk ke bilik, mencari Azli tapi dia tiada. ‘Dia keluar tumpang motor kawan dia agaknya’ desis hati kecil aku. Aku terus masuk ke bilik air, mengambil wudhu dan solat Asar.

Sampai maghrib, aku tak nampak kelibat Azli. Sudin, Sahak dan Ejey pun dah lama balik. Kami semua dah solat pun tapi aku Azli masih tak balik. Aku call handphone dia, ada bunyi tapi tak berjawab. Aku hantar mesej, satu tick je. Aku mula rasa tak sedap hati. Sebab Azli ni bukan jenis merayap sampai maghrib. Dan dia tu kalau ke mana-mana pun, tak pernah lagi tak beritahu aku. Dia takkan hilang tanpa maklumkan aku atau kawan-kawan lain kat rumah tu. Lama dah kot kami tinggal bersama.

“Weh korang, aku tak sedap hati la. Mana perginya si Azli ni? Tak pernah dia hilang tak bagitahu ni. Dah maghrib kot. Call tak jawab, mesej tak balas.” Kataku perlahan sambil berdiri di pintu rumah yang terbuka.

“Kau lupa kot, dia ada bagitahu kau dia nak ke mana hari ni,” kata Sudin, sambil sama-sama menjenguk ke luar rumah. Aku tak menyahut.

“Aku keluar beli nasi goreng jap. Siapa nak kirim?” Ejey bersuara lalu mengambil topi keledarnya dan keluar dari rumah. “Aku dan Sahak nak nasi goreng pattaya,” kata Sudin.

“Kau Aan?” Ejey tanya aku. “Belilah nasi goreng kampung untuk aku,” sahutku. Perut memang lapar, tapi aku risaukan Azli.

“Nanti dia balik la tu. Bukannya budak kecil. Bukan anak gadis pun yang kau nak risau sangat tu kenapa?” Sudin bersuara.

“Kalau hari biasa, memang aku tak risau. Tapi aku ada rasa macam sesuatu tak kena dengan Azli tu. Tu yang aku risau. Kau tengok je la semalam, dia makan dalam gelap, lepas tu keluar rumah tengah malam. Kau tak rasa ke macam ada yang tak kena?” sahutku.

“In Shaa Allah, takde apa tu. Kau bertenang je ok,” kata Ejey lagi dan terus menghidupkan enjin motor dan berlalu pergi. Aku duduk kembali di kerusi. Aku ambil telefon dan call mak aku. Lama aku sembang dengan mak aku, macam dah bertahun tak jumpa, walhal baru minggu tu je aku tak balik. Aku janji dengan mak aku untuk balik kampung minggu depan. Banyak hadiah aku beli untuk mak aku. Mesti dia seronok.

Ejey balik ketika azan Isya’ sedang berkumandang. “Li tak balik lagi?” dia bertanya masa dia letakkan kunci motornya di atas meja. “Belum,” aku jawab perlahan dan mata aku masih memandang keluar pintu yang masih terbuka.

“Jom makan dulu. Kejap lagi baliklah kot,” kata Ejey. Selesai makan, aku solat Isya’. Lepas tu aku menonton televisyen sampai pukul 12 malam, Azli masih belum balik.

“Li balik rumah mak dia kot,” kata Sudin.

“Dia balik dengan siapa? Naik apa?” aku tanya balik.

“Mana tahu, masa kau tidur, ada kawan dia datang ambil,” kata Sahak pula.

“Kenapa dia tak jawab telefon?” aku tanya lagi.

“Kot dia masih atas highway, line tak clear,” kata Ejey pula.

“Tidurlah dulu. Pagi esok, kalau dia tak balik juga, kita cuba telefon maknya,” kata Sahak pula.

Aku diam. Aku bangun dan kunci pintu. Terus masuk ke dalam bilik. Aku tutup lampu. Aku baring kat katil aku. Aku pejamkan mata.

“Kreeekkkkk…,” aku dengar bunyi pintu bilik di tolak perlahan dari arah luar. Aku angkat kepala. Pintu bilik aku terbuka sedikit.

“Li?” aku panggil. Tiada sahutan.

“Kreeeekkkkk….” Kali ni pintu bilik air pula berbunyi perlahan seakan dibuka.

“Li?” aku panggil sekali lagi. “Dum!” Pintu bilik dan pintu bilik air tertutup serentak. Jantung aku berdegup laju. Bau wangi tiba-tiba semerbak dalam bilik tu. Aku duduk di atas katil aku, memerhati keliling.

“Ulikkkk Mayang di ulikkkkkkk…..” aku dengar suara bisikan menyanyikan lagu tu. Bulu roma aku meremang dah.

“Ulikkkkkk….. Mayang di ulikkkkkkkk…..” sekali lagi. Suara bisikan seorang perempuan.

“Siapa tu?” aku menjerit walaupun aku dapat rasakan suara aku tenggelam di anak tekak.

“Saya datang nak jumpa abang… Saya rindu abang…..,” aku dengar jelas suara tu, macam berbisik di tepi telinga aku je. Aku menoleh sekeliling, hanya kegelapan malam. Adalah samar-samar cahaya dari lampu jalan yang masuk ikut celahan tingkap kaca.

Aku mendiamkan diri seketika. Aku tak tahu apa yang sedang aku hadapi sekarang ni. Apa benda kat tepi aku ni. Aku bermimpi atau masih berkhayal pun aku tak tahu. Atau memang betul ada sesuatu bersama aku pada masa ni.

Keadaan sunyi seketika. Lebih kurang lima minit juga aku keras kejung kat atas katil aku sendiri. Aku perhatikan sekeliling. Aku nampak pergerakan tapi aku tak tahu apa tu. Nak kata orang, aku nampak pergerakan tu di siling bilik. Seakan ada sesuatu yang ‘berenang’ di siling bilik aku, di bahagian atas katil tempat aku sedang baring.

Nampak macam ikan duyung pun ada. Rambut panjang, tapi bahagian lain tak berapa jelas. Aku nak bangun, kaki aku macam dah kena paku. Nak gerakkan jari pun macam dah tak mampu. Suara aku macam dah kena kunci.

Aku pejamkan mata. Cuba membaca beberapa surah yang aku tahu. Dalam keadaan macam tu, apa yang terlintas kat kepala aku je aku baca. Entah betul entah tidak, aku pun tak pasti.

“Heee heeee heeeee…..,” aku dengar suara ketawa perlahan seorang perempuan.

“Abang ikutlah saya balik. Saya akan jaga abang,” kata suara itu lagi.

Aku masih pejamkan mata, aku baca surah Al Fatihah entah dah berapa kali sebab surah tu je yang aku mampu baca dan aku rasa paling betul aku baca pada masa tu.

“Kringggggg!” aku dengar bunyi telefon. Tubuh badan aku dah boleh bergerak semula. Aku terus duduk dan beristighfar.

“Kringggggg!” sekali lagi aku dengar bunyi telefon tu. Aku cari telefon aku. Bukan telefon aku yang berbunyi.

“Kringggg!”  aku bangun mencari bunyi telefon tu. Kalau tak salah aku, itu bunyi telefon Azli. Aku pergi ke katil Azli dan meraba katil dan bantalnya. Dan aku jumpa telefon tu, ada kat bawah bantal.

“Unknown number” aku angkat. “Hello” hanya bunyi angin di talian.

“Li?” aku panggil lagi.

“Haaaaaaa” aku dengar suara di dalam talian.

“Siapa ni?” aku tanya.

“Haaaaaa…” meremang weh.

Aku tutup panggilan tu. Aku bangun nak pasang lampu. Tapi masa tu aku nampak susuk tubuh seorang perempuan berdiri dekat suis lampu.

“Siapa?” aku beranikan diri bertanya walaupun hati aku kata itu bukanlah seseorang yang sepatutnya berada di dalam bilik aku. Tiada sahutan. Tapi aku yakin dia sedang memandang aku.

“Kringggg!” telefon Azli berbunyi lagi. Mata aku masih terpaku kepada susuk tubuh dekat lampu.

“Kringgggg!” aku tak bergerak di kedudukan aku. Aku tak tahu nak buat apa. Al Fatihah dah berpuluh kali kot aku baca. Kalau sekali baca dosa aku terangkat, mahu masuk syurga dah aku ni agaknya.

Aku nampak susuk tubuh tu bergerak merapati aku. Macam bayang-bayang. Ya Allah, masa tu Tuhan je yang tahu betapa kecutnya perut aku.

Dum! Tiba-tiba pintu bilik aku terbuka dengan kuat sampai daun pintu berlaga dengan dinding. Aku nampak Sahak dan Sudin berdiri kat pintu. Aku pandang keliling, mencari bayang perempuan tadi.

“Aan?” Sahak panggil aku perlahan, macam berbisik pun ada.

“Kenapa?” aku pun menjawab berbisik.

“Li ada kat luar,” kata Sudin.

“Dia dah balik? Dia tak bawa telefon, sebab tu kita call dia tak jawab,” kataku perlahan sambil melangkah keluar bilik. Muka Sahak dan Sudin nampak lain macam.

“Mana Li?” aku tanya bila tak nampak Azli di ruang tamu. Aku tengok jam dan pukul 1.30 pagi.

“Kat halaman rumah,” sahut Ejey yang sedang mengintai keluar dari tingkap.

“Kau intai apa tu Ejey?” aku tanya.

“Aku tengok Azli,” Ejey menyahut.

“Apa dia buat kat luar?” aku tanya. Sudin, Sahak dan Ejey masing-masing angkat bahu. Tapi riak muka masing-masing nampak cuak.

Aku pegang tombol pintu, nak buka pintu. “Aan, jangan buka pintu tu lagi. Kau cuba tengok iktu tingkap dulu,” kata Sudin. Masa ni aku dah rasa lain macam. Aku melangkah menghampiri Ejey yang masih mengintai keluar tingkap.

Ali jenguk keluar. Aku nampak Azli sedang berdiri di tengah halaman, sambil menari tarian tradisional! Terbeliak biji mata aku menengoknya.

“Kenapa tu? Dia buat apa?” aku tanya Ejey. Ejey angkat bahu.

“Aan, cuba kau tengok betul-betul kat belakang Azli tu,” Sahak berkata. Aku pandang semula ke arah Azli. Aku cuba amati sekeliling Azli.

Nampak macam ada bebayang kat belakang Azli, ikut menari sama macam gerakan Azli. Tegak bulu roma aku. Sejuk je rasa belakang tengkuk aku. Azli yang selama ini aku kenal dengan loyar buruk, kelakar, lelaki sejati, sedang menghayun tangan dengan penuh gemalai, menari tarian yang penuh lemah lembut.

“Ada benda lain ke kat belakang dia tu? Ikut menari sama macam dia?” aku tanya sambil mata aku terus merenung Azli yang sedang menari di halaman rumah. Tiada sahutan dari Sudi, Sahak mahupun Ejey. Masing-masing sedang khusyu memerhati Azli di halaman rumah.

“Apa benda tu? Bayang perempuan ke?” aku tanya lagi walaupun aku tahu tiada jawapan yang akan aku dapat.

“Kena buat sesuatu ni. Nampak dek jiran sebelah menyebelah nanti, takut timbul fitnah,” kataku lagi.

“Nak buat apa? Nak tarik dia masuk dalam rumah? Nanti dia berubah rupa masa kat dalam rumah ni nanti macammana? Aku tak berani,” kata Ejey. Wajahnya betul cuak.

“Cuba call sesiapa,” kata Sahak.

“Nak call siapa waktu macam ni?” Sudin menyahut.

“Call Pak Radhi,” aku bagi cadangan.

“Kreeeekkkkk!” Pintu bilik aku tiba-tiba ada orang buka dari dalam bilik. Kami masing-masing memandang ke arah bilik aku.

“Dum!” dan tiba-tiba tertutup sendiri.

Keadaan tu berulang beberapa kali, pintu tertutup dan terbuka sendiri seakan ada yang melakukannya.

“Siapa kat bilik kau Aan?” Sudin tanya. Aku hanya gelengkan kepala.

“Weh, Li dah takde kat luar,” Ejey bersuara. Tadi kami semua hilang fokus kat Azli di tengah halaman sebab dah beralih ke pintu bilik aku.

“Dia pergi mana? Cuba tengok keliling,” kata Sudin. Kami sama-sama menjenguk ke luar tingkap. Tiada sesiapa kat luar. Jam dah pukul 2.30 pagi.

“Korang tengok apa tu?” tiba-tiba ada suara di belakang kami menegur. Suara yang amat kami kenal. Azli!

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s