KEKASIH DARI LAUT

Bab 6

Aku tak fikir panjang, terus keluar bilik dan pergi ke bilik aku. Aku ketuk pintu berulang kali. Aku call Sudin dan Azli, juga berulang kali.

Lima minit kot aku berdiri depan pintu, barulah Azli buka pintu. “Eh, bila masa kau keluar?” Azli tanya aku sambil gosok mata. Aku tak jawab, terus masuk ke dalam bilik. Sudin masih tidur. Mata aku melilau melihat sekeliling.

“Li, semalam aku tidur dengan kau dan Sudin dalam bilik ni ke?” aku tanya.

“Iyelah. Kau dah kenapa? Hilang ingatan?” Azli tanya sambil mengambil tualanya.

“Aku buat apa semalam lepas balik dari dewan?” aku tanya lagi.

“Kau terus tidur. Kenapa ni Aan?” Azli tanya aku lagi.

“Aku tidur kat mana?” aku tanya lagi. Azli pandang aku dengan pandangan pelik.

“Kat katil bujang tu. Aku tidur dengan Sudin kat katil queen tu. Kenapa kau ni?” Azli jawab.

“Apa bising-bising ni weh, aku nak tidur. Dah la semalam tak boleh tidur lena,” Sudin merungut sambil ambil bantal dan tutup telinganya.

“Din, kau bangun. Tengok kawan baik kau ni. Hilang ingatan agaknya,” kata Azli sambil melangkah masuk ke bilik air.

Aku pandang Sudin. “Din, bangunlah,” aku cuit kakinya. Sudin tarik kakinya, terus tekup telinganya dengan bantal.

“Din, semalam aku ada kat dalam bilik ni ke?” aku tanya Sudin walaupun Sudin buat tak tahu. Aku pandang keliling. Aku ni masih berkhayal ke. Aku cuba ingat apa yang terjadi semalam. Aku memang tak ikut diorang balik bilik. Aku sembang dengan Melati. Siapa kawan terakhir yang aku jumpa semalam? Haah, Jefri!

Aku buka telefon. Aku call Jefri, tapi tak jawab. Mungkin masih tidur. Nanti aku tanya dia.

Azli keluar bilik air. “Wanginya la bau bilik air chalet ni. Macam bau bunga,” kata Azli sendirian. Aku masih duduk di katil, berfikir.

“Aan, kau masih tak ingat kau kat  mana ke semalam? Dah la. Pergi mandi, solat. Hari ni kita dah nak balik rumah kita. Tak payah la kau fikir lagi,” kata Azli.

Aku tak menyahut, hanya memandang ke arah Azli.

“Li, semalam kau hilang dari dewan. Kau balik bilik? Tapi selipar kau tinggal kat dewan kan? Kau balik tak pakai selipar ke?” aku tanya Azli. Azli macam terkejut memandang aku. Dahinya berkerut sikit. Tapi dia tak jawab. Dia terus bentang sejadah dan solat. Aku pula terus masuk bilik air.

Aku pandang ke cermin. Aku nampak sesuatu yang bergerak di tempat mandi yang dipisahkan dengan sekeping kaca bercorak. Aku tak nampak jelas, tapi seakan satu susuk tubuh berpakaian serba putih dengan rambut panjang mengurai hingga ke pinggang.

“Siapa tu?” aku panggil perlahan. Benda tu tak bergerak. Aku melangkah perlahan ke arah tempat mandi. Aku jenguk di sebalik kepingan kaca tu. Ada baju Azli tergantung kat situ. Aku kembali melangkah ke tempat aku berdiri tadi dan lihat semula ke arah baju Azli, tapi tak sama macam apa yang aku nampak tadi. Meremang bulu roma aku walaupun hari dah subuh.

Nak mandi pun dah hilang mood. Aku gosok gigi, basuh muka dan ambil wudhu, lalu terus keluar dari bilik air.

“Cepatnya kau mandi?” Sudin tanya. Aku tak menyahut. Sudin masuk ke dalam bilik air. Aku melangkah ke tempat solat. Azli masih duduk kata atas sejadah. Aku ambil sejadah lain dan bentang di sebelah sejadah Azli, lalu solat.

Masa aku solat, aku perasan Azli pandang ke arah aku, melihat segala pergerakan solat aku. Entahlah solat subuh aku hari tu dah ke mana. Aku tak khusyu’ langsung. Entah betul entah tidak apa yang aku baca. Betullah kata orang, di masa kita diganggu oleh sesuatu yang kita tak pasti, masa tu baru kita tahu tahap iman kita. Walau macammana baiknya kita, rajin solat, rajin puasa, tapi iman kita masih lemah sebenarnya.

Sampailah aku beri salam pertama ke kanan, Azli masih pandang aku. Rapat pula tu aku dengan dia. Lepas tu aku beri salam kedua ke kiri. Masa tu aku terbayang dah Azli gigit leher aku ke, atau dia dah berubah jadi rupa Pontianak ke. Adoi! sampai macam tu aku berfikir.

Habis bagi salam ke kiri, tak sempat sapu muka dah, cepat-cepat aku menoleh semula ke arah Azli. Tapi Azli tiada di situ. Aku pandang keliling, mencari kelibat Azli. Azli sedang duduk di kerusi tepi katil sambil membelek telefonnya.

“Li, dah berapa lama kau duduk kat situ?” aku tanya.

“Aku macam ni punya besar pun kau tak nampak ke? Kau keluar dari bilik air tadi aku memang dah kat sini dah,” sahut Azli tak pandang aku pun.

“Tapi tadi kau….,” aku tak habiskan ayat aku. Aku rasa aku dah gila la.

“Kenapa Aan?” Azli tanya aku. Aku hanya gelengkan kepala sambil melipat sejadah. Aku tarik beg aku, aku kemaskan semua pakaian aku.

“Hari ni kita terus balik kan?” aku tanya. “Lepas lunch katanya nak pergi kat mall, ada yang nak beli barang la, cenderamata la. Kau beli la hadiah kat mak kau nanti,” kata Azli masih memandang telefonnya.

Dalam kepala aku, samada aku dah gila, atau ada sesuatu yang tak kena dengan Azli. Tak tahu kenapa, aku rasa Azli tu lain macam je sejak malam semalam lagi. Selesai mengemas baju, aku keluar dari bilik. Aku cari Jefri. Dia dah berada di café, dengan beberapa orang kawan lain, sedang bersarapan.

“Jefri, semalam kau orang akhir tinggalkan tempat ni kan?” aku tanya Jefri.

“Apa aku pula? Kau la orang akhir. Kan kau yang last angkat kerusi kau. Masa tu semua orang dah balik bilik dah,” sahut Jefri.

“Maknanya kau memang nampak aku kat sini la kan?” aku tanya Jefri lagi. Jefri dan beberapa kawan lain yang berada di situ, memandang aku dengan wajah pelik. Kawan perempuan pun ada kat situ, tapi aku dah tak rasa panik dah. Aku lebih memikirkan apa yang terjadi semalam.

“Memang la aku nampak kau kat sini. Takkan aku nampak hantu kot,” sahut Jefri.

“Aku seorang ke?” aku tanya lagi.

“Kau seorang la,” Jefri menyahut.

“Kau ni dah kenapa Aan?” Rashid tanya aku.

Aku diam. Terus melangkah keluar dari café, melihat keliling. Aku nampak seorang staf sedang mengangkat pinggan ke arah dapur café.

“Encik, maaf ganggu. Saya nak tanya. Kat sini ada perkampungan ke?” aku tanya.

“Tempat ni baru dibuka tahun ni. Buat masa ni takde perkampungan yang berdekatan sini. Kalau ada pun, kena keluar dari sini, dalam 20 kilometer. Kenapa encik?” staf tu tanya aku.

“Malam-malam nelayan turun laut tangkap ikan kat sini ye?” aku tanya.

“Hah? Mana ada nelayan tangkap ikan kat sini. Sini kawasan pulau. Kalau nelayan turun laut tu kena pergi kat jeti area pekan sana. Sini takde,” kata staf tu lagi.

“Encik nak cari hasil laut segar ke?” Staf tu tanya aku bila aku diam.

“Eh, taklah. Maaf nak tanya satu lagi, kat sini ada staf nama Melati ke?” aku bertanya.

“Melati? Hmmm… takde. Tapi macam saya pernah dengar nama tu,” kata staf tu lagi.

“Dengar kat mana?” aku tanya.

“Hmmm….. macammana nak cakap ye. Susah nak jelaskan. Tapi memang nama tu agak terkenal kat sini,” kata staf tu lagi.

“Terkenal? Maknanya memang ada la orang ni ye?” kataku rasa lega sikit. Maknanya aku tak berkhayal la semalam.

“Macam ni, memang ada beberapa pengunjung kat sini yang pernah bertemu dengan seorang gadis bernama Melati. Dia merayau-rayau kat pantai pada sebelah malam selepas pukul 12. Dia menggoda pengunjung lelaki. Tapi tiada siapa tahu siapa dia. Hanya segelintir yang nampak dia. Saya sendiri tak pernah nampak dia. Tapi bos kata, jangan cerita kat sesiapa. Bimbang pengunjung taknak datang ke sini sebab takut,” kata staf tu secara berbisik dengan matanya melilau melihat keliling bimbang ada yang dengar apa yang dia katakana.

“Maksud encik, Melati tu hantu?” aku tanya lagi dengan lebih kerutan di dahi.

“Tak tahu. Sebab dia bukanlah menyerupai sesuatu yang menakutkan sampai boleh kita panggil hantu. Tapi terus terang saya cakap, saya tak pernah jumpa. Dah saya taknak jumpa pun. Seram,” kata staf tu lagi.

“Usop, Cepatlah aku nak pinggan tu,” seorang staf perempuan menggamit staf yang sedang berbual dengan aku. Dia pun tergesa-gesa melangkah ke arah staf perempuan yang memanggilnya. Aku masih termenung di situ.

Tiba-tiba bahu aku ditepuk orang. Aku menoleh. Pak Radhi berdiri kat belakang aku.

“Eh, Pak Radhi.” Aku menegur sambil tersenyum.

“Kenapa berdiri kat sini? Semua orang sedang sarapan kat dalam,” Pak Radhi tanya aku.

“Takde apa, saja sembang dengan staf kat sini tadi,” sahutku.

“Bertanya sesuatu? Atau ada yang bermain dalam kepala?” Pak Radhi tanya lagi. Aku pandang Pak Radhi. Nak cakap ke tak? Kang Pak Radhi kata aku gila pula.

“Takde apalah Pak Radhi. Jom kita sarapan,” kataku sambil melangkah ke ruangan makan di café, Pak Radhi melangkah seiringan.

“Woi Aan! Kat sini rupanya kau. Tak tunggu turun sekali. Lapar sangat kau ye,” Sudin tegur aku. Aku terus duduk kat meja dengan Sudin, Azli, Sahak dan Ejey.

Aku pandang Azli. Azli pandang aku, dia kenyit mata. Aku terus pandang ke lain.

“Aku nampak muka kau lain macam je Aan. Dari semalam lagi kau lain macam lepas balik dari dewan. Kau ok ke tak ni?” Sudin tanya aku.

“Takde apalah. Kita pun dah nak balik kan. Aku teringat kat mak aku kot,” sahutku acuh tak acuh. Aku dah tak sabar nak keluar dari tempat ni. Aku nak tinggalkan segalanya kat sini. Sebaik keluar dari sini, segalanya akan ok, itu harapan aku.

“Alaa, macam tu la anak mak. Baru jauh sikit dua malam, dah angau macam teringat kat awek. Nanti kau kahwin macammana la agaknya,” Sahak mula nak membahan aku. Aku diam je, sesekali aku pandang Azli, dia senyum pandang aku. Aku pelik juga, selalunya dia la paling kuat membahan aku, pantang dapat peluang. Tapi kali ni dia diam je.

Pukul 11 pagi, bas mula muncul untuk bawa kami balik. Aku rasa lega semacam bila dapat keluar dari pulau tu. Kat dalam bas, aku perhatikan je Azli. Dia nampak dah ok, macam sediakala. Kembali mengusik aku, macam selalu. Aku pejamkan mata, cuba melupakan apa je prasangka buruk dengan apa yang aku lalui kat pulau tu. Aku teringkat kat Melati, gadis ayu tu. Cepat-cepat aku buka mata dan beristighfar.

“Kau mimpi ke Aan? Mimpi jumpa awek?” Ejey mengejek aku disambut gelak tawa kawan aku yang lain. Aku macam biasa, diam je bila diusik macam tu.

Lebih kurang pukul 9 malam baru kami sampai kat rumah. Masing-masing dah penat, tak lalu nak bercakap pun. Mandi, solat isya’ dan terus tidur. Beg pun main campak je kat tepi dinding. Esok la susun. Kilang pun masih tutup. Mr Richard suruh kami rehat lagi dua hari, baru start kerja semula.

Aku tersedar dari tidur bila dengar bunyi kaca pecah di luar bilik. Aku angkat kepala. Azli tiada di katilnya. Aku tengok bilik air, gelap je. Maknanya dia tiada di bilik air. Aku bangun dan melangkah ke pintu. Aku buka pintu perlahan-lahan. Gelap je kat luar bilik.

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s