KEKASIH DARI LAUT

Bab 5

“Suara siapa tu weh?” Aku dengar suara Ros bertanya.

“Entah.” Seorang lagi menyahut.

“Ish korang ni. Kita kan kat laut. Suara bergema kot,” sahut Ejey.

“Suara bergema tu kalau kita kat tempat tertutup. Sekarang ni kita kat tempat terbuka. Nak bergema macammana?” Ros pula bertanya.

“Takde apalah korang ni. Penakut sungguh,” kata Ejey lagi sambil bangun dan mencapai mikrofon. Dia buka satu lagu. Lagu Isabela dari kumpulan Search.

Ketika Ejey menyanyi, kami cuba pasang telinga dan tangkap bunyi suara lain, takde pula. Sampai dia habis menyanyi, takde dah suara macam tadi.

Selesai Ejey menyanyi, dia duduk semula di tempatnya. Tiada siapa berani berkaraoke lagi hinggalah Mr Richard muncul entah dari mana.

“Kenapa tak nyanyi? Nyanyi la. Enjoy.” Mr Richard bersuara. Dia berdiri di hadapan kami semua. Kami semua hanya diam. Pak Radhi pun muncul dari arah belakang kami. Dia duduk di meja yang aku sedang sedang duduk dengan beberapa kawan lain.

“Ini siapa pasang lagu? Siapa mahu nyanyi lagu ni?” Mr Richard bersuara sambil melihat tv karaoke di depannya. Semua yang berada di situ berpandangan sesama sendiri.

“Ada orang pasang lagu ni, siapa mahu nyanyi? Saya tak pandai nyanyi lagu ni. Macammana mahu tukar lagu lain?” Mr Richard bersuara sambil menekan entah apa di keyboard.

“Itu lagu Isabela. Tadi Ejey nyanyi. Mr Richard pilih lagu lain,” Sahak bersuara.

“Ini bukan lagu Isabela. Kalau lagu Isabela saya tahu la,” kata Mr Richard.

Sahak bangun. Dia mendapatkan Mr Richard lalu melihat di skrin tv. “Siapa pilih lagu ni? Tapi setahu aku, lagu ni takde dalam pendrive aku,” kata Sahak. Memang bab sistem audio ni kerja Sahak. Dia yang pandai.

“Lagu apa?” Ejey tanya.

“Lagu Ulik Mayang. Aku tak pernah ada lagu ni,” kata Sahak.

Masa ni aku dah rasa tak sedap hati. Aku pandang Sudin. Air muka Sudin pun berubah. Tapi untuk orang lain, mereka hanya buat tak tahu sebab mereka memang tak tahu.

“Ada la tu kot, kau lupa,” kata Ejey. Sahak dia. Lalu dia memilih lagu lain untuk Mr Richard.

Sedang kami melayan makan BBQ dan mendengar Mr Richard menyanyi, aku nampak sesusuk tubuh perempuan berdiri di tepi pantai memerhatikan ke arah kumpulan kami. Aku memerhati kawan perempuan yang ikut serta dalam rombongan kami, semua ada kat situ.

Aku cuit bahu Sudin. Sudin pandang aku. “Siapa tu?” aku tunjuk ke arah susuk tubuh yang aku nampak tadi. Dia masih berdiri di situ dan memandang ke arah kumpulan kami. Sudin pun sama macam aku, memerhati semua kawan perempuan kami.

“Kawan kita semua ada kat sini. Itu orang lain kot,” kata Sudin.

“Tapi dia memerhatikan kita dari tadi. Setahu aku, kawasan ni dah diterhadkan kepada rombongan kita je kan. Maknanya takde orang lain akan ada kat sini. Lagipun sekarang ni hari bekerja, bukan hari cuti atau hujung minggu,” aku cakap kat Sudin.

“Takde apalah tu Aan. Kau jangan fikir sangat benda ni. Nanti benda takde pun kita rasa ada,” kata Sudin cuba pujuk aku walaupun aku nampak riak wajahnya berubah dan matanya tak lepas dari memandang susuk tubuh perempuan di tepi pantai tak jauh dari kami.

Bila dah Sudin cakap macam tu, aku pun cuba alih pemikiran aku. Aku tak tengok dah susuk tubuh tu. Aku tengok jam tangan, dah pukul 11.30 malam. Mata aku dah mengantuk. “Boleh balik bilik ke? Aku dah mengantuk la,” aku ajak Sudin. “Sekejap lagi kot. Diorang pun dah mula nak mengemas ni,” kata Sudin.

“Aan, semalam ada sesiapa ikut kau ke bilik tak?” Tiba-tiba Sahak duduk kat tepi aku, bertanya perlahan.

“Ha?” Reaksi aku bila mendengar Sahak tanya macam tu.

“Semalam, masa nak masuk bilik kami, aku nampak seseorang macam perempuan, berdiri kat pintu bilik korang. Aku tegur lepas tu dia macam bergerak ke arah tangga. Aku cuba ikut tapi sampai kat tangga, dia dah hilang.” Sahak beritahu aku. Aku kerutkan dahi.

“Takde siapa pun. Kami bertiga je,” aku menyahut, malas nak cerita apa yang jadi kat Azli semalam. Sebab aku bimbang apa yang jadi semalam hanya khayalan. Nanti panjang pula ceritanya. Lagipun esok kami dah nak balik.

“Mula-mula aku ingat korang ada pesan makanan ke atau servis bilik ke kot bilik korang ada masalah. Tapi aku tengok jam masa tu pukul 2 pagi kot, takkanlah orang nak servis bilik. Lagipun kenapa perempuan yang datang. Perempuan tu pun tak pakai uniform staf sini. Dia macam pakai jubah warna putih, meleret sampai ke lantai,” kata Sahak lagi.

“Orang salah bilik kot,” sahutku perlahan. Sahak pun terus diam bila aku cakap macam tu.

Sudin cuit bahu aku. “Li mana?” Aku menoleh mencari Azli di sekeliling, tapi memang dia takde. “Dia dah balik bilik kot,” sahutku. “Seliparnya masih kat situ,” kata Sudin sambil menunjukkan selipar Azli di tempat dia duduk tadi. Aku terdiam. Tapi mata aku masih melilau melihat keliling, kot nampak dia.

Beberapa kawan kami dah mula bangun dan mengutip sampah dan mengumpulkannya di tong sampah besar yang telah disediakan oleh pihak chalet. Ada yang mengemas kerusi meja yang bersepah. Aku dan Sudin masih melilau mencari kelibat Azli, tetap takde.

Tiba-tiba mata aku tertumpu kepada sesuatu. Susuh tubuh perempuan yang aku nampak di tepi pantai tadi, sedang berdiri di tepi dewan, memerhatikan kami semua. Kali ni aku dapat lihat dengan jelas wajahnya. Seorang perempuan muda, berambut ikal mayang panjang hingga ke pinggang dan dilepaskan bergerak ditiup angin. Ada selendang kuning di atas kepalanya.

Cantik, alis matanya lentik, pipinya merah, matanya bulat, bibirnya bak delima merkah. Cantik, memang cantik. Aku yang takut kat perempuan ni pun, boleh asyik melihatnya.

“Aan?” Jefri tegur aku. Aku pandang Jefri yang sedang memegang kerusi terakhir yang sedang aku pegang untuk di angkat ke atas meja.

“Kau termenung kat sini dah kenapa? Semua kawan kita dah balik bilik,” kata Jefri. Aku memandang keliling, dah kosong. Tinggal aku dengan Jefri je. Aku toleh semula kepada perempuan tadi, dia masih di situ, memandang ke arah aku, membuatkan aku jadi tak tentu arah.

“Kau ni dah kenapa Aan? Angkatlah kerusi tu naik ke meja. Dah pukul 12.30 ni. Balik bilik la, tak penat ke?” Jefri tegur aku lagi.

“Kau balik dulu,” aku cakap kat Jefri sambil mengangkat kerusi yang aku sedang pegang tadi ke atas meja.

“Kau nak buat apa lagi kat sini?” Jefri tanya.

“Takde apa, nak ambil angin malam,” kataku.

“Aku balik bilik dulu la. Kau jangan sepahkan lagi. Aku ni ketua kebersihan, apa-apa nanti aku yang kena pulak. Faham?” Jefri pesan kat aku sambil berlalu pergi.

Aku pandang perempuan tadi, dia masih berdiri di situ dan pandang aku. Entahlah kenapa aku begitu tenang melihat seorang perempuan.

“Abang tak balik bilik lagi?” perempuan tu tanya aku, merdunya suara dia. Ya Allah, aku terpesona.

“Cik ni siapa? Staf chalet ke?” entah dari mana keberanian itu datang, aku boleh bertegur sapa dengan seorang perempuan yang tak aku kenali.

“Saya memang tinggal di sini.” Sahut perempuan tu.

“Buat apa kat sini waktu macam ni?” aku tanya lagi.

“Kami orang laut, dah biasa waktu macam ni jalan kat luar. Sebab masa ni kapal nelayan akan  turun. Masa ni ikan banyak,” kata perempuan tu lagi.

“Ooo, begitu,” kataku masih malu-malu nak bertentang mata dengan perempuan tu.

“Nama abang Borhan ye?” Perempuan tu tanya aku buatkan aku panik sekejap.

“Eh, macammana tahu nama saya Borhan?” aku tanya balik sambil kerutkan dahi. Perempuan itu menghampiri aku. Wanginya, bau bunga. Tapi macam aku pernah hidu bau ni.

“Tadi dengar kawan abang panggil,” kata perempuan tu lagi. Aku diam. Kawan aku panggil aku Aan, rasanya takde siapa panggil aku Borhan.

“Saya Melati.” Perempuan tu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan nak berjabat dengan aku. Aku angkat tangan aku dan letakkan ke dada. Masa ni aku rasa lain macam sikit. Dan masa ni juga aku teringat bau wangi inilah yang aku hidu masa kat bilik air chalet subuh tadi, lepas Azli keluar dari bilik air.

Aku menjeling melihat perempuan tu dari atas ke bawah. ‘Cantik macam ni takkan keluar malam nak tengok nelayan tangkap ikan kot’ desis hati kecil aku yang mula rasa tak sedap hati.

“Saya balik bilik dulu ye Melati. Tak elok dilihat orang kita berduaan kat sini. Ada rezeki nanti kita jumpa lagi,” kataku menundukkan wajah, tak mampu bertentangan mata dengannya.

“Bila abang balik ke tempat abang semula?” Melati tanya aku.

“Esok kami balik dah.” Sahutku.

“Jemputlah ke rumah Melati. Melati ada ramai adik beradik, tapi semuanya perempuan. Melati anak paling akhir. Kakak Melati garang, selalu pukul Melati. Sebab tu Melati suka jalan-jalan kat luar,” kata Melati lagi, dengan lenggok suara merdu yang menggoda sungguh. Laju jantung aku berdegup.

“Tak boleh nak janji. Sebab esok kami balik dah. Tak tahulah bila akan datang lagi. Melati bagi nombor telefon Melati, apa-apa nanti saya call,” kataku. Wah, dah berani minta nombor telefon. Hahaha…. Aku kagum dengan diri aku. Ni kalau kawan-kawan aku tahu ni, habis aku kena gelak kena usik sampai tak tahu mana nak sorok muka ni.

“Melati takde nombor telefon. Kakak Melati tak bagi Melati berhubung dengan orang luar. Takpe, nanti Melati cari abang ye,” kata Melati lagi.

“Nak cari saya kat mana?” aku tanya. Pelik betul perempuan ni. Ke memang orang laut macam tu?

“Melati harap kita dapat jumpa lagi nanti,” kata Melati perlahan tapi penuh harapan.

“In Shaa Allah,” sahutku dan terus berlalu pergi. Namun hati aku meronta-ronta nak tengok dia lagi. Aku cuba kawal keinginan aku. Jantung aku berdebar laju. Inikah yang dinamakan ‘cinta pandang pertama’?

Aku naik ke bilik aku. Sampai kat pintu bilik, aku ketuk tiga kali. Tiada yang buka pintu. Aku tengok jam tangan, pukul 2 pagi. Maknanya aku sembang dengan Melati tadi sejam lebih? Eh, rasa macam kejap je.

Aku ambil telefon aku dari poket seluar. Tiada siapa call aku, tiada siapa cari aku? Diorang tak perasan ke aku takde? Dan diorang sepatutnya tahu aku ni bukannya jenis hilang sampai lewat malam.

Aku dail nombor Sudin, tak berangkat. Aku dail nombor Azli, pun tak berangkat. Aku call nombor Ejey, “Hello!” aku dengar suara Ejey.

“Ejey, aku kat luar bilik aku ni. Tak boleh masuk bilik. Diorang dah tidur kot. Boleh aku tidur kat bilik korang ke?” aku tanya. Ejey letak telefon. Dan seketika kemudian, pintu bilik Ejey terbuka dan Ejey menjenguk keluar.

“Kau ke mana pukul 2 pagi baru balik? Tadi bukan kau ikut diorang balik sama-sama ke? Kau keluar balik ke lepas tu?” Ejey tanya aku setelah aku masuk ke biliknya. Sahak dan Rizal dah lena kat katil masing-masing. Ejey je yang masih main game kat telefon dia.

“Mana ada aku keluar balik, aku memang belum balik. Ni baru balik,” kataku.

“Iye ke? Aku macam nampak tiga orang masuk bilik kau tadi. Entahlah, aku salah tengok kot. Tapi kau ke mana? Pukul 2 pagi baru balik? Macam tak percaya je aku kau boleh merayau seorang diri waktu macam ni kat tempat asing bagi kau,” Ejey tanya aku tapi aku tak menyahut. Takkan nak cakap aku jumpa Melati kot, mampus aku kena bahan nanti.

“Aku tumpang tidur bilik korang la ye,” kataku minta izin.

“Ikut suka kau la.” Sahut Ejey sambil kembali menatap skrin telefonnya. Tak lama aku letak kepala, aku lena.

Bila azan subuh berkumandang kat telefon aku, aku bangun.  Sahak dan Rizal pun tersedar dari tidur. Ejey je yang tidur mati. Sahak dan Rizal terkejut melihat aku di bilik mereka.

“Bila masa kau masuk bilik ni? Kenapa kau tidur kat sini?” Sahak tanya aku.

“Semalam aku balik lewat. Sudin dengan Azli dah tidur, diorang tak jawab call aku, tak buka pintu. Aku call Ejey, dia je yang jawab. Aku masuk sini je la,” kataku.

“Balik lewat? Kau keluar balik ke? Pergi mana?” Rizal tanya aku.

“Aku memang tak balik. Masa kemas meja dewan tu, aku jumpa kawan. Sembang kejap. Tak sedar dah pukul 2 pagi,” sahutku perlahan.

“Kau tak balik? Tapi kita sama-sama balik ke bilik semalam. Aku masuk bilik kau sebab Azli hilang semalam. Kita sama-sama cari Azli. Rupanya dia dah balik awal ke bilik, katanya sakit perut. Tapi masa tu kau ada bersama kami.” Kata Rizal. Aku diam sambil mengerutkan dahi.

“Dan kau jumpa kawan mana pulak? Kawan kilang kita ke? Perempuan ke lelaki? Jumpa awek yaaaaa.. Kau dating  ke Aan?” Sahak tanya aku sambil mengusik. Dan aku masih diam, terfikir aku berada di mana sebenarnya semalam?

– Bersambung –

One thought on “KEKASIH DARI LAUT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s