KEKASIH DARI LAUT

Bab 7

Aku melangkah keluar bilik perlahan-lahan. Aku dengar bunyi nafas seseorang. Aku matikan diri seketika. Dari samar-samar cahaya yang kelam, aku nampak kelibat sesuatu yang bergerak. Aku cuba amati, nampak macam seseorang. “Li?” aku panggil. “Shhh..,” dibalas dengan bunyi ni, suruh aku diam pulak.

Seketika kemudian, aku dengar bunyi pintu bilik air dapur berdentum ditutup dengan kuat. Aku melangkah ke arah suis lampu. Seseorang pegang bahu aku dan tutup mulut aku bila aku mula nak jerit. Berderau darah aku.

“Shhh… Aan, aku ni, Ejey. Diam, diam. Aku dah lama cari bunyi tu. Aku rasa ada orang masuk rumah kita ni,” kata Ejey berbisik kat telinga aku. Aku tak jadi pasang lampu. Aku ikut langkah Ejey ke dapur. Sesekali langkah aku tersepak entah apa barang yang kami tak susun, main campak je balik dari rombongan semalam.

Sampai kat pintu dapur, kami berhenti kat situ. Ejey dah pegang penyapu, tunggu masa nak ketuk orang je tu. Kami dengar bunyi seperti seseorang sedang makan. Memang nampak samar-samar seperti kelibat seseorang di meja makan.

Tap! Keadaan jadi cerah. Seseorang pasang lampu. Aku dan Ejey terkejut. Kami pandang ke meja makan. Azli sedang makan nasi tanpa pedulikan kami. Sahak berdiri kat suis lampu. Sudin berdiri kat belakang aku dan Ejey.

“Li, dah kenapa kau makan dalam gelap ni?” aku panggil sebaik sahaja kami dapat berfikir tenang kembali.

“Aku lapar,” Azli jawab.

“Aku tahu kau lapar. Kenapa tak pasang lampu? Nasib baik tak makan penyapu,” kata Ejey.

“Yang korang tu mengendap macam tu kenapa? Pasanglah lampu,” kata Sahak.

“Aku takut ada penyamun masuk rumah kita,” sahut Ejey.

Aku tengok jam dinding, pukul 3 pagi. Aku tengok Azli, dia masih makan tanpa pedulikan kami. Azli ni saiz badannya paling kecil antara kami. Senang cakap, paling kurus. Kalau ditiup angin pun boleh melayang kot. Dia paling kurang makan, tapi dia paling kuat menyakat aku, mungkin sebab dia sebilik dengan aku.

“Kau makan apa Li?” Sudin tanya. Iyelah, kat rumah kami mana ada makanan. Kami kan baru balik dari rombongan. Masa kami pergi haritu, takde sisa makanan yang tertinggal.

Azli tak menyahut. Dia bangun lalu ke sinki. Dia masukkan pinggan ke dalam bakul sampah tepi sinki. Kami semua berpandangan sesama sendiri.

“Li, kenapa kau buang pinggan tu?” Sudin tanya. Azli tak jawab, dia basuh tangan kat sinki, dan terus berlalu pergi ke ruang tamu. Kami berempat masih termangu-mangu kat situ.

Aku jenguk bakul sampah, ambil pinggan yang Azli campakkan tadi. Pinggan tu kosong, bersih je. Takde sisa makanan. Bau pun takde. Bakul sampah pun kosong. Ejey berdiri kat belakang aku. “Dia makan apa tadi?” Ejey tanya aku. Aku angkat bahu.

Sudin dan Sahak dah ke ruang tamu mengikut Azli. Aku dan Ejey pun turut serta. Azli buka pintu rumah. “Li, kenapa kau buka pintu waktu macam ni? Tutup pintu tu,” Sahak menegur. Azli tak peduli, dia melangkah ke halaman rumah kami yang sekangkang kera tu.

Azli mendepakan tangannya. Aku, Ejey, Sudin dan Sahak mula rasa tak sedap hati. Sahak keluar mendapatkan Azli, memegang tangan Azli dan menariknya masuk semula ke dalam rumah.

“Kau kenapa Li?” Sudin tanya. “Aku rindukan rumah aku,” kata Azli. Dia memang seorang yang suka buat lawak. Kalau kau tengah sedih, kau carilah dia. Hilang sedih kau.

“Kau ni Li, kot iye pun nak buat lawak jenaka, tunggulah esok pagi. Tak payahlah malam buat waktu jin berkeliaran ni kau nak buat jenaka. Kan dah balik rumah, nak rindu apa lagi. Pergilah cium katil, almari, dinding, tandas kau tu. Tak payah nak buat perangai waktu macam ni. Orang penat la tahu tak?” kata Sudin seakan geram dengan tindak tanduk Azli.

Azli pandang Sudin, menjeling sambil tersenyum. “Ala, usik sikit pun tak boleh. Iyelah, aku pergi tidur. Korang pun tidurlah. Kita jumpa lagi esok,” kata Azli dengan gaya merajuk. Dia melangkah terus masuk ke bilik. Kami yang berada di situ menggelengkan kepala, pelik dengan tindak tanduk Azli waktu tu.

Sudin kunci pintu. Aku masuk bilik, Ejey tutup lampu. Sahak dah masuk bilik dulu dah.

Masuk je bilik, aku tengok Azli dah baring kat katil dia. Aku duduk kat katil aku, memerhatikan Azli yang berbaring membelakangkan aku. Aku dengar macam dia menangis.

“Li, kau menangis?” aku tanya. Azli menoleh ke arah aku.

“Aku rindu kat adik beradik aku,” sahutnya sambil pandang aku dalam samar tu.

“Ha?” aku tanya balik, pelik betul jawapan Azli tu. Dia mana ada adik beradik. Setahu aku, dia anak tunggal. Mak ayahnya kat Melaka.

Azli diam dan membelakangkan aku semula. Aku baring kat katil aku, sesekali aku jeling Azli. Berdebar pula jantung aku tengok perangai Azli ni. Tapi sebab mengantuk dan penat, aku terlelap juga. Aku tersentak, terjaga dari tidur bila aku rasa tangan aku disentuh orang. Aku buka mata. Terkejut aku weh, Azli sedang duduk di lantai tepi katil aku, memandang aku dan mengusap tangan aku, laksana seorang kekasih rupanya. Rapat sungguh dia memandang aku.

Aku tarik tangan aku. Aku berundur ke dinding. Azli bangun dan duduk di atas katil aku. “Kau dah kenapa ni Li?” aku tanya dengan suara agak gementar.

“Allahu Akbar Allahu Akbar!” telefon aku berbunyi azan subuh. Aku pandang telefon aku yang berada di tepi bantal aku. Sekejap je aku pandang telefon aku, bila aku pandang semula kat Azli, aku nampak dia sedang berbaring lena kat katilnya.

Aku terpinga sendirian. Sekejap tadi Azli duduk kat atas katil aku, memandang aku sambil menjeling manja. Tapi sekelip mata je, dia sekarang berada di katilnya. Tak nampak pun macam dia ada datang ke katil aku. Aku pandang keliling. Aku cubit pipi aku. Sakit. Maknanya aku tak mimpi.

Aku bangun dari katil. Aku merapati Azli. Aku pandang dia. Berdengkur dia tidur. Kalau aku tak mimpi, adakah aku berkhayal? Takkan aku berkhayal pasal lelaki. Atau sebab aku takut kat perempuan, buatkan aku khayal pasal lelaki?

‘Astaghfirullahal azim.’ Ucap aku perlahan. Azan Subuh dah habis. Aku ambil tuala dan masuk ke bilik air. Aku mandi dan ambil wudhu.

Sebaik aku keluar dari bilik air, pintu bilik aku dibuka orang. Aku tengok Azli masuk ke dalam bilik, dan capai tualanya. Dengan mamai tu, dia melangkah ke bilik air.

“Li, kau dari mana? Bukan tadi kau tidur kat katil kau ke?” aku tanya.

“Semalam aku tidur kat luar la. Kau mengigau, bising sangat,” kata Azli.

‘Aku mengigau? Bukan dia ke yang mengigau bangun makan semalam?’ Desis hati kecil aku.

Azli masuk ke dalam bilik air. Aku pula tergaru-garu kepala, rasa macam ada yang tak kena. Aku pakai kain pelekat dan baju melayu. Aku bentang sejadah lalu solat Subuh. Aku berdoa agar Allah menjauhkan aku dari perkara-perkara yang tak elok. Sungguh, aku sedang keliru.

Selesai solat, aku keluar bilik. Ejey baru keluar dari bilik air dapur. Bilik dia takde bilik air.

Aku dengar bunyi air paip kat dapur. Aku terus ke dapur, nampak Sudin sedang jerang air.

“Din, aku rasa tak sedap hati la. Macam ada yang tak kena dengan Li tu,” kataku.

“Kenapa pula? Sebab hal semalam ke?” Sudin tanya aku.

“Hal semalam tu satu hal. Subuh tadi dia macam nak menggoda aku. Tapi bila azan subuh bunyi, elok je aku tengok dia tidur. Tapi lepas aku mandi, dia macam baru masuk ke bilik. Bila aku tanya, dia kata semalam dia tidur kat ruang tamu. Dia tak tidur dalam bilik. Habis tu yang tidur kat dalam bilik dengan aku semalam tu siapa?” aku ceritakan kepada Sudin.

“Hish, kau ni Aan. Jauh sangat berkhayal tu. Kau pergilah balik rumah mak kau. Kau rindu mak kau kot,” kata Sudin.

“Ha, lagi satu. Aku dengar dia menangis semalam. Lepas kes dia bangun makan tu la. Aku tanya, kenapa dia nangis, katanya dia rindu kat adik beradik dia. Dia kan anak tunggal?” aku tanya lagi.

“Entahlah Aan. Nanti kau tanyalah dia. Ni pagi ni kita nak sarapan apa? Nak beli ke atau nak makan kat luar? Rindu pula aku kat capati mamak tepi jalan tu. Jom kita sarapan sana nak?” Sudin mengalih ke topik lain. Aku terus diam.

Aku capai beg aku yang aku letak kat sofa depan tv semalam. Aku bawa masuk ke dalam bilik. Aku nampak Azli masih di atas sejadah, tapi dah selesai solat. Aku tak tegur dia. Aku keluarkan semua pakaian aku, masukkan dalam plastik, nanti masa sarapan nak bawa pergi kedai dobi. Sesekali aku menjeling Azli yang termenung di atas sejadah.

“Kita sarapan apa pagi ni? Aku lapar la,” tiba-tiba Azli bersuara. Dia bangun dan menyidai sejadah. Songkoknya disangkut kat tepi almarinya. Elok pula aku tengok Azli ni.

“Sudin ajak kita sarapan kat kedai mamak tepi jalan tu. Aku nak bawa baju ni sekali. Boleh hantar dobi nanti. Kau nak tumpang tak?” sahutku.

“Boleh juga. Nanti aku masuk kat dalam plastik. Kita bawa sekali,” kata Azli, juga mencapai begnya lalu mengeluarkan pakaiannya. Hati aku tenang kembali bila lihat Azli ok. Tapi yang buat aku tak tenang ialah, adakah aku yang bermasalah sekarang ni?

Lepas zohor, Sudin, Sahak dan Ejey keluar. Nak jumpa awek la tu. “Li, kau tak keluar ke?” aku tanya bila tengok dia rileks je depan tv. Selalunya dialah yang paling kerap pergi dating.

“Tak kot. Panas la kat luar tu,” kata Azli buatkan aku nak tergelak. Sejak bila pula Azli takut panas.

“Kau tak jumpa awek kau?” aku tanya. Azli tak menyahut. Dia terus tengok tv, cerita kartun je pun.

Aku baring kat kerusi, mengantuk. Dan aku terlelap.

“Borhan, Borhan,” tiba-tiba aku dengar suara perempuan memanggil nama aku. Aku pandang keliling. Aku nampak Melati sedang berdiri memerhatikan aku.

Aku duduk. Dada aku berdebar kencang. Aku cari Azli, dia tiada kat tempatnya tadi.

“Melati, macammana Melati ada kat sini?” aku tanya.

“Melati ikut Borhan,” katanya. Aku dah mula berpeluh. Panik weh. Dalam rumah yang bertutup, hanya aku dengan dia.

Melati merapati aku. Masa tu la kaki aku kejang. Tak boleh nak bergerak. Apatah lagi nak lari. Aku menjerit sekuat hati. Dan tiba-tiba pipi aku pedih. Aku buka mata, Sudin dan Sahak kat depan aku. “Kau mengigau di siang hari ni Aan?” kata Sudin. Aku tengok jam, dah pukul 4.30 petang.

“Siapa Melati tu Aan? Kemain kau seru nama dia?” Sahak tanya aku. Dan aku mula panik sekali lagi. Sudin dan Sahak pandang aku sambil tersenyum menyakat.

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s